Huzaifah menolak pintu kafe. Serentak itu aroma kopi memasuki rongga hidungnya, makin menambah selera untuk menikmati Latte. Selepas membuat tempahan, mata Huzaifah mencari-cari kalau masih ada tempat duduk bahagian dalam kerana memerlukan suhu nyaman berpenghawa dingin. Dua tempat duduk di sebelah kanan sudahpun dipenuhi lalu dia memilih untuk duduk di meja sebelah dua pelajar sekuliahnya. Huzaifah menikmati keenakan kopi sendirian tanpa mampu tepis suara yang di meja sebelah.

“Kau tengok ni, ustazah kita pun larang filem kontroversi tu ditayangkan.” Hayati menunjukkan hantaran Facebook ustazah selebriti melalui telefon pintarnya.

“Filem kontroversi?” Ramlah yang jarang-jarang buka media sosial tidak cakna. 

“Ada satu filem Malaysia ni. Buat penggambaran di Langkawi. Konon genre cerita seram tapi terselit unsur pornografi.”

“Filem Malaysia?”

“Iya. Treler filem tu baru ditayangkan di platform digital. Pelakon ramainya pakai tak cukup kain.”

“Macam mana boleh lepas?”

“Itulah.” 

Sayup-sayup suara dua yang di sebelahnya hilang kerana Huzaifah memilih fokus pada kopi yang di hadapannya. Dia mendekatkan mulutnya pada bibir cawan. Sedikit demi sedikit kopi panasnya dihirup. Sempat dia memejam mata kerana mahu cuba menikmati kopi tersebut sambil tersenyum.

Setelah beberapa minit, akhirnya, semua habis dihirup. Dia duduk sebentar sebelum beredar meninggalkan café dua pelajar sekuliah di sebelahnya. 

Namun, apa yang berlaku sedikit sebanyak menimbulkan tanda tanya dalam dirinya. Huzaifah membuka telefon pintar sambil berjalan menuju kereta. Beberapa kata kunci ditaip pada ruang carian di browser. 

“Owh filem ni ke?” Huzaifah berbisik dalam hati. Dia menangkap majoriti nama bukan beragama Islam pada poster tersebut. 

Timbul bisikan hati “Cuba tengok treler dia.”

Jari-jemari Huzaifah laju meluncur di permukaan telefon pintar. Paparan YouTube terlihat di skrin. Sementara menunggu, Huzaifah menghidupkan enjin kereta dan pasang penghawa dingin. 

“Astaghfirullah.” Spontan terkeluar lafaz itu dari bibirnya. Hatinya merasakan filem sedemikian tak sepatutnya ditayangkan di negara yang lebih separuh penduduk beragama Islam. 

Timbul lagi bisikan dalam hati “Siapa pelakon filem ni? Siapa yang tanpa malu lakonkan babak tak elok ini?” 

Sekali lagi jari-jemarinya menekan kata kunci di carian browser. 

***

Sementara itu di Café, Hayati dan Ramlah meneruskan sembang petang mereka .

“Weih. Aku sembang benda ni kat kau, balik nanti kau jangan cari pula di google.” Hayati berpesan. 

“Kenapa?” Ramlah hairan. 

“Aku nak tahu juga pasal berita semasa ni.” Ramlah menyambung. 

“Perkara-perkara menjurus seks ni, syaitan suka. Dia mesti ada berbisik-bisik kat dada kau nanti.”

Ramlah tergelak “Kau takut syaitan hasut aku ke?” 

“Betul. Aku serius ni. Konon asalnya niat tulus nak cakna berita semasa. Alih-alih dia bisik untuk tengok pornografi.” Panjang lebar Hayati menerangkan. 

“Bahaya juga tu.” 

“Cukuplah kau tahu ustazah kita dah tegah semua daripada tengok. Jangan pula pergi cari treler dia yang merosakkan tu. Sebab manusia ni lemah sungguh.”

“Lemah bagaimana?”

“Lemah bila dah termasuk kancah maksiat. Macam dah termasuk medan magnet. Bila masuk je, terus tertarik ke dalam tak boleh nak keluar.”

“Hmm.. aku rasa memang betul pun apa kau cakap. Kita jangan masukkan diri ke dalam suasana berisiko. Aku ni, takdelah solehah mana pun.”

“Sebab tu Allah kata jangan dekati zina. Kalau dah dekati tu, susah betul nak keluar. Macam kena tarik masuk terus.” 

***

Realiti manusia memang dibekalkan dengan hawa nafsu agar dikendalikan dengan iman. Sejarah Nabi Adam a.s. mengingatkan kita akan liciknya syaitan melalui bisikannya menyeru hal-hal keji dan mungkar. Kita pelajari juga larangan Allah s.w.t kepada Nabi Adam a.s dan Hawwa bukanlah “Jangan memakan daripada pohon terlarang.” Sebaliknya larangan Allah s.w.t kepada mereka berdua adalah jangan menghampiri pohon terlarang. Bukan setakat makan, bahkan menghampiri pun sudah ditegah. 

