Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
وَالحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ
Malu itu adalah sebahagian daripada keimanan.
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)
Hadith ini menjelaskan bahawa malu itu adalah sebahagian daripada keimanan. Sifat tersebut akan mendorong manusia untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan perkara yang tercela dan mengaibkan diri. Mengapa malu itu dikaitkan dengan keimanan? Kerana orang beriman yang mempunyai sifat malu dalam diri mereka, mereka akan berasa malu untuk melakukan dosa dan maksiat juga malu untuk meninggalkan perintah Allah dan Rasul-Nya. Walaupun manusia lain tidak mengetahui perbuatan maksiat yang dilakukan mereka, cukuplah Allah yang Maha melihat, orang yang beriman akan tetap berasa malu dengan Allah SWT dan takut dengan azab-Nya. Oleh sebab itu, iman dikaitkan dengan sifat malu itu sendiri. Bahkan dalam hadith lain disebutkan bahawa malu itu adalah salah satu daripada cabang iman. Sabda Rasulullah SAW, maksudnya:
“Iman terdiri dari 70 cabang lebih atau 60 cabang lebih, yang paling utama diantaranya adalah ucapan; “Tiada Tuhan Selain Allah” dan cabang paling bawah adalah menyingkirkan gangguan dari jalanan. Dan malu itu adalah salah satu cabang iman.”
(Hadith Riwayat Muslim)
Pupuklah Sifat Malu
Zaman kini, kita lihat dari sehari ke sehari, manusia semakin tidak malu memperlihatkan dosa dan maksiat mereka kepada orang lain. Jangankan malu pada Allah SWT, malahan secara terang-terangan menunjukkan keaiban diri sendiri dan membuka pekung di dada. Mengapa ini terjadi? Di mana sifat malu manusia itu hilang pergi? Kadang-kadang kita tertanya sendiri, “Tak malu ke?”. Sedangkan agama Islam itu memerintahkan umatnya untuk menjaga maruah diri dan menjadikan sifat malu sebagai perisai diri. Bahkan sifat malu itu sendiri adalah sifat tabii (semula jadi) yang memang ada dalam diri manusia. Namun begitu, masyarakat kini memandang sifat malu itu menjadikan seseorang itu tidak maju dan melabelkan ianya sebagai sifat ‘kuno’. Sedangkan sifat malu akan menjadikan seseorang itu berakhlak dan itu adalah lebih positif. Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW sedang lalu, dan bertemu dengan orang ansar yang sedang menasihati saudaranya tentang sifat malu. Lalu Rasulullah SAW bersabda:
دعه فإن الحياء من الإيمان
“Tinggalkan dia kerana sesungguhnya malu itu sebahagian dari iman.”
(Hadith Riwayat Bukhari)
Ibnu Hajar al-Asqalani menjelaskan maksud hadith ini bahawa lelaki itu malu untuk meminta haknya. Oleh sebab itu, dia ditegur oleh rakannya. Pada saat itu, Nabi Muhammad SAW yang lalu di hadapan mereka, menegur sikap lelaki yang menegur itu dengan sabda Baginda SAW seperti di atas. Ini menunjukkan sifat malu bukanlah sifat yang menjadikan seseorang itu ketinggalan zaman atau sering ditindas, tetapi sifat malu adalah akhlak yang disunnahkan. Namun begitu, apabila manusia itu hilang rasa takut dengan azab Allah, lantaran menjadikan manusia itu tanpa rasa segan dan silu memaparkan keaiban dan menjatuhkan maruah diri sendiri. Sedangkan dalam sebuah hadith, Nabi Muhammad SAW telah mengingatkan manusia itu tentang larangan membuka aib diri sendiri apabila Allah SWT telah menutup keaiban mereka. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
"كل أمتي معافًى إلا المجاهرين، وإن من المجاهرة أن يعمل الرجل بالليل عملاً، ثم يصبح وقد ستره الله عليه فيقول: يا فلان عملت البارحة كذا وكذا، وقد بات يستره ربه، ويصبح يكشف ستر الله عنه"
Setiap umatku dimaafkan kecuali orang yang terang-terangan dalam bermaksiat (kerana hilang sifat malu). Iaitu seseorang yang telah berbuat dosa di malam hari lintas di pagi harinya ia berkata bahawa ia telah berbuat dosa ini dan itu padahal Allah telah menutupi dosanya. Pada malam harinya, Allah telah menutupi aibnya, namun di pagi harinya ia membuka sendiri aib yang telah Allah tutupi.
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)
Oleh itu, hadith ini mengingatkan kita untuk menjaga dan menutup keaiban sendiri dan janganlah kita membuka keaiban kita seperti yang mana berlaku di dunia sosial media pada hari ini. Berusahalah menutup aib sendiri apabila Allah telah melindungi keaiban kita. Bukan berbangga dengan dosa dan maksiat yang telah dilakukan. Pupuklah rasa malu terhadap kesalahan yang telah dilakukan dan segeralah bertaubat kepada Allah SWT serta memohon keampunan kepada-Nya melalui solat yang didirikan. Semoga kita menjadi hamba-hamba Allah yang sentiasa mendapat keampunan daripada dosa yang kita lakukan. Firman Allah SWT, maksudnya:
“Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.”
