Bismillah.

Indahnya, hidup bertuhan kerana kita mempunyai Allah sebagai rabb tempat pergantungan. Allah yang memberi kita Al-Qur’an sebagai petunjuk di dalam melalui kehidupan. Al-Qur’an kitab yang tiada keraguan di dalamnya petunjuk bagi orang bertaqwa.

Allah mempunyai nama-namaNya yang indah untuk kita fahami dan ambil pelajaran. Mengapa? Dengan memahami nama Allah, kita mampu memposisikan diri kita sebagai hamba Allah.

Manusia secara fitrahnya cintakan kebaikan dan ingin menjadi individu yang lebih baik. Maka, Al-Qur’an mengajar kita untuk meletakkan pergantungan kepada Allah di dalam setiap perkara. Kali ini kita akan menelusuri nama Allah Al-Fattah untuk kita melalui kehidupan dengan kesedaran bertuhan.

Allah Al-Fattah yang bermaksud Allah sebagai pembuka. Pembuka di dalam segala aspek kehidupan. Ar Raghib Al- Asfahani di dalam Kamus Al-Qur’an menyatakan erti fataha adalah menghilangkan penutup dan kesamaran. Ar Raghib Al-Asfahani juga memberi dua perspektif dalam memberi sudut pandang terhadap nama Allah Al-Fattah.

Pertama, membuka yang dapat diketahui oleh mata lahir seperti membuka pintu atau lainnya. Allah berfirman di dalam Surah Al-Hijr: Ayat 14

وَلَوۡ فَتَحۡنَا عَلَيۡہِم بَابً۬ا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ فَظَلُّواْ فِيهِ يَعۡرُجُونَ (١٤)

14.  Dan kalau Kami bukakan kepada mereka mana-mana pintu langit, kemudian mereka dapat naik melalui pintu itu (pada siang hari yang membolehkan mereka menyaksikan segala kenyataan yang ada):

Kedua, membuka yang dapat diketahui oleh mata batin seperti menghilangkan kesedihan.

Allah Al-Fattah yang menghilangkan kesedihan dan menghilangkan kefakiran dengan cara diberi harta atau lainnya. Allah berfirman di dalam Surah Al-A’raf: Ayat 96

وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡہِم بَرَكَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَـٰهُم بِمَا ڪَانُواْ يَكۡسِبُونَ (٩٦)

96.  Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan, lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Fattah juga dapat diertikan sebagai terbuka segala sesuatu yang tertutup baik material mahupun spiritual.

Ratib al-Nablusi, menyatakan Al-Fattah adalah Dia yang membuka pintu makrifah bagi orang mukmin dan membuka pintu taubat bagi pelaku maksiat. Allah Al-Fattah yang menolongmu dalam kesusahan dan memberi banyak keutamaan. Allah Al-Fattah membuka pintu pengetahuan bagi setiap insan dan membuka pintu hikmah.

Di dalam memasuki Tahun 2022, ayuh kita mulakan dengan memaknai nama Allah Al-Fattah iaitu dengan meyakini bahawa Allah boleh membuka segala pintu kebaikan. Mulakan dengan keazaman untuk menjadi hamba yang lebih bersyukur dengan nikmat petunjuk Al-Qur’an. Allah berfirman di dalam Surah Fatir: Ayat 2

مَّا يَفۡتَحِ ٱللَّهُ لِلنَّاسِ مِن رَّحۡمَةٍ۬ فَلَا مُمۡسِكَ لَهَاۖ وَمَا يُمۡسِكۡ فَلَا مُرۡسِلَ لَهُ ۥ مِنۢ بَعۡدِهِۚۦ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ (٢)

2.  Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatupun yang dapat menahannya; dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatupun yang dapat melepaskannya sesudah itu. Dan (ingatlah) Dia lah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Berdasarkan ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Allah maha berkuasa membukakan rahmat kepada manusia. Maka, sebagai hamba Allah, kita perlu berdoa mengharapkan rahmat Allah dalam setiap perkara.

Ratib Al-Nablusi mengulas Surah Fatir ayat 2, bahawa Allah membuka pintu rahmat-Nya

Semua perkara berada di dalam genggaman dan kekuasaan Allah. Pintu rahmat yang dibuka Allah untuk orang mukmin tidak akan ditahan oleh sesiapa pun.

Maka, dengan kesedaran ini ayuh kita sama-sama mengharapkan pertolongan Allah yang maha membuka pintu-pintu rahmat untuk memberi kita petunjuk dalam melakukan sesuatu.

Tahun 2021 akan meninggalkan kita. Ayuh muhasabah diri atas setiap kekurangan supaya kita boleh perbaiki dan melakukan perubahan kearah kebaikan.

Kekurangan, kesilapan, kekecewaan dan kegusaran seharusnya menjadi satu pelajaran bermakna untuk kita supaya kita terus maju. Memaknai nama Allah Al-Fattah sebagai pembuka jalan dalam setiap perkara.

Ayuh, kita memaknai nama Allah Al-Fattah dalam kehidupan dengan melakukan perkara-perkara berikut:

  1. Meyakini Allah Al-Fattah mampu membuka segala pintu perkara
  2. Ikhlas menjalani kehidupan
  3. Berdoa kepada Allah Al-Fattah dalam setiap perkara
  4. Mempelajari surah Al-Fatiha
  5. Berusaha membantu orang lain di dalam kehidupan

Mulakan setiap Langkah dengan nama Allah serta meyakini bahawa Allah berada bersama kita di dalam setiap perjalanan kehidupan. Itulah sumber kekuatan di dalam kehidupan. 

Allah Al-Fattah memberi harapan kepada kita bahawa di setiap kesulitan ada jalan keluarnya.

Di dalam setiap keresahan, ada Allah yang memberi petunjuk melalui Al-Qur’an.

Mulakan tahun 2022 dengan memaknai Surah Al-Fatihah di dalam kehidupan.

Meyakini bahawa di dalam setiap sisi perjalanan ada Allah sebagai rabb serta Al-Qur’an petunjuk.

 

Rujukan

  1. Kuliah Dr Mokhammad Yahya di dalam Sessi UsrahQmap3T anjuran Beautiful Life Center
  2. Buku Mengenal Allah dari Prof Dr Muhammad Ratib al-Nablusi