“Kenapa dia dapat semua yang saya nak. Bisnes maju, kaya. Anak pun bijak.” Dia memulakan bicara. Ujarnya, dia rasa sedih setiap kali melihat hantaran temannya di Facebook.
Saya langsung bertanya, “Kenapa masih ikuti perkembangan kalau rasa iri hati?”
“Tak tahulah, tapi saya mesti nak tengok juga apa yang dia ada.”
***
Mengimbau zaman dahulu ketika telefon pintar belum wujud, kita banyak berinteraksi di alam nyata. Sensitiviti interaksi antara sesama amat diambil kira. Contohnya, bila ada makanan terhad, ada yang memilih makan sorok-sorok agar tidak melukakan hati teman-teman lain yang tidak dapat menjamahnya. Prinsipnya mudah, apa yang ditunjukkan adalah sesuatu yang boleh dikongsikan. Kalau tak nak kongsi, jangan tunjuk.
Apa yang berlaku zaman kini? Sensitiviti ini seakan-akan hilang. Masing-masing berlumba-lumba menunjukkan apa yang dimiliki di media sosial.
Mempamerkan, bukan untuk berkongsi apa yang dimiliki kepada ratusan warga alam maya.
Tetapi, mempamerkan untuk…
Biarlah niat masing-masing menjawabnya. Walau apapun niat si pemilik akaun, fenomena menunjuk atau mempamerkan apa yang dimiliki di media sosial berisiko cetus rasa iri hati dalam kalangan warga alam maya.
Lalu, ada yang menjawab “Kita memang kena tunjuk nikmat-nikmat yang kita dapat, kan? Allah yang suruh.”
وَأَمَّا بِنِعۡمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثۡ ١١
Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau nyatakan
[Ad-Dhuha:11]
Menjawab persoalan ini, maksud “nikmat” dalam ayat ini adalah agama Islam dan Al-Quran itu sendiri. Nabi s.a.w. diperintahkan untuk sampaikan nikmat wahyu ini kepada orang ramai. Untuk kita sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w, kita juga diamanahkan untuk sebarkan nikmat teragung ini kepada mereka yang di sekeliling. Sebaliknya, kurniaanNya dari sudut lain seperti kekayaan, kecantikan dan anak-anak perlu disikapi dengan kesyukuran.
Dari posisi orang luar, pandangan mata itu perlu dijaga agar tidak sentiasa tertuju pada apa yang tidak dimiliki yang menimbulkan iri hati dan dengki.
وَلَا تَتَمَنَّوۡاْ مَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بِهِۦ بَعۡضَكُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٍ۬ۚ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ۬ مِّمَّا ٱڪۡتَسَبُواْۖ وَلِلنِّسَآءِ نَصِيبٌ۬ مِّمَّا ٱكۡتَسَبۡنَۚ وَسۡـَٔلُواْ ٱللَّهَ مِن فَضۡلِهِۦۤۗ إِنَّ ٱللَّهَ ڪَانَ بِكُلِّ شَىۡءٍ عَلِيمً۬ا ٣٢
Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian daripada kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. [An Nisa":32]
Melalui ayat ini, di sebalik larangan, ada seruan untuk kita rasa cukup dengan apa yang telahpun Dia kurniakan kepada kita. Kerana realiti rezeki abadi di akhirat bukan mengikut apa nikmat yang dikecapi di dunia. Sebaliknya, yang akan menentukan adalah usaha amal yang dilakukan di dunia. Justeru, optimakanlah segala yang Dia kurniakan untuk mendapat yang kekal di akhirat.
Kenali sifat dada manusia
Dalam Al-Qur’an, ada empat konsep hati iaitu صدر , قلب , لبب dan فؤاد . Dada (صدر ) adalah bahagian yang diuji kerana di situlah tempatnya syaitan membisikkan tipu dayanya. Dalam dada jugalah letaknya penyakit-penyakit hati seperti dengki.
وَنَزَعۡنَا مَا فِي صُدُورِهِم مِّنۡ غِلّٖ
Dan Kami cabut segala macam dendam dan hasad dengki yang berada di dalam dada mereka; [Al A'raf:43]
Di dalam dada, ada hati (قلب ) yang mempunyai kuasa mempengaruhi perbuatan manusia. Jika hati sihat, akan sihatlah seluruh jasad. Jika hati sakit, perbuatan ingkar akan terzahir. Memahami hakikat ini, keadaan dada ( صدر ) harus selalu dibersihkan agar tidak menjadi persekitaran buruk yang merosakkan hati.
Allah s.w.t. mengajar kita untuk berdoa kepadaNya agar terhindar daripada rasa iri hati terhadap sesama orang-orang beriman.
وَٱلَّذِينَ جَآءُو مِنۢ بَعۡدِهِمۡ يَقُولُونَ رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لَنَا وَلِإِخۡوَٰنِنَا ٱلَّذِينَ سَبَقُونَا بِٱلۡإِيمَٰنِ وَلَا تَجۡعَلۡ فِي قُلُوبِنَا غِلّٗا لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ رَبَّنَآ إِنَّكَ رَءُوفٞ رَّحِيمٌ ١٠
Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: "Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang". [Al Hashr:10]
Informasi yang mengisi dada
Pancaindera pendengaran dan penglihatan adalah pintu kepada pengetahuan yang memberi input kepada manusia.
وَٱللَّهُ أَخۡرَجَكُم مِّنۢ بُطُونِ أُمَّهَـٰتِكُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ شَيۡـًٔ۬ا وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡأَبۡصَـٰرَ وَٱلۡأَفۡـِٔدَةَۙ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ
Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur. [An Nahl:78]
Apa yang sering didengari?
Apa yang sering dilihat dan diperhatikan?
Dada yang menjadi tempatnya bisikan syaitan sebenarnya adalah tempat untk manusia menyimpan informasi-informasi yang boleh mempengaruhi hati. Jika informasi kebenaran yang menjadi santapan pendengaran dan penglihatan, moga-moga informasi tersebut melapangkan dada-dada orang beriman.
بَلۡ هُوَ ءَايَـٰتُۢ بَيِّنَـٰتٌ۬ فِى صُدُورِ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَۚ وَمَا يَجۡحَدُ بِـَٔايَـٰتِنَآ إِلَّا ٱلظَّـٰلِمُونَ
Sebenarnya, Al Quran itu adalah ayat-ayat yang nyata di dalam dada orang-orang yang diberi ilmu. Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami kecuali orang-orang yang zalim.
[Al 'Ankabut:49]
Jika sebaliknya, informasi-informasi batil memenuhi ruang dada, berisiko menggelapkan hati. Sedangkan zaman kini, ramai menghabiskan waktu di media sosial. Banyak faktor yang menyebabkan fenomena ini termasuklah kehendak manusia raih perhatian daripada manusia lain. Media sosial adalah cara paling pantas mendapat perhatian dan maklum balas daripada rakan alam maya.
Selain menyita banyak waktu tanpa sedar, media sosial sering menjadi ruang buat dosa mengumpat dan memfitnah. Kalaupun tidak terlibat secara langsung, perbuatan membaca hantaran-hantaran berunsur mengumpat dan memfitnah boleh mengakibatkan diri terpalit tanpa sedar.
Persoalannya, apakah jenis informasi yang dapat digarap melalui media sosial ini? Jika yang ditatap dan dibaca adalah perkembangan rakan-rakan alam maya dalam menikmati kurniaanNya yang diri tidak miliki, khuatir tabiat ini memakan diri.
Merawat hati yang terkesan.
Media sosial boleh jadi alat yang membantu seseorang mencapai matlamat. Pada masa yang sama, media sosial boleh turut merosakkan komponen paling penting bagi tubuh manusia iaitu hati.
Justeru, perjelaskan pada dirimu, “Untuk apa saya melayari media sosial?”
Jika menyedari hati ada rasa iri hati dan dengki terhadap apa yang dimiliki rakan-rakan alam maya, garaplah pedoman wahyu. Ingat surah An-Nisa’ ayat ke-32 tersebut. Pohonlah kepada Allah s.w.t akan kurniaNya.
وَسۡـَٔلُواْ ٱللَّهَ مِن فَضۡلِهِۦۤۗ إِنَّ ٱللَّهَ ڪَانَ بِكُلِّ شَىۡءٍ عَلِيمً۬ا
dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. [An-Nisa’:32]
Ketahuilah, penyakit-penyakit dalam dada boleh dirawat dengan Al-Quran. Lalu, bersungguh-sungguhlah mempelajarinya. Moga-moga hati yang berpenyakit kembali sembuh, lapang dengan iman yang bersumberkan wahyu.
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدۡ جَآءَتۡكُم مَّوۡعِظَةٞ مِّن رَّبِّكُمۡ وَشِفَآءٞ لِّمَا فِي ٱلصُّدُورِ وَهُدٗى وَرَحۡمَةٞ لِّلۡمُؤۡمِنِينَ ٥٧
Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman. [Yunus:57]
katydaud@gmail.com