Pepatah melayu ada menyebutkan kerana mulut, badan binasa, maksudnya kerana kata-kata yang tidak baik dilontarkan, akhirnya memberi kesan yang tidak baik kepada pengucapnya. Bahayanya lisan ini sehingga ianya boleh mendatangkan kemudaratan kepada pengucapnya, namun begitu lidah ini juga boleh memberi kebaikan kepada pengucapnya dan mendatangkan pahala sekiranya ianya digunakan untuk menyampaikan kebenaran dan mencegah kepada keburukan. Namun begitu, manusia kini melakukan sebaliknya, dengan anugerah lidah yang dikurniakan oleh Allah SWT sebahagiannya salah menggunakannya. Sehingga lidah yang digunakan untuk bercakap itu itu menjadi bahan bakar kepada api kemarahan orang lain yang mendengarkannya dan akhirnya menghancurkan binaan hubungan kekeluargaan, persahabatan dan lain-lain. Begitulah juga dengan bahayanya al-Tahrisy’ yang boleh menghancurkan dan meruntuhkan silaturahim, malahan kesannya juga boleh membawa kepada respon yang tidak baik. Apa itu al-Tahrisy’? Bagaimana ianya boleh mendatangkan bahaya? Siapakah yang mendorong manusia kepada sikap ini? Dan bagaimana kita boleh menghindarinya? Semuanya kita akan bincangkan bersama-sama di dalam penulisan minggu ini Insha-Allah.

Pesan Baginda SAW Terhadap Sikap al-Tahrisy’ 

Baiklah mari kita mulakan dengan melihat apa itu sebenarnya al-Tahrisy’, berdasarkan sebuah hadith Nabi Muhammad SAW bersabda:

إِنَّ الشَّيْطَانَ قد أَيِسَ أَنْ يَعْبُدَهُ الْمُصَلُّونَ في جَزِيرَةِ الْعَرَبِ، وَلَكِنْ في التَّحْرِيشِ بَيْنَهُمْ

“Sesungguhnya syaitan telah berputus asa untuk membuat orang yang solat menyembahnya di Tanah Arab, namun syaitan masih tidak berputus asa untuk melakukan provokasi di antara mereka.

(Hadith Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadith di atas disebutkan di dalam sabda Baginda SAW kalimah al-Tharisy’ yang membawa maksud provokasi. Menurut kamus dewan provokasi boleh difahami sebagai membangkitkan kemarahan atau minat. Dari sisi lain provokasi mungkin boleh menarik minat seseorang untuk turut bersama di dalam perbincangan atau pekerjaan yang dilakukan ke arah kebaikan dan ini adalah sisi yang positif. Namun begitu, sisi yang negatif adalah apabila provokasi itu boleh menimbulkan kemarahan, mencetuskan perbalahan, mendorong fitnah, sangka buruk, dan akhirnya menghancurkan sebuah perhubungan. Contohnya, pasangan suami dan isteri yang sedang bergaduh, kadang-kadang si isteri memprovokasi suaminya dengan kata-kata seperti minta diceraikan dan sebagainya, dalam keadaan marah, akhirnya kata-kata itu boleh mendatangkan keburukan sehingga berlakunya penceraian yang dilafazkan kerana sakit hati apabila mendapat provokasi seperti itu. Ini menunjukkan bahawa provokasi ini adalah satu ujian yang boleh menguji limitasi kesabaran seseorang. Selain itu, kadangkala kerana provokasi juga dua orang adik beradik yang selama ini berkasih sayang, kerana marahnya dan syaitan menguasai hatinya akhirnya merosakkan ikatan tersebut. Malahan provokasi juga boleh menimbulkan perbalahan dan juga persengketaan di antara dua pihak atau lebih. Sebagai contoh, di musim PRU15 yang bakal kunjung tiba, pasti ada di antara penyokong kuat mana-mana parti politik yang melakukan provokasi terhadap parti politik lain atau mungkin penyokong parti yang berbeza dengan mereka. Lebih dahsyat lagi, provokasi yang dilakukan kadangkala membawa kepada kerosakan fizikal. Maka ini menunjukkan bahawa provokasi tidak mendatangkan kebaikan sama sekali, malahan boleh merosakkan hubungan kekeluargaan atau persaudaraan yang terbina atas dasar kasih sayang sesama muslim. Maka jauhilah dan ambillah sisi positif di dalam berkempen dan janganlah sampai mencetuskan provokasi yang akhirnya hanyalah mengundang padah.

