Dia pulang ke rumah dalam keadaan keliru. Kuliah di surau mengingatkan untuk berhati-hati terhadap pasangan dan anak-anak. Ujar guru yang menyampaikan, ada risiko pasangan dan anak-anak menjerumuskan ke dalam neraka.
“Tapi saya memang cenderung pada pasangan dan anak-anak. Merekalah hidup saya dan saya sayangkan mereka.”
Dia masih keliru.
Apa yang seharusnya dia lakukan sebenarnya?
Buat pembaca, kalian pernah terlintas kekeliruan sedemikian?
Prof Dr. Muhammad Ratib An-Nabulsi pernah menyatakan syahwat (hawa nafsu) ini boleh jadi tangga menghantar kita ke syurga atau menjerumuskan kita ke dalam neraka. Ke mana syahwat difungsikan, itulah yang menentukan tempat kembali kita di akhirat kelak.
Dalam surah Ali-’Imran ayat 14, Allah menerangkan punca-punca yang mengakibatkan manusia ingkar pada ayat-ayat sebelumnya. Itulah kecintaan terhadap hawa nafsu.
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٰتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلۡبَنِينَ وَٱلۡقَنَٰطِيرِ ٱلۡمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلۡفِضَّةِ وَٱلۡخَيۡلِ ٱلۡمُسَوَّمَةِ وَٱلۡأَنۡعَٰمِ وَٱلۡحَرۡثِۗ ذَٰلِكَ مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسۡنُ ٱلۡمََٔابِ
«Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)» [Ali-'Imran: 14]
Ada sesuatu yang menarik di sebalik kalimah زُيِّنَ pada ayat ini. Kalimah ini adalah dalam bentuk pasif yang bermaksud “dijadikan indah”. Siapa pelakunya didiamkan Allah s.w.t
Siapa yang membuatkan syahwat itu indah?
Allah s.w.t membuatkan indah untuk amal soleh.
Manusia sebagai anak-anak Adam a.s adalah makhluk berakal yang memerlukan motif atau motivasi untuk bertindak. Keindahan yang sedikit di dunia biasan syurga mencetus rasa mahu kembali ke kampung asal syurga. Tatkala anak-anak Adam mengimani syurga, sedikit cerapan biasan syurga di dunia mengingatkan untuk terus bersabar moga-moga berjaya tiba ke kampung abadi.
إِنَّا جَعَلۡنَا مَا عَلَى ٱلۡأَرۡضِ زِينَةٗ لَّهَا لِنَبۡلُوَهُمۡ أَيُّهُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗا
«Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya» [Al-Kahf: 7]
Allah s.w.t menjadikan apa yang ada di bumi itu indah untuk menguji manusia agar beramal. Indahnya apa yang diinginkan hawa nafsu menjadi pemicu buat golongan beriman untuk beramal soleh.
Misalnya, seorang lelaki qawwam (pelindung) yang cenderung mencintai wanita akan termotivasi galas tanggungjawab sebagai suami lalu sanggup menikahi wanita untuk menjaga dan memeliharanya. Seorang ibu beriman yang cenderung menyayangi anak-anak, akan termotivasi bersungguh-sungguh belajar wahyu agar mampu didik anak sebaik-baiknya agar menyelamatkan anak-anak daripada neraka. Seorang usahawan beriman yang menyayangi harta akan sanggup menunaikan zakat, memberikan pinjaman dan bersedekah kerana mengimpikan harta yang berkekalan di syurga.
Bila mana syahwat pada perspektif manusia beriman dijadikan indah selari pedoman wahyu, segala kecenderungan dan kecintaan syahwat dilorongkan pada medan amal soleh. Hakikatnya, kecintaan pada hawa nafsu itu dibenarkan selagi mana dilorongkan syariat, membuahkan amal soleh.
Syaitan membuatkan indah untuk maksiat.
Selain Allah s.w.t, syaitan juga ambil peranan membuatkan kecintaan kepada syahwat itu indah-indah belaka.
