“Malaysia memilih” tahun ini. 

Banyak peristiwa berlaku sepanjang pemerintahan lepas termasuklah bertukarnya perdana menteri sebanyak 2 kali dalam satu penggal.

Dalam keadaan politik tidak stabil, sebagai rakyat, tetap tertanya-tanya bagaimana menjemput berkah daripada Robb yang menciptakan? Agar rakyat Malaysia aman dan dipimpin mereka yang amanah?

Al-Qur’an sebagai petunjuk adalah kitab penuh berkah yang membawa rahmat. Mengamalkan kandungannya moga-moga menjemput berkah. 

وَهَٰذَا كِتَٰبٌ أَنزَلۡنَٰهُ مُبَارَكٞ فَٱتَّبِعُوهُ وَٱتَّقُواْ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ  

Dan Al-Quran itu adalah kitab yang Kami turunkan yang diberkati, maka ikutilah dia dan bertakwalah agar kamu diberi rahmat.

Surah Al-An’am, 6 : 155

Mari telusuri pengajaran kepimpinan yang dirakam dalam surah Al-Kahf. Moga-moga panduan wahyu menjadi panduan, diamalkan selanjutnya dirahmatiNya. 

Pemimpin yang beramal dengan menempuh peluang yang terbentang.

وَيَسۡـَٔلُونَكَ عَن ذِى ٱلۡقَرۡنَيۡنِ‌ۖ قُلۡ سَأَتۡلُواْ عَلَيۡكُم مِّنۡهُ ذِڪۡرًا ( ٨٣ ) إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ ۥ فِى ٱلۡأَرۡضِ وَءَاتَيۡنَـٰهُ مِن كُلِّ شَىۡءٍ۬ سَبَبً۬ا ( ٨٤ ) فَأَتۡبَعَ سَبَبًا ( ٨٥ ) 

Mereka akan bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Dzulkarnain. Katakanlah: "Aku akan bacakan kepadamu cerita tantangnya". Sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepadanya di (muka) bumi, dan Kami telah memberikan kepadanya jalan (untuk mencapai) segala sesuatu, maka diapun menempuh suatu jalan. 

[Al Kahf:83-85]

Golongan musyrik Mekah pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai tiga perkara setelah mendapat maklumat daripada Yahudi. Salah satunya adalah berkenaan Dzulkarnain. Allah s.w.t menjawab pertanyaan ini dengan memaklumkan bahawa beliau adalah seorang tokoh yang telah Allah s.w.t berikan kekuasaan. 

Satu perkara mengenai Dzulkarnain yang diulang-ulang adalah ayat  أَتۡبَعَ سَبَبًا . Selain memberikan kekuasaan, Allah s.w.t memberikannya banyak jalan atau peluang untuk bertindak dengan kekuasaannya. Bagaimana Dzulkarnain memberi respon terhadap semua peluang ini? 

Beliau banyak memilih untuk memberi manfaat dengan peluang yang terbentang. Beliau tidak membiarkan peluang itu berlalu begitu sahaja atau mengabaikannya. Sebaliknya, beliau menggunakan kekuatan dan kekuasaannya untuk melakukan perbaikan. Buktinya dapat kita perhatikan pada ayat-ayat berikutnya. 

Dalam kehidupan kita juga, banyak isu yang berlaku dalam masyarakat. Misalnya,baru-baru ini masalah pengangkutan dihadapi ramai tatkala khidmat LRT tergendala di banyak stesen. Ramai rakyat alami kesulitan pergi dan pulang dari tempat kerja. Pemimpin yang mempunyai kekuatan seharusnya melihat isu ini sebagai peluang menyelamatkan dan membantu rakyat. Jika mahu meneladani Dzulkarnain yang menempuh jalan atau peluang yang terbentang, bukanlah dengan mencari salah orang lain. Sebaliknya, kumpulkan kekuatan dan tawarkanlah solusi.