Agar Kita Dilindungi Daripada Hasutan Syaitan

Hadith di atas juga menunjukkan kepada kita bahawa sifat al-Tahrisy’ ini datang daripada hasutan dan godaan syaitan yang ingin melihat orang-orang yang beriman itu saling bertelagah di antara satu sama lain dan akhirnya merosakkan hubungan di antara mereka. Seperti mana, kerana provokasi hancur musnahlah hubungan di antara suami isteri yang akhirnya membawa kepada penceraian. Seperti mana yang disebutkan dalam sebuah hadith bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

Iblis meletakkan istananya di atas air kemudian mengutus pasukannya. Singgahsana paling rendah di air dihuni oleh (syaitan) yang paling besar kejahatannya. Iblis mendatangi satu persatu anggotanya, ada yang menjawab: ‘Saya telah melakukan ini dan itu’. Maka (Iblis) berkata: ‘Kamu belum berbuat apa-apa’. Kemudian ia (Iblis) mendatangi (syaitan) yang lain dan (syaitan) berkata: ‘Saya tidak meninggalkan dia, sampai saya boleh memisahkan dia dengan isterinya’. Maka ia (Iblis) tersebut menjadikan anggotanya yang telah berhasil memisahkan suami isteri itu dekat dengannya dan berkata: ‘Anak buah terbaik adalah kamu’.”

(Hadith Riwayat Muslim)

Hadith ini menjadi petunjuk kepada kita bahawa syaitan ‘bekerja keras’ dalam usahanya menghancurkan hubungan-hubungan yang terbina. Mungkin sukar bagi dia untuk merosakkan keimanan orang-orang beriman yang menggengam erat keimanan mereka kepada Allah SWT, tetapi melalui jalan lain mereka berusaha merosakkan keharmonian hubungan di antara orang-orang yang beriman. Bahkan apabila seorang diprovokasi oleh orang lain, itu mudah bagi syaitan untuk masuk ke dalam jiwa-jiwa mereka yang sedang membara api kemarahanya. Oleh sebab itulah, kadang-kadang terjadinya penceraian ketika sedang marah, perbahalahan, pergaduhan, dan lebih parah lagi pembunuhan yang terjadi kerana rasa marah yang mula menguasai diri sehingga menghilangkan kewarasan akal yang dirajai oleh emosi. Maka amalkan istighfar serta mintalah perlindungan dengn ta’awwuz agar kita tidak mudah terjatuh ke dalam hasutan syaitan. Seperti mana yang diajarkan di dalam firman Allah SWT:

وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّيْطَـٰنِ نَزْغٌ فَٱسْتَعِذْ بِٱللَّهِ ۚ إِنَّهُۥ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah Al-A’raaf:200)

Cintakan Pendamaian, Hindari Provokasi

Dalam sebuah hadith Nabi Muhammad SAW bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا

Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.

(Hadith Riwayat Bukhari)

Hadith ini mengajarkan kepada kita untuk saling menjaga hubungan persaudaraan itu, setelah ianya dibina, menjaganya mudah andai dijauhi segala sifat-sifat buruk ini. Janganlah ada sifat prasangka di antara satu sama lain, jangan pula saling mendiamkan di atas keburukan yang dilakukan, semampunya nasihatilah dan bawalah mereka kembali kepada jalan kebaikan. Jangan juga suka mencari-cari isu yang boleh mendorong kepada perbalahan, dan ini termasuklah mengaibkan dan juga sikap provokasi yang pada asalnya isu tersebut boleh dibincangkan dengan cara yang damai dan aman. Selain itu, jauhilah sifat dengki di antara satu sama lain dan saling membelakangi dan membenci. Bahkan, Islam tidak melarang untuk berbincang, berdebat, dan berbeza pandangan, tetapi perbezaan ini harus diraikan dengan cara yang harmoni dan bukannya provokasi. Seandainya perbezaan itu salah, maka manusia akan dijadikan dengan sifat yang sama, tetapi Allah SWT menjadikan kita dengan sifat dan sikap yang bebeza dan sebab itulah ianya datang dengan cara berfikir yang tidak sama, Oleh itu, janganlah perbezaan itu dijadikan sebagai laluan untuk kita mencetuskan provokasi untuk pihak lain mengikuti pemikiran kita, tetapi raikanlah perbezaan itu dengan cara yang terbaik demi menjaga keamanan sejagat dan masyarakat.

Justeru, jangan biarkan sikap provokasi ini sebagai salah satu cara untuk memperolehi kemenangan, tetapi harungilah ia dengan jalan kedamaian tanpa sebarang persengketaan. Seandainya diri ini menerima provokasi, latihlah diri untuk bersabar dan mengambil jalan selamat dengan menghindarkan diri, kerana itu lebih baik demi menjaga kemaslahatan yang lebih besar, iaitu hubungan silaturahim. Benar…mungkin akan timbul rasa marah apabila kita mendengar provokasi tersebut, bagaikan terbakar dek kerana sakitnya rasa dihati, tetapi mintalah perlindungan daripada Allah SWT agar kita tidak membuat kesilapan yang akan mengundang kepada penyesalan di penghujungnya kelak. Jagalah lidah, hindarilah al-Tahrisy’ (provokasi) dan jagalah hati agar kewarasan akal tidak dikuasai oleh emosi. Wallahu a’lam