Pada zaman Nabi s.a.w, ada seorang mukmin iaitu Murarah Bin Rabi’ yang mahu mengutip hasil tanaman anggur dan tamar ketika datangnya seruan perang Tabuk. Sangkanya, penyertaannya dalam peperangan sebelum ini boleh melepaskannya daripada tanggungjawab menyertai perang Tabuk. Dia khuatir kehilangan hasil tanaman jika tidak mengutipnya. Akhirnya, Allah s.w.t mendidiknya seperti yang dinukilkan dalam surah At-Taubah ayat 118.

Menyorot sejarah ini, ada nilai prioriti yang dipelajari. Meskipun hasil tanaman terlihat rugi jika tidak dituai, Allah s.w.t mengajar untuk percaya kepadaNya meskipun logik akal datang menerjah. Sejarah Bani Israel yang diuji beribadah hari Sabat juga sedikit sebanyak memberi pengajaran. Rasa rugi terlepas hasil tangkapan ikan yang banyak membuatkan mereka berusaha memasang jala dan perangkap ikan pada hari sebelumnya. Sikap berhelah kepada Allah s.w.t ini akhirnya mengakibatkan azab. 

Pernah rasa sebegini? Rasa rugi tak sanggup kehilangan apa-apa hasil yang telah diusahakan? Mari belajar satu perumpamaan mengenai hakikat dunia. 

Perintah belajar, dapatkan ilmu hakikat dunia.

Setiap negara, pasti ada piawai dan pendidikan masing-masing. Bahkan setiap ibu bapa juga punyai piawai tersendiri dalam mendidik anak-anak. Ada yang mahu pastikan si anak lancar membaca seawal usia. Ada yang mahu anak mahir berbahasa asing sejak kecil.

Ketika merenung-renung wahyu ilahi saya bertanya pada diri  “Apa piawai pendidikan Allah s.w.t ? Allah nak saya belajar apa?” Lalu, ada sesuatu yang ditemui melalui kata kunci ٱعۡلَمُوٓاْ . Kalimah ٱعۡلَمُوٓاْ  adalah kata perintah yang diterjemahkan sebagai “ketahuilah!” Ayat perintah ini menggambarkan seruan mencari ilmu agar tahu akan sesuatu. 

Berminat untuk tahu apa piawai pendidikan di sisi Allah s.w.t? 

Rupa-rupanya perintah mengenal Allah paling kerap diulang dalam Al-Qur’an. Selebihnya, ada 4 lagi tema asas untuk kata perintah  ٱعۡلَمُوٓاْ .

  1. Dapatkan ilmu agar kenal Allah (Al-Baqarah, 2:196, 209, 231, 233, 235, 244, 267 ; Al-Maidah, 5:34, 98; Al-Anfaal,8:25; Al-Hadid, 57:17)
  2. Dapatkan ilmu agar tahu bahawa kamu akan dihimpunkan dan dikembalikan kepada Allah (Al-Baqarah, 2:203,223; Al-Anfaal, 8:24)
  3. Dapatkan ilmu agar tahu bahawa Allah bersama orang-orang bertaqwa (Al-Baqarah, 2:194; At-Taubah, 9:36)
  4. Dapatkan ilmu agar tahu bahawa harta dan anak-anak adalah ujian (Al-Anfaal, 8:28)
  5. Dapatkan ilmu agar tahu hakikat dunia (Al-Hadid, 57:20)

Artikel kali ini akan fokus pada tadabbur ayat surah Al-Hadid yang memberi panduan mengenai hakikat dunia. 

ٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَا لَعِبٞ وَلَهۡوٞ وَزِينَةٞ وَتَفَاخُرُۢ بَيۡنَكُمۡ وَتَكَاثُرٞ فِي ٱلۡأَمۡوَٰلِ وَٱلۡأَوۡلَٰدِۖ كَمَثَلِ غَيۡثٍ أَعۡجَبَ ٱلۡكُفَّارَ نَبَاتُهُۥ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَىٰهُ مُصۡفَرّٗا ثُمَّ يَكُونُ حُطَٰمٗاۖ وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِ عَذَابٞ شَدِيدٞ وَمَغۡفِرَةٞ مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضۡوَٰنٞۚ وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَٰعُ ٱلۡغُرُورِ

«Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya» [Al-Hadid: 20]

Fasa kehidupan yang memperdaya

Ketika usia kanak-kanak, dunia ini terlihat ruang untuk bermain-main ( لَعِبٞ). Saat mula memasuki usia remaja, ada rasa cenderung mendapatkan hiburan (لَهۡوٞ). Dapat kita perhatikan golongan remaja suka bersenang-senang dengan muzik dan drama. Mereka mula belajar cara-cara sosial membahagiakan diri. 

Usia terus bertambah dan mula memasuki usia dewasa. Hati yang rasa indah (زِينَةٞ) dengan syahwat memotivasi diri untuk memiliki pasangan, anak-anak dan harta. Setelah memiliki, akibat tidak mahu rasa ketinggalan dengan teman-teman lain, mulalah berbangga-bangga dengan apa yang dimiliki (وَتَفَاخُرُۢ بَيۡنَكُمۡ). Bila ada rakan yang datang ke rumah, mahu menunjuk-nunjuk harta apa yang baru didapatkan. Ketika anak mencapai sebarang kejayaan, rasa tidak puas selagi tidak dihebah pada semua. Begitulah dunia menjadi perhiasan yang mahu dimiliki agar boleh berbangga-bangga dengannya. 

Seterusnya, masa berlalu dan usia menginjak ke 40 tahun. Pada waktu ini, status agak stabil tetapi hati yang tak jelas tujuan hidup tetap mahu menambah-nambah harta dan anak cucu (تَكَاثُرٞ فِي ٱلۡأَمۡوَٰلِ وَٱلۡأَوۡلَٰدِۖ). Baki tenaga pada usia sebegini tetap dikerahkan untuk menambah-nambah kepemilikan agar apa yang ada tidak statik , terus bertambah. 

Akhirnya ajal menjemput. Hilang segala yang diusahakan dan dimiliki kerana perlu berpindah milik kepada mereka yang masih hidup. Pada saat itu, jika segala yang dimiliki tidak dimanfaatkan selari panduan Allah s.w.t, penyesalan akan hadir ibarat petani yang kehilangan peluang menuai hasil tanaman akibat hasil tanaman telah pun menguning dan bersepai. 

Perihal “berus” yang penting tetapi bukan untuk dibangga-banggakan.

Surah Al-Hadid ayat 20 ini ditutup dengan menjelaskan hakikat dunia sebagai kenikmatan yang memperdayakan.

 وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَٰعُ ٱلۡغُرُورِ

Kalimah  مَتَٰعُ sebenarnya bukanlah istilah yang biasa digunakan zaman kini. Ketika ahli bahasa cuba memahami makna ini, mereka perlu berada di kawasan perkampungan yang menggunakan bahasa Arab klasik. Saat itu, mereka menyedari bahawa kalimah  مَتَٰعُ digunakan para wanita merujuk berus atau alat membasuh pinggan. Menurut Raghib Al-Ashfahani, kalimah ini bermakna barang-barang yang dimanfaatkan seperti dalam surah Yusuf ayat 65.

Pentingkah berus atau barang yang dimanfaatkan tersebut? 

Ya, penting. 

Tetapi cukuplah memanfaatkan barang sebatas fungsinya.Barang tersebut tidak perlulah dibangga-banggakan. Tidak perlulah tidur bersamanya atau menyimpannya pada tempat tinggi dalam bekas kaca. Bahkan, tidak perlulah menghebah kepemilikannya di media sosial. 

