Seorang ibu sedih dan hiba saat menghanyutkan bayi kecil agar selamat daripada dibunuh Firaun. Dengan satu perintah daripada ibu, si kakak penuh cerdas memerhatikan si adik yang dibawa arus sungai.

وَقَالَتۡ لِأُخۡتِهِۦ قُصِّيهِۖ فَبَصُرَتۡ بِهِۦ عَن جُنُبٖ وَهُمۡ لَا يَشۡعُرُونَ  ١١ 

Dan berkatalah ibu Musa kepada saudara Musa yang perempuan: "Ikutilah dia" (Maka pergilah dia) lalu dilihatnya dari jauh sedang orang ramai tidak menyedarinya. [Al Qasas:11]

Tatkala tiba di kawasan istana Firaun, si kakak cari peluang agar adiknya boleh kembali ke pangkuan ibu. 

۞وَحَرَّمۡنَا عَلَيۡهِ ٱلۡمَرَاضِعَ مِن قَبۡلُ فَقَالَتۡ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰٓ أَهۡلِ بَيۡتٖ يَكۡفُلُونَهُۥ لَكُمۡ وَهُمۡ لَهُۥ نَٰصِحُونَ  ١٢ 

dan Kami cegah Musa dari menyusu kepada perempuan-perempuan yang mahu menyusui(nya) sebelum itu; maka berkatalah saudara Musa: "Mahukah kamu aku tunjukkan kepadamu ahlul bait yang akan memeliharanya untukmu dan mereka dapat berlaku baik kepadanya?" [Al Qasas:12]

Dengan kecerdasan akal, kakak Musa a.s menuturkan bicara terbaik untuk memujuk agar bayi kecil itu dipulangkan pada ibunya tanpa mendedahkan hal sebenar. Melalui kekuasaan Allah s.w.t, bayi Musa a.s akhirnya dikembalikan kepada ibunya dalam keadaan selamat, dijamin tidak akan dibunuh. 

فَرَدَدۡنَٰهُ إِلَىٰٓ أُمِّهِۦ كَيۡ تَقَرَّ عَيۡنُهَا وَلَا تَحۡزَنَ وَلِتَعۡلَمَ أَنَّ وَعۡدَ ٱللَّهِ حَقّٞ وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ  ١٣ 

Maka kami kembalikan Musa kepada ibunya, supaya senang hatinya dan tidak berduka cita dan supaya dia mengetahui bahwa janji Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. [Al Qasas:13]

Ada satu  pelajaran besar yang kita boleh garap melalui ayat-ayat ini. Andai ditanya soalan “Mengapakah Allah s.w.t mengembalikan bayi Musa a.s. kepada ibunya semula?”, apakah antara jawapan yang akan diberikan? 

Supaya Nabi Musa a.s. dapat diasuh ibunya?

Supaya Nabi Musa a.s boleh dibesarkan dalam kalangan Bani Israil? 

Dan macam-macam jawapan boleh diandaikan. 

Allah s.w.t memberitahu kita bahawa antara tujuan utama bayi Musa a.s dikembalikan ke pangkuan ibunya adalah supaya ibunya tidak bersedih hati. Bukan sekali, bahkan Allah s.w.t dua kali menyebutkan hal ini dalam Al-Qur’an. 

إِذۡ تَمۡشِيٓ أُخۡتُكَ فَتَقُولُ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ مَن يَكۡفُلُهُۥۖ فَرَجَعۡنَٰكَ إِلَىٰٓ أُمِّكَ كَيۡ تَقَرَّ عَيۡنُهَا وَلَا تَحۡزَنَۚ 

(iaitu) ketika saudaramu yang perempuan berjalan, lalu dia berkata kepada (keluarga Fir'aun): "Bolehkah saya menunjukkan kepadamu orang yang akan memeliharanya?" Maka Kami mengembalikanmu kepada ibumu, agar senang hatinya dan tidak berduka cita. [Ta Ha:40]

Indah sejarah dirakam Al-Qur’an ini. Bukan sahaja tentang kisah cinta antara ibu dan anak. Tetapi juga tentang kasih sayang Robb terhadap hambaNya. 

