Kaki Laili melangkah laju-laju menuju pagar sekolah sebaik sahaja loceng berdering. Tidak seperti kebiasaan, dia tidak pulang bersama temannya petang itu. Kedua-dua tangan Laili bersilang memeluk tubuh. Hasratnya, degupan jantung boleh diredakan dengan sentuhan dua tangan miliknya. Tiba di persimpangan yang agak jauh daripada sekolah, air mata mula menitik dengan sedikit bunyi esakan yang cuba ditahan.
Kaki sudahpun menginjak perkarangan rumah. Enggan dilihat oleh abang Hisham, Laili duduk di laman rumah. Matanya memandang kosong sebatang pokok yang ditanam arwah ayah.
“Sedih sebab cikgu tak pilih wakili sekolah untuk pertandingan inovasi.” Suara abang Hisham terdengar dari belakang.
Laili mengetap bibir sambil cuba menahan rasa. Dia tidak suka menangis di hadapan abang Hisham. Matanya masih memandang pokok yang merimbun di hadapan. Badannya sedikitpun tidak dialih. Abang Hisham menyapu bangku dengan tangan membuatkan daun-daun mati jatuh ke tanah sebelum melabuhkan punggung.
“Tidur lewat beberapa hari sebab nak siapkan projek inovasi. Abang saksi yang Laili usaha sungguh-sungguh kali ini.” Perlahan suara Abang Hisham menuturkan.
Serentak itu, air mata Laili jatuh laju dan bunyi esakan dilepaskan tanpa ditahan-tahan lagi.
Penuh lembut abang Hisham menyambung, “Mesti Laili rasa kecewa bila dah usaha banyak tapi tak capai apa yang nak. Laili rasa sedih sebab cikgu tak nilai apa yang Laili buat sebagai yang terbaik.”
“Cikgu macam tak nampak apa yang Laili buat. Tak hargai langsung pun. Masa Laili hantar hari tu, dia suruh letak je atas rak. Tak tanya langsung.” Laili meluahkan rasa tak puas hati.
“Waktu tu, cikgu macam tak berminat dengan apa yang Laili dah buat. Tak cuba pun nak dapatkan informasi tentang projek.”
“Projek Laili yang paling kompleks. Cikgu tak kisah pun.”
“Iya, sepatutnya cikgu tanya lah sikit. Cuba faham apa yang Laili dah buat. Tak mudah Laili nak siapkan semua tu.”
“Abang. Bagaimana kita nak buat orang peduli pada kita?”
“Laili suka kalau cikgu beri perhatian?”
“Mestilah kan. Tak sia-sia usaha kita.”
“Memang best kalau ada yang peduli. Cuba tengok daun yang gugur tu.” Jari telunjuk abang Hisham diarahkan pada pokok di hadapannya.
Laili tenung beberapa daun yang gugur.
“Daun-daun tu, sepanjang hidup dia bekerja keras simpan zat untuk fungsi batang dan akar. Untuk kita ni pun, dia yang proses keluarkan oksigen, memungkinkan kita bernafas. Bila semua zat dah habis, tahu apa jadi pada dia?”
Laili menoleh, memandang abangnya penuh tanda tanya. Entah apa yang abangnya cuba sampaikan. Matanya kembali pada pokok.
“Abang tanya ni, apa jadi pada daun kalau zat dia dah habis?” Abang Hisham sedikit menekan suara, mahukan jawapan.
“Dia gugurlah.”
“Kan. Penat-penat dia buat kerja selama ni, waktu dia gugur kita tak cakap thank you pun.”
Kali ini Laili tergelak sambil tepuk bahu abang Hisham.
“Tapi, tahu tak. Sebenarnya, ada yang peduli. Bukan daun depan kita ni je. Semua daun yang gugur kat dunia ni, ada yang tahu dan peduli. Walaupun kalangan manusia, tiada siapa pun peduli.”
“Siapa?”
“Allah.”
Kali ini, bulu roma Laili sedikit meremang. Dia teringat ayat Qur’an yang abang Hisham maksudkan. Memang setiap daun yang gugur, ada catatannya di Lauh Mahfudz.
Abang Hisham sambung lagi, “Kita, kerja hari-hari penat kan? Penuhi hak orang lain. Penuhi tanggungjawab. Buat yang terbaik untuk kerja sekolah. Tiba waktu malam, dah penat, Allah yang tidurkan kita.”
Laili diam. Menanti abang Hisham berbicara lanjut.
“Memang tak best pun kalau cikgu atau orang sekeliling tak hargai susah-payah dan pengorbanan yang kita dah buat.”
Abang Hisham diam lagi.
