Agar solat sampai pada tujuan.

Oleh Ayat Ibrahim

“Kau dengar berita jiran kita?”

“Ya. Sedih sangat.”

“Sedangkan si suami tu hari-hari solat kat surau. Kenapa perangai dera isteri sampai cacat anggota?”

“Teruk sangat kena pukul tu.”

***

Ragam masyarakat muslim. 

Ada yang melaksanakan solat, tapi berperangai buas. 

Ada yang melaksanakan solat, tapi masih bergelumang perkara keji dan mungkar. 

 

Solat itu sebenarnya apa? Adakah solat dilihat sebagai tujuan lalu setelah melaksanakan solat, selesailah tuntutan terhadapnya?

Atau, adakah solat sebenarnya satu proses yang menyampaikan kepada tujuan? Lalu, jika solat masih belum capai tujuan, perlu koreksi lagi hal apa yang menyebabkan solat tidak bawa kepada tujuan. 

 

Solat itu sebenarnya untuk ingat Allah.

Solatlah, untuk sedar peringatan daripada Allah. 

 

إِنَّنِيٓ أَنَا ٱللَّهُ لَآ إِلَٰهَ إِلَّآ أَنَا۠ فَٱعۡبُدۡنِي وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِذِكۡرِيٓ

«"Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, abdikanlah diri kepadaKu, dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku(14)» [Surah Ta-ha: 14]

Satu kalimah  لِ dalam surah Ta-ha ayat 14 beri pengaruh besar dalam kita memahami tujuan pensyariatan solat. Apa yang menarik, perintah solat yang berpasak tujuan ingat Allah diletakkan pada kedudukan akhir ayat tersebut. Sebelum Allah s.w.t memerintahkan solat kepada Nabi Musa a.s, Allah s.w.t terlebih dahulu memperkenalkan diriNya (ma’rifatullah), menegaskan perihal tauhid dan mengingatkan konsep pengabdian sebagai kesan tauhid. 

Belajarlah untuk kenal Allah. 

Ayat 14 surah Ta-ha dimulakan dengan إِنَّنِيٓ أَنَا ٱللَّهُ . Jika diterjemah secara perkata, ayat ini bawa makna “Sesungguhnya Aku, Akulah Allah.” 

Ada penegasan dalam mengenalkan siapa Allah s.w.t  di sini. Satu pengajaran besar yang dapat kita garap adalah pentingnya mengenali Allah s.w.t sebelum datangnya perintah mendirikan solat. Sedangkan solat itu tujuannya mengingati Allah, bagaimana mampu ingat Allah s.w.t jika sebelum itu, diri tidak mengenaliNya?

Tahu hukum-hakam agama tetapi tidak mengenali Allah s.w.t berisiko menjadikan manusia belajar agama tanpa Tuhan. Kesannya, ada manusia yang mendirikan solat tetapi saat dihidangkan timbunan wang rasuah, cepat-cepat mengambilnya. Ada juga manusia yang punyai pengaruh, mengajar agama kepada ramai tetapi terjebak perkara keji. Sudahkah solat yang 5 waktu membuatkan hati hadir ingat pada Allah s.w.t? Jika solat tidak berfungsi mengingatkan si hamba akan Allah s.w.t, akibatnya, perintah dan larangan Allah s.w.t sanggup dilanggar tanpa rasa bersalah kerana tidak mengerti siapa Allah Al-Malik dan Al-’Aziz. 

“Perlukah saya mengenal Allah?” 

Mengenali Allah sebenarnya satu perintah. Buktinya, terbentang banyak ayat-ayat Quran berserta nama-nama Allah yang diawali dengan kalimah perintah “Ketahuilah / Carilah ilmu” ( ٱعۡلَمُوٓاْ ). Cuba perhatikan perintah carilah ilmu untuk kenal Allah dalam ayat-ayat berikut. 

فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ 

maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana [Al-Baqarah: 209]

وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَيۡءٍ عَلِيمٞ 

Dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu [Al-Baqarah: 231]

وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ 

Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan(233)» [Al-Baqarah: 233]

وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ يَعۡلَمُ مَا فِيٓ أَنفُسِكُمۡ فَٱحۡذَرُوهُۚ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ حَلِيمٞ 

Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaanNya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar» [Al-Baqarah: 235]

Pernahkah kita dengari rungutan seperti “Susahlah nak tegur pasangan. Dia rasa dia sahaja yang betul.” 