Duhai para ibu, emosi kalian dipedulikan Allah s.w.t. 

Duhai para ibu, emosi kalian diberi perhatian oleh Allah s.w.t. 

Melalui sejarah ini, kita mengenali bahawa Allah s.w.t mementingkan emosi para ibu. Dia tidak mahu ibu-ibu berdukacita. Dan salah satu cara tidak membuatkan para ibu berdukacita adalah tidak memisahkannya daripada anak kecil yang dalam tempoh penyusuan.

Penghargaan buat suami qawwam yang mahu isterinya galas tanggungjawab ibu.

Setelah mendirikan rumahtangga dan belum lagi dikurniakan anak, ramai para isteri memilih berkerja dengan tujuan berkhidmat sebagai amal. Di dalam Al-Qur’an, istilah sama digunakan buat wanita bujang yang berkerjaya dan isteri yang tiada anak iaitu imra’at. Merekalah wanita yang jika keluar bekerja pandai menjaga maruah. 

Ada kisah wanita bujang dari Madyan yang berkerja membantu keluarga. Mereka diistilahkan sebagai اِمْرَأَة  (rujuk surah Al-Qosas ayat 23). Isteri yang tidak mempunyai anak seperti isteri Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Zakaria juga menggunakan istilah اِمْرَأَة (rujuk surah Ali-Imran ayat 40). 

Tatkala isteri mengandung dan melahirkan anak, satu istilah Al-Qur’an digunakan untuk menggambarkan perubahan status iaitu   أُمِّ (ibu).  Sebagai isteri yang pernah bekerja sebelum ini, bila tiba saatnya terpaksa melepaskan bayi kecil kepada pengasuh kerana mahu bekerja, perasaan itu amat berat. Moga Allah s.w.t rahmati para suami yang memilih menampung keseluruhan belanjawan keluarga tatkala hadir cahaya mata pertama kerana tidak mahu si ibu sedih berpisah daripada anak untuk tuntutan kerjaya. Disebabkan kenal Allah s.w.t yang tidak mahu ibu Musa a.s. bersedih akibat terpisah daripada menyusukan dan mengasuh anaknya, para suami boleh meneladani untuk turut tidak memisahkan anak kecil daripada ibu dengan mengizinkan isterinya berhenti bekerja luar rumah. 

Perubahan status daripada isteri tiada anak yang bekerja kepada status ibu yang berhenti kerja kerana mahu membesarkan dan mendidik anak adalah pilihan yang besar dalam hidup. Walau apapun pilihan setiap ibu, moga-moga pilihan dibuat atas petunjukNya serta dikurniakan jalan terbaik melaluinya. 

Hasil anak yang baik daripada usaha ibu bapa yang mendidik ketika kecil.

Panduan wahyu mengajar kita bahawa peranan hidup seorang ibu tidak sekadar terbatas pada melahirkan semata-mata. Tetapi termasuklah menyusukan dan “menumbuhkan” anak sehingga menjadi anak yang baik. 

Dalam surah Al-Isra’ dan surah Al-Ahqaf, Allah s.w.t menampilkan teladan anak soleh yang mensyukuri jasa kedua ibu bapanya sehingga mahu berbuat ihsan. Bagaimana boleh terbentuk peribadi anak soleh ini? Kuncinya ada pada doa yang diungkapkan mereka iaitu kerja keras orang tuanya yang menyusukan dan mendidik. 

وَوَصَّيۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ بِوَٰلِدَيۡهِ إِحۡسَٰنًاۖ حَمَلَتۡهُ أُمُّهُۥ كُرۡهٗا وَوَضَعَتۡهُ كُرۡهٗاۖ وَحَمۡلُهُۥ وَفِصَٰلُهُۥ ثَلَٰثُونَ شَهۡرًاۚ حَتَّىٰٓ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُۥ وَبَلَغَ أَرۡبَعِينَ سَنَةٗ قَالَ رَبِّ أَوۡزِعۡنِيٓ أَنۡ أَشۡكُرَ نِعۡمَتَكَ ٱلَّتِيٓ أَنۡعَمۡتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَٰلِدَيَّ وَأَنۡ أَعۡمَلَ صَٰلِحٗا تَرۡضَىٰهُ وَأَصۡلِحۡ لِي فِي ذُرِّيَّتِيٓۖ إِنِّي تُبۡتُ إِلَيۡكَ وَإِنِّي مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ  ١٥ 

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)". [Al-Ahqaf : 15]

Jika penyusuan dilihat khusus pada tujuan zat nutrisi, pasti ramai menyatakan susu ibu yang dibotolkan dapat mengganti kaedah penyusuan secara langsung dari buah dada ibu. Justeru ibu masih boleh bekerja luar rumah dan meminta pengasuh memberikan susu ibu melalui botol. Namun, buat para ayah yang melihat penyusuan ibu bukan sekadar tujuan zat nutrisi tetapi juga proses awal mendidik anak agar anaknya membesar jadi manusia bersyukur (rujuk ayat ke-15 surah Al-Ahqaf), mungkin mahu isterinya duduk di rumah untuk melaksanakan tanggungjawab menyusukan dan mendidik. 

Proses penyusuan selama dua tahun perkukuhkan ikatan antara si ibu dan anak membuatkan si anak lebih mudah belajar dan dengar kata ibu kemudiannya. Makanan halal dan baik yang dimakan ibu sehingga jadi susu moga-moga membentengi anak daripada godaan syaitan. 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ كُلُواْ مِمَّا فِي ٱلۡأَرۡضِ حَلَٰلٗا طَيِّبٗا وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٌ  ١٦٨ إِنَّمَا يَأۡمُرُكُم بِٱلسُّوٓءِ وَٱلۡفَحۡشَآءِ وَأَن تَقُولُواْ عَلَى ٱللَّهِ مَا لَا تَعۡلَمُونَ  ١٦٩ 

Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; karena sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu. Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui. [Al Baqarah:168-169]

Bermula dengan kesungguhan ibu menjaga apa yang dimakan daripada sumber halal dan baik hingga boleh menyalurkan susu yang baik, moga-moga teladan ibu Maryam a.s yang mahu zuriatnya terselamat daripada godaan syaitan, dapat diikuti. 

فَلَمَّا وَضَعَتۡهَا قَالَتۡ رَبِّ إِنِّي وَضَعۡتُهَآ أُنثَىٰ وَٱللَّهُ أَعۡلَمُ بِمَا وَضَعَتۡ وَلَيۡسَ ٱلذَّكَرُ كَٱلۡأُنثَىٰۖ وَإِنِّي سَمَّيۡتُهَا مَرۡيَمَ وَإِنِّيٓ أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ ٱلرَّجِيمِ  ٣٦ 

Maka tatkala isteri 'Imran melahirkan anaknya, diapun berkata: "Ya Tuhanku, sesunguhnya aku melahirkannya seorang anak perempuan; dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak laki-laki tidaklah seperti anak perempuan. Sesungguhnya aku telah menamai dia Maryam dan aku mohon perlindungan untuknya serta anak-anak keturunannya kepada (pemeliharaan) Engkau daripada syaitan yang terkutuk". [Al 'Imran:36]

Anak-anak yang soleh dan mahu berbuat baik kepada ibu bapa terbentuk daripada didikan ibu bapa. Buktinya dapat kita lihat pada doa si anak dalam surah Al-Isra’

وَٱخۡفِضۡ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحۡمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرۡحَمۡهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرٗا  ٢٤ 

Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil". [Al Isra":24]

Kalimah رَبَّيَانِي adalah dari kata akar ربو . Ini membawa makna “tarbiyyah” atau mendidik. Mendidik anak umpama menumbuhkan tanam-tanaman. Sebagaimana Allah menyifatkan proses Maryam a.s yang dibesarkan dengan kata “tumbuh” (نبت )

فَتَقَبَّلَهَا رَبُّهَا بِقَبُولٍ حَسَنٖ وَأَنۢبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنٗا وَكَفَّلَهَا زَكَرِيَّاۖ 

Maka Tuhannya menerimanya (sebagai nazar) dengan penerimaan yang baik, dan mendidiknya dengan pendidikan yang baik dan Allah menjadikan Zakariya pemeliharanya.