تَٱللَّهِ لَقَدۡ أَرۡسَلۡنَآ إِلَىٰٓ أُمَمٖ مِّن قَبۡلِكَ فَزَيَّنَ لَهُمُ ٱلشَّيۡطَٰنُ أَعۡمَٰلَهُمۡ فَهُوَ وَلِيُّهُمُ ٱلۡيَوۡمَ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ
«Demi Allah! Sesungguhnya kami juga telah mengutus Rasul-rasul kepada umat-umat yang terdahulu daripadamu (wahai Muhammad), lalu Syaitan memperelokkan pada pandangan mereka yang ingkar akan amal-amal mereka yang jahat itu; maka dia lah menjadi pemimpin mereka pada hari ini; dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya» [An-Nahl: 63]
Ingat lagi sejarah Nabi Adam a.s?
Allah s.w.t terlebih dahulu memberikan petunjuk agar tidak mendekati pohon terlarang. Namun, iblis menghasut dan memperdaya berkali-kali agar perbuatan memakan pohon terlarang terlihat sebagai sesuatu yang baik. Hakikatnya, memang iblis telah berjanji untuk membuatkan segala larangan Allah s.w.t terlihat sebagai sesuatu yang indah.
قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغۡوَيۡتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَأُغۡوِيَنَّهُمۡ أَجۡمَعِينَ
«Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya» [Al-Hijr: 39]
Syaitan akan menjadikan segala jenis maksiat terlihat indah.
Misalnya, kecenderungan dan kecintaan lelaki terhadap wanita membuatkannya sanggup mengambil kesempatan melalui jalan zina. Tanggungjawab sebagai suami dan ayah dirasakan berat lalu hanya mahu menghabiskan kehidupan sebagai pemangsa bahkan menzalimi kanak-kanak dan remaja yang belum mengerti hakikat cinta.
Seorang ibu yang cenderung mencintai anak-anak turut sentiasa mahu memenuhi keinginan mereka. Bahkan, ada yang terikut-ikut arus masyarakat yang saling bermegah-megah dengan anak-anak, lalu, anak-anak jadi aset memenuhi keegoan dan dididik sistem keduniaan, terputus daripada didikan wahyu.
Seorang usahawan kaya yang lemah iman pada akhirat akan amat cenderung pada kepemilikan di dunia. Harta yang dimiliki tidak sanggup diberikan kepada fakir miskin dan anak yatim akibat khuatir kemiskinan. Pastinya, kekhuatiran sebegini dicetus oleh syaitan yang selanjutnya mendorong ke kancah perkara keji dan mungkar.
ٱلشَّيۡطَٰنُ يَعِدُكُمُ ٱلۡفَقۡرَ وَيَأۡمُرُكُم بِٱلۡفَحۡشَآءِۖ وَٱللَّهُ يَعِدُكُم مَّغۡفِرَةٗ مِّنۡهُ وَفَضۡلٗاۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ
«Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya» [Al-Baqarah: 268]
Legasi amal : menuju syurga atau neraka?
Potensi kekuatan manusia amat kompleks. Ada kekuatan syahwat, akal dan rohani. Tatkala semua kekuatan ini dipandu wahyu ilahi, pilihan tindakan disuluh kebenaran yang membuahkan amal soleh. Sebaliknya, jika kekuatan ini dipandu sistem selain Al-Qur’an, pilihan tindakan didorong syaitan yang berisiko menjerumuskan ke dalam neraka.
Apa-apa pilihan tindakan di dunia, setiap satunya tercatat. Bahkan kesan yang ditinggalkan boleh jadi legasi kebaikan yang berkah atau legasi keburukan yang membinasakan.
إِنَّا نَحۡنُ نُحۡيِ ٱلۡمَوۡتَىٰ وَنَكۡتُبُ مَا قَدَّمُواْ وَءَاثَٰرَهُمۡۚ وَكُلَّ شَيۡءٍ أَحۡصَيۡنَٰهُ فِيٓ إِمَامٖ مُّبِينٖ
«Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catatkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata» [Ya Sin: 12]
Belajarlah dengan lebah.
Melalui surah Ali-’Imran ayat 14, ada satu frasa yang mengingatkan kita akan lebah.
