Konsep mencintai diri sendiri sering disalah ertikan dalam kalangan umat Islam, kadangkala ianya diterjemahkan sebagai sikap dan sifat egosentrisisme, iaitu mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kepentingan orang lain. Sekiranya kecintaan terhadap diri sendiri menimbulkan rasa angkuh dan bangga, maka itu adalah cara yang salah dalam mencintai diri. Oleh itu, bagaimana cara mencintai diri sendiri? Adakah Islam menggalakkan umatnya untuk mencintai diri sendiri? Dan bagaimana dikatakan itu bukan mencintai diri sendiri tetapi sifat mementingkan diri sendiri?
Bagaimana Mencintai Diri Sendiri?
Fitrah manusia untuk mencintai diri sendiri. Sebab itu, Nabi Muhammad SAW bersabda dalam sebuah hadith:
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
“Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.”
(Hadith Riwayat al-Bukhari)
Hadith ini menjelaskan bahawa fitrah manusia itu sendiri, mencintai diri mereka sendiri. Namun mereka yang beriman (sempurna iman) adalah mereka yang mengasihi saudara mereka seperti mana mereka mencintai diri mereka sendiri. Mencintai diri adalah menghargai diri sendiri, menjaga tubuh badan, minda dan jiwa daripada segala kerosakan, dan memberikan peluang dan ruang kepada diri sendiri. Perasaan mencintai diri ini juga akan membuat manusia itu mencari kedudukan, kekayaan dan kuasa untuk memastikan diri mereka mendapat yang terbaik dalam kehidupan ini. Namun hakikat mencintai diri yang sebenar adalah memilih jalan yang betul untuk kesejahteraan diri di dunia dan akhirat. Sekiranya kita mampu mencintai diri sendiri, pasti kita dapat mencintai orang sekeliling dan dicintai juga oleh orang sekeliling. Oleh itu, sebagai umat Islam belajarlah untuk mencintai diri sendiri, berikan kata-kata positif buat diri anda saban hari, berikan rehat pada tubuh badan dan diri anda sekiranya anda lelah, jangan bandingkan diri anda dengan kehidupan orang lain, kerana anda hanya layak dibandingkan dengan kehidupan anda yang sekarang. Maafkan diri anda, sekiranya anda membuat kesalahan, bertaubatlah kepada Allah SWT sekiranya anda melakukan dosa, mohon maaflah, sekiranya ianya melibatkan hubungan anda dengan manusia. Percayalah pada diri anda, dan kebolehan anda, kerana anda adalah ciptaan Allah yang mulia di muka bumi ini, dan Allah SWT tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia. Firman Allah SWT, maksudnya:
“(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”
(Surah A-li ‘Imraan: 191)
Salah ke Mencintai Diri Sendiri?
Islam, mengajar umatnya untuk mencintai diri sendiri, kerana mencintai diri sendiri itu tanda syukur dengan nikmat dan rahmat yang Allah SWT telah berikan kepada kita. Dalam al-Qur’an, Allah SWT mengingatkan kita melalui firman-Nya:
وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا لُقْمَـٰنَ ٱلْحِكْمَةَ أَنِ ٱشْكُرْ لِلَّهِ ۚ وَمَن يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌ
“Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): “Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.”
(Surah Luqman: 12)
Ayat ini menjadi pengajaran buat kita untuk bersyukur dengan apa yang telah diberikan oleh Allah SWT. Sebagaimana yang ditunjukkan di dalam ayat di atas bahawa Allah SWT telah menganugerahkan hikmat iaitu ilmu dan kebijaksanaan terhadap Luqman al-Hakim, lalu beliau bersyukur dengannya. Oleh itu, salah satu cara untuk kita mencintai diri sendiri adalah dengan bersyukur, kita menghargai kehidupan yang telah diberikan kepada kita. Dan Allah SWT menjanjikan bahawa sekiranya kita bersyukur, maka Allah akan menambah nikmat kepada hamba-Nya, firman Allah SWT, maksudnya:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu…”
(Surah Ibrahim: 7)
Zahirkanlah juga rasa syukur kita dengan kehidupan yang diberikan kepada kita dengan menyebarkan rahmat dan kasih sayang kepada orang sekeliling kita. Lazimilah diri kita dengan bertanya khabar, ucapan ‘terima kasih’ dan tunjukkanlah rasa kasih kita kepada saudara-saudara di sekeliling kita. Banyak lagi cara untuk menzahirkan rasa kasih dan sayang kepada orang sekeliling kita. Janganlah kerana ego di dada, kita biarkan perkara itu tidak terucap dan terungkap. Sedangkan penzahiran tersebut boleh mengeratkan lagi hubungan kita dengan mereka. Belajarlah untuk mencintai sebelum kita dicintai. Nabi Muhammad SAW juga bersabda untuk saling mencintai sesama mukmin, seperti mana disebutkan dalam sebuah hadith:
Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan seseorang Mukmin sesama Mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama satu badan. Apabila ada salah satu anggota badan yang menanggung kesakitan, maka seluruh badannya akan turut terjaga (tidak akan tidur) dan terasa panas (merasakan sakitnya).”