Mendidik pasangan antara cabaran mereka yang telah berumahtangga. Jika diperhatikan, kebanyakan ayat-ayat dalam jadual di atas terkait hukum-hakam rumahtangga. Jika manusia tidak mengenal Allah, interaksi dengan pasangan khuatir rapuh akibat masing-masing mahu memenangkan cara fikir tersendiri. Tidak mengenal Allah s.w.t boleh menyebabkan hadir rasa tidak bersalah melanggar tanggungjawab yang digariskan Allah s.w.t. 

  Lalu, solusi mendidik hati agar tak culas dalam tanggungjawab yang digariskan Allah s.w.t adalah dengan mengenal Allah s.w.t. Begitulah besarnya pengaruh kenal Allah s.w.t dalam mengemudi tindakan mukmin sehari-hari. 

Nafikan segala ilah selain Allah s.w.t 

Setelah mengenalkan diriNya, bahagian berikutnya dalam surah Ta-ha ayat ke-14 adalah kalimah tauhid  لَآ إِلَٰهَ إِلَّآ أَنَا۠ . Kalimah tauhid ini dimulakan dengan kata penafian “Tiada Ilah”. 

Mengapa perlu penafian? Tidakkah cukup pernyataan “Tuhan saya adalah Allah?”

Sebenarnya, sebelum manusia dididik wahyu, ramai manusia mengambil bermacam-macam tuhan sebagai sembahan dalam hidup mereka. Ada tuhan berbentuk konkrit dan nampak seperti berhala dan kalangan pemimpin yang dipuja. Ada juga tuhan berbentuk abstrak yang tak nampak dek mata kasar seperti syaitan dan hawa nafsu sendiri. Al-Quran mendedahkan bahawa ada manusia mengambil syaitan dan hawa nafsu sebagai tuhan yang disembah. 

أَلَمۡ أَعۡهَدۡ إِلَيۡكُمۡ يَٰبَنِيٓ ءَادَمَ أَن لَّا تَعۡبُدُواْ ٱلشَّيۡطَٰنَۖ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ (٦٠) وَأَنِ ٱعۡبُدُونِيۚ هَٰذَا صِرَٰطٞ مُّسۡتَقِيمٞ (٦١)

«"Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!(60) "Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus» [Ya-Sin: 60-61]

أَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَٰهَهُۥ هَوَىٰهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيۡهِ وَكِيلًا

«Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?» [Al-Furqan: 43]

Kalimah tauhid  لَآ إِلَٰهَ إِلَّآ أَنَا۠ dalam surah Ta-ha ayat ke-14 mengajar kita bahawa sebelum perintah solat, seseorang itu perlulah terlebih dahulu membersihkan keimananannya daripada sebarang kesyirikan. Ketaatan kepada bisikan syaitan dan hawa nafsu perlu dimusnahkan untuk menetapkan bahawa tiada ilah selain Allah s.w.t. 

Pengabdian hanya kepada Allah s.w.t.

Setelah penetapan kalimah tauhid, Allah memerintahkan untuk mengabdikan diri hanya kepadaNya melalui kalimah فَٱعۡبُدۡنِي  yang bermaksud “Abdikanlah diri kepadaKu.” Pengabdian kepada Allah s.w.t bawa maksud ketaatan kepada kata-kataNya. 

“Bagaimana manusia mampu taat pada kata-kataNya sedangkan Allah s.w.t tidak boleh dilihat mata?” 

Al-Quran hadir sebagai wahyu daripada Allah s.w.t. Melalui Quran, manusia tahu apa kata-kata Allah s.w.t. Setelah tahu bicaraNya, barulah seorang hamba itu mampu manifestasikan ketaatan kepada Allah s.w.t .

الٓرۚ كِتَٰبٌ أُحۡكِمَتۡ ءَايَٰتُهُۥ ثُمَّ فُصِّلَتۡ مِن لَّدُنۡ حَكِيمٍ خَبِيرٍ(١) أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّا ٱللَّهَۚ إِنَّنِي لَكُم مِّنۡهُ نَذِيرٞ وَبَشِيرٞ(٢)

«Alif, Laam, Raa'. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya(1) supaya janganlah kamu menyembah sesuatupun melainkan Allah. (Katakanlah wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku diutus oleh Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran (kepada orang-orang yang (ingkar), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang (beriman)(2)» [Hud: 1-2]

Ayat pertama dan kedua surah Hud merupakan dalil bahawa pengabdian kepada Allah berkait rapat dengan Al-Quran. Tanpa memahami kata-kata Allah s.w.t, si  hamba tidak mampu mengambil tindakan pengabdian kepada Allah s.w.t. Bagaimana mungkin seorang hamba mampu taat jika tidak tahu apa yang dikatakan tuhannya? 

