Bagi umat Islam menunaikan ibadah umrah atau pun haji adalah kewajipan yang perlu dilaksanakan dan merupakan salah satu rukun Islam. Bagi mereka yang berkemampuan, hendaklah mereka menunaikan ibadah ini sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Namun begitu, bagi yang masih belum berkemampuan tanamlah azam yang kuat, dan berusahalah untuk menunaikan rukun Islam ini. Usaha ini bukan sahaja terhad kepada menabung wang simpanan, mendaftarkan giliran tetapi juga menyediakan diri sendiri, dari segi aspek kesihatan dan juga keilmuaan. Kesihatan yang baik dapat membantu seseorang itu lebih cergas dan aktif untuk menunaikan ibadah, kerana berdasarkan pengalaman-pengalaman mereka yang pernah menunaikan ibadah haji dan umrah pasti berkongsi bahawa ibadah ini memerlukan tenaga dan gerakan yang banyak untuk disempurnakan. Tambahan pula, menimba ilmu berkaitan haji dan umrah juga penting sebelum kita melaksanakan ibadah. Kerana apa? Kerana dengan ilmulah ibadah itu bukan hanya satu gerakan dan menyelesaikan rukun-rukun tetapi ianya lebih bermakna dengan menghayati perjuangan nabi-nabi kita. Oleh itu, penulisan saya kali ini ingin berkongsi nilai-nilai yang harus kita hayati dalam ibadah umrah atau haji, agar ibadah kita menjadi lebih bermakna. 

MENYEDIAKAN HATI YANG TAWADUK

Firman Allah SWT:

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلاَ رَفَثَ وَلاَ فُسُوقَ وَلاَ جِدَالَ فِي الْحَجِّ وَمَا تَفْعَلُواْ مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللّهُ وَتَزَوَّدُواْ فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى وَاتَّقُونِ يَا أُوْلِي الأَلْبَابِ

(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)

(Surah al-Baqarah: 197)

Hakikatnya, ayat ini adalah didikan daripada Allah SWT untuk menyediakan diri bagi menunaikan ibadah haji. Dan ini termasuklah mengosongkan fikiran daripada segala perkara yang menyesatkan, membersihkan hati, serta membebaskan diri daripada sandaran selain daripada Allah SWT. Ayat ini khusus menyebutkan tentang ibadah haji dan larangan-larangan yang perlu dipatuhi, dan diakhir dengan Allah SWT ‘menyeru’ hamba-hamba-Nya untuk menjadi orang yang bertaqwa kepada-Nya. Mengapa? Kerana salah satu persiapan yang perlu dilakukan oleh jemaah yang bakal menunaikan haji adalah taqwa kepada Allah SWT. Persiapan ini boleh dilakukan dengan mendekatkan diri kepada Allah melalui ibadah wajib dan sunat, bagi menyediakan diri mereka untuk menjadi salah seorang tetamu Allah di baitullah. Adakah cukup setelah itu? Bukan cukup atau tidak jawapannya, tetapi dengan usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah akan menundukkan hati, mengakui kelemahan, datang sebagai tetamu Allah yang mengharapkan redha Allah dan bukan perkara duniawi yang menjadi dambaan. Itulah kesediaan ibadah haji yang harus diterapkan, kerana ibadah haji ini akan menguji kekuatan iman seseorang hamba kepada Tuhan-Nya. 

MELATIH SABAR DENGAN SEBARANG UJIAN

Dalam proses menunaikan haji, kadangkala datang pelbagai ujian. Sama ada ujian tersebut adalah berkaitan perlu kuat menghadapi sesakan lalu lintas, melintasi laluan manusia yang ramai, ditolak, terjatuh dalam lautan manusia, atau ianya boleh hadir dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Ujian tidak mengenal siapa untuk datang, dan tidak menunggu bila untuk dijemput. Tetapi sebagai hamba yang bersedia dengan penyerahan segala tawakkal kepada Allah SWT, perlu bersedia dengan satu kunci apabila teruji, iaitu sabar. Sabar dan redha adalah dua perkara yang perlu disematkan dalam diri agar ibadah haji kita benar-benar dimaknai. Janganlah kita menjadi jemaah yang merungut dengan segala tekanan dan ujian yang mendatang. Sambutlah ia dengan doa dan mengharap bantuan daripada Allah SWT. Seperti mana yang disebutkan dalam sebuah hadith:

 

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah S.W.T tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa.

