“Kau nak ke mana?” Adilah bertanya teman sebilik. 

“Teringin nak makan jajan.” Aisyah jawab tersengih. 

“Belikan aku sekali.”

10 minit berlalu dan Aisyah muncul  menghulurkan satu bungkusan keropok kepada Adilah.

“Kau tak beli untuk kau sendiri?” 

“Di kedai tadi, dia letak keropok sebelah buah. Insaf aku. Aku beli buah potong ni.” 

 

***

Makan untuk apa? 

Terkait anekdot awal artikel, pernahkah berlaku kejadian sedemikian dalam hidup kalian?

Asalnya mengidam sesuatu yang tidak sihat, tetapi ubah fikiran, pilih makanan yang berkhasiat. 

Atau apakah sering berlaku yang sebaliknya?

Asalnya azam mahu jaga diet seimbang & bernutrisi. Namun, ubah fikiran, tewas dengan kehendak nafsu. Lalu pilih makanan diidamkan meskipun tidak berkhasiat sambil pujuk diri “Tak mengapa, sekali ini sahaja. Lepas ni saya jaga makan.”

Kebanyakan waktu, keadaan mana yang berlaku? 

Manusia sebenarnya sentiasa bertanya “Mahu makan apa?” setiap hari. Selain berfungsi sebagai keperluan asas hidup, makanan juga selalu difungsikan sebagai nikmat yang menggembirakan. Mana-mana fungsi yang lebih dominan dalam diri individu akan mempengaruhi tabiat makannya. Lalu, dapat kita perhatikan dua kelompok manusia. Yang satunya acapkali bahagia memilih makanan kegemaran tidak kira tinggi gula dan lemak atau tidak berzat sekalipun. Kelompok satu lagi, sanggup makan apa yang tak digemari kerana memaknai nilai zat yang ada padanya.  

Koreksi diri, kebanyakan waktu, apakah makan untuk mengisi emosi atau makan untuk dapatkan zat nutrisi? Tujuan makan inilah yang mempengaruhi tabiat makan seseorang. 

Pun begitu, ada satu lagi tujuan yang diangkat Allah SWT sebagai salah satu piawai pengabdian. Tujuan ini bahkan membezakan antara manusia beriman kepada Allah SWT atau tidak. 

Berminat untuk tahu? 

Mari telusuri kalam Allah SWT ini. 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُلُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا رَزَقۡنَٰكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِلَّهِ إِن كُنتُمۡ إِيَّاهُ تَعۡبُدُونَ١٧٢

«Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya mengabdikan diri kepadanya» [Al-Baqarah: 172]

Melalui ayat ini, perintah makan yang baik-baik diikuti peringatan untuk syukur kepadaNya. Ayat ini bahkan ditutup dengan cabaran pembuktian status pengabdian.

“Apakah benar kau mengabdikan diri kepadaNya? Buktikan dengan ketaatan makan makanan yang baik-baik.” 

Berbalik pada persoalan tujuan makan, ayat ini beri panduan bahawa sikap menjamah makanan sihat adalah manifestasi kesyukuran seorang hamba. Meskipun kebanyakan manusia makan untuk memenuhi tangki emosi atau makan untuk kesihatan, khusus golongan beriman, ada satu lagi tujuan yang jauh lebih besar. 

Itulah makan untuk syukur. 

Syukur dan tabiat makan sihat yang konsisten.

Tatkala kekuatan syukur dalam jiwa orang beriman sebegitu kuat, kadar kesanggupan meninggalkan makanan yang disukai tetapi  tidak berkhasiat turut meningkat. Kita akan dapati golongan sebegini mampu menahan diri daripada mengikuti hawa nafsu semata-mata. Sebaliknya, pilihan tindakannya didasari sistem nilai yang dipasak panduan wahyu. 