(Surah Hud: 114)
Malu Bertanya Sesat Jalan
Dalam sebahagian perkara, seharusnya seseorang tidak patut berasa malu, seperti dalam mempelajari ilmu atau menanyakan perkara yang kita tidak ketahui kepada mereka yang lebih arif tentang perkara tersebut. Pepatah melayu ada menyebutkan ‘malu bertanya sesat jalan’, sekiranya kita tidak mendapatkan penjelasan terhadap perkara yang kita tidak ketahui, maka akan membawa kepada salah faham terhadap perkara tersebut. Terutama dalam bab hukum-hukam agama, janganlah kita membuat kesimpulan sendiri terhadap sesuatu perkara yang kita tidak ketahui. Usahakanlah untuk mencari dan mendapatkan ilmu daripada mereka yang arif dalam perkara tersebut. Termasuk di dalam perkara ini adalah, galakan kepada wanita untuk tidak malu ketika menuntut ilmu. Banyak hadith-hadith yang menceritakan kepada kita bagaimana wanita pada zaman Rasulullah SAW sendiri, merujuk terus kepada Baginda SAW dalam perkara yang mereka tidak ketahui. Seperti mana dalam sebuah hadith disebutkan oleh Aisyah R.A, bersabda, maksudnya:
“Sebaik-baik wanita adalah wanita Ansar. Sifat malu tidak menghalang mereka untuk menuntut ilmu.”
(Hadith Riwayat Ibnu Majah).
Malu Itu Asas Kebaikan
Rasulullah SAW bersabda:
الحياء لا يأتى إلا بخير
“Sifat malu itu tidak akan datang melainkan dengan perkara-perkara yang baik.”
(Hadith Riwayat Bukhari)
Dalam Riwayat Muslim dikatakan: “Semua malu itu adalah baik”. Hadith ini pendek dan jelas menunjukkan bahawa sifat malu itu mendatangkan kebaikan kepada mereka yang memupuk diri dan menjaga diri mereka dengan sifat ini. Ini kerana orang yang memiliki sifat malu terhadap Allah SWT akan berbuat baik dan meninggalkan larangan-Nya, orang yang memiliki sifat malu terhadap manusia akan menahan diri mereka daripada melakukan kezaliman dan penganiayaan terhadap manusia lain. Begitu juga dengan mereka yang mempunyai sifat malu terhadap diri sendiri, mereka akan sentiasa menjaga maruah diri daripada sifat tercela dan malu untuk menilai keburukan orang lain, sedangkan diri sendiri tidak sempurna serta banyak lagi kelemahan dan keburukan yang telah dilakukan. Oleh sebab itu, kunci segala kebaikan adalah apabila seseorang itu mempunyai sifat malu yang kukuh di dalam dirinya. Apabila sifat malu itu kuat, maka keinginan untuk membuat kebaikan akan menjadi kuat dan keinginan untuk melakukan keburukan akan menjadi lemah. Kebaikan dan keburukan itu adalah dua sifat yang berbeza dan tidak boleh bersatu menjadi satu. Namun begitu, apabila lemahnya sifat malu dalam diri manusia itu, maka keinginan untuk melakukan hal-hal yang terlarang menjadi semakin kuat dan tidak malu untuk dilakukan.
Justeru, malu biarlah pada tempatnya, jangan kerana kita miskin harta kita malu, tetapi lebih malulah sekiranya kita kurang beribadah dan berdoa kepada-Nya. Tak perlu malu sekiranya kita tidak mempunyai pangkat yang tinggi dan kerjaya yang bergaji mahal, tetapi malulah apabila kita tidak mempunyai akhlak yang baik. Tidak juga perlu berasa malu seandainya kita tidak tahu sesuatu perkara, tetapi malulah sekiranya kita tidak tahu dan kita tidak mahu mempelajarinya. Janganlah malu dengan fizikal yang tidak sempurna dalam pandangan manusia, tetapi malulah dengan lemahnya takwa kita kepada Sang Pencipta. Pupuklah rasa malu sesuai pada tempat dan keadaanya, jadikan malu perisai diri untuk kita berbuat kebaikan dalam mengejar redha Ilahi dan menjauhkan diri daripada larangan-Nya. Jadikanlah sifat malu perisai dalam menjaga keimanan. Sabda Rasulullah SAW, maksudnya:
“Malu dan iman senantiasa bersama. Apabila salah satunya dicabut maka hilanglah yang lainnya.”
(Hadith Riwayat al-Hakim)
Wallahu a’lam.