(Hadith Riwayat al-Bukhari)
Hadith ini menjelaskan berkaitan nilai kebersamaan yang wujud di dalam agama Islam, di mana orang Islam akan saling membantu di antara satu sama lain, dan ianya diumpamakan seperti satu badan yang saling mengasihi dan menyayangi.
Jauhi Sifat Pentingkan Diri
Oleh sebab itu, Islam memandang nilai membantu dan tolong-menolong ini sebagai salah satu amalan mulia dan membuktikan ketaqwaan seseorang individu tersebut. Firman Allah SWT:
وَقِيلَ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا مَاذَا أَنزَلَ رَبُّكُمْ قَالُوا خَيْرًا لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ وَلَدَارُ الْآخِرَةِ خَيْرٌ وَلَنِعْمَ دَارُ الْمُتَّقِينَ
“Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertaqwa: “Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?” Mereka menjawab: “Kebaikan” orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi; dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertaqwa.”
(Surah an-Nahl: 30)
Allah SWT menjelaskan bahawa, balasan baik telah dijanjikan oleh Allah kepada hamba-Nya yang berbuat baik, dan balasan di akhirat itu adalah jauh lebih baik daripada kehidupan dunia. Oleh sebab itu, manusia yang bertaqwa seharusnya berlumba-lumba dalam membuat kebaikan di dunia ini. Jauhilah sifat pentingkan diri, bersikap jujurlah dan fikirkan hak orang lain di samping hak diri kita sendiri. Bersabda Rasulullah SAW, maksudnya:
“ Tiga macam orang Allah tidak akan bercakap dengan mereka pada hari kiamat, tidak akan memandang mereka dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan bagi mereka azab yang pedih, (iaitu): seorang yang mempunyai kelebihan air di tengah padang pasir, sedangkan ia tidak mahu memberikannya kepada orang yang bermusafir, seorang yang menjajakan barang dagangannya sesudah lewat waktu Asar sambil bersumpah dusta bahawa pokoknya sekian-sekian dan dipercayai oleh si pembeli sedangkan faktanya bukan begitu, dan seorang lagi yang membai’at pemimpin hanya untuk maksud manfaat keduniaan; apabila kelak maksudnya tercapai, ia patuh dan jika tidak, ia mungkir (berpaling tadah).”
(Hadith Riwayat Muslim)
Hadith ini mengajar kita untuk bersikap jujur dan telus, kerana itu adalah sifat orang yang beriman. Janganlah sentiasa memikirkan kepentingan diri, sehingga mengetepikan hak orang lain yang lebih memerlukan. Janganlah juga kita mengikut kehendak hawa nafsu semata-mata tanpa memikirkan keperluan orang lain, dan bertindaklah atas dasar kasih sayang sesama manusia. Apa yang penting adalah ikhlas dan niat yang betul, kerana keduanya akan membantu kita dalam melahirkan tindak-tanduk yang lebih baik. Maka jauhilah sifat pentingkan diri kerana itu bukan satu alasan untuk mencintai diri, tetapi itu hanyalah sifat ego yang akan memakan diri.
Justeru, berbahagialah wahai orang-orang muslim dan mukmin, cintailah diri sendiri, kerana mencintai diri sendiri adalah tanda ada bersyukur kepada Allah SWT. Terimalah segala kekurangan diri dan orang lain, kerana kita manusia yang tidak sempurna, walaupun kita sering mengharapkan kesempurnaan. Bersyukurlah juga dengan kelebihan yang Allah berikan kepada kita, gunakanlah kelebihan itu untuk membuat kebaikan dan menyebarkan Islam di muka bumi ini. Jauhilah sifat ego yang membawa kepada sikap pentingkan diri. Bukankah memberi itu lebih membahagiakan? Semoga kita menjadi orang-orang mukmin dan muslim yang mencintai dan dicintai Allah! Wallahu a’lam.
Aida Masuri Mustafa