Pernah suatu ketika, tular di media sosial tokoh usahawan kaya anjurkan program. Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan, teruja untuk hadir. Peserta jauh turut jejakkan kaki.

“Kenapa kau tak pergi?”

“Yurannya mahal.”

“Tapi ilmu yang nak belajar ni lagi mahal.”

          Output program seperti untung melimpah-ruah atau cepat kaya jadi alasan untuk sanggup labur wang menghadirinya. Rasa yakin dan percaya terhadap penganjur terbangun melalui kredibiliti penceramah atau jurulatih yang mengendalikan program.  

“Sebab dia dah berjaya, dia dah kaya. Kita kena belajar daripada dia.”

           Logik sahaja pemikiran sebegitu. Memang sifat manusia, mahu percaya setelah terlihat bukti. Saat merenung fenomena ini, terfikir-fikir sesuatu. Betapa tingginya kesungguhan dan pengorbanan untuk berguru dengan mereka yang telah berjaya dalam perniagaan. Namun, sudahkah diri ini bersungguh-sungguh untuk belajar dengan mereka yang telah berjaya memasuki syurga?

Al-Quran diturunkan dari tempat yang tak terikat dimensi waktu.

“Kita boleh nak belajar daripada tokoh usahawan berjaya. Sebab orangnya ada. Mana boleh samakan dengan kesungguhan nak belajar dengan ahli syurga. Hari Akhirat belum tiba lagi.”

Rasa mustahil untuk belajar dengan ahli syurga? Mari fikirkan tentang wahyu.

شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهۡرَ فَلۡيَصُمۡهُۖ

Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu;

[Al-Baqarah: 185]

Dalam ayat ini, kalimah أُنزِلَ memberi gambaran wahyu turun dari satu arah.

Dari mana datangnya wahyu itu? Jauhkah tempat itu?

Pada alam realiti, tatkala tokoh terkenal dari negara jauh datang ke negara kita, beliau disambut penuh hormat bukan? Bahkan diadakan lagi majlis sambutan besar-besaran. Bagaimana pula dengan kalam Allah yang diturunkan dari satu tempat yang amat jauh? Bagaimana hati kita menyambutnya? Bahkan Allah mendidik kita untuk raikannya dengan puasa pada setiap Ramadhan.

Sedarkah kita bahawa Al-Quran turun dari satu tempat yang tidak terikat dimensi waktu seperti di bumi? Jika melihat melalui perspektif dunia, kandungan Al-Quran sarat dengan berita manusia yang telah lalu dan akan datang.

Misalnya, tatkala adik-beradik Nabi Yusuf a.s sembunyi-sembunyi berbincang untuk menzalimi Nabi Yusuf a.s pada kurun yang lampau, mereka tidak tahu bahawa tindakan mereka akan dirakam dalam Al-Quran, jadi pedoman untuk umat akhir zaman. Begitu jugalah dialog-dialog manusia yang telahpun memasuki syurga. Rupa-rupanya ada dalam Quran bingkisan kata-kata ahli syurga, menjadi pedoman umat Nabi Muhammad s.a.w.

Justeru, berminat belajar daripada ahli syurga mengenai “tips-tips berjaya” sampai ke syurga?

Ahli syurga bersyukur atas petunjuk Allah.

Di dunia, ketika dinobatkan anugerah bertitik-tolak kejayaan sesuatu, ada yang dijemput berikan ucapan penghargaan. Dalam ucapan, insan-insan yang paling banyak menyumbang akan disebut-sebut. Bagaimana agaknya ucapan ahli syurga? Mereka akan menghargai siapa?

Mari teliti salah satu ucapan ahli-ahli syurga yang telah berjaya memasukinya.

وَنَزَعۡنَا مَا فِي صُدُورِهِم مِّنۡ غِلّٖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهِمُ ٱلۡأَنۡهَٰرُۖ وَقَالُواْ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِي هَدَىٰنَا لِهَٰذَا وَمَا كُنَّا لِنَهۡتَدِيَ لَوۡلَآ أَنۡ هَدَىٰنَا ٱللَّهُۖ لَقَدۡ جَآءَتۡ رُسُلُ رَبِّنَا بِٱلۡحَقِّۖ وَنُودُوٓاْ أَن تِلۡكُمُ ٱلۡجَنَّةُ أُورِثۡتُمُوهَا بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ

Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata:

"Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran".