Pemimpin yang “turun padang” melihat keadaan masyarakat.

حَتَّىٰٓ إِذَا بَلَغَ مَغۡرِبَ ٱلشَّمۡسِ وَجَدَهَا تَغۡرُبُ فِي عَيۡنٍ حَمِئَةٖ وَوَجَدَ عِندَهَا قَوۡمٗاۖ قُلۡنَا يَٰذَا ٱلۡقَرۡنَيۡنِ إِمَّآ أَن تُعَذِّبَ وَإِمَّآ أَن تَتَّخِذَ فِيهِمۡ حُسۡنٗا ( ٨٦) قَالَ أَمَّا مَن ظَلَمَ فَسَوۡفَ نُعَذِّبُهُۥ ثُمَّ يُرَدُّ إِلَىٰ رَبِّهِۦ فَيُعَذِّبُهُۥ عَذَابٗا نُّكۡرٗا  (٨٧) وَأَمَّا مَنۡ ءَامَنَ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا فَلَهُۥ جَزَآءً ٱلۡحُسۡنَىٰۖ وَسَنَقُولُ لَهُۥ مِنۡ أَمۡرِنَا يُسۡرٗا ( ٨٨) 

Hingga apabila dia telah sampai ke tempat terbenam matahari, dia melihat matahari terbenam di dalam laut yang berlumpur hitam, dan dia mendapati di situ segolongan umat. Kami berkata: "Hai Dzulkarnain, kamu boleh menyiksa atau boleh berbuat kebaikan terhadap mereka. Berkata Dzulkarnain: "Adapun orang yang aniaya, maka kami kelak akan mengazabnya, kemudian dia kembalikan kepada Tuhannya, lalu Tuhan mengazabnya dengan azab yang tidak ada taranya. Adapun orang-orang yang beriman dan beramal saleh, maka baginya pahala yang terbaik sebagai balasan, dan akan kami titahkan kepadanya (perintah) yang mudah dari perintah-perintah kami". 

[Al Kahf:86-88]

Dzulkarnain juga merupakan pemimpin yang terlibat “turun padang” melihat apa yang sedang dialami masyarakat. Beliau tidak semata-mata duduk bersenang-lenang di pejabat dan menanti laporan orang bawahan. Daripada ayat ke-86 surah Al-Kahf ini, beliau sendiri yang melihat keberadaan segolongan umat di tempat matahari terbenam.

Setelah memahami keadaan satu tempat, beliau perlu bertindak. Untuk membuat keputusan, beliau mempunyai akidah yang benar dengan keimanan kuat terhadap akhirat. Beliau membuat keputusan dengan dasar makna hidup dunia dan akhirat yang benar. Kekuasaan miliknya disedari bersifat sementara dan beliau menyandarkan kekuasaan hakiki adalah pada Robb. Beliau mengimani bahawa Allah s.w.t. mampu mengazab hamba-hambaNya dan juga mampu beri balasan terbaik terhadap amal soleh yang dikerjakan. 

Pemimpin yang atasi cabaran untuk faham keadaan masyarakat.

ثُمَّ أَتۡبَعَ سَبَبًا  (٩٢) حَتَّىٰٓ إِذَا بَلَغَ بَيۡنَ ٱلسَّدَّيۡنِ وَجَدَ مِن دُونِهِمَا قَوۡمٗا لَّا يَكَادُونَ يَفۡقَهُونَ قَوۡلٗا  (٩٣) قَالُواْ يَٰذَا ٱلۡقَرۡنَيۡنِ إِنَّ يَأۡجُوجَ وَمَأۡجُوجَ مُفۡسِدُونَ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَهَلۡ نَجۡعَلُ لَكَ خَرۡجًا عَلَىٰٓ أَن تَجۡعَلَ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَهُمۡ سَدّٗا  (٩٤) 

Kemudian dia menempuh suatu jalan (yang lain lagi). Hingga apabila dia telah sampai di antara dua buah gunung, dia mendapati di hadapan kedua bukit itu suatu kaum yang hampir tidak mengerti pembicaraan. Mereka berkata: "Hai Dzulkarnain, sesungguhnya Ya'juj dan Ma'juj itu orang-orang yang membuat kerosakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara kami dan mereka?" 

