“Takpe buat dosa ni, nanti masuk neraka sekejap, lepas tu masuk syurga.” 

Pernah terdengar cara fikir sebegini? Dosa dianggap perkara remeh kerana penuh percaya Allah s.w.t akan mengampunkan. Lalu menjadi hamba ingkar dianggap satu fenomena biasa. 

Apa pendapat kalian? 

Mungkin ada yang merasakan “Betul dah tu. Memang orang Islam ni istimewa. Buatlah apa-apa dosa, selagi pernah bersyahadah, akan masuk syurga.” 

Kesannya, teruskan kehidupan bergelumang dosa dan pengingkaran kerana mahu menikmati kesenangan dunia. Pada masa yang sama, tetap mahu kehidupan akhirat, tetap mengangan-angankan syurga yang indah.

Mahukan syurga tetapi berat untuk mentaatiNya. 

Rupa-rupanya, berkali-kali Allah s.w.t menafikan corak fikir begini. 

وَقَالُواْ لَن تَمَسَّنَا ٱلنَّارُ إِلَّآ أَيَّامٗا مَّعۡدُودَةٗۚ قُلۡ أَتَّخَذۡتُمۡ عِندَ ٱللَّهِ عَهۡدٗا فَلَن يُخۡلِفَ ٱللَّهُ عَهۡدَهُۥٓۖ أَمۡ تَقُولُونَ عَلَى ٱللَّهِ مَا لَا تَعۡلَمُونَ  ٨٠ بَلَىٰۚ مَن كَسَبَ سَيِّئَةٗ وَأَحَٰطَتۡ بِهِۦ خَطِيٓ‍َٔتُهُۥ فَأُوْلَٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ  ٨١

Dan mereka berkata: "Kami sekali-kali tidak akan disentuh oleh api neraka, kecuali selama beberapa hari saja". Katakanlah: "Sudahkah kamu menerima janji dari Allah sehingga Allah tidak akan memungkiri janji-Nya, ataukah kamu hanya mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?"

(Bukan demikian), yang benar: barangsiapa berbuat dosa dan ia telah diliputi oleh dosanya, mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.

(Surah Al-Baqarah, 2 : 80-81)

أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ أُوتُواْ نَصِيبٗا مِّنَ ٱلۡكِتَٰبِ يُدۡعَوۡنَ إِلَىٰ كِتَٰبِ ٱللَّهِ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَهُمۡ ثُمَّ يَتَوَلَّىٰ فَرِيقٞ مِّنۡهُمۡ وَهُم مُّعۡرِضُونَ  ٢٣ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَالُواْ لَن تَمَسَّنَا ٱلنَّارُ إِلَّآ أَيَّامٗا مَّعۡدُودَٰتٖۖ وَغَرَّهُمۡ فِي دِينِهِم مَّا كَانُواْ يَفۡتَرُونَ  ٢٤

Tidakkah kamu memperhatikan orang-orang yang telah diberi bahagian yaitu Al Kitab (Taurat), mereka diseru kepada kitab Allah supaya kitab itu menetapkan hukum diantara mereka; kemudian sebahagian dari mereka berpaling, dan mereka selalu membelakangi (kebenaran).

Hal itu adalah karena mereka mengaku: "Kami tidak akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang dapat dihitung". Mereka diperdayakan dalam agama mereka oleh apa yang selalu mereka ada-adakan.

(Surah Ali-‘Imran, 3 : 23-24)

Sistem kepercayaan “Tak mengapa  berbuat dosa, kerana nanti masuk syurga.” amat membahayakan manusia. 

Mengapa? 

Kerana boleh mengakibatkan manusia melengah-lengahkan taubatnya. 

Taubat yang tidak diterima. 

Kenal Fir’aun? 

Kisah taubatnya yang tidak diterima pada detik-detik akhir kehidupan mengajar kita sesuatu. 

۞وَجَٰوَزۡنَا بِبَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ ٱلۡبَحۡرَ فَأَتۡبَعَهُمۡ فِرۡعَوۡنُ وَجُنُودُهُۥ بَغۡيٗا وَعَدۡوًاۖ حَتَّىٰٓ إِذَآ أَدۡرَكَهُ ٱلۡغَرَقُ قَالَ ءَامَنتُ أَنَّهُۥ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا ٱلَّذِيٓ ءَامَنَتۡ بِهِۦ بَنُوٓاْ إِسۡرَٰٓءِيلَ وَأَنَا۠ مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ  ٩٠ ءَآلۡـَٰٔنَ وَقَدۡ عَصَيۡتَ قَبۡلُ وَكُنتَ مِنَ ٱلۡمُفۡسِدِينَ  ٩١

Dan Kami memungkinkan Bani Israil melintasi laut, lalu mereka diikuti oleh Fir'aun dan bala tentaranya, kerana hendak menganiaya dan menindas (mereka); hingga bila Fir'aun itu telah hampir tenggelam berkatalah dia: "Saya percaya bahwa tidak ada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan saya termasuk orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)".

