Ibadah yang ringan tetapi susah untuk kita lakukan. Ibadah wajib ini hanya ada 5 waktu sahaja dalam 24 jam. Ibadah ini juga hanya memperuntukkan masa 10 hingga 20 minit untuk ditunaikan bagi satu waktu. Oleh itu, sekiranya kita kira jumlah keseluruhan waktu yang diperuntukkan maksimum tidak sampai 2 jam dalam sehari untuk kita fokus terhadap ibadah ini. Jadi daripada 24 jam yang kita ada, sekiranya ibadah ini mengambil masa 2 jam sahaja daripada keseluruhan masa, maka ini hanya mengambil masa kurang daripada 10% daripada seluruh hari kita. Tahukah anda, apakah ibadah ini? Ya! Ibadah solat, yang kita wajib tunaikan 5 waktu sehari semalam. Solat nampak mudah dan ringan untuk ditunaikan, tetapi istiqamah dalam menunaikan ibadah ini mungkin terasa berat. Namun begitu, ibadah solat inilah kunci kejayaan buat orang-orang beriman. Dalam al-Qur’an Allah menjanjikan orang-orang Mukmin yang berjaya itu adalah mereka yang menjaga ibadah ini, firman-Nya:

قَدْ أَفْلَحَ ٱلْمُؤْمِنُونَ ۝۱ ٱلَّذِينَ هُمْ فِى صَلَاتِهِمْ خَـٰشِعُونَ ۝٢

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman [1] Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya [2]”

(al-Qur’an, Surah al-Mu’minun: 23)

Solat bukan sahaja menjadi penghubung antara Allah SWT dengan hamba-Nya, tetapi solat yang didirikan dengan penuh taat dan khusyuk akan menjadikan orang yang beriman itu berjaya. Berjaya di sini boleh kita kategorikan kepada dua bahagian. Berjaya di dunia, dan juga di akhirat. Kejayaan di akhirat akan diperoleh apabila amalan solat dijaga dengan baik. Bahkan ibadah inilah, yang pertama akan dihisab di akhirat, sempurna amalan solat, maka menang dan berjayalah kita di akhirat! Dalam sebuah hadith, Baginda SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ، فَإِنْ صَلَحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ

Perkara pertama yang akan dihisab pada diri seseorang pada orang hari akhirat daripada sekalian amalnya ialah solatnya. Jika solatnya benar (sempurna), maka jika baik solatnya maka dia akan berjaya dan menang, dan jika solatnya kurang (iaitu tidak benar) maka dia akan rugi dan menyesal.”

(Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Jadi, bagaimana pula solat yang kita lakukan itu menjadikan kita seorang mukmin yang berjaya di dunia? Melalui amalan solat itu sendiri, sebenarnya yang membentuk kita untuk menjadi orang yang berjaya. Sekiranya kita benar-benar menghayati ibadah yang kita lakukan ini, dan bukan sekadar dilakukan untuk “melepaskan batuk di tangga”, maka kesan dan hikmah ibadah solat ini akan terpancar melalui cara hidup kita. Oleh sebab itu, ibadah solat yang dihayati akan membina jati diri yang unggul dan melengkapkan diri kita dengan sifat-sifat mahmudah (terpuji) serta menjauhkan kita daripada melakukan kemungkaran. Firman Allah SWT, maksudnya:

“…dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar…”

(al-Qur’an, Surah al-‘Ankabuut: 45)

Berdisiplin Dengan Masa

Mari kita lihat hikmah daripada amalan solat yang kita tunaikan dengan mengaitkannya dengan kehidupan kita. Pertama, ibadah solat mengajar kita untuk berdisiplin dengan masa dan waktu yang dianugerahkan pada kita. Solat yang kita tunaikan juga haruslah pada waktu yang telah ditetapkan. Seperti mana Allah SWT berfirman, maksudnya: 

“…Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

(al-Qur’an, Surah an-Nisaa’: 103)

Jadi jelas di sini, solat harus ditunaikan pada waktu yang telah ditetapkan. Seperti solat Subuh pada waktu subuh dan sebagainya. Menunaikan solat pada waktunya, adalah mengajar kita untuk menjaga masa dan menguruskannya dengan baik dan tepat. Janganlah kerana kita disibukkan dengan urusan dunia sehingga kita meninggalkan urusan kita dengan Allah SWT. Jadualkanlah ibadah solat, dalam urusan seharian dan pekerjaan yang kita lakukan agar ianya mendapat barakah (keberkatan). Selain itu, marilah juga sama-sama kita usahakan untuk menunaikan solat di awal waktu, menjaga ketepatan waktu dalam urusan kita dengan Allah akan memberi kesan kepada disiplin terhadap masa. Sekiranya kita boleh datang awal ke tempat kerja atau ke sekolah, kenapa tidak kita menjaga ibadah solat kita di awal waktu. Kita pasti boleh melakukannya! Jadi, belajarlah untuk mendisiplinkan masa dan diri kita melalui menjaga urusan dengan Allah SWT. 

