“Jangan dibandingkan anak-anak kita!” mungkin sudah menjadi sesuatu yang kita biasa dengar. Saya cuba untuk memahami mengapa ibu bapa membandingkan anak-anak mereka? Mereka sudah diberitahu bahawa perbuatan membandingkan anak-anak itu kurang sedikit sahaja daripada membunuh mereka, sebab perbuatan itu membunuh jati diri, keyakinan diri dan kebahagiaan hidup mereka. Tetapi mengapa ibu bapa masih buat? Masih melukakan hati anak-anak?
Saya andaikan, mungkin antara sebab ibu bapa membuat perbandingan ialah, ibu bapa mahu mengukur perkembangan anak-anak. Cara paling mudah mengukur anak ialah dengan membuat perbandingan. Saya pendek sebab dia tinggi. Saya pandai sebab dia bodoh. Bukti saya pandai ialah saya hafal 10 juzuk manakala dia hafal 5 juzuk. Sedangkan, perbandingan bukanlah sentiasa cara yang betul mengukur sesuatu. Kita abaikan banyak faktor lain, ramuan tidak sama, jenis tidak sama, ukur hasil guna cara serupa. Ia adalah proses logik yang tidak benar.
Tolak ketepilah dari segi faktor luaran seperti samakah kemudahan, samakah sistem, samakah makanan, cuaca, pakaian, dan senarai tersebut boleh berpanjangan. Cukup dengan kita timbangkan FAKTOR DALAMAN. Adakah anak A auditori? Adakah anak B visual? Adakah anak C kinestetik? Cara belajar mereka tidak sama. Fasa perkembangan mereka juga berbeza-beza. Subjek yang mereka gemar serta boleh ‘score‘ juga lain-lain.
Jika kita nilai berapa banyak dia tahu dan hafal (hafal Quran, hafal fakta sejarah, hafal formula sains, tahu macam-macam benda), maka yang kita nilai itu adalah remembering, iaitu hanya satu bahagian kecil daripada kebolehan berfikir. Malah ia adalah kebolehan berfikir aras rendah.
Anak yang kurang kuantiti remembering, cuba tanya soalan meminta dia berpendapat? Boleh memberikan pandangannya terhadap satu masalah di dalam keluarga? Ada perancangan tentang apa strateginya untuk belajar? Soalan-soalan ini menilai bahagian-bahagian lain yang wujud di dalam kebolehan berfikir anak. Apakah tiada perkembangan anak di situ? Mungkinkah anak yang kurang hafalannya, lebih matang daripada anak yang juara dalam menghafal? Siapa penyelesai masalah keluarga, masyarakat dan dunia? Yang banyak menghafal atau yang mampu memahami, mengaplikasi, menganalisa, menilai dan merangka pelan! Tanpa saya nafikan, hafalan juga ada kepentingannya.
Saya kira, ramai ibu bapa bergantung hanya kepada keputusan peperiksaan untuk menilai anak. Maka saya ingin sarankan, lakukanlah assessment kepada anak secara berterusan dan lebih organik. Setiap kali berbual dengan mereka, nilaikan perbualan mereka, nilaikan kualiti lawak jenaka mereka, perhatikan cara mereka menyelesaikan masalah kehidupan mereka, tanya mereka soalan-soalan yang open ended… Hasil penilaian sebegini lebih organik dan mencerminkan perkembangan sebenar anak-anak. Barulah kita boleh dakwa “aku lebih tahu tentang anak aku!”
Salah satu sebab mengapa anak-anak yang tidak mencapai standard kita itu kemudiannya berjaya dalam hidup ialah, tekanan yang kita kenakan itu memaksa mereka untuk buktikan bahawa mereka juga istimewa dan berharga. Dan jangan pula apabila mereka berjaya, kita dengan mudah mendakwa ia hasil didikan kita. Sedangkan sesungguhnya kitalah punca mereka tidak bahagia semalam dan semalam-semalamnya.
Mungkinkah jika kita raikan kelainan mereka dan mendorong mereka dengan kasih sayang yang membahagiakan, mereka menjadi lebih hebat dan tidak perlu memujuk hati memaafkan kita, ibu bapa mereka sendiri?
Jika benar-benar kasihkan anak, hargailah mereka sebagai individu yang unik.
Lakukan Holland Code test ke atas mereka.
Jika mereka itu Realistic + Social (RS), maka pekerjaan yang dikatakan sesuai dengan mereka ialah pemandu bas, pemandu trak, bomba, polis dan pegawai penjara. Mengapakah bidang-bidang itu masyarakat kita pandang rendah? Mungkin kerana budaya dan sistem pendidikan kita tidak merestui calon polis terbaik menjadi polis. Jika personalitinya menjurus kepada kerjaya pemandu bas, fikirkanlah apa yang seorang RS boleh lakukan kepada industri bas sewa, bas sekolah, bas persiaran dan bas kilang? Betapa efisyennya sistem bas yang dikendalikan oleh RS? Berapa banyak nyawa yang boleh diselamatkan daripada kemalangan maut bas di lebuh raya? Dan betapa bahagianya rumahtangga yang suami dan ayahnya adalah RS yang bekerja dalam industri bas?
Bantulah anak untuk memenuhi impian mereka. Jangan jadikan mereka buruh paksa yang dikerah untuk memenuhi impian kita, biar pun kita ibu bapa mereka, kerana mereka bukan kita, dan kita bukan mereka.