 [Al 'Imran:37]

Secara umumnya, kita mengetahui bahawa proses menanam benih agar tumbuh menjadi pokok perlukan penjagaan yang benar. Bermula dengan pemilihan benih yang dikehendaki, tanah yang subur selanjutnya dibekalkan dengan air dan cahaya matahari secukupnya. Jika tidak dijaga, pohon akan layu dan mati. 

Seorang anak juga perlu “ditumbuhkan” melalui teladan ibu bapa dan penerapan wahyu. Ibu yang menunjukkan teladan Al-Qur’an membantu anak belajar membentuk peribadi. Justeru, ibu yang berada di rumah dan dekat dengan anak bermula proses penyusuan mempunyai lebih banyak peluang menanam benih-benih keimanan dalam jiwa anak-anak. 

Misalnya, ketika terlihat si anak menampakkan sikap-sikap buruk seperti mengambil hak orang lain atau enggan berkongsi, si ibu boleh merancang untuk menceritakan kepada anak kisah-kisah teladan wahyu di samping menunjukkan teladan ibu yang muhsin kepada anak. 

Ketika terlihat si anak enggan bersabar dan tidak mahu membantu, si ibu boleh merancang ayat Al-Qur’an mana yang boleh diceritakan kepada anak di samping membanyakkan teladan bersabar dan membantu orang lain. 

Keberadaan ibu di rumah adalah peluang besar mendidik dan membesarkan anak lelaki dan perempuan agar tumbuh menjadi manusia berakhlak mulia. Jika orang tua tidak ambil peranan memerhatikan tabiat anak kecil untuk dibentuk, realitinya tiada manusia lain yang boleh diharap untuk sanggup “menumbuhkan” si anak. 

Mendidik anak untuk amal yang berpanjangan

  Anak perempuan dan anak lelaki yang terbentuk daripada usaha pendidikan wahyu inilah yang mencorakkan kesejahteraan sesebuah negara. Anak lelaki yang dididik dengan kasih sayang ibu dan ayah akan membesar jadi lelaki penyayang yang melindungi para wanita dan anak kecil. Anak perempuan yang dididik ibu dan ayah juga akan membesar jadi wanita penyayang yang mahu menjaga keluarga dan selanjutnya peduli mendidik anak-anaknya.

Jika sebaliknya berlaku, anak-anak sekadar dididik dengan sistem pendidikan kebangsaan yang realitinya untuk menumbuhkan pekerja-pekerja industri, khuatir sistem kekeluargaan akan runtuh. Ini kerana calon suami dan isteri bagi sesebuah rumahtangga amat berkemahiran dalam bidang profesyen tetapi amat lemah dari sudut nilai-nilai murni dan kemahiran keibubapaan. Anak-anak yang tidak dididik orang tua, berisiko tidak tumbuh dengan nilai-nilai kemanusiaan lalu sulit memainkan peranan dalam sistem keluarga sebagai suami atau isteri dan ibu atau bapa. 

Justeru, dalam kesibukan meraih mata pencarian hidup, moga-moga dikurniakan ruang merancang peluang amal soleh berkekalan. Jika anak soleh terbentuk daripada usaha-usaha ibu bapa, moga-moga amal itu berterusan kebaikannya kerana si anak mendidik pula pada generasi berikutnya.  

ٱلۡمَالُ وَٱلۡبَنُونَ زِينَةُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَٱلۡبَٰقِيَٰتُ ٱلصَّٰلِحَٰتُ خَيۡرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابٗا وَخَيۡرٌ أَمَلٗا  ٤٦ 

Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan. [Al Kahf:46]