Tangan diletakkan ke dahi, panas suhunya.
Tekak pula gatal-gatal lalu terbatuk-batuk beberapa kali.
Ini adalah petanda jasad sakit. Ketika si perawat mengenalpasti simptom yang nampak secara jelas, moga-moga membantu mencari ubat penawar bagi menyembuhkan.
Begitu tindakan kita bila cuba menyembuhkan jasad fizikal yang sakit.
Pernahkah terfikir bagaimana pula menyembuhkan penyakit dalam jiwa?
Dada, “bekas” yang berisiko berpenyakit
Dalam jiwa, ada hati (qalb) yang memainkan peranan besar mengemudi tindakan manusia. Hati yang sangat berharga ini letaknya di dalam bekas iaitu dada.
فَإِنَّهَا لَا تَعۡمَى ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَلَٰكِن تَعۡمَى ٱلۡقُلُوبُ ٱلَّتِي فِي ٱلصُّدُورِ
Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada.
Hajj, 22 : 46
Seandainya bekas iaitu dada ini kotor dan berpenyakit, hati turut terkesan. Bahkan syaitan mensasarkan dada sebagai tempat untuk dia membisikkan tipu daya dan janji-janji palsunya.
ٱلَّذِي يُوَسۡوِسُ فِي صُدُورِ ٱلنَّاسِ ٥ مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ ٦
yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia, dari (golongan) jin dan manusia.
An-Nas, 114 : 5-6
Jika diperhatikan, Allah s.w.t memberitahu kita antara contoh-contoh penyakit di dalam dada seperti kebencian (rujuk Ali-Imran : 118), kemarahan (rujuk Ali-Imran : 119), dendam dan hasad dengki (rujuk Al-‘Araf : 43), kufur (rujuk An-Nahl : 106) dan sombong / megah diri (rujuk Ghafir : 56)
Andai dada ini sarat berpenyakit, apakah ada penawarnya?
Allah s.w.t sebenarnya mengurniakan kita Al-Qur’an dengan salah satu fungsinya adalah untuk merawat penyakit yang dalam dada.
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدۡ جَآءَتۡكُم مَّوۡعِظَةٞ مِّن رَّبِّكُمۡ وَشِفَآءٞ لِّمَا فِي ٱلصُّدُورِ وَهُدٗى وَرَحۡمَةٞ لِّلۡمُؤۡمِنِينَ
Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.
Surah Yunus, 10 : 57
Sudahkah kita mengambil Al-Qur’an sebagai penawar?
Qur’an itu jadi penawar jika beriman
Seorang pesakit yang sudahpun mendapat ubat untuk merawat dirinya tetapi selalu terlupa untuk memakannya, tetap juga sulit untuk sembuh. Meskipun sudah mendapatkan ubat, jika tidak memenuhi aturan pengambilannya, ubat dikhuatiri tidak berfungsi.
Qur’an juga punya peranan dan fungsi besar buat manusia. Namun, jika manusia tidak mengikuti aturan Allah s.w.t dalam memfungsikannya, khuatir dirinya gagal meraih manfaat. Terkait peranan Al-Qur’an sebagai penawar, Allah s.w.t meletakkan syarat iman. Al-Qur’an itu jadi penawar buat orang beriman.
وَلَوۡ جَعَلۡنَٰهُ قُرۡءَانًا أَعۡجَمِيّٗا لَّقَالُواْ لَوۡلَا فُصِّلَتۡ ءَايَٰتُهُۥٓۖ ءَا۬عۡجَمِيّٞ وَعَرَبِيّٞۗ قُلۡ هُوَ لِلَّذِينَ ءَامَنُواْ هُدٗى وَشِفَآءٞۚ وَٱلَّذِينَ لَا يُؤۡمِنُونَ فِيٓ ءَاذَانِهِمۡ وَقۡرٞ وَهُوَ عَلَيۡهِمۡ عَمًىۚ أُوْلَٰٓئِكَ يُنَادَوۡنَ مِن مَّكَانِۢ بَعِيدٖ
Dan kalaulah Al-Quran itu Kami jadikan (bacaan) dalam bahasa asing, tentulah mereka akan berkata: "Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya?" Apakah (patut Al Quran) dalam bahasa asing sedang (rasul adalah orang) Arab? Katakanlah: "Al Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang mukmin. Dan orang-orang yang tidak beriman pada telinga mereka ada sumbatan, sedang Al Quran itu suatu kegelapan bagi mereka. Mereka itu adalah (seperti) yang dipanggil dari tempat yang jauh".