[Al Kahf:92-94]

Dalam ayat ini, Dzulkarnain asalnya berhadapan dengan suatu kaum yang hampir tidak difahami pembicaraan mereka. Ketika berlaku cabaran bahasa, adakah langsung memilih untuk mengabaikan? Sebaliknya, Dzulkarnain melaksanakan usaha agar cabaran ini dapat diatasi dan akhirnya kaum tersebut mampu menyampaikan kesulitan yang dialami mereka. 

Di Malaysia dengan rakyat berbilang kaum dan pelbagai bahasa dan budaya, sejauh manakah kepimpinan negara peduli menyantuni setiap kaum? Atau apakah hanya kaum yang sebahasa dan sebudaya dengan pimpinan sahaja akan diberi perhatian? Bagaimana dengan kaum-kaum lain yang kemungkinan tidak difahami bahasa dan budaya tetapi mengalami isu yang perlu diselesaikan dengan kekuasaan yang ada pada pemimpin? 

Ayat ini mengajar kita seandainya kita menjadi pemimpin, cabaran seperti tidak memahami bahasa tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak menyantuni rakyat. Sebaliknya, usaha perlu dilakukan misalnya dengan melakukan kajian terhadap tempat-tempat tertentu agar bantuan untuk kemaslahatan rakyat tetap terpelihara. 

Pemimpin yang menggunakan kekuatan kurniaan Allah s.w.t

قَالُواْ يَٰذَا ٱلۡقَرۡنَيۡنِ إِنَّ يَأۡجُوجَ وَمَأۡجُوجَ مُفۡسِدُونَ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَهَلۡ نَجۡعَلُ لَكَ خَرۡجًا عَلَىٰٓ أَن تَجۡعَلَ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَهُمۡ سَدّٗا  (٩٤) 

Dzulkarnain berkata: "Apa yang telah dikuasakan oleh Tuhanku kepadaku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka, 

[Al Kahf:95]

Asalnya, penduduk suatu kaum menawarkan upah kepada Dzulkarnain untuk membangunkan dinding yang memisahkan antara mereka dengan Ya’juj Ma’juj. Namun, Dzulkarnain tidak menerimanya kerana beliau memilih untuk memanfaatkan segala kekuatan yang telahpun dikuasainya untuk membantu. Beliau hanya meminta bantuan dari segi kekuatan untuk merealisasikan solusi terhadap masalah yang dihadapi mereka. 

Pengajaran besar daripada ayat ini adalah pentingnya pemimpin itu mensyukuri nikmat kekuatan dan kekuasaan yang telahpun Allah s.w.t berikan kepadanya di dunia. Kepimpinan dan kekuasaan itu bukanlah ruang menindas pihak yang memerlukan lalu mengerah segala manfaat duniawi yang boleh diperoleh daripada mereka. Misalnya, budaya rasuah sudah mewabah dalam banyak lapisan masyarakat oleh mereka yang menguasai sesuatu jabatan. 

Sebaliknya, jika pemimpin itu sememangnya sedia memiliki kekuatan dan kekuasaan, gunakanlah kekuatan miliknya sebagai tanda syukur kepada Allah s.w.t. Bukan sentiasa mencari jalan mendapatkan rasuah menambahkan harta dunia daripada rakyat yang memerlukan bantuan.  

Pemimpin yang memimpin. 