Laili menoleh, menatap wajah abang Hisham.
“Kita tak boleh paksa juga orang lain untuk peduli dengan kita. Kita boleh nak menagih kasih sayang dan perhatian orang sekeliling, tapi tak semestinya mereka akan beri.”
Laili kembali merenung daun-daun yang sudahpun menutup sebahagian tanah di laman rumahnya. Ada yang diterbangkan angin memasuki parit di bahagian luar.
“Tapi…” Abang Hisham meneruskan bicaranya.
“Dia yang Maha Tahu setiap daun yang gugur, Dialah juga yang paling tahu setiap luka-luka dan jerih-payah usaha kita ketika tiada seorang manusia pun yang peduli.”
Kali ini mata Laili berkaca.
Abang Hisham sambung lagi “Dan Dia tak sia-siakan usaha tu. Dia akan balas. Dia pasti ganjarkan hamba-hambaNya yang berbuat baik.”
***
۞وَعِندَهُۥ مَفَاتِحُ ٱلۡغَيۡبِ لَا يَعۡلَمُهَآ إِلَّا هُوَۚ وَيَعۡلَمُ مَا فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِۚ وَمَا تَسۡقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلَّا يَعۡلَمُهَا وَلَا حَبَّةٖ فِي ظُلُمَٰتِ ٱلۡأَرۡضِ وَلَا رَطۡبٖ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِي كِتَٰبٖ مُّبِينٖ ٥٩ وَهُوَ ٱلَّذِي يَتَوَفَّىٰكُم بِٱلَّيۡلِ وَيَعۡلَمُ مَا جَرَحۡتُم بِٱلنَّهَارِ ثُمَّ يَبۡعَثُكُمۡ فِيهِ لِيُقۡضَىٰٓ أَجَلٞ مُّسَمّٗىۖ ثُمَّ إِلَيۡهِ مَرۡجِعُكُمۡ ثُمَّ يُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ ٦٠
Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji-pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)
Dan Dialah yang menidurkan kamu di malam hari dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan di siang hari, kemudian Dia membangunkan kamu pada siang hari untuk disempurnakan umur(mu) yang telah ditentukan, kemudian kepada Allah-lah kamu kembali, lalu Dia memberitahukan kepadamu apa yang dahulu kamu kerjakan.
[Al An'am:59-60]
Setelah berfirman tentang hakikat daun yang gugur, Allah s.w.t membawa kita merenung fenomena tidur yang bawah kekuasaanNya. Dialah yang menahan ruh setiap manusia memungkinkan manusia tidur. Kemudian, Dia akan bangkitkan manusia di siang hari untuk manusia beramal, memenuhi fungsi penciptaannya sebelum tiba ajal untuk kembali kepadaNya.
Bahagian ayat وَيَعۡلَمُ مَا جَرَحۡتُم بِٱلنَّهَارِ diterjemahkan sebagai “dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan di siang hari”. Kalimah جَرَح adalah salah satu istilah dalam konsep “usaha atau mengerjakan”. Cuba perhatikan kalimah-kalimah Al-Quran yang dalam konsep yang sama.
Bil |
Kalimah |
Terjemahan |
1 |
فعل |
Perbuatan yang dilakukan dengan niat atau tidak. Secara sedar atau tidak sedar. Misalnya perbuatan bernafas. |
2 |
عمل |
Perbuatan yang dilakukan secara sedar dan dengan niat. Kita akan dipertanggungjawabkan atas perbuatan ini. |
3 |
كسب |
Perbuatan yang dilakukan dengan niat mendapat hasil atau keuntungan. |
4 |
صنع |
Perbuatan yang dilakukan dengan kemahiran |
5 |
جرح |
Kalimah ini berasal daripada perkataan جُرْح yang bermakna luka. Kalimah ini membawa makna perbuatan yang dilakukan dengan usaha dan kerja keras. |
Melalui dua ayat ini, kita mengenaliNya sebagai dzat Yang Maha Mengetahui. Bahkan Dia Maha Mengetahui setiap usaha keras, jerih-payah dan luka-luka setiap hamba yang berusaha beramal. Moga-moga kenalnya kita akan Dia membuatkan jiwa lebih tenang untuk rasa cukup hanya denganNya.Terus termotivasi untuk konsisten beramal, penuhi peranan sebagai hamba dan khalifah di atas muka bumi ini.
Tiba saatnya, kita akan kembali menemuiNya. Moga-moga itulah pertemuan teragung seorang hamba dengan Robbnya yang datang dengan hati yang sejahtera, membawa bekal amal penuh kesyukuran.
MBA Technologies MBA
Ayat Ibrahim