Dua orang sahabat sedang mengintai-ngintai kedai makan Korea. Pemilik kedai bukan beragama Islam. Pekerja-pekerjanya pun tidak menunjukkan tanda-tanda beragama Islam. Untuk beberapa ketika, salah seorang cepat-cepat mengeluarkan telefon pintar untuk membuat carian di Google. Sebaliknya, teman di sebelah sudahpun buat keputusan.
“Ok, kita makan sini.”
“Eh, aku tak jumpa lagi halal JAKIM. Di google ni pun tak dapat apa-apa informasi lagi.”
“Jangan risau. Tengok tu. Semua orang Islam yang makan situ. Penuh meja.”
“Semua orang Islam makan situ bukan bermakna tempat tu halal.”
“Habis tu, kau tak percaya orang-orang Islam yang makan situ?”
“Bukan macam tu. Haish… kau ni…”
***
Fenomena ikut apa yang majoriti buat.
Pernahkah anda alami situasi sedemikian? Tatkala kebenaran diletakkan pada hawa nafsu manusia-manusia lain, tindakan yang dizahirkan adalah ikut apa yang majoriti buat.
Jika ini berlaku, hati-hati.
Setiap kita realitinya dipertanggungjawabkan sendiri-sendiri di akhirat kelak.
إِن كُلُّ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ إِلَّآ ءَاتِي ٱلرَّحۡمَٰنِ عَبۡدٗا ٩٣ لَّقَدۡ أَحۡصَىٰهُمۡ وَعَدَّهُمۡ عَدّٗا ٩٤ وَكُلُّهُمۡ ءَاتِيهِ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ فَرۡدًا ٩٥
Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi, kecuali akan datang kepada Tuhan Yang Maha Pemurah selaku seorang hamba. Sesungguhnya Allah telah menentukan jumlah mereka dan menghitung mereka dengan hitungan yang teliti. Dan tiap-tiap mereka akan datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri.
[Maryam:93-95]
Pada hari pembalasan, majikan, penguasa atau pihak yang lebih berautoriti tidak boleh menyelamatkan. Mereka yang dahulunya ada kuasa akan hilang kuasa. Usaha menyalahkan mereka dengan harapan diri terlepas daripada azab adalah sia-sia.
وَبَرَزُواْ لِلَّهِ جَمِيعٗا فَقَالَ ٱلضُّعَفَٰٓؤُاْ لِلَّذِينَ ٱسۡتَكۡبَرُوٓاْ إِنَّا كُنَّا لَكُمۡ تَبَعٗا فَهَلۡ أَنتُم مُّغۡنُونَ عَنَّا مِنۡ عَذَابِ ٱللَّهِ مِن شَيۡءٖۚ قَالُواْ لَوۡ هَدَىٰنَا ٱللَّهُ لَهَدَيۡنَٰكُمۡۖ سَوَآءٌ عَلَيۡنَآ أَجَزِعۡنَآ أَمۡ صَبَرۡنَا مَا لَنَا مِن مَّحِيصٖ ٢١
Dan mereka semuanya (di padang Mahsyar) akan berkumpul menghadap ke hadrat Allah, lalu berkatalah orang-orang yang lemah kepada orang-orang yang sombong: "Sesungguhnya kami dahulu adalah pengikut-pengikutmu, maka dapatkah kamu menghindarkan daripada kami azab Allah (walaupun) sedikit saja? Mereka menjawab: "Seandainya Allah memberi petunjuk kepada kami, nescaya kami dapat memberi petunjuk kepadamu. Sama saja bagi kita, apakah kita mengeluh ataukah bersabar. Sekali-kali kita tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri".
[Ibrahim:21]
Akhirat kelak, bahkan syaitan tidak boleh dipersalahkan. Syaitan akan berlepas diri dan menyalahkan manusia kerana mensyirikkan Allah s.w.t dengan dirinya.
وَقَالَ ٱلشَّيۡطَٰنُ لَمَّا قُضِيَ ٱلۡأَمۡرُ إِنَّ ٱللَّهَ وَعَدَكُمۡ وَعۡدَ ٱلۡحَقِّ وَوَعَدتُّكُمۡ فَأَخۡلَفۡتُكُمۡۖ وَمَا كَانَ لِيَ عَلَيۡكُم مِّن سُلۡطَٰنٍ إِلَّآ أَن دَعَوۡتُكُمۡ فَٱسۡتَجَبۡتُمۡ لِيۖ فَلَا تَلُومُونِي وَلُومُوٓاْ أَنفُسَكُمۖ مَّآ أَنَا۠ بِمُصۡرِخِكُمۡ وَمَآ أَنتُم بِمُصۡرِخِيَّ إِنِّي كَفَرۡتُ بِمَآ أَشۡرَكۡتُمُونِ مِن قَبۡلُۗ إِنَّ ٱلظَّٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢٢
Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan: "Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan akupun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku akan tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamupun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu". Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat siksaan yang pedih. [Ibrahim:22]
Pada hari perhitungan, penyesalan mengikut teman-teman juga sudah tidak berguna.
