Lin terlepas maklumat penting tentang urusan di pejabat. Sedangkan semua rakan sekerja ambil maklum. 

“Sampai hati tiada seorang pun tolong beritahu saya.” Lin duduk menyendiri, tangannya menahan bahagian dada kerana rasa sedih dan tertekan.  

“Saya ni memang tak disayangi,” pemikiran di minda Lin menerjah lagi. 

“Saya tidak penting di sini. Tiada yang perlukan saya.” Ada titis-titis air mata mula jatuh. 

Tanpa melengahkan waktu, Lin cepat-cepat pergi ke pejabat sumber manusia untuk memohon cuti dua minggu. Dia mahu gembirakan hatinya. Dia tidak peduli tindakannya akan menyukarkan rakan-rakan sekerja yang lain. 

“Buat apa saya berbuat baik pada mereka. Mereka tu sanggup lupakan saya. Lagipun memang hak saya untuk cuti ni.”

***

Pernah berhadapan situasi seperti Lin? Atau pernahkah menyaksikan sikap individu sepertinya? 

Hidup di dunia pasti tak boleh lari daripada cabaran-cabaran yang tidak disukai. Bagaimana cara fikir dan emosi kita terhadapnya akan beri pengaruh pada gerak tindak. Sistem kepercayaan yang terpasak dan diyakini benar turut mempengaruhi perilaku individu. 

Individu yang diselubungi naratif bisikan “kisah sendiri” berisiko membuatkannya gagal menggarap perspektif yang lebih luas dalam menyikapi sesuatu situasi. Misalnya, percaya dengan naratif “saya tak bahagia” berisiko membuatkan emosinya merudum dan bertindak membenarkan apa yang dipercayai. 

Ada kajian yang dijalankan ke atas kanak-kanak yang dipuji “anda bijak” dan mereka punyai sikap tidak berani cuba sesuatu yang lebih mencabar (Dweck, 2016). Apabila minda sudah ditanam “saya bijak”, sebarang aktiviti yang berisiko menafikan status tersebut seperti gagal selesaikan tugas mencabar, akan cuba dielakkan. Potensi tidak berkembang dan pada keadaan lain, berisiko melahirkan individu tidak bermoral dan beretika akibat mahu mengekalkan status kejayaan yang pernah digalas. 

Pernahkah anda terjerat dengan naratif bisikan “kisah sendiri”?

Percaya yang diri “tidak pandai” dalam sesuatu lalu sentiasa tidak berani mencuba? Bahkan tatkala situasi genting yang memerlukan bantuan, memilih berdiam diri tetap tidak mahu cuba membantu sebaliknya cari alasan tidak melakukannya.

Percaya yang diri sangat mahir dalam sesuatu bidang lalu tidak rahmah pada diri sendiri tatkala tugasan terkaitnya gagal diselesaikan? Bahkan terlalu kritikal dengan kemampuan diri sehingga cuba sembunyikan kelemahan dengan apa-apa cara sekalipun agar tidak hilang status “mahir” yang pernah diraih pada mata orang. 

Terperangkap dalam naratif bisikan “kisah sendiri” membuatkan sudut pandang kabur akibat gagal melihat dengan perspektif menyeluruh. Jika terjerat dalam keadaan ini, seseorang sebenarnya paksa diri untuk sentiasa “jadi” dan tidak beri ruang proses “kemenjadian”. 

Untuk keluar daripada selubung bisikan “kisah sendiri” yang bermain-main di minda memerlukan kemahiran ambil perspektif. Seseorang perlu garap kemahiran jadi diri pemerhati yang menyaksikan segala pemikiran, emosi dan fisiologi yang berlaku dalam jiwa. Jika selama ini diri selalu meletakkan diri sebagai kandungan “kisah sendiri”, berminat ambil posisi sebagai konteks yang menampung segala pengalaman dunia dalaman jiwa? 

“Kenapa perlu kemahiran ambil perspektif?”

Melalui kemahiran ambil perspektif, seseorang mampu berhubung dengan bahagian diri yang lebih fleksibel untuk bertindak. Ini bantu individu memandang pengalaman hidup dengan lebih jelas dan mampu berhubung lebih baik dengan manusia sekeliling selari sistem nilai yang dipegang. Pada masa yang sama,  individu moga-moga mudah menumbuhkan rasa percaya terhadap harapan kebaikan pada masa hadapan. 

Ibarat langit yang kukuh, terima hadirnya pelbagai cuaca.

Pandang ke langit biru yang kukuh tidak bertiang. Cuaca yang hadir berubah-ubah. Ada ketika mendung. Pada waktu yang lain gelap dengan hujan lebat serta kilat sabung-menyabung. Cuaca silih berganti lagi dengan teriknya matahari. Biar apapun cuaca yang berlaku, langit tetap di situ, menampung sebarang cuaca yang hadir. 

