Ada hari yang dilalui dengan penuh kegembiraan sehingga membuatkan kita tertawa, dan ada hari yang dilalui penuh kesedihan sehinggakan kita mengalirkan air mata. Mengapa? Firman Allah SWT:
وَأَنَّهُۥ هُوَ أَضْحَكَ وَأَبْكَىٰ
(Surah An-Najm: 43)
Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis;
Menangis dan ketawa yang dilalui oleh manusia dalam kehidupan ini, adalah sesuatu yang telah ditentukan Allah SWT. Dengan izin Allah, kita menangis dan gembira. Apabila tiada kata-kata yang boleh digunakan untuk menzahirkan perasaan kita, maka ketawa dan tangisan adalah dua ekspresi yang telah dianugerahkan kepada manusia untuk menzahirkan perasaan itu. Menunjukkan dua emosi manusia ini adalah salah satu rahmat daripada Allah SWT. Kita ketawa kerana kita gembira dengan apa yang terjadi atau berlaku. Kita menangis kerana menzahirkan rasa sedih, kecewa dan emosi negatif yang dirasai dalam diri kita. Dalam sebahagian keadaan air mata ini juga mengalir disebabkan perasaan positif seperti menzahirkan kegembiraan dan keterharuan terhadap sesuatu perkara. Oleh itu, lumrah kehidupan manusia untuk tertawa dan menangis. Malahan Baginda SAW juga ada masanya tertawa dan juga turut menangis. Namun begitu, Baginda juga berpesan hindarilah banyak tertawa…mengapa? Dan sekiranya kita bersedih, maka menangislah dan ingat Allah bersama kita bukan?
Tertawanya dan Menangisnya Nabi Muhammad SAW
Rasulullah SAW juga menzahirkan rasa gembira Baginda bersama para sahabat. Malahan Baginda bergurau senda dan tersenyum dengan isteri-isteri Baginda. Namun begitu, Rasullulah SAW tidak ketawa sehingga terbahak-bahak. Apabila Baginda ketawa disebutkan dalam sebuah hadith, beliau hanya tersenyum sehingga menampakkan gigi gerahamnya, seperti mana disebutkan dalam sebuah hadith:
فَلَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ضَحِكَ حَتَّى بَدَتْ نَوَاجِذُهُ
Sungguh aku melihat Rasulullah SAW tersenyum hingga gigi gerahamnya terlihat.
(Hadith Riwayat Muslim)
Hadith ini merakamkan bahawa Baginda juga menzahirkan rasa gembira di hadapan para sahabat. Ketawa Baginda juga sangat sederhana dan tidak terbahak-bahak. Seperti mana dirakamkan dalam hadith daripada Sayidatina Aisyah RA, maksudnya:
Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW tertawa terbahak-bahak sehingga kelihatan batas kerongkongannya. Namun, tertawanya beliau adalah dengan tersenyum.
(Hadith Riwayat Bukhari)
Hadith ini memberi contoh kepada kita, supaya tidak ketawa terbahak-bahak. Malahan Nabi Muhammad SAW dikatakan apabila ketawa hanya tersenyum, atau tersenyum sehingga menampakkan gigi gerahamnya. Di samping itu, Nabi Muhammad SAW juga mengalirkan air mata, tanda takut kepada Allah SWT dan pengharapan terhadap keampunan dan rahmat daripada-Nya. Sebaliknya orang yang tidak pernah menangis kerana takut kepada Allah dibimbangi hatinya akan menjadi keras dan jauh dari rahmat-Nya. Seperti mana Sabda Baginda SAW, maksudnya:
Barang siapa tidak diberi sifat lembut, bererti ia tidak diberi kebaikan
(Hadith Riwayat Muslim)
Baginda SAW dan para sahabat juga menangis apabila dibacakan ayat-ayat al-Quran, tanda kelembutan hati mereka apabila mendengar ayat-ayat Allah. Mungkin juga ada sebahagian kita yang tidak menangis di hadapan manusia, namun itu tidak bererti mereka itu bersifat keras hati. Mungkin di belakang manusia, mereka mengalirkan air mata saat menadah tangan berdoa kepada-Nya atau pun apabila ayat-ayat al-Quran dibacakan hati mereka meruntun kesedihan. Selain itu, Nabi Muhammad SAW juga turut menangis saat Baginda berduka di atas kehilangan anak Baginda iaitu Ibrahim. Lalu Abdur Rahman bin Auf RA berkata: “Kamu juga menangis wahai Rasulullah?’’. Maka Baginda Rasulullah SAW menjawab:
يَا ابْنَ عَوْفٍ إِنَّهَا رَحْمَةٌ
Wahai anak lelaki ‘Auf, sesungguhnya ia (tangisan) itu merupakan suatu rahmat.
