Seorang remaja dengan wajah sugul mengadu pada kaunselor sekolah.

 

“Saya dah tak boleh bawa subjek ni, cikgu. Saya tak suka.”

 

“Awak pilih aliran sains tulen sekarang?”

 

“Mak saya suruh. Dia kata bidang sastera susah dapat kerja. Dia nak saya jadi doktor, tapi saya tak nak.”

 

Dilema laluan kerjaya

 

Dalam kaunseling kerjaya, antara konflik yang kerap berlaku kalangan remaja adalah pilihan bidang yang didominasi keinginan ibu bapa. Tidak dinafikan, ibu bapa mahu yang terbaik buat anak-anak. Ada yang guna pendekatan diskusi, beri ruang kepada anak-anak teroka kecenderungan masing-masing sambil beri bimbingan. Ada juga yang ambil jalan pintas, terus tetapkan anak-anak hanya boleh pilih antara kerjaya doktor, jurutera atau peguam. 

 

Satu persoalan yang perlu dirungkai adalah apakah panduan memilih kerjaya? Adakah bergantung pada peluang pekerjaan lalu institusi pendidikan berfungsi sebagai “kilang” menghasilkan pekerja terhadap industri semata-mata? Atau apakah faktor-faktor lain termasuk kecenderungan, minat dan potensi unik setiap individu perlu diambil kira untuk disumbangkan secara optimum kepada ummah? 

 

Kerisauan terhadap sumber rezeki memang realiti yang dilalui ramai ibu bapa. Lalu, yang sering jadi fokus adalah kerjaya yang dirasakan boleh bawa banyak keuntungan material. Minat dan kemampuan anak-anak diketepikan. Namun, jika pilihan ini tak selari dengan kemampuan dan keinginan anak, perjalanan hidup yang bakal dilalui khuatir tidak begitu membahagiakan. Akhirnya, potensi asal kurniaan Allah tidak dikembangkan dan ini sebenarnya merugikan masyarakat. 

 

Dalam surah Ali-Imran, Allah s.w.t terlebih dahulu memperkenalkan diriNya sebagai Yang Maha Hidup ( Al-Hayyu) dan Maha Mentadbir (Al-Qayyum) sebelum mengajar kita bahawa Dialah yang membentuk rupa fungsi kejadian (Al-Musawwir) . Sebelum Dia memperkenalkan diriNya yang membentuk potensi dan kecenderungan setiap insan, Dia terlebih dahulu beri jaminan bahawa Dialah yang memastikan keberlangsungan hidup seseorang individu. 

ٱللَّهُ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَيُّ ٱلۡقَيُّومُ

«Allah tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya»

[Surah Ali-Imran, 3 : 2]

Ayat ini mengajar kita bahawa setelah Allah s.w.t menciptakan kita, Dia tidak pernah meninggalkan kita. Dia terus beri kecukupan dan mengurus keberlangsungan hidup setiap kita. Pada ayat berikutnya, Allah s.w.t yang memastikan keberlangsungan hidup ini jugalah yang membentuk segala fungsi unik milik kita. Ini beri keyakinan untuk kita maksimakan potensi kerana Dialah juga Yang Maha Hidup dan Maha Mentadbir segala urusan.

 

هُوَ ٱلَّذِي يُصَوِّرُكُمۡ فِي ٱلۡأَرۡحَامِ كَيۡفَ يَشَآءُۚ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ

«Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana»
[Surah Ali-Imran, 3 : 6]

 

Maksimakan potensi yang dibentuk Allah Al-Musawwir untuk pengabdian. 

Tiga nama Allah terkait sifat menciptakan adalah Al-Khaliq, Al-Bari dan Al-Mushawwir. 

هُوَ ٱللَّهُ ٱلۡخَٰلِقُ ٱلۡبَارِئُ ٱلۡمُصَوِّرُۖ 

«Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya)

[Surah Al-Hashr, 59 : 24]

Menurut Al-Khathabi dan Ibnu Katsir, “Al-Mushawwir bermakna yang membuat ciptaanNya dalam berbagai bentuk berbeza agar saling dapat mengenal dan dibezakan.” 

 

Bahkan, satu pasangan kembar tetap dapat dibezakan meskipun punyai iras yang sama. Fikirkan ini, tiada seorang manusia sekalipun yang memiliki cap jari yang sama. Betapa kayanya Allah dalam membentuk rupa setiap kita. Semuanya unik dengan potensi tersendiri. 

