LaranganNya satu “Jangan hampiri pohon terlarang.”

Bisikan si musuh pula datang berkali-kali, 

“Tuhan tak nak kau hidup di syurga selama-lamanya.” 

“Kalau kau tak jadi malaikat, kau tak boleh berada di sini.”

“Pohon ini boleh buat kau hidup abadi.” 

“Kau akan dapat kuasa yang tidak akan lenyap melalui pohon ini.”

Sehingga akhirnya, Nabi Adam a.s dan Hawwa tergelincir akibat pengaruh syaitan. 

 

فَأَزَلَّهُمَا ٱلشَّيۡطَٰنُ عَنۡهَا فَأَخۡرَجَهُمَا مِمَّا كَانَا فِيهِۖ وَقُلۡنَا ٱهۡبِطُواْ بَعۡضُكُمۡ لِبَعۡضٍ عَدُوّٞۖ وَلَكُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ مُسۡتَقَرّٞ وَمَتَٰعٌ إِلَىٰ حِينٖ  

Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman “Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi serta mendapat kesenangan sehingga suatu masa (mati).”

Al-Baqarah, 2 : 36

 

Sedang berjalan, tiba-tiba tergelincir lalu terjatuh. Apakah akibat tergelincir? 

Ada yang terluka. 

Ada yang patah tulang. 

Ada yang menanggung sakit lutut selamanya. 

Keadaan “tergelincir” realitinya bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Terlalu banyak risiko dan kesan buruk tergantung keadaan dan tempat di mana seseorang jatuh. 

Begitulah juga dalam kehidupan seorang beriman yang sedang menelusuri jalan yang lurus. Ketika hati mula cenderung pada hasutan dan bisikan syaitan yang hadir berkali-kali, ada risiko tergelincir dan melanggar aturan Allah s.w.t. Pelanggaran perintahNya akibat tipu-daya syaitan ini pasti beri kesan buruk pada kesejahteraan hidup manusia. 

Persoalannya, bagaimana boleh tergelincir? 

Jika tergelincir secara fizikal, boleh jadi disebabkan terdapat sesuatu yang membuatkan permukaan lantai licin seperti air yang tertumpah atau terpijak kulit pisang dijalanan. Apa yang ada di permukaan lantai boleh jadi disebabkan kecuaian dan kelalaian diri sendiri yang membiarkannya di situ. 

Begitu jugalah fenomena “tergelincir” dari jalan kebenaran akibat bisikan syaitan. Punca “tergelincir” salah satunya disebabkan kecuaian dan kelalaian diri sendiri yang melakukan dosa-dosa atau perbuatan yang melanggar perintahNya. Perbuatan dosa ini boleh mengakibatkan seseorang “tergelincir” mengikuti jejak syaitan. 

 

إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَلَّوۡاْ مِنكُمۡ يَوۡمَ ٱلۡتَقَى ٱلۡجَمۡعَانِ إِنَّمَا ٱسۡتَزَلَّهُمُ ٱلشَّيۡطَٰنُ بِبَعۡضِ مَا كَسَبُواْۖ وَلَقَدۡ عَفَا ٱللَّهُ عَنۡهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ حَلِيمٞ  

Sesungguhnya orang-orang yang berpaling di antaramu pada hari bertemu dua pasukan itu, hanya saja mereka digelincirkan oleh syaitan, disebabkan sebagian kesalahan yang telah mereka perbuat (di masa lampau) dan sesungguhnya Allah telah memberi maaf kepada mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.

Ali-Imran, 3: 155

 

Kesalahan-kesalahan lampau boleh mengakibatkan seseorang “tergelincir” daripada jalan kebenaran lalu cenderung pada bisikan syaitan. Umpama air yang tertumpah di lantai, jika dibiarkan, boleh menyebabkan sesiapa yang melaluinya tergelincir. Cepat-cepatlah lap bahagian berkenaan agar tiada yang tergelincir. 

Sebagai manusia yang banyak kekurangan dan kelemahan, bekal taqwa itu menyelamatkan.  Taqwa itulah yang menahan diri daripada terjebak melakukan dosa atau tidak melakukan perintahNya. Andai tidak sengaja, terlalai lalu melakukan dosa, bersegeralah mohon keampunan Allah s.w.t. Moga-moga keampunanNya membuatkan diri meraih rahmat, terselamat daripada hasutan syaitan. 

Selain taqwa, usaha mengenal Allah s.w.t juga bantu menguatkan hati agar tidak terpedaya bisikan syaitan. Ini kerana idea yang dijanjikan syaitan dirasakan tidak bernilai berbanding segala panduan perintahNya yang didasari keagungan dan kebijaksanaanNya. Jiwa yang mengetahui dan mengenali Allah Al-‘Aziz dan Al-Hakim akan meyakini segala peraturan serta hukum perintahNya adalah terbaik berbanding apa yang dibisikkan syaitan. 

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ  ٢٠٨ فَإِن زَلَلۡتُم مِّنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡكُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ  ٢٠٩

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. 

Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. 

Al-Baqarah : 208-209.