وَيَوۡمَ يَعَضُّ ٱلظَّالِمُ عَلَىٰ يَدَيۡهِ يَقُولُ يَٰلَيۡتَنِي ٱتَّخَذۡتُ مَعَ ٱلرَّسُولِ سَبِيلٗا ٢٧ يَٰوَيۡلَتَىٰ لَيۡتَنِي لَمۡ أَتَّخِذۡ فُلَانًا خَلِيلٗا ٢٨ لَّقَدۡ أَضَلَّنِي عَنِ ٱلذِّكۡرِ بَعۡدَ إِذۡ جَآءَنِيۗ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَٰنُ لِلۡإِنسَٰنِ خَذُولٗا ٢٩
Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit dua tangannya, seraya berkata: "Aduhai kiranya (dulu) aku mengambil jalan bersama-sama Rasul".
Kecelakaan besarlah bagiku; kiranya aku (dulu) tidak menjadikan si fulan itu teman akrab(ku).
Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari Al-Qur’an ketika Al-Qur’an itu telah datang kepadaku. Dan adalah syaitan itu tidak mahu menolong manusia.
[Al-Furqan: 27-29]
Memang benar, hidup ini pilihan. Diberi kebebasan membuat pilihan bukan bermakna terbebas daripada sebarang kesan mahupun akibat tindakan. Sebaliknya, setiap pilihan adalah tanggungjawab.
Manusia pertama yang diberikan tanggungjawab untuk hidup di dunia lalu galas peranan khalifah adalah Nabi Adam a.s. Saat Dia diciptakan, malaikat pernah bertanya :
وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠
Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi". Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui".
[Al Baqarah:30]
Sebatas pengetahuan malaikat, sifat manusia di bumi itu berisiko membuat kerosakan dan menumpahkan darah. Tetapi, Allah s.w.t mengetahui bahawa Adam a.s. diciptakan dengan kemampuan belajar daripada Allah s.w.t, selanjutnya mampu mengajarkan yang lain. Inilah ciri-ciri utama yang melayakkan manusia galas tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi.
وَعَلَّمَ ءَادَمَ ٱلۡأَسۡمَآءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمۡ عَلَى ٱلۡمَلَٰٓئِكَةِ فَقَالَ أَنۢبُِٔونِي بِأَسۡمَآءِ هَٰٓؤُلَآءِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ ٣١ قَالُواْ سُبۡحَٰنَكَ لَا عِلۡمَ لَنَآ إِلَّا مَا عَلَّمۡتَنَآۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَلِيمُ ٱلۡحَكِيمُ ٣٢ قَالَ يَٰٓـَٔادَمُ أَنۢبِئۡهُم بِأَسۡمَآئِهِمۡۖ فَلَمَّآ أَنۢبَأَهُم بِأَسۡمَآئِهِمۡ قَالَ أَلَمۡ أَقُل لَّكُمۡ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ غَيۡبَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَأَعۡلَمُ مَا تُبۡدُونَ وَمَا كُنتُمۡ تَكۡتُمُونَ ٣٣
Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: "Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu mamang benar orang-orang yang benar!"
Mereka menjawab: "Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana".
Allah berfirman: "Hai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini". Maka setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu, Allah berfirman: "Bukankah sudah Ku-katakan kepadamu, bahwa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?"
[Al Baqarah:31-33]
Sebagai generasi anak cucu Adam a.s. yang mahu bertanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi, perlu persiapkan diri untuk diajar Allah s.w.t. Inilah langkah penting sebelum mampu mengajarkan manusia-manusia lain pula. Seperkara yang perlu diingat, untuk diajar Allah s.w.t, hanya ada satu jalan cahaya (النور) agar keluar daripada lapis demi lapis kegelapan ( الظلمات) iaitu Al-Quran.
ٱلرَّحۡمَٰنُ ١ عَلَّمَ ٱلۡقُرۡءَانَ ٢
(Tuhan) Yang Maha Pemurah, Yang telah mengajarkan al Quran.
[Ar Rahman:1-2]
Bahkan mempelajari apa yang dibawa nabi adalah peringatan yang Allah s.w.t sampaikan kepada Nabi Adam a.s dan Hawwa sebelum kedua-duanya diturunkan ke dunia.
قُلۡنَا ٱهۡبِطُواْ مِنۡهَا جَمِيعٗاۖ فَإِمَّا يَأۡتِيَنَّكُم مِّنِّي هُدٗى فَمَن تَبِعَ هُدَايَ فَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ ٣٨
Kami berfirman: "Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang petunjuk-Ku kepadamu, maka barang siapa yang mengikuti petunjuk-Ku, nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati".
[Al Baqarah:38]
Moga-moga usaha meneladani Nabi Adam a.s. yang diajar Allah s.w.t, jiwa-jiwa mukmin akan mahu memahami wahyu lalu mampu menjalani hidup penuh tanggungjawab. Peranan sebagai hamba dan khalifah harus digalas dengan panduan Allah s.w.t.
Mulakanlah langkah awal dengan fahami Al-Qur’an.