Bismillah.

Sahabat, di dalam hidup ini kita amat memerlukan petunjuk Al-Qur’an di dalam menjalani kehidupan.

Mengapa? Setiap hari kita perlu membuat pilihan-pilihan di dalam kehidupan.

Bermula dari bangun tidur sehingga kita tidur semula di malam hari.

Jadi pilihan kita berdasarkan apa? Ayuh, kita sama-sama merenung diri. Samada kita membuat pilihan berdasarkan petunjuk Al-Qur’an atau menuruti  kehendak hawa nafsu.


Ma shaa Allah, Allah atas kasih sayangnya kepada kita menurunkan Al-Qur’an sebagai petunjuk untuk kita. Allah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah : Ayat 2.
ذَٲلِكَ ٱلۡڪِتَـٰبُ لَا رَيۡبَ‌ۛ فِيهِ‌ۛ هُدً۬ى لِّلۡمُتَّقِينَ (٢)

2.  Kitab Al-Qur’an ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;


Ma shaa Allah, Allah anugerahkan Al-Qur’an sebagai petunjuk untuk kita menjalani kehidupan.

Persoalannya, apakah yang dimaksudkan petunjuk?

Ar Raghib Al Asfahani, di dalam kitab kamus Al-Qur’an memberi definisi petunjuk1 — adalah petunjuk yang diberikan sebagai kelembutan.

Asfahani membahagikan hidayah kepada empat perkara2;

Hidayah yang diberikan secara merata kepada setiap mukallaf iaitu berupa akal, kecerdasan dan pengetahuan-pengetahuan pasti yang bersifat global terhadap segala sesuatu sesuai dengan kadar potensi.


Allah berfirman di dalam Surah Thaha : Ayat 50.

قَالَ رَبُّنَا ٱلَّذِىٓ أَعۡطَىٰ كُلَّ شَىۡءٍ خَلۡقَهُ ۥ ثُمَّ هَدَىٰ (٥٠)

50.  Nabi Musa a.s menjawab: "Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semula jadinya yang sesuai dengannya, kemudian Ia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya".

2) Hidayah yang diberikan kepada umat melalui Al-Qur’an disampaikan para Nabi. Allah berfirman di dalam Surah Al Anbiya : Ayat 73.

وَجَعَلۡنَـٰهُمۡ أَٮِٕمَّةً۬ يَہۡدُونَ بِأَمۡرِنَا وَأَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡهِمۡ فِعۡلَ ٱلۡخَيۡرَٲتِ وَإِقَامَ ٱلصَّلَوٰةِ وَإِيتَآءَ ٱلزَّڪَوٰةِ‌ۖ وَكَانُواْ لَنَا عَـٰبِدِينَ (٧٣)

73.  Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin (manusia ke jalan yang benar) dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan, dan mendirikan sembahyang, serta memberi zakat; dan mereka pula sentiasa beribadat kepada Kami.

3) Taufik yang khusus diberikan kepada orang yang mahu petunjuk. Allah berfirman di dalam Surah Muhammad: Ayat 17.

وَٱلَّذِينَ ٱهۡتَدَوۡاْ زَادَهُمۡ هُدً۬ى وَءَاتَٮٰهُمۡ تَقۡوَٮٰهُمۡ (١٧)

17.  Dan (sebaliknya) orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayah petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa.

4) Hidayah yang berupa petunjuk di akhirat yang mengarahkan menuju syurga. Allah berfirman di dalam Surah Muhammad : Ayat 5.

سَيَہۡدِيہِمۡ وَيُصۡلِحُ بَالَهُمۡ (٥)

Allah akan memimpin mereka yang berjuang (ke jalan mendapat sebaik-baik balasan) dan menjadikan keadaan mereka baik dan berguna (di dunia dan di akhirat)


Sahabat, setiap hari kita amat memerlukan petunjuk dalam membuat pilihan dari sekecil-kecil perkara sehingga perkara yang besar.

Bermula samada ingin bangun di awal pagi atau sambung tidur.

Bermula samada ingin merespon sesuatu perkara secara positif atau negatif.

Ingin menjadi hamba yang sentiasa bersyukur atau merungut.

Ingin memilih menjadi seorang yang rajin berusaha atau malas.

Ingin menjadi seorang pemaaf atau pendendam.

Bayangkan setiap hari kita perlu membuat pelbagai pilihan. Pilihan yang melibatkan diri kita dan orang lain.

Maka, bukankah petunjuk Al-Qur’an begitu signifikan kepada kita sebagai asas dalam membuat pilihan?

