Kehidupan terus berjalan, dari saat kepada minit. Daripada minit kepada jam, hari, bulan , serta tahun. Kita sudah menghampiri penghujung tahun 2022.

Masa mengalir seperti air. Akan terus mengalir dan tidak akan menunggu kita. Masa bergerak ke hadapan dan bukannya ke belakang. Setiap saat adalah berharga bagi orang beriman. Sama ada mempunyai nilai di sisi Tuhan atau tidak.

Maka, setiap kesempatan adalah peluang untuk kita memperbaiki diri dan menyebarkan kebaikan. 

Yang diperlukan oleh masyarakat pada hari ini adalah kasih sayang dan bukannya kebencian. Sekecil-kecil perbuatan atau tindakan kasih sayang sesama manusia. Dunia sudah tenat dengan permusuhan, konflik, kebencian serta ketidakadilan. Maka, mulakan dengan kata-kata, tindakan dan perbuatan yang didasari oleh kasih sayang.

Mari kita menjadi ejen perubahan menyebarkan mesej keamanan, kesejahteraan sesama insan. Jangan menjadi pembakar ejen kebencian sesama insan. Cukup-cukup sudah dengan mesej kebencian, mesej-mesej berbaur persengketaan. Ayuh, semarakkan nilai kasih-sayang yang telah lama hilang.

Bermula dari diri kita yang penuh dengan empati sesama insan. Melihat setiap insan dengan lensa kasih sayang. Maka, mari kita berperanan menjadi ejen perubahan dengan mula menyebarkan nilai kasih sayang sesama insan yang merupakan mesej utama di dalam Al-Qur’an.

Itu yang diperlukan oleh setiap insan untuk didengari, disantuni, dihormati dan bukannya dihakimi. Maka, mulakan nilai-nilai murni di setiap penjuru kehidupan serta posisi. Jangan cepat menyebarkan fitnah, tanggapan buruk dan mengajak kepada kebencian kerana itu bukan ajaran Al-Qur’an.

Al-Qur’an diturunkan sebagai petunjuk kehidupan dimana setiap insan adalah sama nilainya disisi Tuhan, yang membezakan adalah taqwa. Al-Qur’an menyeru kepada kepada kesatuan dan bukannya perpecahan. Menyedarkan kepada kita bahawa agama itu dibuktikan dengan perbuatan dan bukan sekadar kata-kata.

Yang diperlukan adalah untuk setiap insan merenungi mesej terbesar di dalam Al-Qur’an yang mengajak kepada keamanan, kesejahteraan serta kebahagiaan.

Maka, ayuh kita merenung diri kita. Sejauh mana perilaku kita sesama manusia.

Adakah kasih sayang yang menjadi teras di dalam interaksi ataupun persepsi?

Nilai-nilai murni yang menghiasi peribadi atau dendam dan nista?

Keikhlasan di dalam perhubungan atau kepura-puraan?

Maka, cukup-cukup sudah menjadi penyebab derita, sengketa dan dukacita.

Kerana dunia ini sudah penat dengan segala tipu daya.

Namun, yang diperlukan adalah setiap manusia hatta apa agamanya, bangsanya, harus dihormati serta disantuni.

Al-Qur’an mengajar kita bahawa Allah memuliakan setiap anak dari Bani Adam. Mereka perlu dihormati haknya sebagai manusia.

Surah Al Isra: Ayat 70

۞وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا [الإسراء: 70] 

«Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan»

Yang diperlukan adalah sikap manusiawi kita sesama insan yang penuh dengan ihsan dan kasih sayang.

Maka, mari kita meninggalkan tahun 2022 dengan melakukan muhasabah serta refleksi atas setiap pilihan di dalam kehidupan.

Meninggalkan sikap-sikap negatif yang tiada nilai-nilai keamanan,

Meninggalkan segala prasangka yang tiada asas.

Meninggalkan kebencian serta dendam yang memakan diri.

Meninggalkan prejudis yang tiada asas di dalam perhubungan.

Meninggalkan pilihan-pilihan yang penuh kebathilan.

Namun, melangkah ke Tahun 2023 dengan penuh optimistik.

Menjadikan Al-Qur’an sebagai petunjuk kehidupan.

Al-Qur’an bukan sekadar dituturkan, namun dihayati, ditadaburri, dilaksanakan di dalam kehidupan harian.

Menghidupkan nilai-nilai ajaran Al-Qur’an di dalam kehidupan.

Menyemarakkan kasih sayang, keamanan, kesatuan.

Toleransi, empati, perpaduan di dalam setiap sisi kehidupan.

Menjadi manusia yang bermanfaat kepada yang lain.

Dimulakan dengan sekecil-kecil pilihan menghulurkan bantuan kepada yang lain.

Menyebarkan kebaikan serta kasih sayang kepada yang lain.

Mengapa?

Kerana yang kita perlukan adalah ketulusan di dalam perhubungan.

Kasih sayang di dalam setiap interaksi.

Kejujuran di dalam setiap lensa kehidupan.