Perjalanan haji

Haji merupakan salah satu rukun Islam yang dilakukan pada hari , waktu dan tempat tertentu. Dari segi syarak, ibadah haji bermaksud mengunjungi Masjidil Haram (Kaabah) pada masa-masa tertentu bermula dari bulan Syawal sehinggalah 10 hari pertama bulan Zulhijjah serta melaksanakan perkara-perkara yang wajib bagi menyempurnakan ibadah haji. 

Terdapat 5 rukun haji iaitu niat ihram, wukuf di padang Arafah, tawaf, sa’ie dan bercukur. Kesemua ini dilakukan pada tempat tertentu dan masa tertentu. 

 

3 larangan dan infiniti perintah kebaikan

Saat Allah s.w.t menciptakan bumi, Dia telah menetapkan 12 bulan sebagai panduan untuk manusia menghitung hari. Antara 12 bulan ini, terdapat 3 bulan yang telah dikhususkan sebagai bulan haji iaitu Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Bulan-bulan ini secara asasnya adalah bulan-bulan persiapan melakukan haji. Terutamanya pada zaman dahulu ketika belum ada kemudahan pengangkutan seperti kapal terbang, orang-orang beriman seluruh dunia membuat persiapan permusafiran seawal bulan Syawal. 

 

ٱلۡحَجُّ أَشۡهُرٞ مَّعۡلُومَٰتٞۚ 

(Masa untuk mengerjakan ibadah) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. [Al-Baqarah : 197] 

Apabila orang beriman berniat melakukan haji, niat ihram boleh dilakukan seawal bulan Syawal. Apabila telah berniat ihram, ada 3 larangan yang perlu dipatuhi seperti dalam ayat berikut. 

 

فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ ٱلۡحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي ٱلۡحَجِّۗ 

Oleh yang demikian  sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh berkata-kata yang menaikkan syahwat ( لَا رَفَثَ), dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. [Al-Baqarah : 197]

 

Berikut merupakan larangan sepanjang ihram : 

  1. Tidak boleh berkata-kata yang menaikkan syahwat ( رَفَثَ ) , sehingga bawa pada percampuran suami dan isteri. 
  2. Tidak boleh membuat maksiat.
    • Kalimah فُسُوقَ bermaksud perbuatan dosa secara umumnya. 
    • Perbuatan dosa ini termasuklah mengumpat, menipu, mencuri dan semua laranganNya. 
  3. Tidak boleh bertengkar
    • Bertengkar adalah perbuatan yang bawa pada kebencian dan permusuhan. Bertengkar adalah dilarang sepanjang ihram meskipun berada dalam situasi tidak menyelesakan dengan suasana berebut-rebut memenuhi keperluan, tidak sabar menunggu ketika beratur, bertengkar untuk mendekati hajarul aswad. Kesemua ini adalah dilarang. 

Selain 3 larangan ihram, pada masa yang sama Allah s.w.t memerintahkan jemaah haji untuk melakukan apa-apa sahaja kebaikan penuh keikhlasan.

 

وَمَا تَفۡعَلُواْ مِنۡ خَيۡرٖ يَعۡلَمۡهُ ٱللَّهُۗ 

Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, niscaya Allah mengetahuinya. [Al-Baqarah : 197]

Kebaikan ini harus didasarkan keyakinan bahawa Allah s.w.t mengetahuinya. Lakukanlah kebaikan walaupun tiada manusia mengetahui atau menghargai. 

Bagi menjaga diri daripada larangan-larangan tersebut dan sabar berbuat baik, bukanlah usaha yang mudah. Justeru, hati perlu dipersiapkan dengan bekalan taqwa

 

وَتَزَوَّدُواْ فَإِنَّ خَيۡرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُونِ يَٰٓأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ  ١٩٧ 

Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal. [Al Baqarah:197]

Binalah kekuatan taqwa agar dapat melakukan ibadah haji sebaiknya. 

 

Berzikirlah & mohonlah keampunan

Pada ayat sebelum, terdapat larangan bertengkar. Lalu, umat Islam di zaman Rasulullah s.a.w.  menyangka jual beli juga dilarang kerana banyak pertengkaran berlaku dalam jual beli. Allah s.w.t menjelaskan perihal ini pada ayat berikut. 

 

لَيۡسَ عَلَيۡكُمۡ جُنَاحٌ أَن تَبۡتَغُواْ فَضۡلٗا مِّن رَّبِّكُمۡۚ 

Tidak ada dosa bagimu untuk mencari kurnia (rezeki hasil perniagaan) dari Tuhanmu. [Al Baqarah:198]

Jual beli adalah dibenarkan tetapi jangan sehingga mengabaikan tujuan permusafiran iaitu untuk melakukan ibadah haji. Berurus niagalah tetapi penuh kesederhanaan. 

