Adila duduk di meja belajar sambil tangan giat menjawab latihan sekolah. Tidak sampai sepuluh minit, terlintas di fikiran “Nak buka Instagram lah.” Pada buku latihan, jawapan soalan masih separuh jalan. Namun, tangannya sudah capai telefon pintar dalam beg hitam. Jari telunjuk laju meluncur ke atas dan ke bawah pada permukaan skrin.
Satu jam berlalu dan detikan bunyi jam dinding tidak mengganggu konsentrasinya sehinggalah…
“Adila! Dah lewat malam ni, masuk tidur.” Ibu bersuara menyedarkan.
“Eh, tak siap homework lagi.”Adila cepat-cepat mengadap buku latihan.
Ibu naik geram dan langsung memarahi, “Awak buat apa dari tadi? Asyik main telefon sahaja. Kalau tak nak belajar, berhenti sahaja sekolah. Penat ibu berkerja seharian tapi anak tak nak belajar.”
Adila terdiam mendengar kata-kata daripada ibu. Buku latihan ditutup. Matanya cuba dilarikan daripada memandang ibu. Dia mengangkat kaki perlahan-lahan menuju ke bilik tidur.
Si ibu turut terdiam memikirkan butir kata-kata yang baru meluncur laju daripada mulutnya. Niat asal memarahi kerana sayang. Tetapi timbul rasa ragu-ragu “Apakah Adila dapat rasa sayangku tadi?”
Hidup autopilot?
Teringin buka media sosial lalu tangan langsung capai telefon tanpa berfikir pilihan tindakan.
Rasa marah dan geram terhadap anak kerana menyayanginya, mahu dia berjaya, tetapi laju sahaja mulut mengungkapkan kata-kata merobek hati.
Sesetengah manusia belum berkemahiran beri waktu beberapa detik kepada diri untuk berhenti, merenung, berfikir lalu buat pilihan tindakan. Pada kebanyakan waktu, hidup dilalui seolah-olah hanya ada satu pilihan tindakan iaitu apa-apa tindakan yang dicetus emosi.
Jika rasa bosan, perturutkan rasa bosan dengan cari gembira di sebalik media sosial. Jika rasa marah, perturutkan rasa marah dengan melepaskan rasa tanpa peduli sistem nilai dalam diri.
Berapa ramai antara kita tatkala emosi tercetus, akal tidak langsung membenarkan lalu menahan jasad daripada terus memperturutkan? Sebaliknya, akal difungsikan terlebih dahulu untuk memikirkan baik atau buruk tindakan sebelum buat keputusan.
“Saya mahu bermain media sosial sekarang. Wajarkah saya buka telefon pintar sekarang? Atau saya boleh tunggu sehinggalah saya berjaya siapkan tugasan sekolah?”
“Saya mahu anak saya rajin belajar dan tidak banyak buang masa. Saya mahu pilih memarahinya atau mendidik tunjuk jalan betul kepadanya?”
Sudahkah diri menjadi manusia yang mampu menguasai diri? Lalu mampu bersabar, buat pilihan atas sistem nilai secara sedar. Tidak lagi sewenang-wenang bertindak melulu ikut perasaan. Seharusnya beginilah sikap orang berakal. Kerana kalimah “aqal” itu sendiri bermakna mengikat atau menahan (Al-Gharib Al-Ashfahani, 2017). Manusia yang berakal akan mampu menahan diri agar peribadinya selari ilmu kebenaran yang digarap. Tindakannya diikat dengan ilmu yang menzahirkan akhlak mulia.
Setiap detik adalah pilihan.
Seawal surah pertama Al-Fatihah, Allah s.w.t mendidik kita bahawa hidup ini ada tiga pilihan jalan hidup. Jalan pertama adalah petunjuk jalan lurus seperti orang-orang yang dikurniakan nikmat iaitu para nabi, siddiqin, syuhada’ dan solihin.
وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ فَأُوْلَٰٓئِكَ مَعَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِم مِّنَ ٱلنَّبِيِّۧنَ وَٱلصِّدِّيقِينَ وَٱلشُّهَدَآءِ وَٱلصَّٰلِحِينَۚ وَحَسُنَ أُوْلَٰٓئِكَ رَفِيقٗا
«Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat)» [An-Nisaa: 69]
Golongan inilah yang mendapat petunjuk (hidayah) berbentuk irsyad dan taufiq (Aisya Altaf, 2022). Irsyad adalah petunjuk ilmu pengetahuan yang membuatkan manusia tahu kebenaran. Taufiq pula adalah petunjuk yang beri kemampuan manusia bertindak/ beramal selari ilmu kebenaran yang digarap.