ءَاتُونِي زُبَرَ ٱلۡحَدِيدِۖ حَتَّىٰٓ إِذَا سَاوَىٰ بَيۡنَ ٱلصَّدَفَيۡنِ قَالَ ٱنفُخُواْۖ حَتَّىٰٓ إِذَا جَعَلَهُۥ نَارٗا قَالَ ءَاتُونِيٓ أُفۡرِغۡ عَلَيۡهِ قِطۡرٗا  ٩٦ فَمَا ٱسۡطَٰعُوٓاْ أَن يَظۡهَرُوهُ وَمَا ٱسۡتَطَٰعُواْ لَهُۥ نَقۡبٗا  ٩٧ 

“Berilah aku potongan-potongan besi". Hingga apabila besi itu telah sama rata dengan kedua (puncak) gunung itu, berkatalah Dzulkarnain: "Tiuplah (api itu)". Hingga apabila besi itu sudah menjadi (merah seperti) api, diapun berkata: "Berilah aku tembaga (yang mendidih) agar aku kutuangkan ke atas besi panas itu". Maka mereka tidak bisa mendakinya dan mereka tidak boleh (pula) melubanginya. 

[Al Kahf:97]

Pemimpin adalah yang mampu memimpin. 

Pemimpin adalah yang bijak dan mahir mengurus potensi pihak bawahannya agar sesuatu misi terlaksana. 

Melalui ayat ini, kita pelajari teladan Dzulkarnain dalam menggembleng tenaga dan kekuatan sesuatu kaum. Pada satu bahagian, Dzulkarnain memiliki kekuatan “industri berat” yang mampu dibawa ke satu kaum yang perlukan bantuan. Pada bahagian kaum tersebut pula, mereka punyai kekuatan dari sudut tenaga kerja dan kepakaran bidang untuk merealisasi sesuatu misi. 

Pengajarannya, sebagai seorang pemimpin, ambil tahu potensi dan kekuatan mereka yang dipimpin. Salurkan kekuatan dan potensi orang yang di bawah pimpinan kita. Moga-moga usaha menyusun dan memposisikan potensi setiap individu menjemput berkah dan rahmat daripada Allah s.w.t. 

Pemimpin yang membesarkan Allah s.w.t. 

قَالَ هَٰذَا رَحۡمَةٞ مِّن رَّبِّيۖ فَإِذَا جَآءَ وَعۡدُ رَبِّي جَعَلَهُۥ دَكَّآءَۖ وَكَانَ وَعۡدُ رَبِّي حَقّٗا  ٩٨ 

Dzulkarnain berkata: "Ini (dinding) adalah rahmat dari Tuhanku, maka apabila sudah datang janji Tuhanku, Dia akan menjadikannya hancur luluh; dan janji Tuhanku itu adalah benar". 

[Al Kahf:98]

Terakhir, kita mengetahui bahawa Dzulkarnain adalah pemimpin yang tidak sombong dan bongkak atas apa yang Allah s.w.t telah kurniakan kepadanya dari segi kekuatan dan kekuasaan. Sebaliknya, beliau menyandarkan semuanya pada Allah s.w.t. Penuh rendah diri, beliau membesarkan Allah s.w.t. 

Rumusan

Begitulah beberapa teladan kepimpinan Dzulkarnain yang diberitakan Allah s.w.t kepada kita. Realiti pegang tampuk kepimpinan bukanlah untuk bersuka-suka dan mengumpul kekayaan. Sebaliknya, tanggungjawab memimpin itu adalah peluang amal soleh untuk berbakti lalu memberatkan timbangan amal di akhirat kelak. Sebagai rakyat, ruang kecil yang dalam kawalan kita adalah membuang undi setiap lima tahun ketika pilihanraya umum. Namun, ada ruang besar untuk kita berperanan melalui pendidikan anak-anak agar mereka tercorak menjadi manusia bertaqwa. Moga-moga usaha besar ibu bapa belajar wahyu dan terus mengajarkan wahyu kepada anak-anak melahirkan pemimpin yang bertaqwa dan amanah.