Bismillah.

Alhamdulilah, kita berada di bulan Rejab yang berkah. InshaAllah, kita akan menyambut bulan Ramadan pada awal April 2022. Maka, pentingnya kita melakukan persiapan awal untuk menyambut tetamu yang agung ini.

Golongan para Sahabat dan orang-orang soleh terdahulu merancang persiapan untuk Ramadan lebih awal. Bagaimana dengan diri kita, adakah ternanti-nanti kedatangan bulan yang mulia ini.

Apakah persiapan yang harus kita persiapkan untuk menyambut tetamu yang agung ini.

Antara yang boleh kita sama-sama usahakan adalah persiapan dari aspek berikut :

  1. Pertama persiapan dari aspek fizikal. Fizikal merangkumi melakukan persediaan dengan memperhatikan tahap kesihatan diri. Memulakan gaya hidup yang sihat supaya kita dapat menyempurnakan ibadah dengan sempurna InshaAllah. Memilih makanan yang halal dan baik atas tujuan yang jelas.
  2. Kedua, persiapan dari segi intelektual. Antara yang boleh dilakukan dengan melakukan pembacaan dan pengulangan tentang keutamaan Ramadan, ibadah puasa dan berkaitan dengannya. Mengapa? Supaya kita melalui Ramadan tahun ini dengan ilmu dan bukan sekadar ikut-ikutan.
  3. Ketiga, persiapan dari segi emosi. Emosi yang dapat diuruskan dengan baik akan membantu kita untuk bersemangat untuk melakukan sesuatu kebaikan. Antaranya menzahirkan nikmat kesyukuran kepada Allah kerana direzekikan nikmat usia untuk berada di bulan Rejab. Ayuh, sama-sama kita tingkatkan kesyukuran setiap hari atas anugerah dari Allah dengan meningkatkan ketaatan dan amal soleh.
  4. Keempat, persiapan dari aspek “spiritual”. Antara yang boleh dilakukan dengan melakukan penyucian diri. Ayuh, sama-sama kita melakukan muhasabah diri atas setiap dosa, maksiat yang telah kita lakukan. Kita memasuki bulan Rejab dengan memperbanyakkan istighfar memohon keampunan dari Allah. Moga-moga ketika Ramadan menjelang tiba, kita dapat melaluinya dengan penuh keimanan dan ketaatan.
  5. Kelima, persiapan iman dan taqwa. Ini adalah perkara yang amat penting dan ia perlu diusahakan setiap masa. Antaranya dengan mempelajari Al-Qur’an. Memahami apa yang ingin disampaikan oleh Allah, melakukan proses Tadabbur Al-Qur’an. Seterusnya akan dapat membezakan antara yang haq dan bathil. 

 

Marhaban ya Ramadan. Selamat datang bulan Ramadan. Bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Qur’an. Kami amat merindui bulan yang mulia ini.

 

إِنَّآ أَنزَلۡنَـٰهُ فِى لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ (١)

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Qur’an) ini pada Malam Lailatul-Qadar,

 

MashaAllah, ayuh kita meningkatkan interaksi kita dengan Al-Qur’an setiap hari. Moga-moga Allah menurunkan rahmah dan keberkahannya kepada kita atas pilihan menjadi golongan beriman dan bertaqwa.

 

Allah berfirman di dalam Surah Al-A’raf : Ayat 96;

 

وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡہِم بَرَكَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَـٰهُم بِمَا ڪَانُواْ يَكۡسِبُونَ (٩٦)

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

 

Andai ini Ramadan terakhir kita, apa yang kita akan lakukan?

 

Ayuh, jadikan Ramadan kali ini satu peluang serta kesempatan untuk meningkatkan pengabdian dan ketaatan. Merebut setiap ganjaran yang Allah janjikan kepada kita.

 

Moga-moga kita keluar dari bulan Ramadan dengan menjadi orang bertaqwa. Ini merupakan tujuan Allah hadirkan ibadah puasa kepada kita. Sebagaimana Allah nyatakan di dalam Surah Al-Baqarah : Ayat 183;

 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ (١٨٣)

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

 

MashaAllah, ayuh kita menyambut kedatangan bulan Ramadan yang bakal ini dengan mensyukuri saat dan kesempatan ketika ini.

Kesyukuran ini dapat dipamerkan dengan menjadi Hamba Allah yang cintakan ketaatan dan melakukan pengabdian kerana Allah.

Menjadi hamba Allah dan bukan hamba Ramadhan.

Setiap detik adalah jihad di dalam memilih bisikan fujur (keji)  dan taqwa.

Ingat, walaupun tewas dengan bisikan fujur, Jangan berputus asa dengan rahmat Allah.

Ayuh, kembali kepada Allah.

 

Mari, kita renung firman Allah di dalam Surah Al-Zumar : Ayat 53-55;

 

۞ قُلۡ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسۡرَفُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ لَا تَقۡنَطُواْ مِن رَّحۡمَةِ ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ (٥٣) وَأَنِيبُوٓاْ إِلَىٰ رَبِّكُمۡ وَأَسۡلِمُواْ لَهُ ۥ مِن قَبۡلِ أَن يَأۡتِيَكُمُ ٱلۡعَذَابُ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ (٥٤) وَٱتَّبِعُوٓاْ أَحۡسَنَ مَآ أُنزِلَ إِلَيۡكُم مِّن رَّبِّڪُم مِّن قَبۡلِ أَن يَأۡتِيَڪُمُ ٱلۡعَذَابُ بَغۡتَةً۬ وَأَنتُمۡ لَا تَشۡعُرُونَ (٥٥)

53.  Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

54.  "Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.

55.  "Dan turutlah  Al-Qur’an sebaik-baik. (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya.

 

Wahai Allah, berkahi kami di bulan Rejab dan Syaaban.

Sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.

Tetamu yang agung ini, amat kami nantikan pertemuannya.

Moga-moga keberkahan Allah mengiringi kami sepanjang perjalanan.

Jadikanlah kami hamba yang hidup dengan kesedaran bertuhan.

Mencintai Al-Qur’an dan kehidupan akhirat.

Menjadi hamba Allah yang bertaqwa adalah misi kami.

Ampunkan kami atas setiap dosa dan kelalaian kami.

Namun, wahai Allah pandang kami dengan pandangan rahmat-Mu.