Bismillah.
Strategi pemasaran ini perlu dipertingkatkan lagi, kata pengurus kepada pekerjanya.
Ayuh kita meningkatkan jualan bulanan kita.
Kita perlu meramaikan ahli di dalam persatuan kita.
Jom segera menonton wayang.
Perkara di atas antara ajakan bersegera untuk urusan di dunia. Ayuh, kita melihat pedoman di dalam Al-Qur’an untuk mengajak kita bersegera di dalam urusan akhirat.
Pertama, bersegera di dalam memohon keampunan Allah. Allah berfirman di dalam Surah Al-Imran : Ayat 133
۞ وَسَارِعُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٍ۬ مِّن رَّبِّڪُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٲتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِينَ (١٣٣)
133. Dan segeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
Ayat di atas merupakan perintah bersegera untuk memohon keampunan kepada Allah yang disediakan bagi orang bertaqwa.
Ibnu Asyur meyatakan perkataan bersegera وَسَارِعُوٓاْ iaitu bermaksud bersegera di dalam ketaatan kepada Allah.
Seterusnya, perintah bersegera ini dinyatakan oleh Allah di dalam Surah Al-Hadid : Ayat 21.
سَابِقُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٍ۬ مِّن رَّبِّكُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُہَا كَعَرۡضِ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ أُعِدَّتۡ لِلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦۚ ذَٲلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ ذُو ٱلۡفَضۡلِ ٱلۡعَظِيمِ (٢١)
21. Berlumba-lumbalah kamu untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.
Ayat di dalam Surah Al-Hadid ini, Allah menyeru kita untuk berlumba-lumba mendapat keampunan daripada Allah dengan menjadi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul.
MashaAllah, kedua-dua ayat di atas jelas menunjukkan bahawa memohon keampunan adalah satu perkara yang besar yang perlu kita mohon kepada Allah dengan penuh kesedaran.
Maka usaha untuk menjadi orang beriman dan bertaqwa perlu dilakukan dengan mempelajari Al-Qur’an. Itu merupakan syarat untuk mendapat keampunan Allah.
Ketiga, bersegera di dalam kebajikan. Allah berfirman di dalam Surah Al-Imran : Ayat 114
يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُسَـٰرِعُونَ فِى ٱلۡخَيۡرَٲتِ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ (١١٤)
114. Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh.
Anjuran bersegera di dalam melakukan kebaikan-kebaikan. Itu merupakan salah satu kriteria orang-orang yang soleh.
Allah berfirman di dalam Surah Al-Mukminun: Ayat 60-61
وَٱلَّذِينَ يُؤۡتُونَ مَآ ءَاتَواْ وَّقُلُوبُہُمۡ وَجِلَةٌ أَنَّہُمۡ إِلَىٰ رَبِّہِمۡ رَٲجِعُونَ (٦٠) أُوْلَـٰٓٮِٕكَ يُسَـٰرِعُونَ فِى ٱلۡخَيۡرَٲتِ وَهُمۡ لَهَا سَـٰبِقُونَ (٦١)
60. Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka;
61. Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan, dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya.
Ayat di atas memberi indikator kepada kita untuk memberi sesuatu dengan mempunyai perasaan gementar di dalam hati dan yakin akan kembali kepada Allah.
Kecenderungan manusia ingin mengatasi pihak yang lain di dalam urusan dunia. Jika kecenderungan ini tidak diarahkan, manusia akan melakukan pelbagai cara untuk memenuhi nafsu.
Allah berfirman di dalam Surah Al-Mutaffifin : Ayat 22 sehingga 26, ganjaran terhadap golongan Al-Abrar.
إِنَّ ٱلۡأَبۡرَارَ لَفِى نَعِيمٍ (٢٢) عَلَى ٱلۡأَرَآٮِٕكِ يَنظُرُونَ (٢٣) تَعۡرِفُ فِى وُجُوهِهِمۡ نَضۡرَةَ ٱلنَّعِيمِ (٢٤) يُسۡقَوۡنَ مِن رَّحِيقٍ۬ مَّخۡتُومٍ (٢٥) خِتَـٰمُهُ ۥ مِسۡكٌ۬ۚ وَفِى ذَٲلِكَ فَلۡيَتَنَافَسِ ٱلۡمُتَنَـٰفِسُونَ (٢٦)
22. Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam Syurga yang penuh nikmat:
23. Mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), sambil melihat (segala keindahan dan kemuliaan yang disediakan untuk mereka di situ).
24. Engkau dapat melihat pada muka mereka: cahaya nikmat yang mereka perolehi.
25. Mereka diberi minum dari satu minuman yang termeterai bekasnya,
26. Meterainya kasturi; - dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan;
Ayat di atas menunjukkan tentang gambaran berlumba-lumba yang ditunjukkan oleh golongan Al-Abrar (orang yang melakukan kebaikan) dalam urusan akhirat.
At- Tabari menyatakan bahawa sifat berlumba di dalam urusan akhirat adalah merupakan sifat puncak dan tertinggi dari orang-orang yang berbakti.
Sayyid Qutub menyatakan bahawa berlumba-lumba untuk meraih apa yang disediakan oleh Allah akan mampu mengangkat dan membersihkan diri manusia.
Jika kita menelusuri kisah sahabat Nabi S.A.W, kita dapat melihat bahawa para sahabat adalah golongan yang berlumba-lumba di dalam kebaikan.
Misalnya, Abu Bakar As Siddiq r.a. menginfaqkan seluruh hartanya untuk dimanfaatkan di dalam perang. Begitu juga Umar Al Khattab r.a. .menginfakkan sebahagian harta untuk urusan perang.
Ma Shaa Allah, teladan sahabat-sahabat Rasul S.A.W di dalam berinfaq. Peristiwa persaudaraan golongan ansar dan muhajirin perlu kita maknai dimana golongan ansar sanggup membantu golongan muhajirin yang berhijrah dari Mekah ke Madinah kerana Allah. Persaudaraan yang dibina atas dasar iman ini hanya mengharapkan ganjaran dari Allah.
Maka, peringatan untuk diri untuk melakukan muhasabah diri apa yang telah dipersiapkan untuk negeri akhirat yang kekal abadi?
Apakah amal soleh yang diharapkan untuk membantu di akhirat?
Sejauh mana setiap amal itu bersumberkan ilmu yang benar?
Sejauh mana keikhlasan di dalam beramal?
Sejauh mana bersegera untuk akhirat?
Rujukan
- Tafsir Tazkiyah oleh Dr Atabik Luthfi
- Perkongsian Dr Mokhammad Yahya di dalam sessi UsrahQmap3T anjuran Beautiful Life Center