“Kak Long, balik cepat. Hafiz kemalangan.”
Nada cemas ibu terngiang-ngiang sepanjang perjalanan Alia memecut pulang ke kampung.
Tiba di wad, Alia nampak Hafiz diam.
Tetapi wajahnya masih tenang.
“Doktor cakap apa, dik?” Alia cemas bertanya.
“Alhamdulillah semua organ penting selamat.” Hafiz menjawab ringkas.
“Semua ok, ya?” Alia bertanya lagi.
“Ya Alhamdulillah. Cuma sebelah tangan dah tak boleh berfungsi.”
Kaki Alia tiba-tiba terasa lemah. Dia cuba sembunyikan perasaan.
Anehnya, Hafiz segera menenangkan,
“Kak, daripada Allah kita datang dan kepadaNya kita kembali. Dia yang pernah pinjamkan Hafiz tangan dan Dia boleh ambil kembali. InshaAllah Hafiz belajar untuk hidup dengan satu tangan.”
***
Berhadapan realiti hidup yang tak selari apa yang diharapkan seringkali menggoncangkan jiwa-jiwa manusia. Ada yang asalnya sihat dan gagah tiba-tiba diuji sakit tak bermaya. Ada yang asalnya hidup berharta tiba-tiba kehilangan segala-galanya. Ada yang hidup selesa dengan pasangan yang baik tiba-tiba hilang tempat pergantungan setelah berlaku kematian.
Tanpa kekuatan daya tahan (resilience), manusia mudah memilih lari daripada pengalaman buruk atau tidak selesa dengan cuba melenyapkannya. Apa yang lebih membimbangkan jika tindakan “lari daripada pengalaman” sebegini adalah dengan daya tindak yang merosakkan. Misalnya, tidak mampu terima ujian kehilangan tangan mengakibatkan rasa takut akan masa depan dan kecewa atas apa yang telah berlaku. Dua rasa ini amat mencengkam. Bagaimana untuk meredakan atau menghilangkannya? Ada yang cuba mendapatkan “pil gembira” dengan banyak makan, menonton drama berjam-jam atau rokok. Pada satu ekstrem yang lain, ada yang terfikir mencederakan diri sendiri, akibat belum mampu berdamai dengan takdir ilahi.
Pun begitu, ada sosok peribadi yang kuat daya tahan masih mampu mengurus hidup dengan daya tindak positif selari sistem nilai yang teguh dalam diri. Meskipun takdir kehidupan membuatkan hidup semakin sulit, hari masih mampu dilalui penuh makna. Apa yang membuatkan tindakan berbeza antara mereka yang lemah daya tahan dan kuat daya tahan?
Ketika cuba menerangkan punca berlakunya kesakitan emosi dan mental, sesetengah pengamal psikologi suka menggunakan istilah “jurang realiti”. Pada satu sisi ada realiti sebenar yang berlaku dan pada sisi yang lain, ada realiti impian yang dimahukan. Semakin besar jurang antara realiti sebenar dengan realiti yang diimpikan, semakin kuat kesakitan emosi dan mental yang dialami. Bolehkah jurang ini didekatkan agar segala kesakitan itu juga lenyap? Apakah takdir kehidupan dalam kawalan manusia sehinggakan boleh diatur selari kehendak diri? Hakikatnya, takdir kehidupan dalam kekuasaan Allah SWT. Manusia hanya diberi peluang buat pilihan terbaik dalam menghadapi apa-apa yang dihamparkan dalam kehidupan.
Justeru, bagaimana untuk memiliki daya tindak yang positif terutama dalam situasi sulit?
Ahli falsafah mahupun pembangun teori kemanusiaan cuba mendefinisikan makna kehidupan melalui pemerhatian dan kajian. Misalnya, Aristotle menganggap segala tindakan manusia adalah untuk mencapai kegembiraan. Freud pula menganggap segala tindakan manusia adalah untuk menjauhi kegelisahan. Jika ilmu dibataskan pada pemerhatian kerdil ilmu manusia, apa yang dikatakan itu ada benarnya. Namun, khusus mereka yang beriman, segala definisi seluruh cakupan kehidupan termasuklah tindakan manusia, sudahpun terpandu wahyu ilahi.
Berbalik pada bingkisan anekdot pada awal artikel, apakah salah satu makna ujian kehilangan tangan akibat kemalangan yang menimpa Hafiz? Apakah daya tindak selari panduan Allah SWT dalam menghadapinya? Bagaimana untuk tetap gembira dan tidak gelisah meskipun ujian besar menimpa?
