Bismillah

 

Di dalam kehidupan kita, kita sangat memerlukan petunjuk di dalam menjalani kehidupan.

Bayangkan kita menjalani kehidupan tanpa petunjuk?

Sudah pasti kita berada di dalam kegelapan, keraguan serta ketidakpastian.

Ma shaa Allah, di dalam setiap solat kita berdoa untuk mengikuti jalan yang lurus.

Sebagaimana di dalam surah Al fatihah, kita diajar untuk memohon ditunjukkan ke jalan yang lurus.

ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (٦)

6.  Tunjukilah kami jalan yang lurus.

 

Persoalan seterusnya, apakah jalan yang lurus itu?  Allah menyatakan di dalam surah Al fatihah: Ayat 7.

صِرَٲطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ (٧)

7.  Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

 

Siapakah golongan yang diberi nikmat? Allah menyatakan di dalam Surah An Nisa : Ayat 69 berhubung golongan orang-orang yang diberi nikmat.

وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ مَعَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمَ ٱللَّهُ عَلَيۡہِم مِّنَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ وَٱلصِّدِّيقِينَ وَٱلشُّہَدَآءِ وَٱلصَّـٰلِحِينَ‌ۚ وَحَسُنَ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ رَفِيقً۬ا (٦٩)

69.  Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

Golongan yang diberi nikmat ialah para nabi, orang-orang siddiqin (yang benar) dan orang-orang yang syahid. Mereka adalah golongan yang telah diendorskan oleh Allah sebagai golongan yang diberi nikmat.

 

Sumber petunjuk bagi orang-orang beriman adalah Al-Qur’an. Al-Qur’an adalah petunjuk bagi orang yang beriman. Sebagaimana yang difirmankan di dalam Surah Al- Baqarah : Ayat 2.

ذَٲلِكَ ٱلۡڪِتَـٰبُ لَا رَيۡبَ‌ۛ فِيهِ‌ۛ هُدً۬ى لِّلۡمُتَّقِينَ (٢)

2.  Kitab Al-Qur'an ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;

Perkataan هُدٗى  dapat didefinisikan sebagai petunjuk yang diberikan sebagai bentuk keramahan (kelembutan).

 

Terdapat empat jenis hidayah menurut Ar Raghib Al Asfahani1:

1. Pertama, hidayah yang diberikan kepada mukallaf berupa akal, kecerdasan dan pengetahuan-pengetahuan pasti bersifat global terhadap segala sesuatu sesuai dengan kadar potensinya.

Sebagaimana dinyatakan di dalam Surah Thaha : Ayat 50.

قَالَ رَبُّنَا ٱلَّذِىٓ أَعۡطَىٰ كُلَّ شَىۡءٍ خَلۡقَهُ ۥ ثُمَّ هَدَىٰ (٥٠)

50.  Nabi Musa menjawab: "Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya, kemudian Ia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya".

 

2. Kedua, hidayah yang diberikan kepada umat melalui ajakan para nabi melalui penurunan Al-Qur’an.

Allah berfirman di dalam Surah Al-Anbiya : Ayat 73.

وَجَعَلۡنَـٰهُمۡ أَٮِٕمَّةً۬ يَہۡدُونَ بِأَمۡرِنَا وَأَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡهِمۡ فِعۡلَ ٱلۡخَيۡرَٲتِ وَإِقَامَ ٱلصَّلَوٰةِ وَإِيتَآءَ ٱلزَّڪَوٰةِ‌ۖ وَكَانُواْ لَنَا عَـٰبِدِينَ (٧٣)

73.  Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin (manusia ke jalan yang benar) dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan, dan mendirikan sembahyang, serta memberi zakat; dan mereka pula sentiasa beribadat kepada Kami.

 

3. Ketiga, taufik yang khusus diberikan kepada orang yang mahu menerima petunjuk. Berdasarkan firman Allah di dalam Surah Muhammad: Ayat 17.

وَٱلَّذِينَ ٱهۡتَدَوۡاْ زَادَهُمۡ هُدً۬ى وَءَاتَٮٰهُمۡ تَقۡوَٮٰهُمۡ (١٧)

17.  Dan (sebaliknya) orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayah petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa.

 

4. Keempat, hidayah yang berupa petunjuk di akhirat yang mengarahkan menuju syurga. Allah berfirman di dalam Surah Muhammad : Ayat 5.

سَيَہۡدِيہِمۡ وَيُصۡلِحُ بَالَهُمۡ (٥)

5.  Allah akan memimpin mereka yang berjuang (ke jalan mendapat sebaik-baik balasan) dan menjadikan keadaan mereka baik dan berguna (di dunia dan di akhirat)

 

Kita sebagai hamba amat memerlukan hidayah dan petunjuk dari Allah. Maka, kita perlu membuat pilihan yang benar untuk mendapat petunjuk iaitu dengan mempelajari Al-Qur’an.

Melalui proses mempelajari Al-Qur’an , kita akan memahami setiap mesej-mesej yang ingin disampaikan oleh Allah.

Mulakan dengan membaca dengan nama Allah. Seterusnya memahami apa yang dibaca melalui terjemahan. Seterusnya, merenung apakah mesej yang ingin disampaikan Allah di dalam setiap ayat. Pintu untuk mendapat petunjuk adalah melalui Al-Qur’an. Al-Qur’an adalah kitab petunjuk.

Petunjuk tentang apa? Petunjuk untuk membezakan antara yang haq dan bathil.

Petunjuk untuk menjadi hamba yang beriman dan bertaqwa.

Petunjuk untuk keselamatan dunia akhirat.

Petunjuk untuk menjalani kehidupan di dunia mengikut perspektif wahyu.

Petunjuk dalam membuat pilihan-pilihan yang menghampiri kebenaran.

Ma shaa Allah, betapa pentingnya kita menjadikan Al-Qur’an sebagai petunjuk untuk memastikan berada di dalam jalan yang lurus.

Ayuh, kita sama-sama merenung diri. Sejauh mana kita meletakkan Al-Qur’an di posisi yang sepatutnya?

Sejauh mana kita mensyukuri nikmat Al-Qur’an dengan menunaikan hak-hak Al-Qur’an iaitu antaranya membenarkan seluruh isi kandungan Al-Qur’an dan menjadikan Al-Qur’an sebagai sumber petunjuk.

Sejauh mana kita menjadikan Al-Qur’an sebagai sumber rujukan dalam setiap sisi kehidupan?

Ayuh memaknai surah Al Fatihah dengan penuh kesedaran bertuhan.

 


1Ar Ragihb Al Asfahani , Kamus Al quran Jilid 3, Pustaka Khazanah Fawa’id, m/s 847-849