Bulan haji bakal tiba tidak lama lagi. Dua sahabat mula memilih syarikat yang tawarkan ibadah korban. Mereka cepat-cepat mahu selesaikan pembayaran untuk ibadah korban, khuatir duit gaji habis dibelanjakan.
“Tengok ni, dia ada bahagian berharga RM200. Ambillah yang ni.”
“Tak naklah. Aku nak ambil yang RM400 tu.”
“Pelik kau ni. Dah ada yang murah, kenapa nak yang mahal.”
“Sebab aku memang dah simpan duit banyak ni. Tak naklah ambil yang harga kurang.”
“Duit tu kau boleh guna untuk keperluan lain.”
“Tak nak. Takut Allah s.w.t tak terima pula kalau aku sengaja pilih yang kurang.”
“Eh, korban kita boleh jadi tak diterima ke?”
“Ya. Boleh jadi Allah s.w.t tak terima macam korban Qabil yang tak diterima.”
***
Sejarah awal ibadah korban yang dirakam dalam Al-Qur’an adalah peristiwa anak-anak Nabi Adam a.s. yang persembahkan korban mereka.
۞وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱبۡنَيۡ ءَادَمَ بِٱلۡحَقِّ إِذۡ قَرَّبَا قُرۡبَانٗا فَتُقُبِّلَ مِنۡ أَحَدِهِمَا وَلَمۡ يُتَقَبَّلۡ مِنَ ٱلۡأٓخَرِ قَالَ لَأَقۡتُلَنَّكَۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡمُتَّقِينَ ٢٧
Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Dia berkata (Qabil): "Aku pasti membunuhmu!". Berkata Habil: "Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa".
Al-Maidah, 5: 27
Sejarah ini disebut sebagai نَبَأَ yang bermakna “berita besar”. Ada pengajaran penting yang perlu digarap melalui kejadian ini. Mungkin ada yang tertanya-tanya apa yang mereka korbankan atau mengapa mereka mempersembahkan korban ini? Persoalan ini didiamkan Allah s.w.t dalam Al-Qur’an sebaliknya perilaku mereka yang perlu direnungi untuk diambil pengajaran.
Kalimah قُرب bermakna “kedekatan” dan kalimah “korban” itu merujuk perbuatan mempersembahkan sesuatu untuk semakin dekat dengan Allah s.w.t. Melalui ini kita ketahui ibadah korban merupakan salah satu cara untuk orang-orang beriman raih kedekatan dengan Allah s.w.t.
Korban yang dipersembahkan Habil diterima Allah s.w.t tetapi korban Qabil tidak diterima. Apakah yang membezakan antara keduanya?
Itulah nilai taqwa dalam diri.
قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡمُتَّقِينَ
Berkata (Habil): "Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa".
Al-Maidah, 5 : 7
Taqwa menjadi syarat diterimanya sesuatu amal. Ini termasuklah keikhlasan niat dalam melakukan apa-apa pekerjaan. Kesabaran dalam mempersiapkan ibadah korban dengan memberi yang terbaik termasuk bentuk ketakwaan seorang hamba.
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَنفِقُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا كَسَبۡتُمۡ وَمِمَّآ أَخۡرَجۡنَا لَكُم مِّنَ ٱلۡأَرۡضِۖ وَلَا تَيَمَّمُواْ ٱلۡخَبِيثَ مِنۡهُ﴿
تُنفِقُونَ وَلَسۡتُم بَِٔاخِذِيهِ إِلَّآ أَن تُغۡمِضُواْ فِيهِۚ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ ﴾٢٦٧
Wahai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya, padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu, kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.
Al-Baqarah, 2: 267
Ada sesuatu dalam diri Qabil yang membuatkan korbannya tidak diterima.
Qabil dengki atas nikmat yang diterima saudaranya, Habil. Kedengkian ini bahkan jadi pemicu pada perbuatan dosa membunuh. Ibadah korban yang dilakukan rupa-rupanya makin menjauhkan dirinya daripada Allah s.w.t kerana rentetan itu dia melakukan dosa membunuh saudara kandung sendiri.
فَطَوَّعَتۡ لَهُۥ نَفۡسُهُۥ قَتۡلَ أَخِيهِ فَقَتَلَهُۥ فَأَصۡبَحَ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٣٠
Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga tergamak) membunuh saudaranya, lalu dia membunuhnya. Oleh itu, menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.
Al-Maidah, 5: 30
Ibadah korban seharusnya makin mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Sebaliknya, ibadah korban Qabil membuatkan dirinya semakin jauh daripada Allah s.w.t bahkan tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi.
Renung seketika pengajaran ini.
Usah biarkan penyakit cemburu dan dengki meracuni hati.
Korban sebenarnya salah satu kaedah untuk menzahirkan kesyukuran atas nikmat yang Allah s.w.t kurniakan kepada kita. Melalui surah Al-Kautsar, kita pelajari bahawa nikmat itu perlu disyukuri dengan solat dan korban.
إِنَّآ أَعۡطَيۡنَٰكَ ٱلۡكَوۡثَرَ ١ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ ٢ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلۡأَبۡتَرُ ٣
Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu; dan berkorbanlah. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus.
Al-Kauthar, 108 : 1-3
Seorang mukmin bersyukur itu tidak cukup sekadar membanyakkan ibadah, perbaiki hubungannya dengan Robb. Tetapi, kesyukuran itu turut menuntut bakti kepada manusia lain dengan memberi dan salah satu kaedahnya adalah dengan ibadah korban. Memahami kedudukan ibadah korban sebagai manifestasi kesyukuran dan jalan untuk semakin dekat kepada Allah s.w.t, seharusnya ibadah ini dilakukan sebaik-baiknya.
Utamanya, lakukan ibadah ini sebaik mungkin selari kapasiti yang direzekikan Allah s.w.t. Usah berniat memberikan yang buruk-buruk sedangkan rezeki yang Allah s.w.t kurniakan jauh melebihi.
Luruskan niat untuk ikhlas memberi kepada yang memerlukan. Usaha untuk mencari tempat kalangan asnaf agar daging korban dimanfaatkan mereka yang kurang berkemampuan. Pelihara diri daripada mengungkit atau menyakiti hati mereka yang mendapat bahagian daripada daging korban.
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُبۡطِلُواْ صَدَقَٰتِكُم بِٱلۡمَنِّ وَٱلۡأَذَىٰ كَٱلَّذِي يُنفِقُ مَالَهُۥ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ ﴿
وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۖ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ صَفۡوَانٍ عَلَيۡهِ تُرَابٞ فَأَصَابَهُۥ وَابِلٞ فَتَرَكَهُۥ صَلۡدٗاۖ لَّا يَقۡدِرُونَ عَلَىٰ شَيۡءٖ مِّمَّا
كَسَبُواْۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡكَٰفِرِينَ ﴾٢٦٤
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatupun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.
Al-Baqarah, 2 : 264
Ibadah korban adalah ibadah yang menzahirkan rasa kesyukuran atas nikmat yang Dia kurniakan. Justeru, usahlah mengharap dan memerhatikan nikmat yang diterima orang lain. Jangan ikuti jejak Qabil yang mencetus perbuatan membunuh. Lihatlah segala nikmat melimpah-ruah yang telah Allah s.w.t kurniakan kepada kita dan usah racuni hati dengan berangan-angan terhadap nikmat yang Allah s.w.t kurniakan kepada yang lain.
Moga-moga setiap kita dilorongkan jalan untuk melakukan ibadah yang makin mendekatkan kepada Allah s.w.t.