Ketika anak-anak di Malaysia kekenyangan dengan susu ibu, ada bayi-bayi kelaparan kekurangan bantuan di Syria. Saat kanak-kanak kecil bersuara lantang belajar alif, ba, ta dan surah lazim di Malaysia, ada kanak-kanak Uyghur tidak tahu apa itu ungkapan salam dan siapa Robb akibat peraturan ketat penjajah komunis China yang melarang beramal. 

Bagaimanalah rasanya, jika ketika celik mata lahir ke dunia, rupa-rupanya diri berpijak di negara bergolak. Bagaimana sanggup teruskan hidup di tempat yang pihak berkuasanya melarang beragama persis zaman pemuda kahfi dan pemerintah zalim dalam surah Al-Buruuj.   

Ini realiti hidup zaman kini. 

Pernah rasa tertekan dengan cabaran hidup yang menyulitkan? Lalu berhajat ditamatkan sahaja hayat? 

Bahkan ada yang tertanya-tanya, 

“Jika benar Tuhan itu wujud, kenapa Dia izinkan penindasan dan kesusahan berlaku?”

Realiti kehidupan dunia adalah pentas ujian untuk membuktikan iman. Setiap kesabaran yang dikerahkan tulus keranaNya akan dihitung tak disia-siakan biar seperit apa sekalipun ujian menimpa. Ada yang sabar, sabar dan terus sabar sehingga ajal tiba. 

Saat berpisah roh daripada jasad, manusia akan memasuki alam barzakh sebelum alam akhirat. Saat itu, bahagia atau celakanya dia tergantung amal-amal yang dilakukan ketika di dunia. 

Dunia ini rupa-rupanya terlalu sekejap. Sehari di sisi Allah s.w.t bersamaan seribu tahun menurut hitungan kita. 

يُدَبِّرُ ٱلۡأَمۡرَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ ثُمَّ يَعۡرُجُ إِلَيۡهِ فِي يَوۡمٖ كَانَ مِقۡدَارُهُۥٓ أَلۡفَ سَنَةٖ مِّمَّا تَعُدُّونَ  

Dia mengatur urusan dari langit ke bumi, kemudian (urusan) itu naik kepada-Nya dalam satu hari yang kadarnya adalah seribu tahun menurut perhitunganmu.

As-Sajdah, 32 : 5

وَإِنَّ يَوۡمًا عِندَ رَبِّكَ كَأَلۡفِ سَنَةٖ مِّمَّا تَعُدُّونَ  

Sesungguhnya sehari disisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun menurut perhitunganmu.

Al-Hajj, 22 : 47

Melalui dua ayat ini, 1000 tahun menurut hitungan kita bersamaan sehari (24 jam) di sisi Allah s.w.t. Menggunakan usia Rasulullah s.a.w iaitu 63 tahun sebagai kayu ukur, usia kebanyakan kita (60-70 tahun) tak lebih sejam setengah di sisi Allah s.w.t. 

Sejam setengah, terasa tidak lama bukan? Saat manusia berada di dimensi yang sama dengan Allah s.w.t iaitu akhirat, ada yang cuba-cuba menghitung jumlah usianya di dunia. 

قَٰلَ كَمۡ لَبِثۡتُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ عَدَدَ سِنِينَ  ١١٢ قَالُواْ لَبِثۡنَا يَوۡمًا أَوۡ بَعۡضَ يَوۡمٖ فَسۡـَٔلِ ٱلۡعَآدِّينَ  ١١٣ قَٰلَ إِن لَّبِثۡتُمۡ إِلَّا قَلِيلٗاۖ لَّوۡ أَنَّكُمۡ كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ  ١١٤ 

Allah bertanya: "Berapa tahunkah lamanya kamu tinggal di bumi?" 

Mereka menjawab: "Kami tinggal (di bumi) sehari atau setengah hari, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang menghitung". 

Allah berfirman: "Kamu tidak tinggal (di bumi) melainkan sebentar saja, kalau kamu sesungguhnya mengetahui" 

[Al Mu"minun:112-114]

Allah s.w.t mengkhabarkan pada kita peristiwa yang berlaku di akhirat kelak. Ada segolongan manusia yang dimasukkan ke dalam neraka dan bermohon keluar daripadaNya. Kemudian , berlakulah dialog ayat 112-114 iaitu soal jawab mengenai tempoh hidup di dunia. 