Fussilat, 41 : 44
وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلۡقُرۡءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٞ وَرَحۡمَةٞ لِّلۡمُؤۡمِنِينَ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارٗا
Dan Kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.
Al-Isra, 17: 82
Adakah anda mahu tergolong mereka yang Al-Qur’an menjadi penawar bagi dirinya? Jika ya, persoalan penting yang perlu dirungkai adalah, siapakah golongan yang beriman dengan Al-Qur’an?
Golongan yang beriman dengan Al-Qur’an
Bayangkan pada tangan saya ada sebuah buku “bestseller”. Saya mahu memberi anda buku tersebut. Cabarannya, bahasa yang digunakan dalam buku tersebut adalah bahasa Korea yang tak difahami. Apakah anda berminat menerima pemberian saya?
Saya jangka, semuanya tidak berminat untuk memilikinya.
“Mengapa perlu memiliki buku yang kita tidak fahami?”
Realitinya, definisi “membaca” perlukan proses kefahaman. Tiada yang berminat membaca sesuatu jika apa yang dibaca tidak difahami. Ibarat anak kecil yang baru pandai mengenal huruf-huruf dan bunyi. Mungkin mampu membunyikan perkataan-perkataan tanpa mampu garap maknanya.
Justeru, sewajarnya disiplin membaca secara benar diterapkan terhadap wahyu. Al-Qur’an tidak seharusnya digunakan untuk dibunyikan perkataan-perkataannya tanpa difahami kandungannya. Membunyikan setiap kalimah dalam Al-Qur’an tanpa memahaminya adalah tindakan yang amat tidak wajar.
Dalam surah Al-Baqarah, Allah s.w.t menjelaskan golongan yang beriman terhadap Al-Qur’an. Merekalah golongan yang membaca Al-Qur’an secara hak.
ٱلَّذِينَ ءَاتَيۡنَٰهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ يَتۡلُونَهُۥ حَقَّ تِلَاوَتِهِۦٓ أُوْلَٰٓئِكَ يُؤۡمِنُونَ بِهِۦۗ وَمَن يَكۡفُرۡ بِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ
Orang-orang yang telah Kami berikan Al Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itu beriman kepadanya. Dan barangsiapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.
Al-Baqarah, 2: 121
Mereka yang peduli memahami wahyu dengan usaha belajar bersungguh-sungguh akan meraih kefahaman ilmu Al-Qur’an. Ayat-ayat inilah yang akan memenuhi dada mereka yang diberi ilmu, menyembuhkan penyakit-penyakit yang di dalam dada.
بَلۡ هُوَ ءَايَٰتُۢ بَيِّنَٰتٞ فِي صُدُورِ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَۚ وَمَا يَجۡحَدُ بَِٔايَٰتِنَآ إِلَّا ٱلظَّٰلِمُونَ ٤٩
Sebenarnya, Al Quran itu adalah ayat-ayat yang nyata di dalam dada orang-orang yang diberi ilmu. Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami kecuali orang-orang yang zalim.
Al-Ankabut, 29 : 49
Bersungguh-sungguhlah mendapatkan penawar bagi penyakit di dalam dada.
Pernahkah anda sakit?
Bagaimanakah keadaan anda ketika ditimpa penyakit?
Kebiasaannya, seseorang yang sakit amat sulit berprestasi. Bahkan, pergerakan dan tindakannya amat terbatas. Tenaga melemah. Kapasiti menjadi sangat terhad. Lalu tidak produktif pada hari tersebut.
Bagaimana pula jika dada yang sakit selanjutnya “menjangkiti” hati lalu merosakkannya? Jiwa yang tidak disucikan daripada penyakit akan menzahirkan perbuatan-perbuatan yang “sakit”. Jiwa yang diselubungi penyakit sombong dan megah diri amat sulit menerima kebenaran. Jiwa yang berpenyakit hasad dengki berisiko menzahirkan perbuatan menzalimi orang lain.
Jiwa yang berpenyakit amat sulit memenuhi perintahNya untuk menjadi hamba yang baik. Menyedari hakikat usia kehidupan yang terbatas, mengapa bertangguh-tangguh merawat penyakit yang di dalam dada andai sudahpun mengetahui keadaannya?
Bersihkanlah dada! Rawatlah penyakit di dalam dada dengan usaha mengimani Al-Qur’an.
Tiada jalan pintas.
Tiada pil segera yang boleh ditelan untuk menyembuhkan penyakit di dalam dada.
Justeru, tempuhilah usaha memahami ayat demi ayat daripada Al-Qur’an. Moga-moga kefahaman yang digarap menjadi penawar bagi diri.