Apakah sekarang (baru kamu percaya), padahal sesungguhnya kamu telah durhaka sejak dahulu, dan kamu termasuk orang-orang yang berbuat kerusakan.

(Surah Yunus, 10 : 90-91)

Sejarah taubat Fir’aun yang tidak diterima mengajar kita bahawa ada syarat-syarat agar taubat kita diterima. Jika syarat-syarat ini tidak penuhi, khuatir jadi ahli neraka sebagai manusia yang tidak dibersihkan dan diampunkan Allah s.w.t. 

وَلَيۡسَتِ ٱلتَّوۡبَةُ لِلَّذِينَ يَعۡمَلُونَ ٱلسَّيِّ‍َٔاتِ حَتَّىٰٓ إِذَا حَضَرَ أَحَدَهُمُ ٱلۡمَوۡتُ قَالَ إِنِّي تُبۡتُ ٱلۡـَٰٔنَ وَلَا ٱلَّذِينَ يَمُوتُونَ وَهُمۡ كُفَّارٌۚ أُوْلَٰٓئِكَ أَعۡتَدۡنَا لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمٗا  

Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) ia mengatakan: "Sesungguhnya saya bertaubat sekarang". Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedang mereka di dalam kekafiran. Bagi orang-orang itu telah Kami sediakan siksa yang pedih.

(Surah An-Nisa’, 4 : 18)

Secara ringkasnya, dua sebab mengakibatkan taubat tidak diterima iaitu : 

  1. Bertaubat di saat-saat kematian.
  2. Tidak bertaubat langsung sehingga ajal tiba, mati dalam keadaan mengingkari Allah s.w.t. 

Agar taubat diterima. 

Apa pentingnya taubat diterima? 

Sudahkah sampai kepada kita perihal akhirat bahawa semua manusia pasti akan mendatangi neraka? Kemudian, hanya hamba-hamba yang bertaqwa sahajalah yang akan diselamatkan dari syurga. 

وَإِن مِّنكُمۡ إِلَّا وَارِدُهَاۚ كَانَ عَلَىٰ رَبِّكَ حَتۡمٗا مَّقۡضِيّٗا  ٧١ ثُمَّ نُنَجِّي ٱلَّذِينَ ٱتَّقَواْ وَّنَذَرُ ٱلظَّٰلِمِينَ فِيهَا جِثِيّٗا  ٧٢

Dan tidak ada seorangpun dari padamu, melainkan mendatangi neraka itu. Hal itu bagi Tuhanmu adalah suatu kemestian yang sudah ditetapkan.

Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertakwa dan membiarkan orang-orang yang zalim di dalam neraka dalam keadaan berlutut.

(Surah Maryam, 19 : 71-72)

Peribadi golongan bertaqwa adalah sentiasa berhati-hati terhadap pilihan tindakan agar tidak mengundang murka Allah s.w.t. Sikap mereka bukanlah seperti golongan yang meremeh-remehkan soal dosa lalu menangguh-nangguhkan taubat. Sebaliknya, golongan bertaqwa adalah golongan yang tatkala menzalimi diri dengan dosa atau terjerumus perbuatan keji, segera ingat Allah s.w.t. 

وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَٰحِشَةً أَوۡ ظَلَمُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ ذَكَرُواْ ٱللَّهَ فَٱسۡتَغۡفَرُواْ لِذُنُوبِهِمۡ وَمَن يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمۡ يُصِرُّواْ عَلَىٰ مَا فَعَلُواْ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ  ١٣٥ أُوْلَٰٓئِكَ جَزَآؤُهُم مَّغۡفِرَةٞ مِّن رَّبِّهِمۡ وَجَنَّٰتٞ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَاۚ وَنِعۡمَ أَجۡرُ ٱلۡعَٰمِلِينَ  ١٣٦

Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.

Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Tuhan mereka dan surga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal.

(Surah Ali-Imran, 3 : 135-136)

Di akhirat, berada di jurang neraka memang fenomena yang amat ditakuti. Saat itu berlaku, setiap jiwa penuh mengharap rahmat Allah s.w.t agar diampunkan dan diselamatkan daripada azab. Jika benar mahu diampunkan Allah s.w.t, selagi masih diberi nafas sebagai penghuni bumi, sentiasa bersegeralah memohon taubat tatkala berbuat dosa. Moga-moga Allah s.w.t. Yang Maha Pengampun akan menerima taubat.