 

Membentuk rupa manusia tidak terbatas pada rupa fizikal, tetapi termasuklah potensi-potensi lain. Bukankah kita dapati di sekeliling kita pelbagai manusia dengan kemampuan dan kemahiran berbeza? Kesemua potensi unik ini dibentuk mengikut kehendakNya. 

 

Ada yang begitu berbakat menulis tanpa perlu bersusah-payah dapatkan ilham sedangkan ada individu lain perlukan masa yang panjang hanya untuk menulis sebaris ayat. Ada juga yang mahir dengan hal-hal teknikal, mudah mengoperasikan sebarang gajet sedangkan ada individu lain hampir-hampir menangis hanya kerana belum menemui punat untuk ditekan bagi produk yang baru dibeli.

 

Dalam dunia kaunseling kerjaya, yang mahu dapatkan khidmat kenalpasti potensi diri boleh manfaatkan Hollands’ typology test atau Big Five personality test. Maklumat penilaian ini membantu individu merancang pilihan jalan kerjaya yang selari dengan personaliti dan kemahirannya.  

 

Khusus buat orang beriman, maklumat ini membangkitkan rasa syukur kerana menyedari Allahlah yang telah mencorak dan membentuk setiap potensi berbeza. Jika kita gagal mengenaliNya, khuatir potensi dimiliki manusia lain mencetus rasa dengki dan iri hati. Sedangkan, potensi yang Dia bentukkan pada setiap kita adalah aset mencorakkan misi hidup yang menyampaikan ke syurga. 

 

Potensi yang dibentuk Allah seharusnya dikenalpasti supaya boleh dibangunkan sebagai jalan pengabdian kepadaNya. Mari renungi beberapa misi para Nabi dalam memanfaatkan potensi yang dibentuk Allah Al-Mushawwir. 

 

Kita ada teladan Nabi Sulaiman a.s yang sedar akan potensinya memimpin penuh saksama. Terakam indah teladannya dalam Al-Qur’an, bekerja mengurus pemerintahan yang luas penuh taqwa kepada Allah. 

 

Kita juga ada teladan Nabi Yusuf a.s  yang berpotensi mentafsir mimpi dan khidmat profesionalnya dimanfaatkan untuk didik dua banduan penjara kembali kepada tauhid. 

 

Tak lupa juga kerjaya Nabi Isa a.s sebagai perawat, menyembuhkan penyakit manusia dan potensi baginda disalurkan untuk seru manusia kepada Allah Yang Maha Menyembuhkan. 

 

Jalan ( صراط ) orang-orang yang diberikan nikmat seperti para Nabi memberi inspirasi untuk setiap kita kembangkan potensi kurniaanNya sebagai manifestasi kesyukuran. Dengan potensi yang dibentuk Allah Al-Mushawwir, manusia berpeluang bekerja sungguh-sungguh sebagai bukti kesyukuran kepadaNya sebagaimana yang diperintahkan Allah kepada Nabi Daud. 

 

 ٱعۡمَلُوٓاْ ءَالَ دَاوُۥدَ شُكۡرٗاۚ وَقَلِيلٞ مِّنۡ عِبَادِيَ ٱلشَّكُورُ

"Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!" Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur»

 [Surah Saba, 34 : 13]

 

Al-Mushawwir membentuk potensi rohani, aqal dan hati manusia. 

 

Sifat Allah Yang Maha Membentuk Rupa (Al-Mushawwir) tidak terbatas pada bentuk rupa jasad dan potensi professional. Dialah juga yang membentuk potensi abstrak manusia seperti fungsi rohani, akal dan hati. Sejarah di syurga mengajar kita betapa besarnya potensi abstrak ini kerana hanya setelah Allah membentuk ( ثُمَّ صَوَّرۡنَٰكُمۡ )  , barulah datang perintah kepada malaikat untuk bersujud kepada Nabi Adam a.s. 