Pilihan jalan kedua dan ketiga adalah jalan orang-orang yang dimurkai dan sesat. Orang-orang yang dimurkai adalah mereka yang tahu ilmu kebenaran tetapi gagal bertindak selari pengetahuan. Akibatnya, mereka membuat pilihan pengingkaran terhadap Allah. Golongan sesat pula adalah mereka yang tidak belajar ilmu kebenaran lalu tidak tahu petunjuk. Akibatnya, golongan sesat ini buat pilihan-pilihan tindakan yang bertentangan kehendak Allah akibat kejahilan. Mereka mengingkari Allah s.w.t tanpa sedar.
Pada surah berikutnya iaitu surah Al-Baqarah, Allah s.w.t mendidik kita perihal golongan yang mendapat petunjuk jalan lurus iaitu golongan bertaqwa. Merekalah orang-orang yang berada atas petunjuk. Mereka memiliki ilmu kebenaran bersumber kalamNya (Al-Qur'an) dan mereka mampu zahirkan pengetahuan itu dengan amal tindakan.
الٓمٓ) ١( ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ) ٢( ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡغَيۡبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ)٣( وَٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ وَبِٱلۡأٓخِرَةِ هُمۡ يُوقِنُونَ) ٤ ( أُوْلَٰٓئِكَ عَلَىٰ هُدٗى مِّن رَّبِّهِمۡۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ) ٥(
«Alif, Laam, Miim(1) Kitab Al-Qur'an ini, tidak ada sebarang syak padanya, ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa;(2) Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan solat serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka(3) Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Qur'an" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya)(4) Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya(5)» [Al-Baqarah: 1-5]
Bayangkan keadaan upacara graduasi. Selautan pelajar dengan jubah seragam duduk dalam dewan. Nama-nama dipanggil satu persatu dan kaki melangkah ke pentas, gembira diraikan. Antara semua, ada pelajar khusus dipanggil untuk anugerah pelajar cemerlang. Penuh gilang-gemilang, beliau turun pentas dengan ganjaran anugerah lumayan.
Begitulah majlis di dunia.
Bagaimana pula agaknya graduasi di akhirat tatkala Allah s.w.t menobatkan golongan bertaqwa sebagai orang yang berjaya di sisiNya? Ganjaran yang diterima pula adalah syurga yang penuh nikmat, tempat menetap yang kekal abadi. Pastinya suasana ketika itu jauh lebih gemilang.
Jiwa mukmin yang menyedari tingginya nilai taqwa sewajarnya berkehendak mendapat gelar tersebut. Lalu peduli memahami wahyu dan beramal dengannya agar mampu pelihara diri daripada kemurkaan Allah s.w.t. Khusus buat golongan yang baru tersedar dan mahu berubah kepada kehidupan yang lebih taat, pasti bukan mudah. Tabiat buruk yang telah lama tertanam dalam diri perlukan usaha keras untuk hijrah.
Dua kemahiran yang mahu diketengahkan dalam artikel ini bagi bantu para pembaca realisasikan proses hijrah adalah :
- Tanam sistem nilai yang jelas.
- Buat pilihan dengan sedar.
“Lazatkan” kehidupan dengan ramuan nilai, nikmati “keenakannya”.
Pernahkah anda siapkan makanan atau minuman kegemaran? Bagi penggemar nasi goreng, ada ramuan khusus yang suka ditabur sebagai perencah untuk jadikannya lazat. Bagi penggemar kopi juga, ada bancuhan tertentu yang digemari. Setelah siap, nikmati keenakan nasi yang dimasak. Hirup kopi sambil pejam mata, nikmati aroma menyelerakan.
Bayangkan sistem nilai ibarat ramuan yang mahu dimasukkan dalam hidup anda. Misalnya, nilai taqwa secara amnya. Secara khusus, ada nilai produktif dan nilai kasih sayang jika mahu dikaitkan dengan kajian kes awal artikel.
Setiap pagi, ambil masa untuk pasakkan nilai misalnya “Hari ini, saya mahu masukkan ramuan kasih sayang dalam hidup.” Lalu, penuh sedar, kenalpasti peluang-peluang untuk menghidupkan nilai kasih sayang seperti bercakap lemah-lembut kepada anak-anak dan tahan diri daripada marah. Setiap kali berjaya menaburi nilai kasih sayang melalui tindakan, ambil sedikit masa untuk menikmati kesan buat pilihan secara sedar.
Contoh lain, jika memandang tinggi nilai produktif atau beri manfaat pada orang lain, mulakan dengan pasang niat setiap pagi “Hari ini, saya mahu menjadi manusia yang produktif.” Kemudian, penuh sedar, kenalpasti peluang-peluang merealisasikan nilai produktif seperti menahan diri daripada bermain media sosial ketika berkerja. Setiap kali berjaya lakukan tindakan yang selari sistem nilai, ambil sedikit masa untuk merenung dan menikmati “lazatnya” kehidupan yang dibajai nilai.