Dan mereka diseru: "Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan"

[Al-A'raf: 43]

           Melalui ayat ini, ahli syurga bersyukur atas nikmat petunjuk daripada Allah s.w.t. Ungkapan kesyukuran ini bahkan disambung dengan pernyataan hadirnya utusan-utusan Allah s.w.t yang membawa kebenaran. 

Apakah perkaitan antara petunjuk, Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w ?

           Dalam masyarakat kita, ada segelintir yang anggap petunjuk sebagai sesuatu yang eksklusif. Bagi mereka, manusia tidak mampu berusaha mendapatkannya kerana petunjuk adalah atas kehendak Allah semata-mata. Lalu muncullah sikap berlepas diri daripada tanggungjawab pengabdian dengan alasan “Allah tak bagi petunjuk lagi kepada saya”. Persis iblis yang menyalahkan Allah s.w.t dalam surah Al-’Araf.

           Adakah definisi petunjuk sekadar merujuk sesuatu yang ajaib, di luar usaha manusia dan mampu tiba-tiba ubah sikap manusia daripada ingkar kepada taat? Petunjuk bukan sesuatu yang perlu dicari dan diusahakan kerana bukan dalam wilayah kemampuan manusia?

           Mari fikirkan tentang fenomena berdoa.

Apabila seseorang berdoa kepada Allah s.w.t mengharapkan rezeki melimpah-ruah, kita mengharapkan manusia tersebut juga berusaha bekerja untuk dapatkan rezeki. Bukan berdoa semata-mata tetapi malas berusaha.

           Apabila ada pelajar berdoa kepada Allah s.w.t mengharapkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan, kita juga mahu dirinya usaha belajar agar bijak jawab kertas peperiksaan. Bukan sekadar meminta kepada Allah s.w.t tetapi malas belajar.

           Lalu, tatkala seorang mukmin berdoa kepada Allah s.w.t mengharapkan petunjuk jalan yang lurus, apakah sikap yang kita harap terzahir daripadanya? Apatah lagi jika doa itu diulang minta sekurang-kurangnya 17 kali sehari dalam solat.

ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (٦) صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ (٧)

«Tunjukilah kami jalan yang lurus(6) Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat(7)» [Al-Fatihah: 6-7]

           Bolehkah kita bersikap sekadar berdoa harapkan petunjuk daripada Allah s.w.t  tetapi malas berusaha dapatkannya? Seakan-akan hanya mahu Allah s.w.t yang memasukkan petunjuk ke dalam hati tanpa diri peduli membaca dan mendengar petunjuk kebenaran yang telah disampaikan para nabi.

Doa mohon petunjuk dalam Al-Fatihah yang dibaca setiap solat amat signifikan jika dikaitkan dengan ucapan ahli syurga dalam surah Al-‘Araf tadi. Petunjuk daripada Allah adalah antara sebab berjayanya mereka memasuki syurga dan itulah juga satu-satunya doa yang telah Allah skripkan kepada kita sekurang-kurangnya 17 kali sehari dalam solat.

Petunjuk itu, hakikatnya sudah pun sampai kepada kita. Kerana petunjuk itu ada dalam wahyu yang Dia turunkan.

الٓمٓ (١)  ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ (٢)

«Alif, Laam, Miim(1) Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;(2)» [Al-Baqarah: 1-2]

 Peringatan kepada manusia pertama yang turun dari syurga.

           Jika seorang anak keturunan bangsawan yang hidup mewah sejak kecil tiba-tiba dihantar ke sebuah asrama sekolah yang biasa-biasa, agaknya bagaimana perasaannya? Dia pernah merasai nikmatnya hidup mewah dengan segala kemudahan, tiba-tiba terpaksa bergaul dengan masyarakat awam dan hidup dalam kekurangan.

Pasti ada rasa tidak selesa.

Barangkali ada rasa mahu kembali pada kehidupan mewah sebelum itu.

