اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا
“Ya Allah, berilah keselamatan kepada kami untuk (menghadapi) Ramadhan. Berilah kesejahteraan Ramadhan untuk kami dan terimalah ibadah Ramadhan daripada kami dengan sebenar-benar penerimaan.”
(Hadith Riwayat al-Tabrani)
Hadith di atas adalah antara doa yang diajarkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW apabila tibanya bulan Ramadhan. Doa ini sebagai tanda menzahirkan kesyukuran di atas peluang bertemu dengan bulan yang mulia ini, serta berdoa agar dimudahkan dalam menyelusuri Ramadhan pada kali ini. Maka, sudahkah anda menzahirkan kesyukuran di atas kesempatan untuk meraih pahala di Ramadhan kali ini? Seandainya sudah, alhamdulillah… Seandainya belum zahirkanlah kesyukuran tersebut. Marilah kita sama-sama membacakan doa ini. Mengapa? Kerana kita sama-sama diberikan kesempatan untuk bertemu lagi dengan bulan yang penuh rahmat, bulan pengampunan dosa, digandakan pahala, bulan al-Qur’an, serta dijanjikan 1 malam yang lebih baik daripada 1000 malam iaitu Lalilaltulqadar. Bahkan di dalam sebuah hadith disebutkan kecelakaan bagi mereka yang menempuhi 29 atau 30 hari di bulan Ramadhan dengan sia-sia.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ :قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ دَخَلَ عَلَيْهِ رَمَضَانُ ثُمَّ انْسَلَخَ قَبْلَ أَنْ يُغْفَرَ لَهُ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ أَدْرَكَ عِنْدَهُ أَبَوَاهُ الْكِبَرَ فَلَمْ يُدْخِلَاهُ الْجَنَّةَ.
“Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Celakalah seseorang apabila namaku disebut-sebut di hadapannya dan dia tidak mengucapkan selawat kepadaku. Dan celakalah seseorang, apabila Bulan Ramadan menemuinya kemudian berlalu pergi sebelum dia mendapatkan keampunan, dan celakalah seseorang yang kedua orang tuanya berusia lanjut namun kedua orang tuanya tidak dapat memasukkannya ke dalam Syurga (kerana kebaktiannya)."
(Hadith Riwayat at-Tirmizi)
Hadith ini menjelaskan berkaitan tiga golongan yang telah didoakan kecelakaan oleh malaikat Jibrail AS dan telah diaminkan oleh Rasulullah SAW. Dan diantara tiga golongan tersebut adalah seorang yang diberi peluang untuk bertemu dan menempuhi bulan Ramadan tanpa melakukan amalan kebaikan dan akhirnya tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT. Maka golongan seperti ini sangatlah rugi. Oleh itu, marilah kita meraih peluang di bulan Ramadan yang mulia ini, dengan meraih sebanyak mungkin pahala dan mendapatkan redha daripada Allah SWT melalui ibadah-ibadah yang dilakukan di bulan yang mulia ini. Di pertengahan bulan Ramadan ini, pada penulisan kali ini, mari kita sama-sama muhasabah kembali kenapa kita berpuasa, dan apa kelebihan bulan Ramadan ini untuk memotivasikan kita berjuang meraih pahala di bulan yang mulia ini agar Ramadhan ini lebih dihargai.
Kenapa Aku Berpuasa di Bulan Ramadan?
Allah SWT memerintahkan kita berpuasa adalah untuk memberi manfaat kepada hamba-hamba-Nya. Perintah berpuasa di bulan Ramadan ini seperti mana disebutkan di dalam al-Qur’an, firman Allah SWT:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”
(Surah al-Baqarah: 183)
Ayat ini jelas kepada kita tentang kewajipan berpuasa di bulan Ramadan seperti mana yang telah difardhukan kepada kita, serta ini merupakan di antara rukun-rukun Islam. Dan dengan perintah inilah kita berpuasa, bermula dari terbit matahari sehingga terbenam matahari selama sebulan. Selain daripada itu, faedah berpuasa juga adalah untuk melatih diri seseorang dan juga mengawal nafsu. Ketika kita berpuasa, kita bukan sahaja melatih diri untuk menahan lapar dan dahaga, bahkan mengelakkan diri daripada melakukan kemungkaran. Maka dengan berpuasa ini akan menundukkan hati seseorang dan meningkatkan ketaqwaan. Bulan Ramadan ini juga adalah peluang untuk menyucikan jiwa, kita bukan sahaja berpuasa tetapi melakukan ibadah-ibadah lain, seperti memperbanyakkan membaca al-Qur’an, beristighfar, solat sunat seperti qiamullail dan solat tarawih, dan lain-lain. Maka dengan ibadah ini, apa yang diharapkan adalah keampunan Allah SWT dan keredhaan daripada-Nya. Semoga kita dikurniakan rahmat daripada-Nya dengan puasa yang dilalui ini dan meningkatkan ketaqwaan ke dalam diri ini sebagai seorang hamba. Seperti mana sabda Nabi Muhammad SAW:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah SWT, maka akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.”
(Hadith Riwayat al-Bukhari)
Apa Kelebihan Bulan Ramadan?