وَيَٰٓـَٔادَمُ ٱسۡكُنۡ أَنتَ وَزَوۡجُكَ ٱلۡجَنَّةَ فَكُلَا مِنۡ حَيۡثُ شِئۡتُمَا وَلَا تَقۡرَبَا هَٰذِهِ ٱلشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ ٱلظَّٰلِمِينَ  

(Dan Allah berfirman): "Hai Adam bertempat tinggallah kamu dan isterimu di syurga serta makanlah olehmu berdua (buah-buahan) di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini, lalu menjadilah kamu berdua termasuk orang-orang yang zalim". [Al A'raf:19]

Kemudian, iblis yang tidak dapat dilihat manusia, berbisik untuk menyesatkan Nabi Adam a.s. dan Hawwa. Berkali-kali iblis melaksanakan tindakan liciknya agar manusia terpedaya. Memang kita tahu kesudahan sejarah, Nabi Adam a.s. dan Hawwa sempat merasa buah daripada pohon terlarang sebelum mereka tersedar akan kesalahan tindakan lalu cepat-cepat mohon pengampunan. 

Generasi anak-anak Nabi Adam a.s. juga akan disesatkan iblis dan tenteranya dari kalangan jin dan manusia. Taktiknya menjurus perkara keji dan mungkar. 

۞يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ وَمَن يَتَّبِعۡ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِ فَإِنَّهُۥ يَأۡمُرُ بِٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِۚ وَلَوۡلَا فَضۡلُ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ وَرَحۡمَتُهُۥ مَا زَكَىٰ مِنكُم مِّنۡ أَحَدٍ أَبَدٗا وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يُزَكِّي مَن يَشَآءُۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٞ  

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, niscaya tidak seorangpun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. [An Nur:21]

Dua yang sering ditekankan iaitu perkara keji dan mungkar. Meskipun perkara keji sudahpun termasuk bahagian mungkar, tetapi Allah s.w.t memberi penekanan mengenainya sehingga disebut mendahului hal-hal mungkar yang lain. 

Perkara keji ( ٱلۡفَوَٰحِشَ )adalah hal-hal yang menjurus tindakan seksual. Zina juga diistilahkan sebagai perkara keji. 

وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَٰحِشَةٗ وَسَآءَ سَبِيلٗا  ٣٢ 

Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. [Al-Isra’:32]

Melalui sejarah Nabi Adam a.s., dapat kita perhatikan didikan Allah s.w.t melalui larangan “Jangan hampiri”. Begitulah juga buat kita generasi anak Nabi Adam a.s., Allah s.w.t. bahkan mengharamkan perkara yang mendekati hal-hal keji. 

Ya, bukan perkara keji itu sendiri yang haram. Bahkan perkara yang mendekati tindakan keji itu sendiri telahpun diharamkan Allah s.w.t.

۞قُلۡ تَعَالَوۡاْ أَتۡلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمۡ عَلَيۡكُمۡۖ أَلَّا تُشۡرِكُواْ بِهِۦ شَيۡ‍ٔٗاۖ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنٗاۖ وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَوۡلَٰدَكُم مِّنۡ إِمۡلَٰقٖ نَّحۡنُ نَرۡزُقُكُمۡ وَإِيَّاهُمۡۖ وَلَا تَقۡرَبُواْ مَا ظَهَرَ مِنۡهَا وَمَا بَطَنَۖ وَلَا تَقۡتُلُواْ ٱلنَّفۡسَ ٱلَّتِي حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلۡحَقِّۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَعۡقِلُونَ  ١٥١ 

Katakanlah: "Marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu iaitu: janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan, Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka, dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak di antaranya mahupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar". Demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahami(nya). [Al An'am:151]

Merenung situasi semasa, ada yang beralasan “tidak mengapa tonton filem yang mendedahkan aurat dan terselit babak romantis kerana itu bukan keseluruhan cerita.” Namun, jiwa beriman yang menyedari hakikat kewujudan syaitan akan mahu pelihara diri daripada terjebak kancah kemaksiatan. Di sebalik larangan Allah s.w.t sebenarnya ada perlindunganNya. 

Justeru, berusahalah pelihara diri. Jauhilah segala yang mendekatkan pada perkara-perkara keji (misalnya zina). Teruslah bermohon perlindungan kepada Allah s.w.t daripada hasutan syaitan. 

وَقُل رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنۡ هَمَزَٰتِ ٱلشَّيَٰطِينِ  ٩٧ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحۡضُرُونِ  ٩٨ 

Dan katakanlah: "Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan. Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku, dari kedatangan mereka kepadaku". [Al-Mu’minun:97-98]