Menjaga Kebersihan Fizikal dan Rohani

Kedua, bermula daripada perkara yang kita perlu lakukan sebelum solat iaitu membersihkan diri kita dan berwuduhu’. Jadi sinonimnya dengan kehidupan kita adalah, solat mengajar kita untuk menjaga kebersihan diri dan kawasan persekitaran sebagai orang Muslim. Bayangkan kalau kita tidak menjaga kebersihan bilik kita contohnya, bagaimana kita nak menunaikan ibadah solat, sedangkan solat perlu ditunaikan dalam keadaan bersih secara fizikal. Begitu juga, dengan rohani atau hati kita, perlu bersih daripada sifat takjub, ujub dan riak. Serta niatkan amalan solat yang kita lakukan itu hanya untuk Allah SWT dan bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia lain. Dalam sebuah hadis juga dijelaskan, menjaga kebersihan itu adalah ciri-ciri orang beriman. Sabda Nabi Muhammad SAW, maksudnya:

 

Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Antara Khusyuk dan Fokus

Ketiga, Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah menjelaskan bahawa khusyuk adalah berdirinya hati kita di hadapan Allah SWT dengan penuh rasa tunduk dan hina. Dan bagi orang beriman yang khusyuk di dalam solat mereka, mereka akan peroleh kejayaan, seperti mana yang disebutkan tadi. Jadi, khusyuk di dalam solat bukan suatu yang kita harus tunggu untuk mendapatkannya, tetapi kita harus mengejar dan berusaha untuk memperolehinya. Bermula daripada menghadap kiblat, niat, menjaga rukun-rukun solat dengan tertib telah mengajar kita untuk tetap khusyuk dan fokus hanya kepada Allah sahajalah ibadah itu ditunaikan. Begitulah juga kehidupan ini, khusyuk di dalam solat mengajar kita untuk fokus di dalam suatu pekerjaan yang kita lakukan. Sekiranya kita fokus di dalam sesuatu yang sedang kita usahakan, maka hasil kerjanya adalah lebih baik. Ini kerana kita sedang fokus pada satu matlamat dan sasaran yang kita ingin tuju. Jadi, marilah kita usahakan untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat bermula dengan memahami bacaan-bacaan di dalam solat yang kita lafazkan. 

Tenang Hadapi Ujian

Keempat, indahnya ibadah solat juga mengajar kita untuk bersikap tenang dan mengambil masa sejenak dan seketika untuk berfikir sebelum membuat keputusan. Lihatlah sahaja dalam solat adanya toma’ninah (Diam sejenak sebelum menyambung kepada gerakan seterusnya). Janganlah kita solat seperti ‘patuk ayam’ sehingga meninggalkan rukun solat yang satu ini, sehinggakan menjadikan solat kita tidak sah. Hakikatnya, rukun ini mengajar orang-orang beriman bagaimana menghadapi suatu ujian. Iaitu dengan diam seketika untuk menenangkan diri, berfikir sejenak sebelum melangkah mencari kekuatan dan membuat keputusan serta bertindak. Belajarlah untuk tenang dan tidak melulu melalui solat yang kita tunaikan. 

Membentuk Sifat Jujur, Amanah dan Integriti

Kelima, menjadi orang yang jujur dan amanah serta berintegriti adalah bermula daripada sifat ihsan. Di dalam solat juga harus ada sifat ihsan ini, di mana kita menunaikan solat seolah-olah Allah melihat kita, dan kita melihat Allah. Dengan adanya sifat ihsan, kita akan lebih menjaga adab dan tertib serta bersikap jujur dan amanah dengan ibadah yang kita tunaikan. Jika kita melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan solat, maka hanya kita sendiri sahaja yang tahu bahawa solat kita itu terbatal dan kita harus mengulanginya. Solat ini hanya melibatkan urusan kita dan Allah, dan hanya Allah jugalah yang menjadi saksi terhadap ibadah yang sedangkan kita lakukan. Jadi dalam kehidupan kita, solat juga telah mengajar kita untuk bersikap jujur dan amanah terhadap diri kita dan orang lain. Bahkan orang yang menjaga solatnya pasti menjadi orang yang menjaga integriti di dalam pekerjaanya. Orang yang menjaga dengan sempurna urusan mereka dengan Allah, pasti akan menjaga urusan mereka dengan manusia, sebab itulah rahsia di sebalik sifat ihsan.

Mentaati Pemimpin

Keenam, istimewanya solat, ibadah yang kita boleh lakukan secara berjemaah dan mendapat 27 kali ganda ganjaran pahala. Solat secara berjemaah akan diketuai oleh seorang imam diikuti oleh makmum. Terbatalnya solat jemaah kita, sekiranya kita mendahului imam. Solat jemaah ini mengajar hikmah kepada orang-orang Islam untuk taat kepada pemimpin. Contohnya, pekerja-pekerja perlu mentaati arahan pemimpin atau boss mereka di dalam sebuah organisasi pejabat. Sekiranya, ada perkara yang kita kurang berpuas hati, belajarlah untuk tangani dengan baik dan berbincanglah dengan damai. Masalah yang dihadapi, boleh menemui jalan keluar yang lebih baik dengan berbincang dengan rukun. 

 

Indahnya solat, bukan sahaja menjanjikan syurga buat mereka yang menunaikan, bahkan penuh dengan hikmah yang tersirat untuk membentuk kepribadian Muslim yang mulia. Belajarlah untuk menghayati ibadah solat ini, dan carilah kekuatan di dalam solat yang kita tunaikan. Seperti mana, selepas selesai solat, kita mengangkat tangan, menadah, berdoa kepada-Nya dengan penuh pengharapan untuk memohon keampunan dan kerahmatan-Nya. Tiadalah yang lebih besar dalam kehidupan ini, melainkan keampunan daripada Allah SWT. Janganlah kita menjadi hamba yang sombong dengan terus bangun selepas memberi salam di dalam solat kita. Ambilah masa beberapa detik untuk kita berdoa, mintalah apa sahaja yang kita ingin, mengadulah segala kegusaran hati kita, dan teruslah berharap dengan rahmat daripada-Nya. Dan janganlah kita berputus asa dengan rahmat Allah, firman Allah SWT, maksudnya:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(al-Qur’an, Surah az-Zumar: 53)

Semoga kita menemui kemanisan iman melalui ibadah solat yang kita tunaikan dan menjadikan kita Muslim yang luar biasa kejayaan yang diperolehinya! Waallahu a’llam.