Realitinya, begitulah segala kepemilikan dunia berupa pasangan, anak-anak dan harta. Kesemuanya adalah kenikmatan untuk disyukuri serta dimanfaatkan mengikut peranannya. Apa yang dicintai syahwat bukanlah untuk dibangga-banggakan. Sedangkan kesemuanya ada tempoh masa dan akan hilang dari genggaman saat ajal menjemput. 

Manfaatkan setiap fasa sebelum tamat tempoh masa

Allah s.w.t telah menjelaskan sikap manusia yang tertipu dengan kesenangan dunia. Ibarat petani yang mengusahakan tanaman sejak awal, rasa gembira bila tanaman mula masak dan menanti untuk dituai. Namun, dia hampa tatkala tanaman menguning dan hancur bersepai. Ada rasa sesal kerana tanaman yang diharapkan hasil sudah pun mati. Begitulah kesenangan hidup di dunia yang ada tempoh masanya. Akan tiba satu hari, segala yang dimiliki akan “hancur bersepai”. Justeru, beruntunglah mereka yang dapat menikmati dan memanfaatkannya sebelum tamat tempoh masa dengan amal soleh.

Bagaimana nak manfaatkan setiap fasa usia? Mari perhatikan pedoman wahyu.

Ketika anak-anak usia kecil, itulah masa keemasan untuk didik akidah dan akhlak seperti pedoman surah Luqman dan Maryam a.s. Teladannya dapat diperhatikan dalam surah Yusuf melalui dialog interaksi antara Nabi Yusuf a.s dan Nabi Yaakub a.s. Sejarah ini beri gambaran usaha Nabi Yaakub a.s membangun hubungan mesra sehinggakan anak-anak rasa percaya untuk menceritakan pengalaman untuk mendapatkan pedoman. 

Ketika anak memasuki usia remaja pula, ada peluang amal soleh dalam mendidik jiwa mereka dengan kalam ilahi. Ada teladan seperti pemuda yang melarikan diri ke dalam gua dalam surah Al-Kahfi. Ada juga teladan kepemudaan Nabi Ismail a.s yang sabar mengikuti bapanya membangun kaabah. Jalan hidup pemuda soleh dalam Al-Qur’an menggambarkan ada usaha yang perlu dilakukan ibu bapa atau pendidik agar remaja yang terbentuk turut meneladani tokoh-tokoh dalam Al-Qur’an. 

Akhirnya, sebelum usia menginjak angka 40 tahun, usah lepaskan peluang persiapkan diri menjadi hamba bersyukur. 

 حَتَّىٰٓ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُۥ وَبَلَغَ أَرۡبَعِينَ سَنَةٗ قَالَ رَبِّ أَوۡزِعۡنِيٓ أَنۡ أَشۡكُرَ نِعۡمَتَكَ ٱلَّتِيٓ أَنۡعَمۡتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَٰلِدَيَّ وَأَنۡ أَعۡمَلَ صَٰلِحٗا تَرۡضَىٰهُ وَأَصۡلِحۡ لِي فِي ذُرِّيَّتِيٓۖ إِنِّي تُبۡتُ إِلَيۡكَ وَإِنِّي مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ

Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)" [Al-Ahqaf: 15]

Sebelum usia 40 tahun, seseorang harus mengambil peluang persiapkan diri dengan ilmu kebenaran serta segala kekuatan termasuklah kekuatan hati yang sejahtera, kesihatan jasad, kepakaran bidang dan juga kekuatan harta. Ini kerana Allah s.w.t mendidik kita agar mensasarkan usia 40 tahun sebagai umur persiapkan diri bertemu dengan Allah s.w.t melalui sikap banyak bersyukur. Usia 40 tahun bukanlah masa untuk menambah-nambah harta untuk berbangga dengannya. Sebaliknya, usia 40 tahun bermakna harus bersungguh-sungguh memberi dan berjuang pada jalan Allah s.w.t dengan segala kekuatan yang telah diraih sebagai manifestasi kesyukuran kepadaNya. Usia yang berbaki harus dioptimakan dengan kesungguhan bertaubat dan menahan diri daripada dosa.

