Peluang untuk melalui kehidupan adalah antara anugerah terindah dari Allah. Bagi melihat sesiapa yang menggunakan kesempatan yang diberikan ini sebaiknya. Kehidupan adalah peluang untuk melakukan perubahan dan perbaikan diri.

Setiap insan diberikan 24 jam sehari bagi melalui kehidupan. Bermula seawal pagi sehingga waktu malam. Mari kita melakukan proses refleksi, bagaimana masa yang Allah anugerahkan ini kita gunakan.

Adakah masa 24 jam ini dipenuhi dengan perkara yang mendatangkan kebaikan atau keburukan?

Adakah perkara yang bermanfaat atau tidak?

Adakah kita melalui kehidupan dengan penuh kesedaran dan membuat setiap pilihan dengan melakukan pertimbangan?

Masa akan berlalu. Sabtu minggu ini tidak sama dengan yang telah berlalu walaupun namanya hari Sabtu.

Maka, peringatan untuk diri penulis dan pembaca. Bahawa masa yang telah berlalu tidak akan berulang. Kesempatan yang telah pergi tidak  akan kembali semula.

Allah telah bersumpah dengan masa.

 

وَالْعَصْرِ [العصر: 1]

Demi masa.

إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ [العصر: 2]

Sesungguhnya manusia di dalam kerugian.

إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ [العصر: 3]

Kecuali orang beriman dan melakukan amal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesebaran.

 

Satu surah yang ringkas, Allah bersumpah dengan masa. Menunjukkan betapa berharganya masa bagi setiap yang bergelar insan.

Masa disisi Allah hanya mempunya nilai jika dipenuhi dengan keimanan, amal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Namun, di era teknologi ini kita perlu berhadapan dengan media sosial seperti Facebook, YouTube, Tik Tok, dan pelbagai media sosial yang akan tumbuh lagi.

Maka, cabaran bagi setiap kita untuk menggunakan masa yang dianugerahkan Allah dengan sebaik-baiknya.

Adakah  media sosial digunakan untuk kebaikan atau sebaliknya?

Adakah kita mempunyai disiplin yang tinggi dalam menggunakan media sosial?

Adakah kehadiran kita memberi pengaruh yang baik atau kita tanpa sedar dipengaruhi?

Adakah kita semakin menjadi hamba yang tenang atau serabut?

Adakah ia menjadikan kita hamba yang semakin bersyukur atau kufur?

Adakah kita kembali kepada petunjuk Allah iaitu Al-Qur’an atau sebaliknya?

Adakah kita hidup di dalam kebenaran atau ilusi?

Adakah kita menjadi orang yang benar di dalam kata-kata atau sebaliknya?

Ini antara beberapa kayu ukur yang boleh kita jadikan panduan di dalam menguruskan dan menggunakan media sosial .

Supaya kita menjadi orang yang benar di dalam tindakan dan kata-kata.

Kerana kehidupan bersandarkan kebenaran itu amat penting.

Kita menjadi diri yang berprinsip dan bukannya mudah terpengaruh.

Mari kita terus lakukan refleksi.

Adakah kita sering melakukan perbandingan antara diri kita dengan orang lain ketika menggunakan media sosial?

Pernahkan kita bertanya kepada diri kita tujuan setiap perkongsian di dalam media sosial?

Adakah tujuan yang benar atau sebaliknya?

Adakah kita semakin tenang setelah menggunakan sosial media atau tidak?

Adakah kita menjadi individu yang semakin produktif dan fokus atau tidak?

Teknologi sudah pasti akan berkembang dan akan ada pelbagai tawaran menarik di dalam sosial media.

Sejauh mana kita mempunyai prinsip yang jelas di dalam kehidupan untuk menggunakan media sosial   untuk kebaikan.

Sejauh mana kita tidak tertipu dengan ilusi yang dipaparkan.

Ilusi adalah sesuatu yang tidak benar dan diada-adakan.

Sejauh mana kita terus berpegang dengan prinsip kebenaran di dalam setiap kata-kata dan penulisan.

Maka, teruskanlah melakukan proses introspeksi diri supaya kita jelas di dalam setiap pertimbangan dan pilihan yang dibuat serta tidak tertipu dengan propaganda yang diadakan.

Maka, antara solusi yang boleh diambil kira dalam menggunakan sosial media adalah :

  1. Penulisan konten seharusnya adalah berdasarkan kebenaran dan bukannya manipulasi.
  2. Menghadkan penggunaan media  sosial untuk kebaikan diri dan masyarakat.
  3. Menjaga adab-adab berinteraksi di alam maya.
  4. Tidak melakukan provokasi di dalam setiap tulisan.
  5. Menyebarkan kebaikan dan bukannya kebencian.
  6. Membuat analisa dan pertimbangan sebelum membuat sesuatu keputusan berdasarkan sesuatu penulisan di dalam media sosial.

Kehidupan ini amat bermakna dan sangat indah. Maka, teruskanlah eksplorasi untuk  melalui kehidupan dengan penuh kesedaran dan mengambil pelajaran.

Kehidupan bukan hanya terhad kepada kehidupan di alam maya seperti media sosial.

Maka, berinteraksilah di alam realiti dan melalui kehidupan yang bermakna.

Berinteraksilah dengan alam dan mengambil pelajaran.

Bangunkanlah potensi dirimu dengan ilmu pengetahuan yang benar.

Teruskan berfikir dan menilai.

Hidup diatas prinsip kebenaran.

Menyumbanglah untuk masyarakat.

Lalui kehidupan dengan keberanian.

Hiduplah dengan kebenaran dan bukan ilusi.

Menjadi orang yang benar itu amat signifikan disisi Allah dan teruskanlah hidup didalam kebenaran.