“Jangan baik sangat, nanti orang pijak kepala”
Pernah atau tidak kita mendengar ayat seperti ini? Betul ke jangan terlalu baik dengan orang lain, nanti orang itu belum tentu membalas kebaikan yang telah kita berikan, malahan lebih buruk jika kebaikan yang dilakukan dibalas dengan keburukan? Jadi adakah kita tidak perlu menjadi manusia yang sentiasa melakukan kebaikan? Sedangkan di dalam sebuah hadis dijelaskan:
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ مَعْرُوفٍ صَدَقَةٌ
“Dari Nabi Muhammad SAW, baginda bersabda: Setiap perbuatan baik adalah sedekah.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Hadith ini menjelaskan semua kebaikan (perbuatan dan amalan baik) yang dilakukan adalah sedekah. Perbuatan yang membolehkan seseorang itu memperoleh pahala daripadanya dikira sebagai sedekah. Sedekah di sini juga tidak terhad kepada mengeluarkan wang ringgit dan harta, malahan senyum juga sedekah, membantu orang lain mengangkat barang juga satu sedekah dan mengeluarkan kata-kata yang baik juga sedekah. Apatah lagi sekiranya kita berbuat baik kepada orang lain, dengan ikhlas dan tidak mengharapkan balasan, itu juga satu sedekah. Jadi, jelaslah Islam menggalakan umatnya untuk berbuat baik kepada diri sendiri dan orang lain.
Jangan Meremehkan Kebaikan Orang Lain
Dalam sebuah kisah, pada zaman Imam Malik, ada seorang ahli ibadah yang bernama Abdullah al-Umari, beliau telah menulis sepucuk surat kepada Imam Malik dan mengajaknya untuk melakukan ibadah secara sembunyi dan bukan terang-terangan seperti mana yang dilakukan Imam Malik. Ini kerana Imam Malik telah menuntut ilmu dan menyebarkannya kepada orang ramai, sebagai satu usaha untuk menyebarkan kebaikan. Imam Malik telah membalas surat tersebut dengan berkata:
“Sesungguhnya, Allah membahagikan amalan hamba-hamba-Nya sebagaimana Dia membahagikan rezeki mereka. Mungkin seseorang itu dibukakan pintu amalannya melalui solat (sunat) tetapi dia tidak banyak berpuasa. Ada yang suka bersedekah dan tidak banyak berpuasa. Manakala yang lain pula dibuka pintu jihad baginya tetapi tidak banyak solat (sunat). Adapun mempelajari ilmu dan menyebarkannya merupakan sebaik-baik amalan kebaikan. Maka aku redha dengan apa yang Allah bukakan bagi aku. Aku juga merasakan apa yang aku lakukan ini bukannya tidak ada dalam apa yang tuan lakukan. Aku berharap agar kita berdua berada di atas jalan kebaikan dan kebajikan.”
[Petikan ini dipetik daripada penulisan Dr Abu Anas Madani]
Ambillah ibrah (pengajaran) daripada surat yang ditulis oleh Imam Malik ini. Setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu adalah mengikut kemampuan dan kebahagian buat individu tersebut. Sebahagian daripada kita mampu berbuat baik melalui bersedekah, kerana Allah memberikan rezeki harta buatnya. Ada yang mendapat kebaikan melalui memperbanyakkan solat sunat, kerana Allah memberikan kelapangan masa buatnya. Ada yang memperoleh kebaikan melalui memperbanyakkan puasa sunat, kerana Allah memberikan tenaga yang luar biasa buatnya. Ada juga di kalangan kita yang mampu untuk mengajar dan belajar, kerana Allah memberikan peluang menuntut ilmu dan menyampaikan ilmu kepadanya. Oleh itu, janganlah kita meremehkan sesuatu kebaikan, kerana setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu, adalah mengikut kemampuan individu tersebut dan Allah mengetahui bahawa itulah kegembiraan buat hamba-Nya. Bahkan sebagai umat Islam kita seharusnya menggalakan umat Islam yang lain membuat kebaikan. Jadi apabila kita melihat seseorang itu berbuat baik, berikanlah sokongan semoga mereka terus lebih semangat untuk menyebarkan kebaikan.