Selanjutnya, Allah s.w.t menerangkan mengenai perjalanan haji.

 

فَإِذَآ أَفَضۡتُم مِّنۡ عَرَفَٰتٖ فَٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ عِندَ ٱلۡمَشۡعَرِ ٱلۡحَرَامِۖ وَٱذۡكُرُوهُ كَمَا هَدَىٰكُمۡ وَإِن كُنتُم مِّن قَبۡلِهِۦ لَمِنَ ٱلضَّآلِّينَ  ١٩٨

Maka apabila kamu telah bertolak dari 'Arafah, berzikirlah kepada Allah di Masy'arilharam. Dan berzikirlah (dengan menyebut) Allah sebagaimana yang ditunjukkan-Nya kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu benar-benar termasuk orang-orang yang sesat. [Al-Baqarah : 198]

Seorang yang telah berada di Arafah sepanjang siang akan bertolak ke Muzdalifah selepas Maghrib. Apa yang perlu dilakukan ketika bermalam di situ? 

Banyakkanlah berzikir. 

Para jemaah haji akan bermalam di sana dengan mengingati Allah s.w.t melalui hati, lisan dan perbuatan. 

Terdapat dua ayat tentang bertolak daripada Arafah iaitu pada ayat 198 dan 199. Orang Quraisy terdahulu menganggap perintah ini hanya untuk golongan selain bangsa Quraisy. Mereka menganggap diri sebagai penjaga kota Makkah lalu perlu sentiasa berada di tanah haram. Tetapi, Allah s.w.t mendidik bahawa ibadah haji tidak membezakan bangsa dan status manusia. Yang membezakan setiap manusia adalah ketaqwaan masing-masing. Maka, semua jemaah haji termasuklah bangsa Arab yang menjaga kota Mekah perlu berada di Arafah untuk memenuhi rukun haji. 

Selanjutnya, perintah bertolak dari Arafah didatangkan bersama perintah mohon ampunan kepada Allah s.w.t

 

ثُمَّ أَفِيضُواْ مِنۡ حَيۡثُ أَفَاضَ ٱلنَّاسُ وَٱسۡتَغۡفِرُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٞ  ١٩٩ 

Kemudian bertolaklah kamu dari tempat bertolaknya orang-orang banyak ('Arafah) dan mohonlah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [Al Baqarah:199]

Inilah antara objektif ibadah haji iaitu mengharapkan dosa-dosa diampunkan Allah s.w.t Justeru, koreksilah diri dan bersungguh-sungguhlah memohon ampun kepada Allah s.w.t. Sedarilah bahawa Allah s.w.t Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. 

 

Berzikirlah sebanyak-banyaknya. 

Pada hari ke-3 haji iaitu pada 10 Zulhijjah, jemaah haji akan menyelesaikan kesemua baki rukun haji iaitu melontar jamrah, berkorban, bercukur, tawaf dan sa’i. Setelah melakukan semuanya dan menetap di Mina, apa yang perlu dilakukan?

فَإِذَا قَضَيۡتُم مَّنَٰسِكَكُمۡ فَٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ كَذِكۡرِكُمۡ ءَابَآءَكُمۡ أَوۡ أَشَدَّ ذِكۡرٗاۗ 

Apabila kamu telah menyelesaikan ibadah hajimu, maka berzikirlah dengan menyebut Allah, sebagaimana kamu menyebut-nyebut (membangga-banggakan) nenek moyangmu, atau (bahkan) berzikirlah lebih banyak dari itu. [Al Baqarah:200]

Allah memerintahkan untuk berzikir dengan menyebut nama Allah s.w.t. sebanyak-banyaknya. Bangsa Arab ketika zaman Nabi s.a.w suka mengagungkan nenek-moyang mereka. Namun, Allah s.a.w. melarang perbuatan itu sebaliknya memerintahkan untuk banyak mengingati Allah s.w.t.

 

Berdoalah untuk kebaikan di dunia dan akhirat

Ibadah haji juga amat sinonim dengan doa. Bahkan ramai membudayakan mengirim doa kepada jemaah haji agar keinginan mereka didoakan di masjidilharam. Allah s.w.t mengajar sesuatu mengenai hal ini. 

Ada golongan manusia yang tatkala berdoa kepada Allah s.w.t ketika musim haji , mereka berdoa yang hanya khusus untuk dunia. Perkara ini membawa kerugian kerana tiada bahagian untuk dirinya pada hari Akhirat. 

 

فَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا وَمَا لَهُۥ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنۡ خَلَٰقٖ  ٢٠٠ 

Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat. [Al Baqarah:200]

Sebaliknya, Allah s.w.t mendidik kita agar berdoalah untuk kebaikan dunia dan akhirat serta terpelihara daripada siksa neraka. 

 

وَمِنۡهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةٗ وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِ حَسَنَةٗ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ  ٢٠١ أُوْلَٰٓئِكَ لَهُمۡ نَصِيبٞ مِّمَّا كَسَبُواْۚ وَٱللَّهُ سَرِيعُ ٱلۡحِسَابِ  ٢٠٢ 

Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka". Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian daripada yang mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya. [Al Baqarah:201-202]

Bagaimanakah caranya berdoa untuk kebaikan dunia dan akhirat?

Misalnya, ketika berdoa memohon direzekikan anak, usah terhenti pada permohonan manfaat mendapat anak di dunia. Tetapi, dapatkan kesedaran bagaimana anak yang dipohonkan itu dapat bawa kebaikan di akhirat. Contoh lain, ketika berdoa memohon direzekikan kejayaan perniagaan, usah terhenti pada permohonan kekayaan dunia, tetapi bagaimana kejayaan perniagaan itu dapat disalurkan dan disumbang ke jalan Allah s.w.t. 

Nabi Zakariya a.s. memberi teladan doa yang mengharap kebaikan dunia dan akhirat dalam surah Maryam. Baginda jelas permohonan anak adalah agar anak tersebut dapat mewarisi tugas kenabian yang menyampaikan kebenaran kepada masyarakat. Begitulah contoh permohonan doa yang mengharapkan kebaikan dunia dan akhirat. 

 

Ingatlah Allah s.w.t dan bertaqwalah 

Mengingati Allah s.w.t adalah ibadah sepanjang waktu. Lebih-lebih lagi khusus pada Hari Tasyrik (11-13 Dzulhijjah), bersungguh-sungguhlah perbanyakkan mengingati Allah s.w.t kerana 3 hari ini adalah istimewa dan dimuliakan. 

 

۞وَٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ فِيٓ أَيَّامٖ مَّعۡدُودَٰتٖۚ فَمَن تَعَجَّلَ فِي يَوۡمَيۡنِ فَلَآ إِثۡمَ عَلَيۡهِ وَمَن تَأَخَّرَ فَلَآ إِثۡمَ عَلَيۡهِۖ لِمَنِ ٱتَّقَىٰۗ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّكُمۡ إِلَيۡهِ تُحۡشَرُونَ  ٢٠٣ 

Dan berzikirlah (dengan menyebut) Allah dalam beberapa hari yang terhitung. Barangsiapa yang ingin cepat berangkat (dari Mina) sesudah dua hari, maka tiada dosa baginya. Dan barangsiapa yang ingin menangguhkan (keberangkatannya dari dua hari itu), maka tidak ada dosa pula baginya, bagi orang yang bertakwa. Dan bertakwalah kepada Allah, dan ketahuilah, bahwa kamu akan dikumpulkan kepada-Nya. [Al Baqarah:203]

Hari Tasyrik adalah hari berkorban, hari untuk makan dan minum. Justeru hari-hari ini perlu dipenuhi dengan perbanyakkan usaha mengingatiNya penuh kesyukuran.

Jika ada yang mahu meninggalkan Mina pada hari kedua atau ketiga, tiada salahnya. Ini kerana perkara yang paling utama adalah ketaqwaan. Perkumpulan di Arafah dan Mina sebenarnya menggambarkan perhimpunan manusia pada Hari Pembalasan. Tatkala menyedari hakikat ini, diri akan lebih berhati-hati dalam bertindak kerana menyedari setiap perbuatan akan dihitung. Kesedaran ini akan membawa pada taqwa. Justeru, takutlah pada Allah s.w.t dan sedarilah bahawa akan tiba suatu hari, setiap kita akan dikumpulkan untuk menghadapNya. 

 

Ibadah haji yang membentuk peribadi.  

Renungan ayat-ayat haji surah Al-Baqarah bermula ayat 197 hingga ke 203 mengajarkan kita usaha penyucian jiwa. Bermula dengan usaha menahan diri daripada maksiat dan bertengkar serta perbanyakkan berbuat kebaikan, ibadah haji menyediakan ruang bagi jemaah haji memurnikan hati. Seruan berzikir dan mohon keampunan di samping perintah bertaqwa yang berulangkali disebut mendidik jemaah haji untuk sentiasa dalam keadaan pengabdian. 

Justeru, dengan kejelasan perspektif haji melalui lensa surah Al-Baqarah, moga-moga para jemaah haji diberikan petunjuk untuk memaksimakan amal perintahNya agar kembali daripada ibadah haji sebagai diri manusia yang berbakti dan bersedia untuk berjuang atas jalanNya.