Dalam diri manusia juga, emosi dan fikiran hadir silih-berganti ibarat cuaca. Ada ketika gembira dan bahagia. Pada waktu yang lain, rasa  sedih dan kecewa. Kesemuanya sentiasa berubah. Kita boleh memilih menjadi “kandungan” segala yang berlaku dalam pengalaman dunia dalaman kita dengan memilih menjadi “cuaca”. Misalnya, jika hadir rasa marah, perturutkan rasa marah dengan bertindak mengamuk dan melukakan hati insan yang disayangi. Jika rasa tak dihargai, perturutkan rasa dengan menjadi kedekut dan pentingkan diri sendiri, enggan berbakti. 

Sebaliknya, kita juga boleh memilih menjadi “langit” sebagai “konteks” yang menampung cuaca. Ambil perspektif penuh kesedaran “saya perasan bahawa saya sedang rasa marah”. Saksikan emosi yang berlaku tanpa mengizinkannya memaksa kita perturutkannya. Disebabkan tidak terikat dan terperangkap dengan kecamuk emosi yang berubah-ubah, kita boleh memilih tindakan selari pedoman Allah s.w.t seperti memaafkan dan mengungkapkan kata-kata baik. 

Ada teladan besar daripada surah Yusuf yang mendidik kita agar tak terjerat bisikan “kisah sendiri” yang dijentik minda contohnya “saya ada nafsu”. Penuh sedar, akui kewujudan nafsu tetapi tidak memperturutkannya. Sebaliknya, ambil perspektif perhatikan apa yang berlaku dalam diri, kemudian bertindak selari sistem nilai bukan ikut gejolak nafsu melulu. 

======

وَلَقَدۡ هَمَّتۡ بِهِۦۖ وَهَمَّ بِهَا لَوۡلَآ أَن رَّءَا بُرۡهَٰنَ رَبِّهِۦۚ كَذَٰلِكَ لِنَصۡرِفَ عَنۡهُ ٱلسُّوٓءَ وَٱلۡفَحۡشَآءَۚ إِنَّهُۥ مِنۡ عِبَادِنَا ٱلۡمُخۡلَصِينَ

«Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa(24)» [Yusuf: 24]

۞وَمَآ أُبَرِّئُ نَفۡسِيٓۚ إِنَّ ٱلنَّفۡسَ لَأَمَّارَةُۢ بِٱلسُّوٓءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّيٓۚ إِنَّ رَبِّي غَفُورٞ رَّحِيمٞ

«"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."(53)» [Yusuf: 53]

======

Jadilah seperti langit yang kukuh mampu menyaksikan dan menampung berubahnya cuaca. Kita boleh menyaksikan dan menampung segala bisikan “kisah sendiri” yang menerjah dalam jiwa tetapi kita tidak semestinya perlu membenarkan dan memperturutkannya. 

Ada sesuatu dalam dada (صدر ) 

“Tetapi, apa yang saya fikirkan itu benar.”

Ya, setuju. Kemungkinan apa yang difikirkan itu benar. 

Kebiasaannya, “kisah sendiri” yang dihasilkan minda dan hati seperti “saya tak disayangi”, “saya tak pandai” , dan “saya tiada masa” berkait rapat dengan pengalaman hidup yang dilalui. Saat manusia memilih mempercayainya, tindak-tanduk juga akan dipengaruhi. 

Dalam Al-Quran, Allah s.w.t menerangkan pelbagai hal yang ada dalam dada. Antaranya adalah bisikan syaitan dari kalangan jin dan manusia. 

======

قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ(١) مَلِكِ ٱلنَّاسِ(٢) إِلَٰهِ ٱلنَّاسِ(٣) مِن شَرِّ ٱلۡوَسۡوَاسِ ٱلۡخَنَّاسِ(٤) ٱلَّذِي يُوَسۡوِسُ فِي صُدُورِ ٱلنَّاسِ(٥) مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ(٦)

«Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia(1) "Yang Menguasai sekalian manusia(2) "Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia(3) "Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam,(4) "Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia,(5) "(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia"(6)» [Al-Nas: 1-6]

======

Ada sesetengah ahli tafsir membahaskan bahwa syaitan kalangan manusia yang membisik ke dalam dada adalah tuan badan manusia sendiri. Ini terkait ayat yang diungkapkan dalam surah Qaf. 

======

وَلَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ وَنَعۡلَمُ مَا تُوَسۡوِسُ بِهِۦ نَفۡسُهُۥۖ وَنَحۡنُ أَقۡرَبُ إِلَيۡهِ مِنۡ حَبۡلِ ٱلۡوَرِيدِ 

Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya [Qaf: 16]

======

Melalui panduan wahyu, sedarlah kita bahawa yang terlintas dalam jiwa kita bukanlah diri roh yang cenderung pada fitrah semata-mata. Tetapi, ada bahagian yang dibisikkan syaitan dari jenis jin dan manusia.

