Wahai diri,
Kamu diciptakan dengan tujuan di atas muka bumi. Hamba kepada Allah dan khalifah di muka bumi.
Kamu adalah sebaik-baik ciptaan Allah.
Surah At Tin: Ayat 4
لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ فِيٓ أَحۡسَنِ تَقۡوِيمٖ [التين: 4]
«Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.
Maka, bersyukurlah atas setiap kesempatan dan ruang yang Allah berikan di dunia untuk menjadi insan yang bermanfaat.
Wahai diri,
Kamu insan sempurna ciptaan Allah yang dianugerahkan dengan fizikal sempurna,
Akal sihat, emosi dan mempunyai perasaan serta diri fitrah yang sentiasa inginkan kebaikan.
Diri fitrah yang mencari kebenaran dan ingin melalui kehidupan berlandaskan kebenaran.
Maka, gunakanlah segala nikmat anugerah Allah ini ke jalan kebenaran.
Wahai diri,
Di sisi Allah ,setiap perkara adalah signifikan walaupun nilainya kecil di mata kita.
Setiap perkara ada nilainya disisi Allah jika tujuannya adalah benar.
Maka, jangan meremehkan setiap perbuatan yang kecil.
Setiap perilaku yang kecil akan mempunyai nilai yang besar jika sandarannya jelas kerana Allah. Dilakukan mengikut petunjuk Al-Qur’an.
Ma shaa Allah.
Tiada sesuatu yang sia-sia disisi Allah kerana sebesar zarah akan dibalas oleh Allah.
Surah Al- Zalzalah : Ayat 7-8
فَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَيۡرٗا يَرَهُۥ [الزلزلة: 7]
«Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!»
وَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٖ شَرّٗا يَرَهُۥ [الزلزلة: 8]
«Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!»
Apakah ukuran sebesar zarah?
Sesuatu yang begitu kecil, yang tidak kelihatan dengan pandangan mata kasar.
Sesuatu yang kadang-kadang tidak disedari kehadirannya.
Yang selalu diremehkan.
Mungkin seringkali dilupakan.
Namun, disisi Allah ada nilainya.
Sebesar zarah amalan kebaikan akan ada balasannya.
Sebesar zarah amalan kejahatan akan dibalas.
Mengapa?
Allah yang Maha Mengetahui setiap perbuatan hambaNya.
Allah yang Maha Melihat setiap perbuatan hambaNya.
Tiada sesuatu pun terlepas dari pandangan Allah.
Allah yang Maha Adil di dalam menghakimi.
Maka, Wahai diri.
Berbuatlah kerana Allah.
Ikhlaskan setiap perbuatan kerana Allah.
Bermulalah dengan sekecil-kecil amalan kebaikan diniatkan jelas tujuannya
Sehingga sesuatu yang besar.
Al-Qur’an mengajar kita bahawa setiap sesuatu yang kita lakukan ada balasannya.
Oleh itu, lalui hidup dengan penuh kesedaran bertuhan.
Menyedari bahawa setiap sesuatu yang dilakukan di dunia ini akan dibalas di akhirat.
Surah An Najm: Ayat 39
وَأَن لَّيۡسَ لِلۡإِنسَٰنِ إِلَّا مَا سَعَىٰ [النجم: 39]
Dan manusia hanya memperolehi apa yang diusahakan
Jika dia melakukan kebaikan, dia akan mendapat balasan kebaikan.
Begitu juga, jika melakukan kejahatan, balasannya adalah keburukan.
Wahai diri,
Gunakanlah kesempatan usia yang Allah anugerahkan untuk melakukan amal perbaikan.
Setiap sesuatu itu ada nilai disisi Allah.
Orang yang beruntung adalah orang yang menggunakan nikmat usia yang diberikan di jalan kebenaran dan kebaikan.
Allah telah bersumpah di dalam Surah Al-Asr, manusia secara umumnya adalah di dalam kerugian.
Melainkan yang memenuhi empat (4) perkara di dalam kehidupan
- Beriman
- Beramal soleh
- Berpesan-pesan dengan kebenaran
- Berpesan-pesan dengan kesabaran
Surah Al-Asr : Ayat 1-3
وَٱلۡعَصۡرِ [العصر: 1]
«Demi Masa!»
إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ لَفِي خُسۡرٍ [العصر: 2]
«Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian»
إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ [العصر: 3]
«Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar
Wahai diri,
Perbezaan antara orang yang hidup dengan orang yang mati adalah kesempatan usia untuk melakukan amal soleh.
Maka, setiap saat bagi orang beriman adalah bermakna dan berharga,
Setiap saat adalah peluang untuk memperbaiki diri.
Melakukan perubahan dan perbaikan.
Memberi manfaat kepada yang lain.
Kerana kehidupan itu adalah anugerah yang amat berharga bagi setiap insan.
Peluang dan kesempatan untuk menumbuh menjadi yang lebih baik.
Dengan menjadikan Al-Qur’an sebagai petunjuk kehidupan.
Surah Al-Baqarah: Ayat 1-2
الٓمٓ [البقرة: 1]
«Alif, Laam, Miim»
ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ [البقرة: 2]
«Kitab Al-Quran ini, tiada keraguan di dalamnya dan petunjuk bagi orang yang bertaqwa.
Wahai diri,
Marilah meningkatkan kesyukuran atas nikmat masa serta kehidupan dengan berusaha menjadi yang lebih baik dari hari ke hari.
Bertaubat atas setiap kesalahan serta dosa.
Optimis dengan cabaran dan ujian.
Bersandar kepada kekuatan Allah.
Menjadikan Al-Qur’an sebagai petunjuk kehidupan.
Meyakini janji Allah di dalam Surah Ibrahim: Ayat 7
وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَئِن شَكَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡۖ وَلَئِن كَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٞ [إبراهيم: 7]
«Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras"»
Maka, wahai diri.
Ingatlah bahawa sebesar zarah disisi Allah ada nilainya.
Maka, penuhilah kesempatan waktu dengan sesuatu yang ada nilai serta bermakna.
Sebesar zarah akan dibalas oleh Allah.
Maka, teruskan bersemangat untuk meningkatkan ketaatan dan menyumbang kepada komunti.
Bermulalah dengan kapasiti yang ada.
Jelaskan tujuannya kerana ingin menyahut seruan Allah di dalam Al-Qur’an.
Insha Allah, kamu akan terus bersemangat untuk melangkah menyahut seruan Allah.