Secara ringkasnya, ada dua jalan hidup yang dapat diperhatikan. 

Jalan yang pertama adalah jalan mereka yang tertipu dengan kesenangan hidup dunia. Golongan sebegini menghabiskan setiap fasa usia dengan perspektif dunia sebagai permainan, hiburan, perhiasan, berbangga-bangga antara sesama serta berlumba-lumba membanyakkan harta dan anak-pinak. Yang lebih menyedihkan, tiada persiapan iman dilakukan sebelum usia 40 tahun mengakibatkan tidak bersiap membangun kehidupan akhirat pada usia kritikal bertemu dengan Allah s.w.t. Baki usia selepas 40 tahun yang seharusnya diisi dengan kesyukuran hamba yang banyak bertaubat sebaliknya diisi dengan menikmati keseronokan dunia.  

Jalan kehidupan kedua adalah jalan orang-orang beriman yang tidak melepaskan peluang amal pada setiap fasa kehidupan. Mereka berusaha meneladani jalan yang ditempuh orang soleh yang dirakam wahyu sekaligus membenarkan doa yang diulang pinta setiap solat. 

ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ٧

«Tunjukilah kami jalan yang lurus(6) Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat(7)» [Al-Fatihah, 1: 6-7]

Misalnya, pada usia kanak-kanak, mereka mengikuti teladan seperti Nabi Yahya a.s dan Maryam a.s yang dididik faham wahyu seawal usia. Sebelum usia remaja, jiwanya mengenali siapa Allah s.w.t sehinggakan mampu meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Allah s.w.t sebagaimana teladan Nabi Yusuf a.s yang diuji terpisah daripada keluarga. 

Usia remaja dan belia pula dilalui dengan mengikuti teladan pemuda kahfi yang peduli bangkit dan menyampaikan kebenaran kepada masyarakat. Mereka tidak duduk-duduk berhibur semata-mata. Akhirnya, saat menginjak usia 40 tahun, sudah terbangun banyak kekuatan terutamanya kekuatan iman seperti Nabi Musa a.s yang lari ke Madyan. Pada usia ini, Nabi Musa a.s bersiap menghabiskan baki usia penuh kesyukuran, berjuang pada jalan Allah s.w.t. 

Hindari azab, utamakan pengampunan & keredhaanNya

Dunia ini ibarat tanaman yang menggembirakan petani. Namun, akan berlaku kekesalan jika tanaman menguning dan akhirnya hancur bersepai. Allah s.w.t mendidik kita dengan mengancam azab bagi mereka yang ingkar. Dia juga memberi bandingan kehidupan indah kepada golongan yang mengharapkan keampunan dan keredhaanNya. Justeru, setiap kali mengecapi nikmat dunia, tanya dua soalan ini kepada diri : 

  1. Bagaimana saya nak manfaatkan nikmat ini agar tidak diazab Allah s.w.t?
  2. Apa yang perlu saya lakukan dengan nikmat ini agar beroleh pengampunan Allah s.w.t dan keredhaanNya?

Dua kayu ukur pada hujung surah Al-Hadid ayat 20 ini moga-moga beri panduan kepada kita dalam menyikapi kesenangan dan kenikmatan hidup di dunia. Moga-moga Allah s.w.t terus melimpahkan petunjuk buat setiap kita agar mampu melihat dunia dengan lensa Al-Qur’an.

Sudahkah garap pengetahuan mengenai hakikat dunia melalui lensa Al-Qur’an? Bantu kongsikan artikel ini moga-moga teman-teman yang lain dapat meluruskan sistem nilai mereka terhadap hakikat dunia. 

Rujukan.

Dr. Ahzami Samiun Jazuli dan Dr. Mokhammad Yahya (2019). Rakaman Bengkel “Kehidupan dalam Pandangan Al-Quran”. Anjuran Beautiful Life Centre.

Al-Raghib Al-Ashfahani (2017). Kamus Al-Quran Jilid 3. Jawa Barat : Pustaka Khazanah Fawa’id