“Peristiwa itu sangat meresahkan jiwa”
“Trauma itu begitu mengganggu diri”
“Ketakutan-ketakutan itu sentiasa hadir”
“Kehilangan itu sesuatu yang pahit”
“Kegagalan itu begitu menghantui diri”
Ujian merupakan lumrah kehidupan. Setiap individu pasti akan diuji di dunia ini, namun bentuk ujian yang membezakan antara kita. Ada yang diuji dengan masalah kesihatan, kewangan, perhubungan, masalah emosi dan lain-lain.
Surah Al Mulk: Ayat 2
ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ [الملك: 2]
«Dia lah yang menjadikan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu siapa yang paling terbaik amalnya. Allah maha berkuasa dan maha pengampun.
Mungkin ada di antara kita diuji fikirannya, emosinya daripada setiap peristiwa lampau yang sering menggugah jiwa. Ketakutan-ketakutan yang menjarakkan diri dengan peluang-peluang yang sentiasa hadir. Seterusnya melakukan pengasingan diri. Kesilapan-kesilapan lalu yang sering menghantui diri. Keputusan-keputusan yang disesali. Kezaliman terhadap diri sendiri serta yang lain. Ketidakyakinan untuk melalui hari-hari seterusnya di dalam kehidupan. Ingat, harapan sentiasa ada. Peluang untuk merubah diri sentiasa terbuka. Mengapa? Kerana Tuhanmu tidak pernah meninggalkanmu.
Sebagaimana firman Allah di dalam Surah Ad Dhuha : Ayat 6-11
أَلَمۡ يَجِدۡكَ يَتِيمٗا فََٔاوَىٰ
«Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?»
وَوَجَدَكَ ضَآلّٗا فَهَدَىٰ
«Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu - Al-Quran)?»
وَوَجَدَكَ عَآئِلٗا فَأَغۡنَىٰ
«Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?»
فَأَمَّا ٱلۡيَتِيمَ فَلَا تَقۡهَرۡ
«Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya»
وَأَمَّا ٱلسَّآئِلَ فَلَا تَنۡهَرۡ
«Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik;»
وَأَمَّا بِنِعۡمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثۡ [الضحى: 6-11]
«Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya»
Surah Ad Dhuha, jika direnungi serta ditadaburi, Allah Al-Alim yang Maha mengetahui memberi sentuhan yang menenangkan jiwa.
Ketika yang diuji dengan kehilangan, adanya Allah yang memberikan perlindungan.
Ketika, kita tercari-cari jalan kebenaran, Allah menurunkan Al-Qur’an sebagai petunjuk.
Ketika kita berada di dalam kemiskinan, Allah yang memberi rezeki.
Maka, ingatlah ketika engkau merasakan keseorangan di dalam perjalanan, Allah sentiasa ada.
Harapan sentiasa ada di dalam hidup ini walaupun engkau melakukan kesilapan.
Kesilapan yang perlu diakui ia satu kesalahan. Seterusnya perlu bertaubat dan kembali kepada Allah. Satu kesilapan bukan menggambarkan siapa dirimu. Ia merupakan satu titik di dalam kehidupan. Jangan biarkan satu kesilapan itu menghantui dirimu. Namun, belajarlah dari kesilapan dengan kacamata positif. Perbaikilah dirimu, kerana Allah sentiasa memberi harapan terhadap hamba-hambaNya yang tersasar di dalam kehidupan.
Surah Az Zumar: Ayat 53-55
۞قُلۡ يَٰعِبَادِيَ ٱلَّذِينَ أَسۡرَفُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ لَا تَقۡنَطُواْ مِن رَّحۡمَةِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًاۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ
«Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani»
وَأَنِيبُوٓاْ إِلَىٰ رَبِّكُمۡ وَأَسۡلِمُواْ لَهُۥ مِن قَبۡلِ أَن يَأۡتِيَكُمُ ٱلۡعَذَابُ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ
«"Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan»
وَٱتَّبِعُوٓاْ أَحۡسَنَ مَآ أُنزِلَ إِلَيۡكُم مِّن رَّبِّكُم مِّن قَبۡلِ أَن يَأۡتِيَكُمُ ٱلۡعَذَابُ بَغۡتَةٗ وَأَنتُمۡ لَا تَشۡعُرُونَ [الزمر: 53-55]
«"Dan turutlah - Al-Quran - sebaik-baik. (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya»
Surah Az Zumar yang begitu dekat dengan jiwa. Allah memanggil individu yang melampaui batas dengan panggilan wahai hambaKu, dan bukannya dipanggil sebagai penjenayah. Namun Allah memberi harapan terhadap individu yang melampaui batas, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah.
Maka antara solusi dalam menghadapi sesuatu yang dianggap sebagai kesukaran kesempitan dan ujian adalah :
- Jangan berputus asa dari rahmat Allah;
- Bertaubat kepada Allah;
- Kembali kepada Allah dengan kembali kepada Al-Qur’an;
- Memperuntukkan masa untuk mempelajari dan memahami mesej di dalam Al-Qur’an;
- Menulis jurnal refleksi;
- Melakukan proses penyembuhan dengan:
a) Menerima perkara tersebut mengganggu emosi diri atau jiwa
b) Melakukan proses mencari punca kepada permasalahan
c) Menerima ia adalah satu kesilapan jika berpunca dari diri sendiri
d) Mencari solusi kepada isu
e) Meyakini satu prinsip bahawa satu kesilapan bukan bermaksud kegagalan
f) Percaya harapan sentiasa ada
normahslm98@gmail.com
Syafiqah abdul razak