           Begitulah, setiap anak-anak Adam yang beriman seharusnya sedar kampung asalnya adalah syurga yang penuh nikmat. Bapa kita iaitu Nabi Adam a.s pernah merasai nikmatnya syurga. Dengan keimanan ini, seharusnya hidup di dunia disikapi sebagai persinggahan yang berfungsi sebagai jambatan amal untuk kembali ke kampung syurga. 

Dunia ini bukan tempat asal kita.

Persoalannya, bagaimana untuk berjaya kembali ke syurga yang penuh dengan kenikmatan?

           Ketika Nabi Adam a.s dan Hawwa diperintahkan untuk turun ke dunia, Allah s.w.t beri peringatan akan fungsi petunjuk.

قُلۡنَا ٱهۡبِطُواْ مِنۡهَا جَمِيعٗاۖ فَإِمَّا يَأۡتِيَنَّكُم مِّنِّي هُدٗى فَمَن تَبِعَ هُدَايَ فَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ

Kami berfirman lagi: "Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita" [Al-Baqarah: 38]

           Sekali lagi, kita diingatkan fungsi petunjuk Robb yang disampaikan melalui rasul-rasul. Menyampaikan kandungan Al-Quran sebagai petunjuk daripada Allah s.w.t adalah sunnah terbesar Rasulullah s.a.w.

Al-Quran, itulah petunjuk daripada Allah yang telahpun sampai kepada kita melalui rasul.

Peranan Al-Quran sebagai petunjuk yang menyampaikan ke syurga.

           Petunjuk dan kehidupan, dua entiti yang tidak boleh dipisahkan.

Pesan Allah kepada manusia pertama (Nabi Adam) yang memulakan kehidupan di dunia adalah “Ikutilah petunjuk daripadaKu.”(Al-Baqarah,2 :38)

Skrip doa yang diulang pinta 17 kali sehari oleh manusia yang sedang melalui kehidupan dunia adalah “Berilah petunjuk kepada kami akan jalan yang lurus.” (Al-Fatihah, 1 : 6)

Seterusnya, bicara manusia yang telah berjaya mengakhiri kehidupannya lalu memasuki syurga adalah “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk” (Al-‘Araf, 7 : 43)

Petunjuk daripada Allah yang disampaikan Rasulullah s.a.w punya peranan besar menuntun manusia menuju syurga. Ini kerana, melalui Al-Quran, iman akan tumbuh lalu menzahirkan amal soleh.

Misalnya, melalui petunjuk surah Al-Hujuraat, manusia mengimani perintah untuk tidak berburuk sangka dan merendah-rendahkan golongan lain. Lalu, lahirlah peribadi yang saling mendamaikan dan harmoni berinteraksi antara sesama. Inilah bentuk amal soleh dalam interaksi sosial.

Lagi, melalui petunjuk surah Al-Baqarah dan An-Nisa’, pasangan suami isteri mengimani tanggungjawab masing-masing dan menyedari amanah yang diberikan Allah s.w.t. Lalu, lahirlah akhlak sebagai pasangan yang penyayang dan tak sanggup menzalimi kerana yakin pembalasan akhirat. Inilah antara bentuk amal soleh dalam pembangunan rumahtangga.

Ini baru 3 contoh surah yang menjadi panduan amal soleh buat orang beriman. Ada 114 surah dalam Al-Quran yang perlu difahami agar berfungsi sebagai petunjuk hidup. Tanpa Al-Quran, bagaimana untuk tumbuhkan iman yang selanjutnya membuahkan amal soleh? Sedangkan, iman dan amal soleh adalah dua karakter utama ahli syurga.

Justeru, mahu berusaha menjadi ahli syurga? 

Ayuh! Mulakan langkah dapatkan petunjuk dengan fahami Al-Quran. Peruntukkan masa untuk hadiri kelas-kelas yang membantu kefahaman wahyu.

Dapat sesuatu daripada artikel ini? 

Bantu kongsikan agar teman-teman yang kita kasihi turut sama berusaha untuk jadi calon ahli syurga. 

 

Rujukan :

Mokhammad Yahya (2021). Rakaman Tadabbur ayat-ayat Ramadhan. Kuliah Tadabbur Quran Usrah QMap3T anjuran Beautiful Life Centre.