Pada suatu petang , dua orang sahabat bersembang hal kehidupan.
“Kau pernah tak terfikir camni. Ada tak lelaki yang tak puas hati dengan perintah Allah s.w.t untuk jadi pemberi nafkah keluarga?”
“Maksud kau?”
“Maksud aku, untunglah jadi perempuan macam kita. Lelaki yang kena sara. Ini perintah ketetapan Allah s.w.t.”
“Kau cakap begini, aku teringat kawan aku yang non-muslim. Mereka tiada hukum suami kena beri nafkah. Jadi sebelum kahwin lagi dah siap-siap bahagi dua tanggungan keluarga. Dua-dua kena kerja. Barulah adil ikut logik mereka.”
***
Allah s.w.t adalah Robb. Dialah yang menciptakan kita, memberikan kecukupan rezeki serta mentadbir seluruh alam.
Surah An-Nisa’ iaitu surah yang menjaga golongan lemah secara adil dan saksama dimulakan dengan mengingatkan kita akan sifat Allah s.w.t sebagai Robb.
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا (١)
Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada keduanya Allah memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.
[An Nisa’:1]
Dialah Robb yang menciptakan lelaki dan perempuan. Dialah yang paling mengetahui akan fungsi dan potensi berbeza yang diberikan kepada kedua-duanya.
Suami yang muhshinin dan qawwam, tidak musafihin.
Sebelum menikah, Allah s.w.t telah menetapkan tujuan yang benar untuk lelaki menikahi wanita beriman iaitu agar menjadi golongan مُّحۡصِنِينَ dan bukan مُسَٰفِحِينَ
(٢٤) وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَآءَ ذَٰلِكُمۡ أَن تَبۡتَغُواْ بِأَمۡوَٰلِكُم مُّحۡصِنِينَ غَيۡرَ مُسَٰفِحِينَۚ
Dan dihalalkan bagi kamu selain yang demikian (yaitu) mencari isteri-isteri dengan hartamu untuk dikahwini bukan untuk berzina.
[An Nisa’:24]
Kalimah مُّحۡصِنِينَ dari kata akar حصنbermaksud benteng kukuh yang dikembangkan maknanya dengan fungsi pelindung. Apabila kalimah ini digunakan pada lelaki memberi makna suami ( مُّحۡصِنِينَ ) yang melindungi wanita ( مُحۡصَنَٰتٍ ) dengan menjaga kehormatan wanita melalui pernikahan. Allah s.w.t memberi panduan bagaimana membuktikan peribadi muhsinin melalui ayat ini iaitu dengan harta ( أَن تَبۡتَغُواْ بِأَمۡوَٰلِكُم مُّحۡصِنِينَ ). Lawan bagi peribadi muhsinin adalah musafihin.
Kalimah مُسَٰفِحِينَ dari kata akar سفح bermaksud menuang keluar atau menumpahkan. Apabila kata ini dikembangkan pada hubungan lelaki dan perempuan adalah merujuk perbuatan hubungan seksual. Lelaki yang yang menikahi wanita dengan tujuan musafihin punyai peribadi berlawanan dengan muhshinin. Mereka tidak berniat mencari harta untuk menyara kelangsungan hidup isteri yang dinikahi serta tidak berniat menjaga kehormatan wanita. Mereka menikahi wanita semata-mata untuk melempiaskan nafsu seksual. Lebih teruk jika bahkan mereka menikahi wanita agar diberi nafkah iaitu isterinya yang menyara hidup keluarga sedangkan dirinya berlepas diri daripada tanggungjawab suami dan bapa.
Allah s.w.t yang telah memberikan kelebihan pada lelaki untuk galas tanggungjawab sebagai suami, mendidik lelaki beriman untuk persiapkan diri jadi lelaki muhshin. Kemahiran dan kemampuan mencari harta adalah syarat untuk bernikah kerana itulah peribadi muhshin, bukan musafih.
Bertitik-tolak daripada niat menjadi muhsin ketika bernikah, Allah s.w.t selanjutnya memerintahkan para suami menjadi qawwam sepanjang perkahwinan.
(٣٤) ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٖ وَبِمَآ أَنفَقُواْ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡۚ فَٱلصَّٰلِحَٰتُ قَٰنِتَٰتٌ حَٰفِظَٰتٞ لِّلۡغَيۡبِ بِمَا حَفِظَ ٱللَّهُۚ
Kaum lelaki itu adalah pelindung bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain, dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang solehah, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka).
