Sebagai manusia, kita tidak terlepas daripada menghadapi dua situasi seperti ini:

 

Akhirnya aku berjaya!

atau

Kenapa aku yang diuji dengan ujian ini?

 

Kejayaan dan ujian adalah dua perkara yang datang silih berganti melintasi kehidupan manusia ini. Kejayaan yang diiringi dengan kesyukuran dan ujian yang dihadapi dengan penuh kesabaran adalah kebaikan yang diberikan oleh Allah SWT. Sifat sabar dan syukur ini sangat istimewa kerana ianya diberikan kepada mereka yang beriman sebagai satu anugerah daripada Tuhan buat hamba-Nya. Dalam sebuah hadis dijelaskan:

 

وَعَنْ أبي يَحْيَى صُهَيْبِ بْنِ سِنَانٍ  قَالَ: قَالَ رَسُولُ الله ﷺ: عَجَباً لأمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ لَهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَلِكَ لأِحَدٍ إِلاَّ للْمُؤْمِن: إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْراً لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خيْراً لَهُ

 

Daripada Abi Yahya Syuhaib Bin Sinan r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh baik nasib orang beriman, kerana dalam semua keadaan mereka mendapat kebaikan. Dan tidak ada habuan baik seperti ini kecuali bagi mereka yang beriman. Apabila mendapat kesenangan maka dia akan bersyukur, maka syukur itu baik baginya. Apabila ditimpa musibah dia bersabar, maka sabar itu baik baginya”. 

(H.R. Muslim, No.2999)

Hadith ini, menjelaskan keutamaan bersyukur ketika mendapat suatu kesenangan, dan bersabar saat ditimpa ujian. Ini kerana sifat sabar dan syukur adalah sifat yang harus ada dalam diri setiap hamba yang beriman kepada Allah SWT. Sifat ini juga melatih jiwa manusia agar bertakwa dan bertawakal kepada Allah dalam apa jua keadaan. Inilah keistimewaan yang diberikan kepada orang-orang beriman, saat diuji mereka mendapat kebaikan, saat senang mereka juga mendapat kebaikkan. Bahkan Allah memuji hamba-Nya yang memiliki dua sifat ini. Firman Allah SWT maksudnya: 

Sungguh, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran)-Nya bagi setiap orang yang sangat sabar dan banyak bersyukur.”

(Al-Qur’an, Surah Luqman: 31)

Sabar itu Indah

Kehidupan manusia yang tidak terlepas daripada ujian. Seperti mana kini, satu dunia diuji dengan musibah COVID-19, sama ada merasai kesakitan itu, atau kehilangan keluarga kerana wabak ini, atau mungkin kehilangan punca rezeki. Tiada kata yang lebih indah buat orang-orang yang beriman melainkan ‘Bersabarlah’. Sabar di sini adalah bukan bererti diam, tetapi berhenti seketika, mencari hikmah dan mengubah sesuatu ke arah yang lebih positif, barulah keindahan sabar itu dapat dirasai. Orang-orang mukmin tidak perlu bersedih hati atas ujian dan musibah yang menimpa mereka, kerana ujian itu tanda kasih Allah kepada hamba-Nya. Bahkan Allah ‘memujuk’ hati-hati hamba-Nya yang bersabar dengan ujian yang menimpa mereka, bahawa mereka tidak bersendirian kerana Allah bersama dengan mereka. Allah berfirman, maksudnya:

“Sesungguhnya Allah SWT bersama orang-orang yang sabar”.

(Al-Qur’an, Surah al-Baqarah: 153)

Bersyukur dengan Nikmat

 

Kita sering menganggap bahawa setelah kita memperoleh suatu kejayaan barulah kita bersyukur. Sedangkan terlalu banyak nikmat yang kita peroleh daripada Allah SWT di dalam hidup ini, yang perlu kita lebih mensyukuri. Hakikat syukur adalah respon positif yang kita harus berikan terhadap sesuatu yang kita terima dalam kehidupan. Syukur tidak hanya dengan sebaris kata semata-mata tetapi seharusnya dizahirkan dengan perbuatan, seperti berkongsi nikmat dan rezeki yang kita peroleh dengan orang sekeliling kita. Seperti mana, kita membantu jiran kita yang tidak dapat keluar rumah kerana keluarga mereka ditimpa ujian wabak COVID-19, maka kita sebagai jiran atau orang terdekat boleh menghulurkan bantuan sama ada dari sudut keperluan fizikal atau sokongan moral. Dengan ini, nikmat yang Allah berikan kepada kita iaitu, diberi kesihatan, kita gunakan dengan sebaiknya sebagai tanda syukur kepada Allah. Oleh itu, zahirkanlah rasa syukur, dengan nikmat yang Allah telah berikan, seperti mana Allah berfirman, maksudnya:

 

Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.”

(Al-Qur’an, Surah adh-Dhuha: 11)

 

“2 S” Buat Orang Mukmin

 

“2 S” di sini adalah sifat sabar dan juga syukur. Pasang surut kehidupan kadang kala kita gembira dan melihat orang lain berduka, kadang kala sebaliknya berlaku. Maka sebagai orang yang beriman, ucapkanlah ‘Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un’ (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali), saat kita ditimpa ujian dan musibah, atau melihat dan mendengar orang lain ditimpa musibah. Begitu juga dengan ucapkanlah ‘Alhamdulillah’ saat diri kita atau melihat dan mendengar orang lain memperoleh kejayaan. Lafaz-lafaz ini adalah cara kita untuk menzahirkan rasa sabar dan syukur kepada Allah SWT, dan mengukuhkan ketakwaan serta mengembalikan tawakkal hanya kepada-Nya. Hakikat sabar dan syukur, sangat istimewa buat orang-orang mukmin, sehinggakan Allah menjanjikan syurga dan balasan baik buat mereka yang sabar dengan ujian di dunia ini, dan bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan. Janji-janji Allah di dalam al-Quran, maksudnya:

 

“Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya” 

(Al-Qur’an, Surah al-Furqan: 75)

 

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).”

(Al-Qur’an, Surah al-Baqarah: 152)


Justeru, pupuklah dalam diri kita sifat sabar seperti Nabi Ayyub a.s yang diuji dengan penyakit bertahun-tahun, sabarlah seperti Maryam a.s., yang difitnah berzina kerana melahirkan Nabi Isa a.s.. Sabarlah juga seperti Nabi Muhammad SAW yang dakwahnya dihina oleh orang kafir. Serta, zahirkanlah rasa syukur kita kepada Allah SWT, seperti Nabi Daud a.s. dan Nabi Sulaiman a.s., dengan ucapan ‘Alhamdulillah’. Akhir kalam, Allah memberi kesenangan untuk disyukuri dan ujian untuk kita bersabar, kerana sabar dan syukur ini tidak akan sia-sia dalam pandangan Allah, kerana Allah menjanjikan syurga buat Mukmin yang memiliki “2 S” ini. Wallahua’llam.