Mari perhatikan salah satu ayat Al-Qur’an tentang konsep ujian.
وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَىۡءٍ۬ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصٍ۬ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَٲلِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٲتِۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ (١٥٥)
«Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:(Al-Baqarah : 155)»
Renungan daripada ayat ini memberi panduan dan peringatan kepada yang duji bahawa,
“Suatu hari nanti saya pasti akan diuji. Jika saat itu tiba, moga-moga saya tergolong orang yang sabar.”
Seseorang yang pernah belajar ayat ini, melakukan proses renungan dalam diri, moga-moga beroleh bekal sebagai panduan tatkala peristiwa itu benar-benar berlaku. Ini menguatkan daya tahan kerana apa yang berlaku adalah dalam jangkaan kerana percaya pada janji Allah SWT. Jurang realiti dapat didekatkan. Kesakitan mental dan emosi moga-moga dapat dikurangkan dengan kekuatan redho yang berpasak iman bersumber ilmu wahyu.
Ini tentu sekali berbeza dengan mereka yang tidak pernah mempunyai perspektif berpasak kebenaran bahwa “Hidup ini untuk diuji.” Tanpa pedoman wahyu, manusia banyak bersangka-sangka mengenai kehidupan lalu sentiasa mengimpikan corak kehidupan selari lensa akal masing-masing.
Kegagalan mendefinisikan makna hidup berpandukan wahyu berisiko membuatkan jurang antara realiti dan impian bertambah besar. Ini kerana ujian yang hadir didefinisikan sebagai sesuatu yang tak diingini dan mahu dihapuskan segera. Sebaliknya, bagi golongan beriman yang beroleh petunjuk, ujian didefinisikan sebagai peluang membuktikan sabar agar boleh meraih solawat dan rahmah.
ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَـٰبَتۡهُم مُّصِيبَةٌ۬ قَالُوٓاْ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٲجِعُونَ (١٥٦)
«(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."(156)»
أُوْلَـٰٓٮِٕكَ عَلَيۡہِمۡ صَلَوَٲتٌ۬ مِّن رَّبِّهِمۡ وَرَحۡمَةٌ۬ۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُهۡتَدُونَ (١٥٧)
«Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya(157)» [Al-Baqarah: 156-157]
Tatkala ujian dilihat sebagai peluang membuktikan sabar, golongan yang mendapat petunjuk ini moga-moga memiliki kekuatan daya tahan menghadapi kesulitan hidup. Kekuatan daya tahan inilah salah satu faktor yang memelihara kesihatan mental individu. Bukankah banyak teladan Al-Qur’an membuktikan kekuatan daya tahan dalam kalangan mereka yang beriman?
Ada teladan isteri Firaun berminda akhirat yang penuh percaya, mengharap kedekatan dengan Allah SWT sedangkan di dunia dia diuji dengan suami yang zalim.
Ada teladan Nabi Yusuf yang mengenali Tuhannya, penuh percaya perlindungan daripada Tuhan meskipun terpisah daripada bapanya pada usia kecil.
Al-Qur’an sebagai ruh, beri kekuatan iman kepada jiwa-jiwa manusia. Bahkan ini jugalah pesan Allah SWT tatkala manusia pertama, Nabi Adam a.s turun ke bumi.
قُلۡنَا ٱهۡبِطُواْ مِنۡہَا جَمِيعً۬اۖ فَإِمَّا يَأۡتِيَنَّكُم مِّنِّى هُدً۬ى فَمَن تَبِعَ هُدَاىَ فَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡہِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ (٣٨)
«Kami berfirman lagi: "Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita"(Al-Baqarah, 2 : 38)»
Justeru, mahu dapatkan lensa wahyu?
Mulakan langkah hadiri majlis-majlis ilmu yang sampaikan firman Allah SWT. Lakukan proses renungan atau refleksi terhadap ayat-ayat Allah SWT agar kalamNya membumi, diaplikasikan dalam kehidupan.
Sudahkah anda punyai mana-mana ayat Allah SWT yang disukai sebagai panduan menghadapi ujian? Kongsikan bersama pada ruang komen, ya. Moga-moga turut jadi renungan, bekal panduan buat semua.
Ira Syatira
Nazatul Anis Nadia