Mari renungkan apa yang berlaku di sekeliling kita. Fenomena gagal mengekalkan tabiat makan sihat misalnya  menyebabkan ramai individu yang berusaha turunkan berat badan memperoleh kembali berat badan mereka yang pernah hilang. Ini kerana salah satu kunci kejayaan urus berat badan adalah konsisten. Jika cara makan sihat tidak menjadi tabiat, cara makan hanya berubah dalam tempoh waktu singkat sebelum kembali pada tabiat makan asal yang buruk. 

“Jadi, saya perlu jaga makan supaya kurus?” 

Tujuan makan yang baik-baik untuk kurus juga hakikatnya bersifat rapuh. Jika individu meletakkan kurus sebagai matlamat, apakah yang berlaku tatkala berjaya mendapat berat badan yang diidamkan? Golongan sebegini berisiko berhenti meneruskan tabiat makan sihat apabila berjaya capai berat badan yang diinginkan. Pada masa yang sama, jika gagal mencapainya, emosi negatif hadir yang mengakibatkan stigma dalam diri. Stigma juga berisiko menyebabkan individu makan lebih banyak sebagai daya tindak mengurus gangguan emosi. 

Allah SWT telah menjelaskan dalam beberapa ayat bahawa tujuan makan yang baik-baik adalah untuk syukur. 

فَكُلُواْ مِمَّا رَزَقَكُمُ ٱللَّهُ حَلَٰلٗا طَيِّبٗا وَٱشۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ إِيَّاهُ تَعۡبُدُونَ١١٤

«Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya mengabdikan diri kepadaNya semata-mata» [An-Nahl: 114]

Tabiat makan sihat yang berorientasi kesyukuran bersifat kukuh dan memotivasi sikap yang konsisten. Tabiat ini bersandar pada sistem nilai yang benar, tidak dipengaruhi faktor-faktor material yang berubah-ubah. Dengan sistem nilai yang jelas, seseorang individu tidak berhenti makan yang sihat-sihat tatkala berjaya memperoleh bacaan ujian darah yang normal. Pada masa yang sama, dirinya juga tidak berputus asa terhadap gaya hidup makan yang sihat jika masih belum berjaya menurunkan berat badan. 

Kemahiran ulul albab dalam memilih makanan yang baik-baik.

Memilih makanan yang baik-baik terutama apabila terhidang makanan yang lazat tetapi tidak berzat bukanlah tindakan yang mudah. Tanpa kekuatan dalaman, kerapkali manusia tewas mengikuti hawa nafsu. Memang banyak makanan tidak bernutrisi menarik minat manusia. Bahkan perniagaan makanan yang menghidangkan makanan tidak sihat nampak lebih untung berbanding usahawan yang mempromosikan makanan sihat. 

Hati yang teguh dengan iman seperti golongan ulul albab punyai kekuatan memilih jalan taqwa tatkala hal-hal yang buruk kelihatan menarik hati. Isu makan juga terkait kemahiran ini. 

قُل لَّا يَسۡتَوِي ٱلۡخَبِيثُ وَٱلطَّيِّبُ وَلَوۡ أَعۡجَبَكَ كَثۡرَةُ ٱلۡخَبِيثِۚ فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ يَٰٓأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ١٠٠ 

«Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya(100)» [Al-Maidah: 100]

Bagaimana golongan ulul albab berjaya memilih jalan taqwa tatkala terhampar pilihan hal-hal buruk yang menarik hati? Ada satu proses berfikir (tafakkur) yang mereka lalui. Proses inilah yang menyuburkan rasa syukur dalam diri, membangkitkan rasa kehambaan kepada Allah SWT.

إِنَّ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ لَأٓيَٰتٖ لِّأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ١٩٠

«Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;(190)» [Al-i'Imran: 190]

Pada air hujan yang menumbuhkan tanam-tanaman, ada tanda-tanda kebesaran Allah SWT.

Pada organ lidah, esofagus, perut dan usus, ada tanda-tanda kebesaran Allah SWT.