Teruskan Usaha Berbuat Baik
Teruskanlah usaha untuk memberikan kebaikan kepada orang lain. Sesuatu kebaikan dan kebajikan yang dilakukan, tidak sia-sia pada ‘pandangan’ Allah dan besar nilainya di sisi-Nya. Sebesar zarah sekalipun amalan kebaikan yang dilakukan, tidak pernah terlepas daripada amalan yang akan dihisab oleh Allah SWT. Malahan setiap amalan kebaikan yang dilakukan akan mendapat gandaan pahala daripada Allah SWT. Firman Allah SWT:
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ ۖ وَإِن تَكُ حَسَنَةً يُضَـٰعِفْهَا وَيُؤْتِ مِن لَّدُنْهُ أَجْرًا عَظِيمًا
“Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.”
(Surah an-Nisaa’: 40)
Gandaan pahala yang akan diberikan oleh Allah pada setiap kebaikan yang dilakukan dijelaskan dalam sebuah hadis qudsi, Nabi Muhammad SAW bersabda:
“…Sekiranya dia berniat untuk melakukan kebaikan, lalu dia melakukannya, maka Allah SWT menulis kebaikan itu disisi-Nya sebanyak sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus gandaan, sehingga gandaan kebaikan yang banyak untuknya…”
(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
Oleh itu, bantulah mereka yang berada di sekeliling anda, walaupun bantuan tersebut kecil di pandangan manusia, tetapi bersyukurlah atas peluang yang diberikan. Seperti mana Nabi Musa a.s. yang telah membantu dua orang wanita Madyan untuk mendapatkan air bagi memberi minum binatang ternakan mereka. Bantuan tersebut kecil, tetapi Nabi Musa a.s tetap rasa bersyukur kerana diberi peluang untuk membantu dan memudahkan urusan orang lain. Ini menunjukkan, apabila kita diberi peluang untuk membantu orang lain, maka bersyukurlah kerana Allah SWT telah memberikan kebaikan kepada kita melalui bantuan yang kita hulurkan. Bukankah tangan yang memberi itu lebih baik dari yang menerima? Kisah Nabi Musa ini dirakamkan dalam Al-Qur’an, firman Allah SWT, maksudnya:
“Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.”
(Surah al-Qasas: 24)
Zahirkan Jazakallahu Khairan…
Kalimah ini membawa maksud ‘Semoga Allah membalas jasa baikmu itu dengan kebaikan’. Lazimilah diri kita dengan menzahirkan rasa terima kasih kepada orang yang telah berbuat baik kepada kita. Kerana itu juga sebahagian daripada menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT dengan nikmat yang telah diberikan kepada kita melalui pertolongan manusia. Oleh itu, ucapkanlah terima kasih kepada orang yang telah berbuat baik kepada kita dengan mengatakan Jazakallahu Khairan, dan itu adalah lebih baik. Nabi SAW bersabda:
من صُنِعَ إليه مَعْرُوفٌ فقال لِفَاعِلِهِ جَزَاكَ الله خَيْرًا فَقَدْ أَبْلَغَ في الثَّنَاءِ
“Barangsiapa yang diberikan satu perbuatan kebaikan kepadanya lalu dia membalasnya dengan mengatakan ‘Jazakallahu Khairan’ (Semoga Allah membalasmu dengan Kebaikan), maka sungguh hal itu telah mencukupi dalam menyatakan rasa syukurnya.”
(Hadis Riwayat Tirmizi)
Justeru, teruskanlah berbuat baik dalam kehidupan ini, usahakanlah untuk ikhlaskan diri atas setiap perbuatan baik yang kita berikan kepada orang lain. Hakikatnya, sesuatu kebaikan yang dilakukan dengan ikhlas, tidak akan mengharapkan sebarang balasan. Sekiranya manusia yang menerima kebaikan itu, terlupa dengan kebaikan tersebut, ingatlah Allah tidak pernah lupa dengan kebaikan yang kita lakukan walaupun sebesar zarah. Malahan kita harus rasa syukur bahawa Allah SWT memilih kita untuk menyebarkan kebaikan tersebut. Justeru, kebaikan itu satu sedekah, bersyukurlah atas peluang yang diberikan, galakkanlah orang lain memberikan kebaikan dan zahirkan rasa syukur apabila kita dibantu dengan mengucapkan Jazakallahu Khairan. Wallahu a'lam.