Surah Al Hajj yang dimulakan dengan ayat pertama berhubung perintah bertaqwa.

Surah Al Hajj: Ayat 1

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ  إِنَّ زَلْزَلَةَ السَّاعَةِ شَيْءٌ عَظِيمٌ [الحج: 1]

Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu, sesungguhnya goncangan hari kiamat itu sangat besar.

Menarik untuk direnungkan ayat ini, Allah menyeru seluruh manusia untuk bertakwa.

Perkataan “An naas” yang digunakan dan bukannya “amanu”.  Seruan kepada seluruh manusia.

Taqwa merupakan sesuatu yang tinggi nilainya disisi Allah dan perlu diperjuangkan.

Di dalam bahasa yang mudah, taqwa adalah individu yang begitu berhati-hati di dalam setiap tindakan dan pilihan supaya ia bertepatan dengan seruan Allah di dalam Al-Qur’an.

Taqwa adalah sesuatu yang perlu diperjuangkan bagi setiap individu. Ia bermula dengan setiap pilihan-pilihan kecil yang perlu dibuat dengan penuh kesedaran. Setiap pilihan dibuat atas bisikan fujur (kejahatan) atau bisikan taqwa. Setiap sesuatu perbuatan akan mempunyai nilai yang tinggi atau rendah berdasarkan tujuan dan niat.

فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا [الشمس: 8]

Lalu dia mengilhamkan kepada jiwa bisikan fujur atau taqwa

Setiap individu perlu melalui kehidupan dengan penuh kesedaran, supaya pilihan yang dibuat adalah mengikuti petunjuk.

Hal ini kerana manusia bersifat mudah lupa dan tanpa peringatan Al-Qur’an kita akan mudah leka dan lalai.

Peringatan Al-Qur’an sangat penting dan bermanfaat bagi orang beriman.

Surah Al Hajj: Ayat 16

وَكَذَلِكَ أَنْزَلْنَاهُ آيَاتٍ بَيِّنَاتٍ وَأَنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يُرِيدُ [الحج: 16]

Dan demikianlah kami menurunkan Al-Qur'an sebagai ayat-ayat yang jelas.Sesungguhnya Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang menghendaki.

Di dalam Ayat di atas, Allah menyatakan fungsi Al- Qur'an sebagai ayat-ayat yang jelas dan sebagai petunjuk.

Kehidupan yang dilalui tanpa petunjuk adalah penuh kegelapan. Kegelapan di dalam konteks tiada arah tuju yang benar.

Al-Qur'an diturunkan kepada manusia untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya.

Surah Ibrahim: Ayat 1

الر  كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَى صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ [إبراهيم: 1]

Alif Laam Ra. Ini adalah Kitab yang kami turunkan kepadaMu agar engkau mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya terang benderang dengan yang Maha Perkasa Maha Terpuji 

Cahaya yang dimasukkan adalah cahaya kebenaran, keimanan dan ketaqwaan dan sumberNya adalah Al-Qur’an.

Untuk menjadi hamba yang bertaqwa perlukan  perjuangan. Satu proses berterusan yang perlu dilalui untuk menjadi hamba yang bertaqwa.

Antaranya, kesedaran di dalam membuat pilihan. Berani mengatakan kebenaran walaupun di dalam kelompok minoriti. Melakukan sesuatu dengan tujuan yang benar dan jelas kerana petunjuk Al-Qur’an dan bukannya di atas kepentingan peribadi semata-semata.

Perjalanan seseorang individu menuju TuhanNya adalah perjalanan keimanan. Perjalanan yang perlu dilalui dengan ilmu pengetahuan dan bukannya ikut-ikutan.

Melalui ilmu pengetahuan membolehkan individu membuat pilihan dengan penuh kesedaran dan keimanan.

Allah di dalam Al-Qur’an menyeru setiap insan di dalam Surah Al-Alaq untuk membaca dengan nama Tuhan.

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ [العلق: 1-2]

Bacalah dengan nama TuhanMu yang menciptakan

Membaca dengan kefahaman serta dengan tujuan untuk melaksanakan perubahan.

Melalui proses pembacaan setiap individu mampu melakukan proses berfikir dan membuat pilihan yang menghampiri kebenaran.

Proses untuk menjadi hamba yang bertaqwa perlukan ilmu pengetahuan. Ia memerlukan proses tadabbur (merenung ayat-ayat Allah), tafakur (berfikir) dan tazakkur (mengambil peringatan).

Surah Al Baqarah: Ayat 2

ذَلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ  فِيهِ  هُدًى لِلْمُتَّقِينَ [البقرة: 2]

Inilah kitab tiada keraguan petunjuk bagi orang yang bertaqwa.

Proses menjadi hamba yang bertaqwa ini perlukan petunjuk sebagai panduan di dalam kehidupan.

Perjalanan keimanan dan ketaqwaan adalah satu proses berterusan yang memerlukan mujahadah dan ilmu pengetahuan.

Surah Al Hajj mengajar kita untuk menjadi hamba Allah yang bertaqwa.

Supaya setiap yang kita lakukan jelas tujuannya dan mempunyai nilai disisi Allah.

Setiap perbuatan samada kecil atau besar akan bernilai jika ia dilakukan dengan tujuan yang jelas serta niat yang benar.

Betapa pentingnya niat seseorang di dalam melakukan sesuatu amal perbuatan.

Tanpa niat yang benar, sesuatu perbuatan yang besar tiada nilai di sisi Allah.

Maka, peringatan untuk diri begitu pentingnya ilmu pengetahuan sebelum sesuatu amal itu dilaksanakan.

Proses pembelajaran Al-Qur’an perlu dilakukan berterusan sehingga akhir hayat supaya setiap insan dapat menggarap mesej penting di dalam Al-Qur’an .