“Bagaimana saya nak bezakan antara dorongan fitrah yang baik ataupun bisikan syaitan?” 

Ini sebenarnya bukanlah persoalan kerana Allah s.w.t sudahpun menetapkan bahawa manusia tidak mampu melihat syaitan (Al-’Araf,7 : 27). Pada masa yang sama, bisikan yang hadir dalam dada tidak boleh dikawal dan dielakkan kerana wujudnya bisikan itu sebagai ujian membuktikan iman kita. Lalu, rugilah manusia jika sepanjang kehidupannya, sentiasa memilih memperturutkan dan mengikuti lintasan pemikiran bersumberkan syaitan.

Alangkah baik jika manusia mampu ambil perspektif terhadap pengalaman dunia dalaman. Kaedahnya adalah mampu menampung segala elemen yang hadir dalam dada tetapi punya ruang berfikir dan buat keputusan agar tindakan selari pedoman wahyu, tidak memperturutkan bisikan dan desakan semata-mata.  

Latih kemahiran ambil perspektif, tak sentiasa terjerat menjadi “cuaca”

Antara aktiviti yang boleh dilakukan bagi melatih kemahiran “ambil perspektif” adalah mengubah gaya bahasa yang biasa digunakan. Aktiviti ini adalah usaha mengeluarkan diri yang terperangkap sebagai “cuaca” atau kandungan definisi bisikan “kisah sendiri”, kepada posisi “langit” atau konteks yang mampu menampung pelbagai lintasan pemikiran dan emosi yang hadir.

 

Tukar ini...

Kepada ini...

Saya tak disayangi

Saya marah

Saya tak pandai

Saya buat salah

Saya perasan bahawa saya rasa tak disayangi

Saya nampak yang saya sedang rasa marah

Saya sedar bahawa saya fikir yang “saya tak pandai.”

Saya perasan yang saya fikir “saya buat salah”.

Setelah menyedari proses pengalaman dunia dalaman (lintasan fikiran dan emosi) yang dilalui, cuba fikirkan jika insan yang anda sayang, mengalami isu yang sama. Lalu, penuh kasih sayang, apakah nasihat dan kata-kata yang mahu diberikan kepadanya?

Sekarang, nasihat dan kata-kata yang sama juga boleh diberikan kepada diri sendiri. Angkat sebelah tangan kanan anda, rapatkan ke bahagian dada dan rasakan kasih sayang serta rahmah. 

Kebanyakan manusia mampu beri rahmah kepada insan lain tetapi sulit untuk bersikap rahmah terhadap diri sendiri. Kemahiran ambil perspektif melatih kita jadi diri pemerhati yang rahmah dan sentiasa buka peluang kepada diri untuk perbaiki diri biar apapun sejarah silam yang telah dilalui. 

Rawat penyakit dalam dada dengan Al-Quran

Bisikan yang menghasut dalam dada amat berbahaya. Bahkan, Allah s.w.t memerintahkan kita memohon perlindungan kepadaNya seperti dalam surah An-Nas. Allah s.w.t juga telah memberikan kita rawatan terhadap penyakit dalam dada iaitu Al-Quran. 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدۡ جَآءَتۡكُم مَّوۡعِظَةٞ مِّن رَّبِّكُمۡ وَشِفَآءٞ لِّمَا فِي ٱلصُّدُورِ وَهُدٗى وَرَحۡمَةٞ لِّلۡمُؤۡمِنِينَ

«Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman(57)» [Yunus: 57]

Bagaimana Al-Quran mampu merawat penyakit yang dalam dada? Salah satunya adalah dengan membetulkan sistem nilai dan sistem kepercayaan yang dibentuk masyarakat mahupun dibisik syaitan. Melalui kebenaran wahyu, segala cara fikir salah boleh diluruskan dan mempengaruhi perilaku mukmin. 

Misalnya, tatkala terlintas kemahuan berburuk sangka, pedoman surah Al-Hujurat memujuk hati untuk tidak meneruskan. Begitu juga ketika diuji rasa marah terhadap ahli keluarga, ada surah At-Taghabun melegakan hati untuk pilih jalan memaafkan. 

Moga-moga setiap kita tidak terperangkap dalam naratif “kisah sendiri” yang menjatuhkan dan merencat potensi. Selama-lamanya kita bermohon kepada Allah s.w.t agar diberikan petunjuk dan dilindungi bisikan syaitan. 

Rujukan :

Dweck, C. S. (2016). Mindset: The new psychology of success (Updated ed.). New York.

Hill, D., & Sorensen, D. (2021). ACT Daily Journal: Get Unstuck and Live Fully with Acceptance and Commitment Therapy. New Harbinger Publications.

Nasaruddin Idris Jauhar (2021). Halakah ke-14 : Surah An-Nas. Tadabur Al-Quran Sahabat Pena Nusantara.