Bismillah
“Awak tidak akan berjaya selama-lamanya”
“Benda yang mudah seperti ini pun awak tidak tahu?”
“Sekali awak gagal di dalam peperiksaan, sukar untuk berjaya”
“Awak telah gagal dalam kehidupan kerana telah bercerai dengan pasangan”
“Awak gagal kerana kerugian di dalam perniagaan”
“Awak gagal sebab tidak berjaya siapkan kertas kerja di dalam tempoh masa”
“Awak gagal kerana masih menganggur walaupun telah tamat belajar”
“Awak seorang pendosa dan tidak akan mendapat rahmat Allah”.
Kata-kata di atas boleh memberi kesan kepada diri individu jika ia tidak diuruskan dengan baik.
Perspektif individu dalam berhadapan dengan kegagalan amat penting supaya kegagalan itu menjadi suatu pelajaran untuk kita. Jika situasi kegagalan tidak diuruskan dengan baik akan memberi kesan kepada kelangsungan kehidupan dan boleh membawa kepada kemudaratan yang berpanjangan.
Realitinya, kehidupan merupakan satu bentuk ujian samada ujian di dalam bentuk nikmat atau musibah. Allah ingin melihat siapa yang terbaik amalnya di dalam berhadapan dengan ujian. Allah berfirman di dalam Surah Al Mulk: Ayat 2
ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلاً۬ۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ (٢)
2. Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);
Maka, sebagai hamba Allah kita tidak lepas dari ujian. Allah ingin melihat samada kita bersabar atau bersyukur di dalam berhadapan dengan sesuatu ujian. Setiap perkara ada tempoh masanya, sebagaimana hujan yang turun ada kadarnya dan akan berhenti apabila tiba masanya.
Allah menceritakan di dalam Al-Qur’an, kisah pemuda kahfi yang bangkit dari kezaliman pemerintah ketika itu dan mencari tempat perlindungan untuk mempertahankan iman. Berbekalkan keimanan dan keyakinan kepada Allah, Allah menyelamatkan mereka di dalam gua . Menarik untuk kita telusuri doa yang dipohon oleh pemuda kahfi di dalam Surah Al-Kahfi : Ayat 10
إِذۡ أَوَى ٱلۡفِتۡيَةُ إِلَى ٱلۡكَهۡفِ فَقَالُواْ رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةً۬ وَهَيِّئۡ لَنَا مِنۡ أَمۡرِنَا رَشَدً۬ا (١٠)
10. (Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus bagi kami dalam urusan kami.
Mereka memohon rahmat dan petunjuk dalam urusan mereka.
Maka, dalam setiap kesempatan perlunya kita memohon rahmat dan petunjuk dari Allah.
Antara tindakan -tindakan yang boleh dilakukan untuk bangkit dari kegagalan adalah:
- Menerima kegagalan sebagai satu pelajaran dari Allah.
- Melihat kegagalan dari aspek positif.
- Berdoa dengan penuh keyakinan kepada Allah untuk bangkit dari kegagalan. Ingat, doa merupakan senjata orang beriman.
- Mempelajari erti kegagalan dan kejayaan menurut perspektif Al-Qur’an supaya mempunyai sudut pandang yang benar tentang erti kegagalan dan kejayaan.
- Melihat setiap kegagalan dan ujian tanda kasih sayang dan rahmat Allah.
- Meneruskan tadabbur Al-Qur’an.
- Menulis jurnal kesyukuran.
- Melakukan muhasabah diri atas setiap pilihan yang dilakukan.
Syaitan merupakan musuh manusia yang nyata ingin manusia larut dalam kesedihan serta berputus asa. Maka, kita perlu menyediakan perisai untuk berhadapan dengan tipu daya syaitan. Allah menyatakan di dalam Surah Al-Baqarah: Ayat 38
قُلۡنَا ٱهۡبِطُواْ مِنۡہَا جَمِيعً۬اۖ فَإِمَّا يَأۡتِيَنَّكُم مِّنِّى هُدً۬ى فَمَن تَبِعَ هُدَاىَ فَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡہِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ (٣٨)
38. Kami berfirman lagi: "Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita".
Ma Shaa Allah, solusi yang Allah nyatakan kepada kita adalah untuk mengikuti petunjuk di dalam Al-Qur’an. Allah nyatakan di dalam Surah Al-Zumar : Ayat 53 sehingga Ayat 55
۞ قُلۡ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسۡرَفُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ لَا تَقۡنَطُواْ مِن رَّحۡمَةِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًاۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ (٥٣) وَأَنِيبُوٓاْ إِلَىٰ رَبِّكُمۡ وَأَسۡلِمُواْ لَهُ ۥ مِن قَبۡلِ أَن يَأۡتِيَكُمُ ٱلۡعَذَابُ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ (٥٤) وَٱتَّبِعُوٓاْ أَحۡسَنَ مَآ أُنزِلَ إِلَيۡكُم مِّن رَّبِّڪُم مِّن قَبۡلِ أَن يَأۡتِيَڪُمُ ٱلۡعَذَابُ بَغۡتَةً۬ وَأَنتُمۡ لَا تَشۡعُرُونَ (٥٥)
53. Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
54. "Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.
55. "Dan turutlah - Al-Qur’an - sebaik-baik. (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya.
Ma Shaa Allah, Allah masih memanggil hamba-hamba yang melampau batas dengan gelaran “Hambaku”, dan menyeru untuk tidak berputus asa dari rahmat Allah.
Bukankah ia satu kekuatan untuk kita yang sedang diuji untuk kembali kepada Allah dengan sebenar-benar taubat dan seterusnya mengikut panduan di dalam Al-Qur’an.
Maka, jangan berputus asa dalam kegagalan. Masih ada sinar dan harapan untuk kita bangkit. Satu kegagalan tidak menggambarkan siapa kita. Jadi, terus bangkit selagi ada kesempatan di dunia. Bagi setiap dosa dengan Allah, maka ayuh kita bertaubat. Setiap kesilapan dengan manusia, ayuh kita memohon kemaafan.
Namun, kegagalan yang kekal adalah apabila individu tidak dapat memasuki syurga Allah. Allah menyatakan ciri kejayaan yang benar di dalam Surah Al- Imran : Ayat 185
كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوۡنَ أُجُورَڪُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِۖ فَمَن زُحۡزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدۡخِلَ ٱلۡجَنَّةَ فَقَدۡ فَازَۗ وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلۡغُرُورِ (١٨٥)
185. Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
Maka, pesanan untuk diri ini dan semua
Dunia adalah tempat ujian.
Kegagalan adalah salah satu bentuk ujian.
Maka, ajari diri untuk menerima kegagalan dengan hati terbuka.
Kegagalan bukan tanda kekurangan.
Namun ia satu medan pelajaran dari Allah.
Allah ingin menyeru hamba-hambaNya
Untuk kembali kepada Allah.
Maka, jangan bermusuh dengan kegagalan.
Namun berdamai dengan kegagalan.
Jangan ditakuti kesan kegagalan.
Namun minta kekuatan dari Allah.
Setiap kegagalan yang menghantar diri semakin hampir dari Allah.
Merupakan satu kejayaan.
Maka, wahai diri,
Bangkitlah berjuang.
Untuk teruskan kehidupan.
Melaksanakan peranan sebagai hamba Allah dan khalifah.
Menjadikan Al-Qur’an sebagai petunjuk di dalam kehidupan.
Memaknai setiap momen-momen kegagalan.
Dengan perspektif iman.
Tingkatkan pengharapan kepada Allah.
InshaAllah, kita mampu melaluinya.
Maka, terima kasih atas setiap kegagalan.
Kerana aku semakin mengenali siapa Allah.
Dan siapa diri ini.
Betapa aku perlukan Allah dalam setiap kesempatan.
Maka, bangkitlah dengan melakukan perubahan kerana Allah.