(Hadith Riwayat Bukhari)
Hadith ini menunjukkan bahawa apabila Baginda sedih, berlinanglah air matanya. Dan tangisan juga merupakan satu rahmat. Seperti mana yang dijelaskan pada pembukaan artikel ini. Oleh itu, contohilah sifat Baginda SAW, yang bersederhana dalam tawa dan gembira, menangis kerana penuh pengharapan dan keampunan di hadapan Sang Pencipta dan hargailah rahmat (air mata) yang diberikan oleh-Nya.
Hindari Banyak Ketawa
Sabda Nabi Muhammad SAW:
لَا تُكْثِرُوا الضَّحِكَ فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحِكِ تُمِيتُ الْقَلْبَ
Janganlah kalian banyak tertawa, kerana banyak tertawa akan mematikan hati.
(Hadith Riwayat Ibnu Majah)
Hadith ini menjadi peringatan kepada kita untuk menghindari banyaknya ketawa. Terlalu banyak tertawa akan melalaikan seseorang. Melalaikan diri daripada mengingati Allah SWT. Sedangkan hati yang tenang dan tenteram itu adalah hati yang banyak mengingati Allah SWT. Sekiranya lalai dan leka dengan ketawa, maka itu bukan menzahirkan kegembiraan tetapi menunjukkan lemahnya diri, kerana banyaknya ketawa akan membuatkan seseorang itu hilangnya kewibawaan dirinya. Tambahan pula, ketawa berlebihan akan membuatkan kita tidak sedar akan persekitaran sekeliling, sehinggakan mungkin ada orang di sekeliling kita yang sedang bersedih dan berduka. Ini menjadikan seseorang itu seperti tiada sensitiviti terhadap perasaan manusia lain di sekitarnya dan hilangnya rasa empati dan simpati. Oleh itu, ternyata terlalu banyak ketawa ini mendatangkan banyak keburukan terutama terhadap diri sendiri, hubungan dengan Allah SWT dan hubungan dengan manusia. Tambahan pula, dalam suatu khutbah Nabi Muhammad SAW, baginda mengingatkan kepada para sahabat, maksudnya:
Sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis.
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)
Mendengar peringatan ini, diriwayatkan di dalam hadith tersebut bahawa para sahabat menutup muka mereka lalu menangis. Menangis kerana takutkan azab Allah SWT, dan mengharap pengampunan daripadanya. Oleh itu, hindarilah ketawa yang banyak, walaupun ketawa itu satu rahmat daripada Allah SWT, tetapi terlalu banyak ketawa boleh melalaikan hati kita sebagai hamba-Nya. Bersederhanalah dalam menzahirkan kegembiraan kita, kerana kegembiraan itu juga adalah milik Allah SWT.
Jangan Bersedih, Allah Bersama Kamu.