Dirikan solat untuk ingat Allah s.w.t .

Akhirnya, setelah mengenalkan siapa diriNya, menegaskan perihal tauhid dan perintah pengabdian hanya kepadaNya, barulah Allah memerintahkan Nabi Musa a.s untuk mendirikan solat bagi mengingatiNya. 

وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِذِكۡرِيٓ 

Dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku [Surah At-Ta-ha, 20 : 14]

 Solat itu tujuannya adalah mengingati Allah. Jika solat dilaksanakan dalam keadaan si hamba lupa langsung akan Allah s.w.t, tujuan asal pensyariatan solat khuatir tidak tercapai. Fahami mesej daripada Allah (tadabbur), ambil pengajaran daripada ayat-ayat Allah (tazakkur) selanjutnya fikir & renung secara mendalam tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t pada alam (tafakkur). Tiga proses ini akan beri pengaruh dalam memaknai solat. Akhirnya, solat yang punyai peringatan daripada Allah (dzikrullah ) ini jadi komponen yang lebih besar dalam solat sehingga mampu cegah manusia daripada perkara keji dan mungkar. 

ٱتۡلُ مَآ أُوحِيَ إِلَيۡكَ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِۗ وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَكۡبَرُۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ مَا تَصۡنَعُونَ

«Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya peringatan daripada Allah adalah lebih besar; dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan» [Al-Ankabut: 45]

Solat bukan sekadar solat, ada persiapan untuk sampai pada tujuan.

Surah Ta-ha ayat 14 mengajar kita kepentingan tiga hal asas sebelum seseorang mendirikan solat. Melalui ayat ini, sedarlah kita bahawa persiapan solat bukan sekadar ketika waktu solat, tetapi keseluruhan hidup beri pengaruh terhadap kualiti solat yang bakal didirikan.

Pertama, usaha untuk kenali Allah melalui kalamNya. Pasakkan keyakinan akan siapa Allah s.w.t dengan fikirkan tanda-tanda kebesaranNya. 

Kedua, hapuskan sebarang bentuk kesyirikan dengan menetapkan hanya Allahlah tuhan yang kita abdikan diri. Cuba koreksi diri dan jujur bertanyakan apakah syaitan dan hawa nafsu masih merajai, menjadi tuhan yang memerintah hati? 

Ketiga, peduli untuk faham wahyu agar memahami bicaraNya. Moga-moga dengan jelas menyedari kehendak Allah s.w.t melalui kefahaman Quran akan buka jalan untuk kita mampu mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Tanpa memahami wahyu, bagaimana manusia jadi hambaNya?

Setelah mengenal Allah, penegasan tauhid dan perintah pengabdian, barulah datangnya perintah mendirikan solat untuk ingat kepada Allah. 

“Boleh tak saya nak solat sahaja ? Tidak mahu mengenal Allah, tidak mahu lepaskan ketaatan kepada syaitan dan hawa nafsu sendiri. Tidak mahu belajar memahami Quran.” 

Untuk persoalan ini, mari fikirkan kembali soal tujuan. Selama ini, sudahkah capai tujuan ingat Allah setiap kali mendirikan solat? Jika fikiran sentiasa menerawang seawal beberapa minit pertama solat, kemungkinan tindakan-tindakan di luar solat tidak menyokong tujuan solat. Misalnya, sebelum solat, gagal mengenali Allah s.w.t di sebalik sebarang fenomena yang berlaku. Sebelum solat, gagal menahan diri daripada mengikuti hawa nafsu lalu berkali-kali ingkar perintah Allah. Jika hal ini berterusan, sentiasa ingkar perintah Allah s.w.t di luar solat, lalu berfungsikah solat sebagai ruang mengingatkan si hamba akan tuhannya?

Mahu perbaiki solat agar berfungsi sedar peringatan daripadaNya? Persiapkan tiga hal berikut sebelum mendirikan solat setiap waktu. 

  1. Kenali Allah s.w.t melalui tadabbur Quran dan tafakkur tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t di alam.
  2. Musnahkan “berhala-berhala” dalam diri dengan ingkar terhadap bisikan syaitan dan hawa nafsu. 
  3. Peduli belajar memahami Quran agar berpeluang jadi hamba yang taat setelah faham firmanNya. 

Moga-moga solat setiap kita jadi bermakna dan capai tujuan ingat kepadaNya.