Kita amat dahagakan petunjuk dari Tuhan untuk memberi kita panduan dalam setiap sisi kehidupan.


Ayuh sahabat kita mulakan dengan tilawah Al-Qur’an. Seterusnya, kita cuba memahami terjemahan untuk mengetahui pesanan-pesanan Pencipta kepada kita.Kemudian kita menyahut seruan untuk tadabbur Al-Qur’an. Sebagaimana firman Allah di dalam Surah Sad :  Ayat 29.

كِتَـٰبٌ أَنزَلۡنَـٰهُ إِلَيۡكَ مُبَـٰرَكٌ۬ لِّيَدَّبَّرُوٓاْ ءَايَـٰتِهِۦ وَلِيَتَذَكَّرَ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ (٢٩)

29.  (Al-Qur’an ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu Kitab yang penuh barakah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya (tadabbur), dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.


Bukankah perintah pertama Pencipta kepada kita adalah Iqra’. Bacalah dengan nama Tuhanmu. Ayuh kita mulakan baca Al-Qur’an dengan nama Tuhan. Allah berfirman di dalam Surah Al Alaq : Ayat 1 dan 2.

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ (١)

1.  Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),

Bacalah untuk mendapat petunjuk dari Tuhan.

Bacalah untuk tunduk kepada Pencipta.

Bacalah untuk mengenal posisi kita sebagai hamba dan hakikat Tuhan kita sebagai Pencipta.

Bacalah untuk kembali kepada diri fitrah yang ingin hidup atas kebenaran.

Bacalah untuk mengagungkan Pencipta.

Bacalah untuk hidup dengan penuh kesedaran bahawa akan ada hari pembalasan.

Bacalah untuk menjadi hamba yang memfungsikan tujuan ia dicipta.

Bacalah untuk menjadi hamba hanya kepada Pencipta, bukan yang lain.

Bacalah untuk membuat pilihan-pilihan berdasarkan petunjuk Al-Qur’an.

Bacalah untuk mendapat berita gembira dan peringatan dan Pencipta.


Ma shaa Allah , semoga Allah berkahi kita dengan rahmat atas niat dan tujuan yang benar untuk membaca.

Perkara ini bertepatan dengan hadis Nabi setiap perkara dimulakan dengan niat.

Dari Amirul Mukminin Umar bin Al-Khattab r.a katanya: "Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: - "Bahawasanya amalan-amalan itu adalah (bergantung) kepada niat, dan bahawasanya bagi setiap manusia itu apa (balasan) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia dinikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya."

(Riwayat al-Bukhari no.1, 54, 2529, 3898, 5070, 6689, 6953, Muslim no. 1907, Abu Daud no. 2201, al-Tirmizi no. 1646, al-Nasai`i no.1/59-60, VI/158, Ibn Majah no. 4227 dan Ahmad no. 1/25, 43)


Sahabat, jangan resah jika semua manusia meninggalkanmu. Ingat, kita masih ada Tuhan yang sentiasa bersama kita yang menurunkan petunjuk sebagai berita gembira untuk kita. Sebagaimana di dalam Surah Fatir: Ayat 24.

إِنَّآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ بِٱلۡحَقِّ بَشِيرً۬ا وَنَذِيرً۬اۚ وَإِن مِّنۡ أُمَّةٍ إِلَّا خَلَا فِيہَا نَذِيرٌ۬ (٢٤)

24.  Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (Ugama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dan tidak ada, sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.


Sahabat, ayuh kita menikmati hidangan Al-Qur’an ini dengan memanfaatkannya nikmat terbesar ini dengan bermula.

Bacalah, dengan nama Tuhanmu.

In shaa Allah, engkau akan merasakan Tuhan sentiasa bersamamu dimana sahaja engkau berada.

Engkau akan melihat hakikat realiti dunia dengan pandangan keimanan.

Engkau akan melihat ujian tanda kasih sayang Tuhan.

Engkau akan melihat hikmah dalam setiap perkara.

Engkau akan menyedari bahawa hakikat terbesar kita ada Pencipta yang begitu sayangkan kita.

Ketika seluruh dunia meninggalkanmu, engkau yakin bahawa engkau ada Pencipta tempat bergantung.


1Ar Raghib Al Asfahani, Kamus Al quran , Jilid 3, muka surat 846, Pustaka Khazanah Fawa’id

2Ar Raghib Al Asfahani, Kamus Al quran , Jilid 3, muka surat 847-849, Pustaka Khazanah Fawa’id