Banyak sebab membuatkan manusia menangis dan mengalirkan air mata. Ada yang menangis kerana ketakutan, ada juga yang menangis kerana kesedihan, atau mungkin ada yang menangis kerana penyesalan. Ada juga manusia yang menangis kerana kegembiraan. Namun begitu, tangisan yang terbaik adalah tangisan kerana takut kepada Allah SWT, dan pengharapan terhadap Allah SWT. Menangis kerana taubat dan menyesali dosa-dosa yang telah dilakukan dan memohon keampunan kepada Allah SWT. Tangisan itu bukan sahaja menyucikan hati dan jiwa, malahan dibersihkan dosa-dosa dan mendapat keampunan daripada Allah SWT. Seperti mana yang dirakamkan dalam sebuah hadith Nabi Muhammd SAW bersabda, maksudnya:
Dua mata yang tidak akan disentuh api neraka untuk selama-lamanya: mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang bermalam dalam rangka berjaga di jalan Allah.
(Hadith Riwayat Tirmizi)
Hadith ini menjadi galakan buat hamba-Nya menangis kerana takutkan Allah SWT yang mana tangisan yang tumpah itu tidak akan sia-sia dalam pandangan Allah SWT. Tambahan pula, menangis bukan tanda kelemahan, tetapi tangisan itu membuktikan kebersihan hati, ketulusan jiwa serta menzahirkan kerendahan hati hamba di hadapan Tuhan-Nya. Selain itu, menangis kerana sedih dan kecewa juga tidak ada salahnya dan itu juga bukan menunjukkan kelemahan seseorang. Seorang pakar biokimia William Frey pada tahun 1985 menyatakan, secara fisiologi, apabila manusia berasa sedih dengan sebarang tekanan badan kita akan menghasilkan toksik. Dengan menangis maka toksik yang terdapat di dalam badan akan dapat dikeluarkan. Malahan tangisan tersebut dapat menghilangkan tekanan seperti stres, meredakan perasaan dan juga membunuh kuman-kuman yang perlu disingkarkan daripada badan manusia. Bukankah banyak hikmah yang kita boleh temui daripada anugerah air mata yang Allah kurniakan kepada kita. Maka sekiranya anda merasa penat, sedih dan kecewa, maka bangunlah untuk berwuduk, tunaikanlah solat, bacalah Al-Qur’an dan menangislah di hadapan-Nya untuk mencari kekuatan. Tiada permasalahan atau kesedihan yang tidak dapat diselesaikan atau diangkat melainkan dengan izin-Nya. Ingatlah juga ‘pujukan’ Allah buat hamba-Nya di dalam Al-Qur’an:
لَا تَحْزَنْ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَنَا ۖ
Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita
(Surah At-Taubah: 40)
Kita pasti pernah mendengar atau membaca ayat Al-Qur’an ini. Ayat ini seperti memujuk kita sebagai hamba-Nya. Supaya jangan bersedih dan Allah ada bersama kita. Tiada ujian dan kesedihan yang dirasai manusia di luar pengetahuan Allah SWT.
Justeru, contohilah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang menangis kerana takutkan azab Allah SWT, juga menangis apabila mendengarkan ayat-ayat Allah SWT. Menangislah sekiranya kita berduka dan berdoalah kepada Allah SWT supaya kita diberi kekuatan kembali. Setelah diberi kekuatan tersenyumlah, gembiralah dan tertawa kecillah untuk menzahirkan dan menyebarkan emosi positif kita kepada orang lain. Namun hindarilah banyak ketawa dalam kehidupan, kerana banyak ketawa hanya membuatkan kita lalai dan leka dengan keseronokan kehidupan dunia semata-mata. Bersederhanalah dalam ketawa, contohilah Baginda SAW dalam menzahirkan emosi gembira. Supaya kita menjadi hamba Allah SWT yang banyak menangis dan sedikit ketawa di dunia ini. Seperti mana firman Allah SWT, maksudnya:
Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis banyak, sebagai pembalasan dari apa yang selalu mereka kerjakan.
(Surah At-Taubah: 82)
Wallahu a’lam