 

Kenalilah Allah Al-‘Aziz

Nama al-‘Aziz dari kata akar عزز membawa beberapa makna. Antaranya adalah kekuatan yang mampu mengalahkan, kemuliaan dan keunikan atau jarang didapatkan sehingga sangat dicari dan diperlukan. 

Ketika Bani Israil melakukan dosa, Nabi Isa a.s berdoa kepada Allah dengan nama Al-‘Aziz. Perbuatan ini mungkin menimbulkan tanda tanya. Mengapa tidak menggunakan namaNya Al-Ghafur untuk pengampunan dosa ?

 

إِن تُعَذِّبۡهُمۡ فَإِنَّهُمۡ عِبَادُكَۖ وَإِن تَغۡفِرۡ لَهُمۡ فَإِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ  ١١٨

Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau, dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Al-Maidah, 118

 

Ayat  ini mengajar kita bahawa kenalnya Nabi Isa a.s. akan Allah s.w.t membuatkan baginda menyedari bahawa dosa-dosa manusia tidak memberi kesan atau pengaruh terhadapNya. Dialah yang Maha Kukuh dan Maha Mengalahkan. Sekalipun Dia mengampunkan hambaNya, tiada kekurangan. Ini berbeza dengan manusia. Ketika manusia memaafkan, mungkin ada yang rasa kekurangan diri kerana pihak yang dimaafkan telah mengambil hak atau mengalahkan. Keadaan ini tidak sama sekali bagi Allah s.w.t.

Kenalnya kita terhadap Al-‘Aziz membuatkan kita sanggup tidak mengendahkan hasutan dan bisikan syaitan yang suka menampakkan perbuatan dosa sebagai indah. Perbuatan dosa yang dipercantikkan dengan keinginan nafsu manusia melalui bisikan syaitan tidak menipu golongan yang mengenali Robbnya. Dalam hati, tetap rasa mulia dengan taat perintahNya. Tidak tertipu dengan kemuliaan atau keagungan palsu yang dibentangkan syaitan. 

 

وَلِلَّهِ ٱلۡعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِۦ وَلِلۡمُؤۡمِنِينَ وَلَٰكِنَّ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ لَا يَعۡلَمُونَ  ٨

Padahal kemuliaan dan kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tiada mengetahui.

Munafiqun, 63: 8

 

Misalnya, syaitan boleh menampakkan perbuatan  membuka aurat atau menayangkan kecantikan wanita sebagai sesuatu yang dibanggakan dan dimuliakan. Sesiapa yang menutup aurat dan tidak terlihat cantik dianggap kolot dan berstatus rendah. Namun, jiwa beriman yang mengenali Tuhannya mampu menepis bisikan sebegini dan tetap rasa mulia dengan patuhi peraturan dan panduan hidupNya. 

 

Kenalilah Allah Al-Hakim

Menurut Raghib Al-Asfahani, kalimah dengan kata akar حكم bermakna menghalang atau mencegah daripada sesuatu keburukan. Ia juga bermakna memberikan hukum. Perkataan hikmah pula merupakan kesatuan antara ilmu dan amal yang menggambarkan kebijaksanaan berfikir hingga mempengaruhi perbuatan.  

Allah Al-Hakim, Dialah Yang Maha Bijaksana dalam memberikan hukum. Kesemua peraturan berbentuk perintah dan laranganNya adalah untuk menghalang atau mencegah daripada keburukan. Ketika nama Al-Hakim digandingkan dengan nama Al-‘Aziz, ini bermakna kekuasaan Allah s.w.t terhadap hambaNya adalah penuh hikmah, bukan bersifat zalim. Berbeza dengan sifat manusia yang apabila memiliki kuasa dan kekuatan, berisiko menghukum pihak bawahan demi kepentingan peribadi. 

Kenalnya seorang hamba terhadap Allah Al-Hakim menyuburkan rasa lapang dada terhadap segala hukum perintah dan laranganNya. Ini kerana kesemuanya adalah demi kebaikan si hamba, menyelamatkan dirinya daripada keburukan. Ketakutan yang dibisikkan syaitan seperti takut memberi sedekah kerana kemiskinan harus dibendung dengan menguatkan kefahaman tentang makrifatullah. Percayalah kepada Al-Hakim yang telah menetapkan perintah amal. Di sebalik perintahNya, sentiasa ada kebaikan melimpah-ruah padanya. 

 

Berlindunglah kepada Allah s.w.t daripada syaitan. 

Tipu daya syaitan terhadap anak cucu Adam AS adalah realiti yang akan terus berlaku tanpa manusia mampu melihat mereka sehinggalah Hari Kebangkitan. Justeru, manfaatkanlah pakaian taqwa yang menahan diri daripada bermaksiat, kenalilah Allah s.w.t agar tidak mudah tertipu dengan musuh yang nyata. Akhirnya, usah lupa mohon perlindungan kepada Allah s.w.t daripada bisikan syaitan yang dilaknat. 

Semoga setiap kita pulang menghadapNya dalam keadaan hati yang sejahtera.