Panduan yang boleh kita garap melalui ayat ini adalah , manfaatkanlah usia hidup yang sekarang. Usah jadi golongan yang membiarkan masa berlalu pergi hingga terlepas banyak peluang amal. Jangan sampai kita menjadi orang yang berdialog dengan Allah s.w.t, menghitung usia kehidupan dunia yang terlalu sekejap lalu menyesal tidak sempat berbuat. 

Perahlah usia untuk dapatkan “pati” terbaik daripadanya.

Allah s.w.t bersumpah dengan masa (Al-‘Asr) bahawa semua manusia itu dalam kerugian melainkan mereka yang memenuhi 4 ciri-ciri. 

وَٱلۡعَصۡرِ  ١ إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ لَفِي خُسۡرٍ  ٢ إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ  ٣ 

Demi masa. 

Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, 

kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran. 

[Al 'Asr:1-3]

Menurut Ar-Raghib Al-Asfahani dalam kitab Al-Mufradat, kalimah عصر bermaksud memerah iaitu mengambil inti kebaikan daripadanya. Melalui kalimah ini juga datangnya perkataan jus. Awan yang diperah dalam surah An-Naba’ ayat 14, adalah awan yang menghasilkan air hujan. 

Al-‘Asr iaitu masa sebagai objek sumpahan pada ayat ini mengajar kita bahawa masa adalah sesuatu yang perlu “diperah” agar dapat hasilnya yang terbaik. Jika usia ini disia-siakan, manusia itu dalam kerugian. Justeru, hati yang mengimani akhirat dan pertemuan dengan Allah s.w.t perlu terus mendidik jiwa agar : 

  1. Beriman
  2. Beramal soleh
  3. Berpesan-pesan atas kebenaran
  4. Berpesan-pesan untuk sabar. 

  Hanya apabila kita memilih memenuhi keempat-empat ciri ini, moga-moga kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang kerugian. 

Kenali potensi diri untuk berikan yang terbaik.

Ada teladan indah pada Nabi Sulaiman a.s yang dirakam melalui doanya. 

قَالَ رَبِّ ٱغۡفِرۡ لِي وَهَبۡ لِي مُلۡكٗا لَّا يَنۢبَغِي لِأَحَدٖ مِّنۢ بَعۡدِيٓۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡوَهَّابُ  ٣٥ 

Dia berkata: "Ya Tuhanku, ampunilah aku dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh seorang juapun sesudahku, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pemberi". 

[Sad:35]

Nabi Sulaiman a.s merupakan anak raja iaitu Nabi Daud a.s. Potensi dan kekuatan yang ada pada Nabi Sulaiman a.s. makin menambah ketundukannya kepada Robb. Baginda bersungguh-sungguh galas tampuk kepimpinan dengan saksama penuh ketakwaan. Bahkan burung turut berperanan terlibat berdakwah, membawa kaum Saba’ kepada tauhid.  

Doa baginda melalui ayat ini memberi teladan kepada kita untuk letakkan pergantungan kepada Robb dan bermohonlah kepadaNya untuk potensi amal terbaik. Teladan ini selari dengan perintah Allah s.w.t dalam surah al-Qosas.

وَٱبۡتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلۡأٓخِرَةَۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنۡيَاۖ وَأَحۡسِن كَمَآ أَحۡسَنَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ وَلَا تَبۡغِ ٱلۡفَسَادَ فِي ٱلۡأَرۡضِۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ  ٧٧ 

Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan. 

[Al Qasas:77]

Persiapan kebahagiaan di akhirat antaranya adalah melalui apa yang Dia kurniakan. 

Setiap individu dikurniakan nikmat berbeza-beza. Ada yang dikurniakan harta kekayaan. Ada yang dikurniakan nikmat ilmu bermanfaat. Walau apapun kapasiti dan potensi kurniaanNya, semuanya seharusnya disalurkan dan diberikan kepada ummah. Hanya tatkala kita memberi, saat itulah apa yang dimiliki dihitung sebagai amal di akhirat sana. Moga-moga baki masa yang tinggal benar-benar dimanfaatkan untuk kebahagiaan akhirat sana. 

Hidup yang sejam setengah, isilah sebaiknya dengan iman dan amal soleh.