 

وَلَقَدۡ خَلَقۡنَٰكُمۡ ثُمَّ صَوَّرۡنَٰكُمۡ ثُمَّ قُلۡنَا لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ ٱسۡجُدُواْ لِأٓدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبۡلِيسَ لَمۡ يَكُن مِّنَ ٱلسَّٰجِدِينَ

«Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, dia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud» 

[Surah Al-A'raf. 7 : 11]

Allah telah memuliakan Nabi Adam a.s dengan membentuk potensi-potensi abstrak dengan kalimah  ثُمَّ صَوَّرۡنَٰكُمۡ  . Namun, iblis hanya melihat pada potensi jasad, terhenti analisanya pada sifat Allah yang menciptakan ( وَلَقَدۡ خَلَقۡنَٰكُمۡ ). Iblis  mengetepikan potensi ruh, akal dan hati Nabi Adam a.s yang dibentuk Allah s.w.t. Inilah yang kemudiannya jadi hujah iblis enggan taat kepada perintah Allah s.w.t untuk sujud kepada Nabi Adam a.s. Fokus iblis adalah pada penciptaan fizikal Nabi Adam a.s iaitu terbuat daripada tanah.

قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسۡجُدَ إِذۡ أَمَرۡتُكَۖ قَالَ أَنَا۠ خَيۡرٞ مِّنۡهُ خَلَقۡتَنِي مِن نَّارٖ وَخَلَقۡتَهُۥ مِن طِينٖ

«Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah."» 

[Surah Al-A'raf, 7 : 12]

Merenungi sejarah ini, sudahkah kita usaha mengembangkan potensi abstrak yang dibentuk Allah? Atau apakah perspektif kita juga terbatas hanya pada potensi jasad sebagaimana iblis yang berhujah Nabi Adam a.s   terbuat daripada tanah?

Kadang-kadang, manusia lalai perhatikan aspek ini. Prioriti tertumpu pada aspek fizikal seperti usaha mencantikkan kulit muka dan penampilan diri. Ada yang fokus pada bentuk badan dan jasad yang sasa. Bagaimana dengan potensi-potensi abstrak lain seperti rohani, akal dan hati? 

 

Al-Mushawwir telah memperindah rupa paras kita, justeru indahkanlah akhlak kita. 

Jika kita perhatikan bandingan penciptaan manusia dan haiwan, ciptaan manusia amat indah. Manusia adalah makhluk berdiri tegak atas dua kaki yang seimbang. Ini amat berbeza dengan haiwan tidak berkaki seperti ular atau haiwan berkaki banyak seperti lipan. Kedudukan kepala manusia elok terletak di atas, tidak seperti sesetengah haiwan yang kedudukan kepala sama parasnya dengan kaki. Betapa manusia itu diciptakan dalam bentuk yang paling indah. 

 

خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ بِٱلۡحَقِّ وَصَوَّرَكُمۡ فَأَحۡسَنَ صُوَرَكُمۡۖ وَإِلَيۡهِ ٱلۡمَصِيرُ

«Dia menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat, dan Dia menentukan bentuk rupa kamu serta memperelokkan rupa kamu; dan kepadaNyalah tempat kembali» 

[Surah At-Taghabun, 64 : 3]

Justeru, saat menatap cermin, mensyukuri indahnya wajah diri ciptaan Al-Mushawwir, moga-moga terbit jua rasa mahu perindahkan potensi abstrak seperti akhlak yang bertitik tolak pemurnian jiwa. Ini kerana, suatu hari kelak, kita akan kembali kepadaNya dan moga-moga itulah saat indah kita persembahkan amal taqwa untuk dinilai Allah s.w.t. Tibanya waktu itu, keindahan fizikal bukan jadi ukuran, tetapi keadaan hati yang sejahtera itulah, yang selamat kembali kepadaNya.

يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٞ وَلَا بَنُونَ(٨٨) إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٖ سَلِيمٖ (٨٩)

«"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera”.» 

[Ash-Shu'araa: 88-89]

 

Ayuh, kita mulakan usaha perbaiki keadaan hati, moga-moga mengindahkan akhlak peribadi. Bersyukur kepada Al-Mushawwir yang telah membentuk rupa kita seindah ini, terus perindahkan jiwa dengan iman dan personaliti rabbani. 

 

Peroleh perspektif baru dalam memaknai rupa bentuk dan keindahan jiwa? Bantu kongsikan artikel ini moga-moga lebih ramai mahu punyai misi indahkan akhlak peribadi. 


 

Rujukan.

 

Mokhammad Yahya (2020). Tadabbur Asmaulhusna Al-Musawwir. Rakaman Kuliah Tadabbur Al-Quran Usrah QMap3T anjuran Beautiful Life Centre. 

 

Umar Sulaiman Al-Asyqar. (2010). Allah, Yang Memberi Bentuk. Al-Asma’ al-Husna, Qisthi Press : Jakarta