(Hadith Riwayat al-Tirmizi)

Hadith ini mendidik kita untuk berdoa dengan penuh yakin kepada Allah SWT dan pengharapan yang diletakkan kepada-Nya adalah sepenuhnya. Keberadaan jemaah di tanah suci merupakan satu peluang untuk perbanyakkan doa, dan memohon keampunan dan pertolongan kepada-Nya. Tunaikanlah segala ibadah, dan berdoalah kepadanya, kutiplah sebanyak mungkin pahala sepanjang jemaah berada di sana. Ini kerana dalam sebuah hadith juga disebutkan berkaitan gandaan pahala ibadah solat di tanah suci ini, maksudnya:

 

Solat di dalam masjidku ini (Masjid Nabawi) adalah lebih baik berbanding 1000 solat – atau menyamai 1000 solat – berbanding masjid-masjid selainnya, kecuali Masjid al-Haram.

(Hadith Riwayat Muslim)

Justeru, semaikan kesabaran, hadapilah ujian dengan penuh tawakkal kepada-Nya, kerana peluang menunaikan ibadah haji itu tanda kalian menjadi pilihan daripada sebahagian jutaan dan ribuan tetamu Allah SWT. Persoalannya layakkah kita untuk mengeluh? 

 

SYUKUR DAN IKHLAS MENJADI BEKALAN

Seharusnya, tidak…Tetapi ianya perlu dihadapi dengan ikhlas. Jemaah haji datang menunaikan ibadah dengan memakai pakaian ihram yang sama semuanya, tidak kira pangkat dan harta yang dimiliki. Dan semua jemaah juga datang kesana dengan tujuan yang sama, untuk menunaikan ibadah, di samping memohon keampunan dan keredhaan Allah SWT. Di sana akan melatih sifat ikhlas dalam diri jemaah. Ikhlas ini juga seharusnya dihiasi dengan rasa syukur, atas segala nikmat harta dan kesihatan tubuh badan yang dikurniakan sehingga kita diberi peluang untuk bertawaf, menunaikan saie, berwuquf, pergi untuk melontar, dan melengkapkan ibadah haji yang lain. Oleh sebab itu, nilai dalam ibadah haji ini juga akan melatih seorang hamba untuk syukur dan ikhlas, supaya setelah kembali ke tempat masing-masing sifat itu benar-benar termateri di dalam diri mereka.

Justeru, ibadah haji atau umrah bukan sekadar ritual agama yang perlu disempurnakan oleh umat Islam, tetapi ianya salah satu ibadah yang tersirat di dalamnya pelbagai nilai dan hikmah yang mengajar kita untuk menjadi hamba Allah SWT yang lebih baik. Ibadah ini akan melatih jemaah untuk membiasakan diri dengan budi pekerti yang baik, jauh dari segala kemungkaran dan menerapkan di dalam diri mereka segala nilai-nilai manusiawi. Ibadah haji bukan sekadar mengejar gelaran haji atau hajjah tetapi ianya lebih besar kepada diri kita iaitu menerapkan nilai-nilai yang harus kita renungi agar ibadah itu tidak menjadi sia-sia. Buat jemaah haji pada tahun ini, doakan kami agar terpilih menjadi insan bertuah seperti kalian, dan didoakan semoga kalian dikurniakan ibadah yang mabrur. Saya tutupi penulisan kali ini dengan sebuah hadith untuk renungan bersama:

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الْجَنَّةُ

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Ibadah umrah ke ibadah umrah berikutnya adalah penggugur (dosa) di antara keduanya, dan haji yang mabrur tiada balasan (bagi pelakunya) melainkan syurga”

(Hadith Riwayat Bukhari)

Wallahu a’lam.

 

ARTIKEL INI TURUT MERUJUK BAHAN DI BAWAH:

Abdurrahman Muhammad Ad Dausari, Al Hajj: Ahkamuh, Asraruh, Manafi’uh, Riyad: Dar Ishbiliya.