Kehidupan adalah anugerah kurniaan Tuhan kepada setiap kita yang bergelar insan.

Maka, teruskanlah belajar untuk menjadi yang lebih baik pada setiap kesempatan. Setiap perintah dan larangan Allah di dalam Al-Qur’an adalah satu petunjuk bagi kita untuk melalui setiap saat di dalam kehidupan.

Maka, pesanan untuk diri ini dan semua pembaca, jangan berhenti untuk belajar dan memperbaiki diri.

Belajarlah untuk memaknai setiap saat kehidupan dengan membuat pilihan yang kebenaran.

Kebenaran itu datang dari Tuhanmu. Maka, teruskanlah mempelajari Al-Qur’an untuk memaknai setiap kalam Tuhan.

Kebenaran itu satu perjuangan. Hidup di dalam kebenaran itu satu perjuangan.

Kebenaran lawannya kebathilan. Kebathilan itu amat rapuh sifatnya walaupun di luar ia nampak kukuh.

Sedangkan kebenaran itu sifatnya kukuh walaupun badai melanda. Kebenaran itu menguatkan, menggerakkan individu untuk terus berbuat, memotivasikan dan sumber transformasi diri.

Maka pesanan untuk diri ini dan semua, tiada nilai kehidupan tanpa kebenaran.

Kebenaran itu bukan dinilai dengan berapa ramai yang menyokong kamu atau status yang kamu ada.

Namun, kebenaran itu adalah berasaskan sumber dan sistem yang benar.

Tiada nilai setiap sisi kehidupan jika dilalui dengan kebathilan dan kepura-puraan.

Mari kita merenung sebentar firman Tuhan, Surah Al Kahf: Ayat 29

 

وَقُلِ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكُمْ  [الكهف: 29]

Dan kebenaran itu datang dari Tuhanmu

 

Maka, belajarlah untuk menjadi orang yang benar di dalam kata-kata.

Apa yang di dalam hati dan mindanya adalah sama dengan apa yang diucapkan.

Kerana nilai kebenaran itu besar di sisi Tuhan.

Belajarlah untuk terus memperbaiki diri. Perjalanan di dalam kehidupan adalah satu pelajaran untuk setiap insan memperbaiki diri.

Tiada istilah terlambat disisi Tuhan. Memperbaiki diri di dalam setiap aspek kehidupan.

Pemikirannya, emosinya, tindakannya dan perilakunya.

Jika kita membuat refleksi di atas setiap perilaku kita, sudah pasti kita tidak terlepas dalam melakukan kesalahan.

Namun, rahmat Tuhan amat besar bagi setiap insan yang kembali kepada Tuhan. Kembali di dalam konteks mengakui kesilapan diri, bertaubat dan berusaha untuk memperbaiki diri.

Al-Qur’an kitab yang mengajar erti perjuangan. Petunjuk yang menggerakkan setiap jiwa untuk bergerak dan melakukan perubahan. 

Surah Al Hajj , ayat 78 mengajar kita erti perjuangan

 

وَجَاهِدُوا فِي اللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِ  هُوَ اجْتَبَاكُمْ وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ  مِلَّةَ أَبِيكُمْ إِبْرَاهِيمَ  هُوَ سَمَّاكُمُ الْمُسْلِمِينَ مِنْ قَبْلُ وَفِي هَذَا لِيَكُونَ الرَّسُولُ شَهِيدًا عَلَيْكُمْ وَتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ  فَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَاعْتَصِمُوا بِاللَّهِ هُوَ مَوْلَاكُمْ  فَنِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيرُ [الحج: 78]

Dan berjihadlah kamu di jalan Allah di Jalan Allah dengan jihad yang sebenar. Dia memilihkan deen untuk kamu dan ikutlah millah Ibrahim,Allah menamakan kamu sebagai Muslim sebelum ini dan menjadikan rasul sebagai saksi atas segenap an-nas dan dirikan solat dan keluarkan zakat, berpegang teguh kepada Allah. Dia sebaik-baik pelindung dan penolong

 

Satu seruan untuk berjihad di jalan Allah. Jihad ini bermula dengan ilmu pengetahuan. Sumber kebenaran adalah Al-Qur’an. 

Jihad atau berusaha bersungguh-sungguh untuk memaknai setiap seruan Tuhan. Antaranya dengan berpegang teguh di jalan Allah.

Berjuanglah untuk memberi yang terbaik di dalam setiap posisi yang diberikan.

Samada posisi di dalam keluarga, kerjaya dan masyarakat . Maka, teruskanlah berjuang untuk memberi yang terbaik.

Belajarlah untuk bertanggungjawab atas setiap keputusan yang dibuat. Belajarlah untuk menganalisa setiap peristiwa sebelum menghukumi. Belajarlah untuk mendengar sebelum memberi pandangan.

Belajarlah dari setiap peristiwa yang Allah anugerahkan untuk mendapatkan hikmah untuk diaplikasikan di dalam kehidupan.

Belajarlah untuk menyayangi diri sendiri supaya kamu dapat menyayangi insan di sekitar kamu.

Belajarlah untuk menerima dirimu dengan setiap kelebihan dan kekurangannya. Syukuri setiap kelebihan.

Teruskan memperbaiki diri di atas setiap kekurangan dan kelemahan.

Belajarlah untuk memaafkan dirimu di atas setiap kealpaan kamu di dalam membuat keputusan. Moga-moga dengan belajar memaafkan, kamu akan mampu memaafkan insan-insan yang telah melukai dirimu.

Belajarlah dengan setiap insan yang kamu temui di dalam kehidupan. Setiap pertemuan ada Mutiara yang boleh dikutip.

Belajarlah untuk menerima bahawa kehidupan adalah ujian untuk melihat siapa yang terbaik di dalam amalannya.

Belajarlah untuk terus memberi walaupun tiada yang menghargai.

Kerana setiap kebaikan itu ada nilai disisi Tuhan.

Belajarlah untuk menghargai dan bersyukur di atas setiap anugerah Tuhan dari perkara-perkara yang kecil.

Belajarlah untuk terus jujur dengan diri sendiri. Kamu tidak akan mampu jujur dengan yang lain jika tidak jujur dengan diri sendiri.

Jujur itu bermula dari setiap perkara yang kamu anggap kecil atau remeh.

Belajarlah untuk terus berjuang di dalam kehidupan. Jangan putus asa di atas setiap ujian yang Allah hadirkan.

Belajarlah untuk menjadi manusia berani.

Berani berkata benar walaupun tiada sokongan dari yang lain.

Berani untuk mengeluarkan pandangan dan pendapat.

Belajarlah untuk terus memaknai setiap sisi kehidupan.

Sahabat, hidup ini amat indah jika kita dapat memahami setiap mesej Tuhan di dalam setiap pertemuan, setiap peristiwa.

Maka, teruskanlah belajar sehingga saat-saat akhir kehidupan.