Bismillah.
Kehidupan adalah anugerah kepada setiap insan yang diciptakan untuk memfungsikan peranan ia diciptakan. Maka, setiap saat adalah bermakna bagi insan yang jelas tujuan diciptakan di muka bumi ini.
Maka, wajar bagi kita menjadikan para rasul yang diutuskan dengan petunjuk sebagai contoh teladan dalam menjalani kehidupan. Mereka menyeru kepada mentauhidkan Allah, mengakui bahawa Allah itu maha esa. Kehidupan mereka dipandukan wahyu dan petunjuk Allah.
Legasi yang kekal adalah apabila ia dipandukan wahyu Ilahi. Apabila setiap insan kembali kepada Al-Qur’an dan menjadikan Al-Qur’an petunjuk di dalam kehidupan. Melaksanakan setiap seruan Allah di dalam Al-Qur’an dan meninggalkan segala larangan Allah. Seterusnya berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran. Surah Al Asr: Ayat 1-3
Demi Masa!
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar
Legasi yang kekal menurut Al-Qur’an apabila menjalani kehidupan yang dipandu keimanan kepada Allah.
Seterusnya, keimanan itu dibuktikan dengan amal soleh iaitu amal kebaikan yang diperintahkan Allah.
Antaranya, setiap sisi insan itu dipenuhi dengan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.
Maka, seluruh kehidupannya adalah di dalam kejayaan dan bukannya kerugian.
Surah Al-Asr mengajar kita bahawa Allah telah bersumpah dengan masa. Seterusnya, keseluruhan kehidupan manusia adalah di dalam kerugian kecuali individu yang kehidupannya menyahut seruan Allah untuk berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.
Itu legasi yang kekal. Setiap kebaikan walaupun sebesar zarah ia mempunyai nilai disisi Allah. Surah Al- Zalazalah: Ayat 7
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat balasan(nya)
Legasi yang kekal adalah apabila saling berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan.
Al-Baqarah: Ayat 148
Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu»
Itu merupakan pemikiran yang perlu ada pada setiap insan yang berjaya menurut Al-Qur’an iaitu sentiasa berlumba-lumba melakukan kebaikan. Kebaikan yang dilakukan jelas kerana Allah dan mengikut petunjuk Al-Qur’an akan mendapat balasan dari Allah di dunia dan akhirat.
Setiap kebaikan yang jelas tujuan itu mempunyai nilai di sisi Allah dan merupakan legasi yang kekal.
Insan yang berjuang di jalan Allah adalah insan yang menyahut seruan untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Surah Al Imran: Ayat 104
Dan hendaklah ada di antara kamu satu kaum yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
Legasi yang kekal adalah melibatkan insan yang proaktif melakukan kebaikan untuk mendapat manfaat yang berkekalan di akhirat.
Kehidupan yang jelas tujuan dan menjadi insan yang berusaha melakukan kerja-kerja dakwah iaitu mengajak manusia kepada keimanan, mentauhidkan Allah dan kembali kepada ajaran Al-Qur’an.
Maka, setiap insan perlu kembali kepada Al-Qur’an, memperuntukkan masa yang secukupnya untuk mempelajari Al-Qur’an, melakukan proses tadabbur Al-Qur’an (perenungan yang mendalam) terhadap Al-Qur’an supaya memahami mesej yang ingin disampaikan oleh Allah.
Proses pembelajaran Al-Qur’an yang berterusan ini mampu membentuk peribadi setiap insan untuk menjalani kehidupan yang dipandu wahyu.
Kehidupan alaf baru yang penuh cabaran dan ujian ini dengan segala bentuk tawaran yang menggugah hawa nafsu dan jiwa, hanya boleh diuruskan dengan baik oleh individu yang mempunyai Al-Qur’an di dalam jiwanya.
Kita tidak akan mampu bertahan dengan keimanan jika petunjuk-petunjuk Al-Qur’an ini tidak menjadi seperti oksigen di dalam kehidupan kita.
Sebagaimana kita begitu perlukan oksigen untuk bernafas, begitu juga kita perlukan panduan Al-Qur’an untuk menjalani kehidupan di jalan yang lurus. Kehidupan yang menjanjikan kesenangan abadi di akhirat. Kehidupan yang penuh dengan matlamat dan kejelasan.
Maka, penulis menyeru kepada diri dan semua pembaca untuk kita meletakkan Al-Qur’an di posisi yang betul dan menunaikan hak-hak Al-Qur’an untuk diyakini kebenaranNya, tilawah, tadabbur (perenungan sehingga kehujung) tazakur (mengambil peringatan) dan tafakur (perenungan dan proses berfikir), aplikasi di dalam kehidupan serta untuk dikongsikan mesej-mesej Al-Qur’an kepada semua.
InshaAllah, jika kembali kepada Al-Qur’an dengan sebenar-benarnya, kita berada di landasan yang lurus untuk membina legasi yang kekal.