Bismillah.

Berita gembira merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan oleh setiap insan.

Mengapa? Perkara itu merupakan salah satu bentuk nikmat bagi setiap insan.

Apakah perkara yang dinanti-nantikan setiap jiwa?Ayuh, kita sama-sama membuat refleksi diri, bermula dari awal pagi apakah perkara yang singgah di fikiran kita?

Apa yang menjadi fokus utama dalam kehidupan kita? Apakah yang menjadi kerisauan kita? 

Apakah perkara yang menggembirakan kita?

In Shaa Allah, persoalan-persoalan ini amat membantu kita membuat refleksi diri.

Ma Shaa Allah, Allah telah memberi petunjuk kepada kita untuk bergembira dengan nikmat yang istimewa ini yang turun atas sifat Ar Rahman Allah. 

Allah berfirman di dalam Surah Yunus : Ayat 57 dan 58

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ قَدۡ جَآءَتۡكُم مَّوۡعِظَةٌ۬ مِّن رَّبِّڪُمۡ وَشِفَآءٌ۬ لِّمَا فِى ٱلصُّدُورِ وَهُدً۬ى وَرَحۡمَةٌ۬ لِّلۡمُؤۡمِنِينَ (٥٧) قُلۡ بِفَضۡلِ ٱللَّهِ وَبِرَحۡمَتِهِۦ فَبِذَٲلِكَ فَلۡيَفۡرَحُواْ هُوَ خَيۡرٌ۬ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ (٥٨)

57.  Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Qur'an yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.

58.  Katakanlah (wahai Muhammad) "kedatangan Al-Qur'an itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Qur'an itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)".

Ma Shaa Allah, di dalam ayat di atas, Allah menyatakan Al-Qur’an merupakan satu kurniaan Allah dan satu seruan untuk bergembira dengan nikmat Al-Qur’an. Persoalannya, bagaimana ingin bergembira dengan nikmat Al-Qur’an? Antaranya, dengan menunaikan hak-hak Al-Qur’an.

Pertama, dimulakan dengan membaca Al-Qur’an. Allah berfirman di dalam Surah Al-’Alaq: Ayat 1-5

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ (١) خَلَقَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مِنۡ عَلَقٍ (٢) ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ (٣) ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ (٤) عَلَّمَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ (٥)

1.  Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),

2.  Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;

3.  Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -

4.  Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -

5.  Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Kedua, tilawah Al-Qur'an untuk belajar memahami makna. Allah berfirman di dalam Surah Al- Baqarah : Ayat 121

ٱلَّذِينَ ءَاتَيۡنَـٰهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ يَتۡلُونَهُ ۥ حَقَّ تِلَاوَتِهِۦۤ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ يُؤۡمِنُونَ بِهِۦ‌ۗ وَمَن يَكۡفُرۡ بِهِۦ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡخَـٰسِرُونَ (١٢١)

121.  Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

Ar Raghib Al-Asfahani di dalam Kamus Al-Qur’an memberi definisi تلى sama dengan تبعه (dia mengikutinya)

Maksudnya, adalah setelah membaca, kita berusaha memahami. Seterusnya mengikuti apa yang  diperintahkan di dalam Al-Qur’an.

Ketiga, dengan mentaddaburi Al-Qur’an. Allah berfirman di dalam Surah Sad: Ayat 29

Apakah yang dimaksudkan dengan tadabbur? Ia berasal dari perkataan دبر yang bermaksud belakang atau hujung sesuatu menurut Ar Raghib Al- Asfahani.

Maksudnya, kita berusaha merenung ayat tersebut sehingga mendapat pelajaran dan ibrah.

كِتَـٰبٌ أَنزَلۡنَـٰهُ إِلَيۡكَ مُبَـٰرَكٌ۬ لِّيَدَّبَّرُوٓاْ ءَايَـٰتِهِۦ وَلِيَتَذَكَّرَ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ (٢٩)

29.  (Al-Qur'an ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), - Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.

Keempat, dengan tadarus Al-Qur'an iaitu membaca berulang-ulang untuk menghayati sesuatu ayat dan kisah. Allah berfirman di dalam Surah Al-Imran : Ayat 79

Perkataan tadarus ini berasal dari perkataan درس bermaksud terus menerus belajar menurut Ar Raghib Al Asfahani

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤۡتِيَهُ ٱللَّهُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحُكۡمَ وَٱلنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُواْ عِبَادً۬ا لِّى مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلَـٰكِن كُونُواْ رَبَّـٰنِيِّـۧنَ بِمَا كُنتُمۡ تُعَلِّمُونَ ٱلۡكِتَـٰبَ وَبِمَا كُنتُمۡ تَدۡرُسُونَ (٧٩)

79.  Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.

Melalui proses pengulangan membaca Al-Qur'an akan menambah keyakinan dan seterusnya menjadikan Al-Qur’an sebagai petunjuk dan pedoman di dalam kehidupan.

Ayuh, sama-sama kita bergembira dengan nikmat yang teragung ini. 

Bergembiralah wahai manusia dengan Al-Qur’an.

Melalui proses pembelajaran yang berterusan.

Penawar segala penyakit di dada.

Sumber kekuatan dan harapan di dalam kehidupan.

Al-Qur’an yang memberi petunjuk mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya.