Bani Israil hidup sebagai hamba dalam tempoh waktu yang lama di Mesir. Dalam tempoh itu, mereka terpengaruh dengan amalan orang-orang Mesir yang menganggap lembu sebagai keramat dan bawa banyak sumber kebaikan.
Setelah Bani Israil diselamatkan daripada Firaun, mereka meminta kepada Nabi Musa a.s. untuk dibuatkan berhala sebagai tuhan. Sebahagian daripada mereka juga menjadi pengikut Samiri yang membuat berhala berupa lembu emas sepeninggalan Nabi Musa a.s selama 40 malam mendapatkan wahyu.
Bagi meluruskan akidah Bani Israil, ketika berlaku peristiwa mencari seorang pembunuh, Allah s.w.t. memerintahkan mereka untuk menyembelih lembu betina. Perintah ini amat berat bagi mereka kerana hati mereka telah dipenuhi kecintaan terhadap lembu.
وَإِذۡ أَخَذۡنَا مِيثَٰقَكُمۡ وَرَفَعۡنَا فَوۡقَكُمُ ٱلطُّورَ خُذُواْ مَآ ءَاتَيۡنَٰكُم بِقُوَّةٖ وَٱسۡمَعُواْۖ قَالُواْ سَمِعۡنَا وَعَصَيۡنَا وَأُشۡرِبُواْ فِي قُلُوبِهِمُ ٱلۡعِجۡلَ بِكُفۡرِهِمۡۚ قُلۡ بِئۡسَمَا يَأۡمُرُكُم بِهِۦٓ إِيمَٰنُكُمۡ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ ٩٣
Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil janji dari kamu dan Kami angkat bukit (Thursina) di atasmu (seraya Kami berfirman): "Peganglah teguh-teguh apa yang Kami berikan kepadamu dan dengarkanlah!" Mereka menjawab: "Kami mendengar tetapi tidak mentaati". Dan telah diresapkan ke dalam hati mereka itu (kecintaan menyembah) anak lembu kerana kekafirannya. Katakanlah: "Amat jahat perbuatan yang telah diperintahkan imanmu kepadamu jika betul kamu beriman (kepada Taurat). [Al Baqarah:93]
Hati yang kuat mencintai anak lembu ini membuatkan mereka banyak bertanya bukan untuk taat tetapi kerana enggan melakukannya. Hampir-hampir sahaja mereka tidak dapat melaksanakannya disebabkan soalan-soalan yang ditanya membuatkan perintah itu semakin sulit (rujuk surah Al-Baqarah ayat 67-73). Lalu antara hikmah perintah sembelih lembu ini yang dikhususkan kepada Bani Israil adalah agar mereka tidak lagi memuja lembu.
Justeru, merenung pada diri kita, apakah ada tuhan selain Allah s.w.t. yang dipuja seperti Bani Israil yang memuja anak lembu?
Dalam Al-Qur’an, Allah s.w.t memberikan beberapa contoh-contoh sembahan atau tuhan yang manusia sembah selain Allah s.w.t. Bentuk-bentuk kesyirikan ini termasuklah mensyirikkan Allah s.w.t dengan hawa nafsu sendiri, syaitan dan harta.
Syirik #1 Menjadikan hawa nafsu sendiri sebagai tuhan.
Hawa nafsu adalah salah satu elemen dalam diri manusia. Islam datang dengan memberi panduan bagaimana mengurus hawa nafsu agar disalurkan pada yang dalam batasan syarak. Hawa nafsu yang tidak dilentur wahyu berisiko cenderung keinginan dunia yang rendah.
وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّٰلِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بَِٔايَٰتِنَاۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ ١٧٦
Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi Al Kitab), kemudian dia melepaskan diri dari pada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (darjat)nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya dijelirkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia menjelirkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. [Al A'raf:175-176]
Jika hawa nafsu yang memandu perbuatan manusia, tanpa sedar, khuatir diri telah menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan selain Allah s.w.t.
أَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَٰهَهُۥ هَوَىٰهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيۡهِ وَكِيلًا ٤٣
Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya? [Al Furqan:43]
Kesannya, apabila pada simpang pilihan antara memenuhi perintah Allah s.w.t atau menurut kehendak hawa nafsu, seseorang yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan akan memilih ikuti kehendak nafsu.
Syirik #2 Mensyirikkan Allah s.w.t dengan syaitan
Salah satu konsep syirik yang diketengahkan dalam Al-Qur’an adalah mensyirikkanNya dengan syaitan. Di akhirat kelak, bahkan syaitan sendiri berkata penuh sinis bahawa dia tidak pernah membenarkan anak-anak Adam a.s. mensyirikkannya dengan Allah s.w.t.