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٰتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلۡبَنِينَ وَٱلۡقَنَٰطِيرِ ٱلۡمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلۡفِضَّةِ وَٱلۡخَيۡلِ ٱلۡمُسَوَّمَةِ وَٱلۡأَنۡعَٰمِ وَٱلۡحَرۡثِۗ ذَٰلِكَ مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسۡنُ ٱلۡمََٔابِ
«Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)» [Ali-'Imran: 14]
Kalimah ٱلۡمََٔابِ bermaksud “tempat kembali”. Menurut Raghib Al-Ashfahani, kata الأَوْبُ adalah untuk haiwan yang memiliki keinginan untuk kembali. Ini juga merujuk lebah (Lane's Lexicon dictionary) yang sifatnya sentiasa mahu kembali ke sarang asal walau sejauh mana lebah menghinggap. Sejauh mana sekalipun lebah menikmati kebaikan-kebaikan bunga-bungaan, lebah akan pulang kembali pada tempat asalnya, membawa kebaikan dan menghasilkan madu.
Allah s.w.t bukan sekadar menyatakan syurga sebagai tempat yang lebih baik tetapi Allah s.w.t mengingatkan kita bahawa syurga itu adalah tempat asal kita. Justeru dunia yang nampak indah dengan syahwat yang tidak pernah puas, sebenarnya tempat sementara, bukan tempat asal manusia. Bersiaplah untuk kembali ke tempat asal yang lebih baik iaitu syurga dengan melorongkan syahwat ikut syariatNya.
Saat kita pergi menikmati segala yang dicintai syahwat berbentuk pasangan, anak-anak, harta dan hasil usaha, usah dilupakan tempat kembali setiap kita. Nikmatilah keindahan di dunia selari batas syariat agar tindakan itu tak menghalang kita kembali ke tempat yang jauh lebih baik iaitu syurga.
قُلۡ أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيۡرٖ مِّن ذَٰلِكُمۡۖ لِلَّذِينَ ٱتَّقَوۡاْ عِندَ رَبِّهِمۡ جَنَّٰتٞ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَا وَأَزۡوَٰجٞ مُّطَهَّرَةٞ وَرِضۡوَٰنٞ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ بَصِيرُۢ بِٱلۡعِبَادِ
«Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah". Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;(15)» [Ali-'Imran: 15]
Jika syahwat telah diindahkan syaitan, rawatlah hati dengan wahyu
Dalam surah Al-’Araf, iblis sudah berjanji untuk berada atas jalan yang lurus dan menghasut anak-anak Adam pada waktu yang tepat. Meskipun kita tidak pernah bertindak aktif mendengar bicara syaitan, tetapi syaitan sendirilah yang aktif dan sentiasa hadir pada jalan yang lurus. Ini berbeza dengan bicara Allah s.w.t. Manusia harus bertindak aktif mendapatkan petunjuk wahyu yang telah diturunkan. Anak-anak Adam a.s. perlu peduli mendengar dan memahami Al-Qur’an. Tanpa usaha mendidik diri dengan wahyu, hati manusia berisiko didominasi kesesatan yang dibisikkan syaitan.
Tiada jalan pintas.
Jika mahu hawa nafsu dihiaskan dan dijadikan indah selari pedoman Allah s.w.t, perlu memulakan usaha belajar tadabbur Al-Quran. Akhirnya, pedoman wahyu itu jugalah menjadi penawar terhadap penyakit-penyakit dalam dada manusia.
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدۡ جَآءَتۡكُم مَّوۡعِظَةٞ مِّن رَّبِّكُمۡ وَشِفَآءٞ لِّمَا فِي ٱلصُّدُورِ وَهُدٗى وَرَحۡمَةٞ لِّلۡمُؤۡمِنِينَ
«Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman» [Yunus: 57]
Dapat sesuatu daripada artikel ini? Jangan lupa kongsikan pada rakan-rakan agar hawa nafsu tak lagi didominasi keindahan daripada syaitan.
Rujukan :
Al-Raghib Al-Ashfahani (2017). Kamus Al-Quran Jilid 1. Jawa Barat : Pustaka Khazanah Fawa’id
Mokhammad Yahya (2021). Kuliah Tadabbur surah Ali-Imran. Rakaman Usrah QMap3T anjuran Beautiful Life Centre.
Nur Syahirah