Terlalu banyak fadilat di bulan Ramadan ini, dan di antaranya adalah malam lailatulqadar, satu malam kemuliaan yang lebih baik daripada 1000 bulan. Untuk memperoleh kelebihan daripada kemuliaan ini memerlukan usaha untuk meraihnya, dan kelebihan malam ini seperti mana yang disebutkan dalam firman Allah SWT, maksudnya: “Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr: 3). Maka hidupkanlah 10 malam terakhir di bulan Ramadhan dengan qiyamullail agar kita memperolehi ganjaran daripada Allah SWT, seperti mana sabda Nabi Muhammad SAW, maksudnya:
مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Sesiapa yang melakukan qiyam pada lailatul qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran berserta keampunan nescaya akan dihapuskan dosa-dosanya yang terdahulu.”
(Hadith Riwayat al-Bukhari)
Di samping berpuasa di bulan Ramadan, bulan ini sering dikaitkan dengan al-Qur’an, kerana diturunkan al-Qur’an juga di bulan yang mulia ini. Seperti mana firman Allah SWT, maksudnya: “Bulan Ramadan yang Kami turunkan dalamnya al-Qur’an yang menjadi petunjuk untuk manusia.” (Surah al-Baqarah: 185). Dalam menjelaskan ayat ini, para ulama’ bersepakat bahawa penurunan al-Qur’an adalah di bulan Ramadan. Ianya menunjukkan keistimewaan bulan ini. Oleh itu, keistimewaan bulan ini, janganlah disiakan dan perbanyakanlah membaca al-Qur’an serta capailah maksud tujuan penurunan al-Qur’an itu sendiri yang menjadi petunjuk kepada umat manusia.
Selain itu, di bulan yang mulia ini, Allah SWT akan membuka pintu syurga dan menutup pintu neraka serta mengikat syaitan-syaitan (Seperti mana yang disebutkan dalam sebuah hadith riwayat Ibn Majah) untuk memberi peluang kepada manusia fokus kepada ibadah mereka dan membersihkan diri mereka dengan ibadah yang ikhlas serta terlepas daripada belenggu syaitan. Ibadah-ibadah yang dilakukan ketika berpuasa ini juga akan digandakan pahalanya oleh Allah SWT, dan istimewanya kebaikan yang dilakukan ketika berpuasa ini adalah Allah SWT sendiri yang akan memberikan ganjaran mengikut kehendak-Nya tanpa ada had yang tertentu. Seperti mana yang disebutkan dalam sebuah hadith. Rasulullah SAW bersabda:
كلُّ عملِ ابنِ آدمَ يُضاعفُ ؛ الحسنةُ بعشرِ أمثالِها ، إلى سَبْعِمائةِ ضِعفٍ ، قال اللهُ تعالى :إِلَّا الصَّوْمَ ؛ فإنَّه لِي ، وأنا أجزي به ، يَدَعُ شهوتَه وطعامَه من أجلِي
“Setiap amalan anak Adam digandakan pahalanya daripada 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: “Melainkan puasa, sesungguhnya ia milik-Ku (Allah) dan Aku-lah yang akan membalasnya...”
(Hadith Riwayat Muslim)
Hadith ini menjelaskan kepada kita bahawa terdapat ganjaran khusus bagi amalan kebaikan yang dilakukan oleh mereka yang berpuasa ini, dan ini membuktikan betapa besar dan banyaknya pahala yang akan diberikan oleh Allah SWT kepada mereka yang berpuasa di siang hari, dengan meninggalkan makan dan minum serta menahan nafsu mereka kerana menunaikan ibadah kerana Allah SWT. Inilah ganjaran dan kemuliaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka yang berpuasa. Hakikatnya, terlalu istimewa Ramadan ini, dan besarnya kemuliaan dan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada mereka yang berpuasa di bulan yang mulia ini.
Seandainya ini Ramadan Terakhir…
Sekiranya kita membayangkan ini adalah Ramadan yang terakhir ini akan membuatkan kita lebih menghargainya dan berusaha bersungguh-sungguh untuk meraih kebaikan di bulan yang mulia ini. Maka banyakkan berdoa kepada Allah SWT, agar segala ibadah dan amalan kebaikan yang kita lakukan di bulan Ramadan ini diterima oleh Allah SWT. Kita sebagai hamba tidak lain tidak bukan, mengharapkan redha daripada Allah SWT melalui kebaikan yang dilakukan. Ambillah peluang untuk memperbanyakkan doa, dan mintalah segala hajat yang diingini dan juga kebaikan di dunia dan di akhirat kepada Allah SWT. Ini kerana doa-doa orang yang berpuasa ini adalah mustajab. Seperti mana dalam sebuah hadith, daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
“Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi.”
(Hadith Riwayat Ibn Majah)
Allah SWT sukakan hamba-Nya yang berdoa dan meminta kepada-Nya. Maka raihlah peluang di bulan Ramadhan ini, di mana doa mereka yang berpuasa adalah mustajab. Tadahlah tangan dan rintihlah kepada-Nya apa sahaja, terutama mintalah keampunan kepada-Nya daripada segala dosa besar dan kecil dan mintalah kepada-Nya agar dikurniakan ketaqwaan dan tetap di dalam keimanan yang benar, sehingga akhir hayat. Dan semoga kita semua tergolong di dalam mereka yang meraih syurga yang tertinggi di akhirat kelak. Wallahu a’lam. Salam Ramadhan Kareem buat semua!