وَقَالَ ٱلشَّيۡطَٰنُ لَمَّا قُضِيَ ٱلۡأَمۡرُ إِنَّ ٱللَّهَ وَعَدَكُمۡ وَعۡدَ ٱلۡحَقِّ وَوَعَدتُّكُمۡ فَأَخۡلَفۡتُكُمۡۖ وَمَا كَانَ لِيَ عَلَيۡكُم مِّن سُلۡطَٰنٍ إِلَّآ أَن دَعَوۡتُكُمۡ فَٱسۡتَجَبۡتُمۡ لِيۖ فَلَا تَلُومُونِي وَلُومُوٓاْ أَنفُسَكُمۖ مَّآ أَنَا۠ بِمُصۡرِخِكُمۡ وَمَآ أَنتُم بِمُصۡرِخِيَّ إِنِّي كَفَرۡتُ بِمَآ أَشۡرَكۡتُمُونِ مِن قَبۡلُۗ إِنَّ ٱلظَّٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢٢
Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan: "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan akupun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku akan tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamupun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu". Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat siksaan yang pedih. [Ibrahim:22]
Pengabdian kepada syaitan bukanlah semata-mata berbentuk perbuatan fizikal menyembah dan sujud kepada syaitan. Tetapi, mengabdi kepada syaitan adalah dengan mengikuti serta taat segala perintah dan larangannya yang sentiasa bertentangan dengan jalan yang lurus.
۞أَلَمۡ أَعۡهَدۡ إِلَيۡكُمۡ يَٰبَنِيٓ ءَادَمَ أَن لَّا تَعۡبُدُواْ ٱلشَّيۡطَٰنَۖ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٦٠ وَأَنِ ٱعۡبُدُونِيۚ هَٰذَا صِرَٰطٞ مُّسۡتَقِيمٞ ٦١ وَلَقَدۡ أَضَلَّ مِنكُمۡ جِبِلّٗا كَثِيرًاۖ أَفَلَمۡ تَكُونُواْ تَعۡقِلُونَ ٦٢ هَٰذِهِۦ جَهَنَّمُ ٱلَّتِي كُنتُمۡ تُوعَدُونَ ٦٣
Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu", dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus. Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan sebahagian besar diantaramu, Maka apakah kamu tidak memikirkan? Inilah Jahannam yang dahulu kamu diancam (dengannya).
[Ya Sin:60-63]
Syirik #3 Mensyirikkan Allah s.w.t dengan harta
Kecintaan manusia kepada dunia dan harta menzahirkan sikap enggan memberi. Allah s.w.t berfirman bahawa sifat enggan membayar zakat adalah ciri-ciri orang musyrik.
قُلۡ إِنَّمَآ أَنَا۠ بَشَرٞ مِّثۡلُكُمۡ يُوحَىٰٓ إِلَيَّ أَنَّمَآ إِلَٰهُكُمۡ إِلَٰهٞ وَٰحِدٞ فَٱسۡتَقِيمُوٓاْ إِلَيۡهِ وَٱسۡتَغۡفِرُوهُۗ وَوَيۡلٞ لِّلۡمُشۡرِكِينَ ٦ ٱلَّذِينَ لَا يُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُم بِٱلۡأٓخِرَةِ هُمۡ كَٰفِرُونَ ٧
Katakanlah: "Bahawasanya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahwasanya Tuhan kamu adalah Tuhan yang Maha Esa, maka tetaplah pada jalan yang lurus menuju kepada-Nya dan mohonlah ampun kepada-Nya. Dan kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang mempersekutukan-Nya, (yaitu) orang-orang yang tidak menunaikan zakat dan mereka kafir akan adanya (kehidupan) akhirat.
[Fussilat:6-7]
Jika orang musyrik adalah mereka yang tidak menunaikan zakat dan tidak beriman pada Hari Akhirat, sebaliknya, orang-orang beriman akan memberi rezeki yang Dia kurniakan kepadanya (rujuk Al-Baqarah : 1-3)
“Sembelihlah” tuhan-tuhan selain Allah s.w.t
Jika kisah Bani Israil memberikan kita pengajaran untuk putuskan rasa kecintaan terhadap anak lembu dengan menyembelihnya, bagaimana pula dengan kita? Jika ada rasa cenderung ataupun suka mentaati hawa nafsu, syaitan dan harta dunia, sejauh mana sanggup “menyembelih” kecenderungan diri daripada mengikutinya?
Terhadap hawa nafsu, tahan diri daripada mengikutinya.
Terhadap bisikan syaitan yang bersembunyi, pelajarilah Al-Qur’an agar sedar bisikannya yang bertentangan dengan wahyu lalu bersegera mohon perlindungan kepada Allah s.w.t.
Terhadap harta dunia, “sembelihlah” rasa cinta itu dengan membayar zakat dan banyakkan bersedekah.
Utamanya, mulakan usaha untuk tadabbur kalamNya. Moga-moga siraman wahyu menyembuhkan hati, memberikan panduan serta rahmat. .
“Sembelihlah” tuhan-tuhan yang diabdikan diri selain Allah s.w.t.