Bismillah.
Setiap individu sudah pasti mengalami ujian di dalam kehidupan. Ujian merupakan lumrah kehidupan. Maka, betapa pentingnya melihat sesuatu yang berlaku pada diri kita dengan pandangan kesyukuran.
Cara kita melihat sesuatu akan menentukan bagaimana respon terhadap sesuatu perkara. Salah satu petunjuk yang Allah nyatakan di dalam Al-Qur’an adalah berhubung syukur. Di dalam Surah Ibrahim: Ayat 7,
وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَٮِٕن شَڪَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡۖ وَلَٮِٕن ڪَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ۬ (٧)
7. Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".
Panduan yang Allah nyatakan di dalam ayat diatas adalah syarat untuk memperoleh nikmat adalah dengan bersyukur. Jika kita kufur, azab Allah adalah sangat keras.
Menarik untuk kita sama-sama melakukan muhasabah diri sejauh mana kita menjadi hamba yang bersyukur?
Ayuh, kita melakukan perenungan sebentar.
Adakah aku bersyukur atas setiap perkara kecil, nikmat boleh bernafas di pagi hari?
Adakah aku bersyukur direzekikan mempunyai ahli keluarga ?
Adakah aku bersyukur direzekikan nikmat mempelajari Al-Qur’an?
Adakah aku bersyukur atas usia yang Allah anugerahkan?
Adakah aku bersyukur atas kesihatan yang baik?
Adakah aku bersyukur atas nikmat kerjaya?
Adakah aku bersyukur atas nikmat sahabat-sahabat ?
Adakah aku bersyukur atas anugerah pancaindera?
MashaAllah, tidak terhitung rahmat Allah kepada kita semua. Bertepatan dengan firman Allah di dalam Surah An Nahl: Ayat 18,
وَإِن تَعُدُّواْ نِعۡمَةَ ٱللَّهِ لَا تُحۡصُوهَآۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬ (١٨)
18. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Maka, solusi yang Allah anugerahkan kepada kita di dalam setiap ujian, keresahan, dukacita, kesempitan adalah melihat dengan mata syukur.
Peringatan untuk diri terutamanya, supaya di dalam setiap musibah, melihat apakah satu perkara yang boleh disyukuri dari musibah tersebut.
Jiwa yang bersyukur ini perlu dilatih bermula dari perkara-perkara rutin di dalam kehidupan. Jika kita tidak mampu bersyukur akan perkara yang kecil, agak sukar untuk bersyukur dengan perkara yang besar.
Antara tindakan-tindakan yang boleh diusahakan untuk meningkatkan kesyukuran adalah:
- Memaknai lafaz Alhamdulillah (segala pujian dan kesyukuran itu milik Allah) dengan penuh kesedaran;
- Meningkatkan ketaatan dan amal soleh;
- Berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran;
- Mula menghargai setiap perkara yang dianugerahi oleh Allah;
- Belajar memahami kandungan Al-Qur’an;
- Memohon perlindungan dari Allah dari menjadi hamba yang kufur;
- Tidak membandingkan diri dengan orang lain
- Menulis jurnal syukur
Rahmat Allah di dalam kehidupan adalah amat luas. Rahmat atau kasih sayang Allah yang paling besar adalah menurunkan Al-Qur’an. Sebagaimana Allah berfirman di dalam Surah Ar-Rahman: Ayat 1-2,
ٱلرَّحۡمَـٰنُ (١) عَلَّمَ ٱلۡقُرۡءَانَ (٢)
1. (Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.
2. Dia lah yang telah mengajarkan Al-Qur'an.
MashaAllah, Allah memberi petunjuk Al-Qur’an untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Surah Ibrahim: Ayat 1,
الٓرۚ ڪِتَـٰبٌ أَنزَلۡنَـٰهُ إِلَيۡكَ لِتُخۡرِجَ ٱلنَّاسَ مِنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذۡنِ رَبِّهِمۡ إِلَىٰ صِرَٲطِ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡحَمِيدِ (١)
1. Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (Al-Qur'an) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.
Kita amat perlukan cahaya untuk menerangi kehidupan kita. Tanpa kehadiran cahaya, kita akan melalui kehidupan dalam teraba-raba, kegelapan dan kemuraman. Begitu juga, kita perlukan Al-Qur’an dalam kehidupan untuk memberi kita panduan di dalam kehidupan. Itu tanda kasih sayang Allah kepada hamba-hambaNya.
Maka, ayuh kita meningkatkan kesyukuran atas nikmat Al-Qu’ran ini dengan berusaha memahami kalam Allah, memaknai dalam kehidupan, menukar sudut pandang mengikut perspektif Al-Qur'an dan seterusnya menyebarkan mesej kebenaran.
MashaAllah, kebanyakan isu di dalam kehidupan kita ini wujud kerana rendahnya nilai syukur di dalam kehidupan. Maka, ayuh kita sama-sama menghitung nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita.
Sudah pasti tidak terhitung. Mari, menjadi manusia bahagia dengan meningkatkan rasa syukur.
Ayuh, kita mentadabburi doa Nabi Sulaiman a.s di dalam Surah An-Naml: Ayat 19,
فَتَبَسَّمَ ضَاحِكً۬ا مِّن قَوۡلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوۡزِعۡنِىٓ أَنۡ أَشۡكُرَ نِعۡمَتَكَ ٱلَّتِىٓ أَنۡعَمۡتَ عَلَىَّ وَعَلَىٰ وَٲلِدَىَّ وَأَنۡ أَعۡمَلَ صَـٰلِحً۬ا تَرۡضَٮٰهُ وَأَدۡخِلۡنِى بِرَحۡمَتِكَ فِى عِبَادِكَ ٱلصَّـٰلِحِينَ (١٩)
19. Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh".
MashaAllah, Nabi Sulaiman a.s berdoa kepada Allah untuk diilhamkan menjadi hamba yang bersyukur. Maka, ayuh kita memaknai doa ini untuk diamalkan dengan kesedaran mengabdikan diri pada Allah yang esa.
Alhamdulillah, ayuh kita mulakan saat ini dengan merafakkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah atas nikmat iman.
Ayuh, jadi manusia bahagia dengan meningkatkan kesyukuran atas nikmat Iman dan Islam.
Bahagia itu mudah dengan jiwa yang sentiasa bersyukur.
Jiwa yang sering menghitung nikmat.
Jiwa yang menggantung harapan hanya pada Allah.