Istimewa buat pelajar Al-Qur'an, ayat-ayat Qur'an amat penting untuk jadi dalil yang menguatkan pegangan terhadap sistem nilai. Misalnya, nilai berkasih sayang dikuatkan dengan kefahaman surah At-Taghabun yang memerintahkan ibu bapa menahan marah dan memaafkan. Nilai produktif seperti menjauhkan diri daripada perbuatan sia-sia juga boleh dipasak dengan keimanan pada surah Al-Mukminun yang memotivasi syurga Firdaus jika sabar tahan diri daripada hal-hal tidak bermanfaat.
“Instrumen”kan tabiat untuk capai matlamat.
Banyak kajian-kajian terkait sikap manusia membuktikan pentingnya peranan pemantauan sikap. Misalnya, peserta kajian yang membuat diari makan didapati berjaya turun berat badan lebih banyak berbanding mereka yang tidak. Kesuksesan turun berat badan bukanlah kerana diari makannya penuh terisi catatan semata-mata. Namun, proses yang berlaku setiap kali peserta kajian mencatat apa yang dimakan, jadi alat untuk dirinya menilai sikap sendiri. Proses ini bantu beri kesedaran pada peserta. Peserta mampu buat pilihan secara sedar dan tidak lagi bertindak melulu mengikut nafsu selera makan.
Mereka yang manjadikan tabiat sebagai instrumen untuk capai matlamat biasanya meletakkan target tabiat harian. Misalnya, berapa minit sehari untuk senaman atau berapa jumlah sayur yang hendak dimakan setiap hari.
Pemantauan terhadap tabiat diri amat membantu untuk latih buat pilihan secara sedar. Kaedah konvensional adalah menggunakan kertas dan pen iaitu menjadikan jurnal sebagai alat memantau sikap sendiri. Berikut merupakan salah satu contoh jadual pemantauan tabiat yang boleh dilakukan.
Bil. |
Aktiviti yang saya lakukan |
Lazatkan (Ramuan nilai yang saya taburkan) |
Nikmati (Apa kesan yang saya dapati dan hargai melalui pengalaman ini.) |
1 |
Bercakap lemah-lembut pada anak |
Kasih sayang |
Saya rasa lapang dan bahagia. |
2 |
Tahan diri selama 2 jam daripada buka media sosial |
Produktif |
Tugasan harian siap dan rasa puas. |
Setiap hari, tetapkan sasaran misalnya “Hari ini saya mahu ambil peluang bercakap lemah-lembut kepada anak sebanyak 3 kali.” Kemudian, lalui hidup secara sedar, buat pilihan tindakan selari sistem nilai.
Alternatif jurnal
Proses hijrah ubah tabiat buruk kepada tabiat baik bukanlah mudah. Tanpa azam yang kuat, tidak ramai yang sanggup memantau sikap dengan mencatatnya secara harian. Justeru, selain mencatat dalam jadual, pemantauan juga boleh dilakukan dengan apa-apa alat yang ada di rumah. Ada yang memanfaatkan gelang getah atau batu-batu. Misalnya, setiap kali hadir peluang menghidupkan sistem nilai seperti situasi menahan marah atau tahan diri daripada bermain media sosial, bersegera dapatkan alat tersebut. Kemudian, fikir dan buat pilihan. Jika memilih tindakan selari sistem nilai, ambil gelang getah atau batu berkenaan dan letakkan pada satu bekas. Fungsi alat ini adalah paksa diri cipta jeda waktu untuk berfikir sebelum buat pilihan.
Lakukan proses yang sama untuk peluang-peluang tindakan lain. Akhirnya pada sebelah malam, perhatikan jumlah gelang getah atau batu yang berjaya dikumpul.
Alat-alat yang berfungsi sebagai sistem pemantauan sikap sebenarnya beri ruang untuk individu buat pilihan secara sedar. Tindakan dibuat dengan tanggungjawab. Apakah mahu berterusan buat pilihan tanpa sedar lalu kebanyakan waktu emosi yang memandu? Atau, mahu bertanggungjawab menjadi orang bertaqwa lalu buat pilihan selari sistem nilai yang berpasak petunjuk wahyu?
Moga-moga usaha hijrah ubah tabiat buruk kepada jalan yang diredhai Allah s.w.t ini melorongkan kita mendapat rahmatNya.
Rujukan
Aisha Altaf (2022). Tafsir Al-Fatihah. Ta’leem Al-Quran in English, organised by Al-Huda Institute, Canada.
Ar-Raghib Al-Asfahani (2017).’Aqal. Kamus Al-Quran Jilid 3 . Depok-Jawa Barat : Pustaka Khazanah Fawaid.
Russ Harris (2022). Flavouring and savouring worksheet. Retrieved 6 February 2022 from https://www.dropbox.com/s/ioddjyrnuv8c94r/Flavouring%20and%20Savouring%20-%20Russ%20Harris%20-%20The%20Happiness%20Trap.pdf?dl=0&fbclid=IwAR0yUrqKiUPS-l41Tlr_5CFS6_8WYUQ3t2DPulbq3loC_yB8jwytxJ56R24