[An Nisa’:34]
Kalimah قَوَّٰمُونَ dengan kata akar قوم bermaksud kemampuan berdiri sendiri secara fizikal dan apabila digunakan dengan kalimah على membawa makna yang dipertanggungjawabkan, pelindung atau pemelihara. Khusus ayat ini, definisi qawwam dibuktikan dengan ciri-ciri memberikan hartanya untuk menyara kehidupan keluarga ( أَنفَقُواْ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡۚ ) .
Dalam dunia mutakhir yang wanita bekerja dianggap norma, mungkin timbul tanda tanya mengapa tanggungjawab menyara hidup keluarga diletakkan hanya pada lelaki? Salah satu jawapan yang perlu direnungkan adalah terkait tanggungjawab wanita itu sendiri tatkala bergelar isteri dan ibu. Sesetengah isteri yang bekerja terpaksa hidup berjauhan dengan suami akibat tuntutan kerjaya. Ini menyulitkan dirinya menjalankan fungsi isteri sebagai sumber ketenangan buat suami untuk melepaskan keperluan seksual (rujuk surah Al-‘Araf : 189). Selain peranan isteri, seorang wanita yang berkahwin turut diberi tanggungjawab sebagai ibu yang menyusukan anak sebaik-baiknya dua tahun. Ibu inilah yang mendidik anak agar anak tumbuh menjadi hamba yang bersyukur. Antara tanda pencapaian usaha ibu yang mendidik adalah anak tersebut jadi hamba bersyukur sehingga berterusan berdoa pada usia 40 tahun (rujuk surah Al-Ahqaf ayat 46). Seorang ibu yang meletakkan hasrat melihat anak berusia 40 tahun yang bersyukur pasti mengerti banyak usaha perlu dikerahkan untuk mendidiknya sejak kecil. Andai wanita berumahtangga dibebankan tanggungjawab mencari nafkah, mampukah dia berperanan sebagai isteri dan ibu perspektif wahyu?
Perintah Allah s.w.t kepada suami untuk bersifat qawwam dengan memberi nafkah kepada wanita melalui jalan harta adalah bentuk penjagaan Allah s.w.t kepada wanita. Justeru, terhadap lelaki qawwam ini seharusnya isteri tersebut bersifat solehah (ٱلصَّٰلِحَٰتُ ) yang taat ( قَٰنِتَٰتٌ ) dan memelihara diri ketika ketiadaan suami ( حَٰفِظَٰتٞ لِّلۡغَيۡبِ )
Isteri solehah yang taat dan menjaga diri ketika ketiadaan suami.
Kalimah قَٰنِتَٰتٌ adalah dari kata akar قنت yang bermaksud sentiasa taat kepada Allah s.w.t yang disertai rasa ketundukan. Sifat taat kepada Allah s.w.t penuh ketundukan dapat diteladani daripada Maryam Bint Imran yang memelihara kehormatannya dan membenarkan kitabNya.
وَمَرۡيَمَ ٱبۡنَتَ عِمۡرَٰنَ ٱلَّتِيٓ أَحۡصَنَتۡ فَرۡجَهَا فَنَفَخۡنَا فِيهِ مِن رُّوحِنَا وَصَدَّقَتۡ بِكَلِمَٰتِ رَبِّهَا وَكُتُبِهِۦ وَكَانَتۡ مِنَ ٱلۡقَٰنِتِينَ ١٢
dan (ingatlah) Maryam binti Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebagian dari ruh (ciptaan) Kami, dan dia membenarkan kalimat Rabbnya dan Kitab-Kitab-Nya, dan dia adalah termasuk orang-orang yang taat. [At Tahrim:12]
Justeru, isteri solehah yang bersyukur kepada Allah s.w.t atas penjagaanNya, sewajarnya peduli belajar memahami wahyu agar berpeluang membenarkan kitabNya. Ketaatan seorang hamba bertitik-tolak daripada kefahaman wahyu yang menumbuhkan jiwa siddiq.
Selain taat, isteri solehah juga bersifat menjaga ketika ketiadaan suami ( حَٰفِظَٰتٞ لِّلۡغَيۡبِ ) . Dia bertanggungjawab untuk menjaga semua amanah yang diberikan. Dia bertanggungjawab menjaga kehormatan diri, menjaga maruah suami, menjaga anak-anak, menjaga harta suami dan lain-lain yang terkait.
Jika isteri nusyuz
Jika si suami telahpun bersikap qawwam tetapi si isteri nusyuz dengan tidak taat (misalnya tidak memelihara kehormatan diri dan langgar perintah Allah s.w.t) serta tidak menjaga diri, Allah s.w.t memberi pedoman kepada suami untuk bertindak.
وَٱلَّٰتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَٱهۡجُرُوهُنَّ فِي ٱلۡمَضَاجِعِ وَٱضۡرِبُوهُنَّۖ فَإِنۡ أَطَعۡنَكُمۡ فَلَا تَبۡغُواْ عَلَيۡهِنَّ سَبِيلًاۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيّٗا كَبِيرٗا ٣٤ وَإِنۡ خِفۡتُمۡ شِقَاقَ بَيۡنِهِمَا فَٱبۡعَثُواْ حَكَمٗا مِّنۡ أَهۡلِهِۦ وَحَكَمٗا مِّنۡ أَهۡلِهَآ إِن يُرِيدَآ إِصۡلَٰحٗا يُوَفِّقِ ٱللَّهُ بَيۡنَهُمَآۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرٗا ٣٥
Wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.
Dan jika kamu khuatirkan ada persengketaan antara keduanya, maka kirimlah seorang “orang tengah” dari keluarga lelaki dan seorang “orang tengah” dari keluarga perempuan. Jika kedua orang tengah itu bermaksud mengadakan perbaikan, niscaya Allah memberi taufik kepada suami-isteri itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti. [An Nisa’:34-35]
Melalui ayat ini, empat langkah yang seharusnya dilakukan oleh si suami tatkala khuatir isteri berlaku nusyuz iaitu :
- Nasihati isteri
- Jika isteri masih nusyuz, pisahkan tempat tidur dengan isteri
- Jika isteri masih nusyuz, pukul (untuk mendidik, bukan mencederakan)
- Jika isteri masih nusyuz, berbincang melalui orang tengah untuk perbaikan
Setelah melakukan keempat-empat langkah ini dan sulit capai persetujuan damai, jalan keluar adalah berpisah dengan taqwa (rujuk surah At-Thalaq). Berkomunikasi kepada pasangan melalui media sosial sehingga terhebah konflik rumahtangga tiada dalam panduan Islam.
Jika suami nusyuz
Jika isteri khuatir si suami bersikap nusyuz seperti abaikan tanggungjawab dalam rumahtangga atau bersikap acuh tak acuh kepadanya, Allah s.w.t turut memberikan panduan bagaimana untuk bertindak. Sedikit berbeza dengan panduan jika isteri nusyuz yang ada tiga langkah terlebih dahulu sebelum langkah perdamaian, jika suami nusyuz langkahnya adalah terus berbincang untuk langkah perdamaian.
وَإِنِ ٱمۡرَأَةٌ خَافَتۡ مِنۢ بَعۡلِهَا نُشُوزًا أَوۡ إِعۡرَاضٗا فَلَا جُنَاحَ عَلَيۡهِمَآ أَن يُصۡلِحَا بَيۡنَهُمَا صُلۡحٗاۚ وَٱلصُّلۡحُ خَيۡرٞۗ وَأُحۡضِرَتِ ٱلۡأَنفُسُ ٱلشُّحَّۚ وَإِن تُحۡسِنُواْ وَتَتَّقُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٗا ١٢٨
Dan jika seorang wanita khuatir akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya, maka tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benarnya, dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka) walaupun manusia itu menurut tabiatnya kikir. Dan jika kamu bergaul dengan isterimu secara baik dan memelihara dirimu (dari nusyuz dan sikap tak acuh), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
[An Nisa’:128]
Jika jalan perdamaian gagal dicapai, langkah akhir adalah berpisah dengan jalan taqwa (rujuk surah At-Thalaq). Proses ini berlaku secara dalaman, hanya melibatkan pihak tertentu. Melibatkan orang luar atau masyarakat awam dalam mengurus konflik rumahtangga juga tiada dalam ajaran islam.
Menjaga aib dan kehormatan insan lain
Konflik dalam rumahtangga adalah salah satu ujian dunia dan Allah s.w.t memberikan panduan jelas untuk menghadapinya. Rasa dizalimi itu realiti dan moga jiwa kehambaan sanggup bersabar menahan diri daripada menyebarkan kelemahan dan keburukan pasangan pada khalayak ramai.
۞لَّا يُحِبُّ ٱللَّهُ ٱلۡجَهۡرَ بِٱلسُّوٓءِ مِنَ ٱلۡقَوۡلِ إِلَّا مَن ظُلِمَۚ وَكَانَ ٱللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا ١٤٨ إِن تُبۡدُواْ خَيۡرًا أَوۡ تُخۡفُوهُ أَوۡ تَعۡفُواْ عَن سُوٓءٖ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَفُوّٗا قَدِيرًا ١٤٩
Allah tidak menyukai ucapan buruk, (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya. Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa.
[An Nisa’:148-149]
Khusus bagi masyarakat awam atau orang luar yang tiada kaitan dalam hal rumahtangga mana-mana individu, tahanlah diri daripada mencari-cari berita mengenainya. Tahanlah diri daripada berbicara tentangnya sebagai bukti iman kepada Allah s.w.t.