Pada buah-buahan dan haiwan-haiwan ternakan ada tanda-tanda kebesaran Allah SWT. 

Golongan manusia seperti ulul albab yang sentiasa memikirkan tanda-tanda kebesaran Allah SWT pasti terbit rasa syukur akan nikmatNya yang melimpah-ruah. Rasa syukur ini secara automatik membuahkan tindakan pengabdian. Lalu, jiwa syukur tak akan sanggup merosakkan jasad kurniaan Allah SWT dengan menjamah makanan-makanan yang buruk. Bahkan, seandainya dihidangkan makanan yang tidak digemari tetapi berkhasiat, dirinya masih sanggup untuk menelannya demi rasa cinta kepada Allah SWT. 

Begitulah kuatnya potensi kekuatan syukur dalam membentuk tabiat makan seorang hamba. 

Nilai syukur dan rutin makan sebagai ibadah.

Islam sebagai cara hidup mengajar kita bahawa keseluruhan hidup adalah ibadah. Definisi ibadah tidak terbatas hanya pada solat, puasa dan zakat. Tetapi, keseluruhan hidup adalah peluang mengabdikan diri kepada Allah SWT. Syaratnya, perbuatan yang dilakukan haruslah ikhlas dengan niat yang benar dan bersumberkan wahyu serta mengikuti teladan Rasulullah s.a.w  

Cuba renungkan, ada satu perbuatan yang dilakukan semua manusia saban hari. Bagi satu golongan, perbuatan tersebut tidak beri untung pada kehidupan akhirat. Golongan yang satu lagi, perbuatan tersebut memberatkan timbangan amal di akhirat kerana dinilai ibadah. 

Beruntunglah mereka yang menjadikan rutin harian sebagai ibadah. Makan sebagai perbuatan rutin merupakan bentuk pengabdian kepada Allah jika si hamba memilih makanan yang baik-baik untuk dijamah. 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُلُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا رَزَقۡنَٰكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِلَّهِ إِن كُنتُمۡ إِيَّاهُ تَعۡبُدُونَ١٧٢

«Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya mengabdikan diri kepadanya [Al-Baqarah: 172]

Ketaatan kepada perintah Allah untuk jamah makanan yang baik-baik memerlukan potensi kekuatan syukur dalam diri. Kekuatan rasa syukur ini melahirkan peribadi manusia yang mampu melakukan proses timbang-tara setiap kali mahu makan. 

Mungkin ada yang rasa pelik tatkala berhadapan peribadi sebegini. Mereka sanggup menahan diri dan tidak makan makanan buruk meskipun makanan tersebut menarik hatinya. Namun, kejayaan menundukkan hawa nafsu untuk memenangkan jiwa kehambaan kepada Allah SWT adalah satu rasa yang membahagiakan. 

Anda mahu memiliki jiwa syukur yang dibuktikan tabiat makan sihat seperti ulul albab

Mulakan langkah menguatkan otot-otot kesyukuran. Peruntukkan masa memikirkan ciptaanNya yang ada di langit dan bumi untuk menguatkan keyakinan akan tanda-tanda kebesaran Allah. Moga-moga rasa syukur ini membangkitkan jiwa kehambaan yang mahu jaga dan pelihara jasad kurniaanNya dengan menjamah makanan yang baik-baik. 

Terinspirasi menjadikan rutin makan harian sebagai ibadah? Jangan lupa KONGSIKAN artikel ini. Moga-moga lebih ramai mampu membuahkan amal soleh melalui rutin harian makan. 


 

Rujukan : 

Syaari Ab. Rahman (2021). 16 Profil Ulul Albab. Rakaman Kuliah Tadabbur Al-Quran Usrah QMap3T anjuran Beautiful Life Centre. 

Lillis, J., Thomas, J. G., Levin, M. E., & Wing, R. R. (2020). Self-stigma and weight loss: The impact of fear of being stigmatized. Journal of health psychology, 25(7), 922-930.