Firman Allah SWT:
رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْوَهَّابُ
(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.”
(Surah A-li ‘Imraan: 8)
Di dalam al-Qur’an, melalui firman Allah SWT di atas, diajarkan kepada orang-orang yang beriman untuk berdoa kepada Tuhan-Nya agar meminta kurniaan-Nya dengan diberikan hati yang sentiasa kekal kepada kebenaran agama ini. Juga berdoa agar dilimpahi dengan rahmat daripada Allah SWT dalam kehidupan dunia dan akhirat ini. Doa ini mengajar kita tentang dua perkara yang penting, iaitu memperolehi hidayah Allah SWT dan kekal di dalam-Nya juga dilimpahi rahmat Allah SWT yang melimpah-ruah agar dapat menjadikan kehidupan dunia ini sebagai ladang untuk menyemai pahala bagi kehidupan akhirat tempat beristirahat yang abadi. Tanpa hidayah kita tidak akan memperolehi taufik daripada-Nya, tanpa taufik juga kita akan mudah meninggalkan hidayah yang telah diberikan, dan tanpa rahmat Allah SWT, siapalah kita di dunia dan di akhirat kelak. Hidayah, petunjuk Allah SWT yang akan membawa kita kepada rahmat Allah SWT. Oleh itu, ayat 8 di dalam Surah A-li ‘Imraan ini, seharusnya menjadi amalan harian untuk kita berdoa meminta pada-Nya agar diberi hidayah, taufik, kekal di dalamnya, dan dilimpahi dengan rahmat-Nya yang tidak terhingga.
Agar Kekal di Dalam Hidayah Allah
Dalam kehidupan ini, kadang-kadang kita mendengar kisah sahabat atau rakan kita yang sudah berhijrah daripada tidak bertudung, kerana hidayah daripada Allah SWT, dia mula mengenakan hijab dan menutup aurat dengan sempurna. Alhamdulillah. Tetapi yang menyedihkan jiwa meruntunkan hati, apabila kita melihat selepas beberapa ketika dia mula membuka hijab kembali dan tidak lagi menutup aurat dengan sempurna. Ketika itu, timbul di dalam hati kita suatu penyesalan, adakah diri ini sebagai rakan gagal memberikan contoh yang baik? Atau adakah kita sebagai rakan gagal memberikan dorongan dan motivasi agar dia kekal menjaga auratnya? Usaha dilakukan demi mengembalikan rakan kita yang dulunya indah dengan terpelihara auratnya. Namun, balasan jawapan yang diterima, dia kembali tidak bersedia menutup aurat atau pelbagai alasan duniawi yang diterima, dan ini sangat menyedihkan. Mengapa semua ini berlaku? Inilah sebahagian ujian yang diterima oleh manusia dalam kehidupan di dunia ini. Diuji dengan dicondongkan hatinya, hilanglah hidayah dan juga taufik yang selama ini terpelihara.
Oleh sebab itu, di dalam ayat 8 Surah A-li ‘Imraan ini, mengajar kita berdoa kepada Allah SWT agar tidak memesongkan hati ini setelah diberi hidayah dan petunjuk. Para ulama’ berdoa agar hidayah yang diberikan kepada mereka, dipelihara melalui doa ini. Setelah Allah SWT memberikan kita hidayah dan petunjuk, perkara ini perlu dijaga, dan sebab itulah doa ini diajarkan kepada kita. Supaya kita tidak berpaling daripada hidayah Allah SWT, malahan semakin diberikan motivasi dan dorongan untuk menambah baik ibadah kita. Kita berdoa agar sentiasa terpelihara hidayah dan taufik ini, untuk kita sentiasa menjadi hamba-Nya yang menunaikan solat sehingga akhir hayat, sentiasa menutup aurat, sentiasa menjaga ikhtilat, sentiasa terpelihara daripada melakukan dosa-dosa besar dan dosa-dosa kecil. Seandainya, Allah SWT mahukan, Dia Yang Maha Berkuasa boleh menarik kembali hidayah yang ada dalam diri ini, boleh jadi esok lusa wanita yang dulunya solehah, menutup aurat dengan sempurna tiba-tiba membuka auratnya. Boleh jadi dia yang dulu disanjung kerana dakwahnya tiba-tiba dihina kerana masalah ikhtilatnya. Semua ini boleh terjadi kerana hati ini bukan milik manusia, tetapi milik Allah SWT. Bila-bila masa sahaja hati ini boleh dipesongkan dan juga dibolak-balikkan. Bukan manusia yang berhak atas kebaikan dirinya, tetapi Allah SWT yang memberikan hidayah dan taufik kepada hatinya.
Hati Kamu Bukan Milik Kamu
Apabila hidayah yang diberikan, boleh pergi meninggalkan pemiliknya, maka menunjukkan hati ini bukan milik manusia. Tetapi hati ini milik Allah SWT. Allah SWT jualah yang boleh membolak-balikkan hati ini. Hati sifat asalnya adalah tegak tetapi kadang-kadang boleh terbalik sebab itulah dinamakan dengan Qalb membalikkan, memalingkan, menjadikan yang di atas ke bawah, yang di dalam keluar. Oleh sebab itu, sekiranya Allah SWT tidak menjaga hati ini, ianya dengan mudah dibalikkan. Maka apabila hati itu dipesongkan maka dengan mudah pelbagai keburukan dengan mudah ditarik masuk ke dalam hati kita. Dan sekiranya hati yang telah dipesongkan, tidak lagi beriman, maka ibadah yang dilakukan tidak ada gunanya lagi. Oleh itu, jelas di sini hanya Allah SWT jualah yang boleh menetapkan hati ini di dalam hidayah-Nya, kerana dia yang memiliki hati kita ini. Seperti mana doa yang sering dibaca oleh Baginda Nabi Muhammad SAW, agar Allah SWT menjaga hati ini agar tetap di dalam keimanan. Syahr bin Hausyab telah bertanyakan kepada Ummu Salamah doa yang sering dibaca oleh Baginda Rasulullah SAW. Beliau menjawab: “Doa Baginda SAW yang paling banyak adalah:
يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”
(Hadith Riwayat Tirmizi)
Hadith ini mengajar kita agar berdoa kepada Allah SWT agar ditetapkan hati dalam keimanan yang benar ini. Hati yang tetap akan memberi kebaikan kepada istiqamahnya amalan. Berdoalah kepada pemilik hati ini agar dikurniakan hati yang hidup dalam beribadah dan mencintai Allah SWT, Rasul-Nya juga mencintai mereka yang mencintai Allah dan Rasul. Ini kerana manusia yang masuk ke dalam hati kita, iaitu orang yang kita kasihi dan cintai juga adalah ketentuan daripada-Nya. Berdoalah kecintaan kepada manusia juga adalah kerana-Nya. Untuk melihat mereka yang kita kasihi dan cintai ini bersama-sama di dalam syurga kelak. Insha-Allah.
Dengan Rahmat-Mu, Ya Allah.
Dengan rahmat Allah SWT, kita memperolehi segala rezeki kehidupan di dunia, dan dengan rahmat-Nya jugalah manusia tidak diazab di dunia, juga dengan rahmat-Nya jualah, orang-orang yang beriman akan dimasukkan ke syurga. Betapa luasnya rahmat Allah SWT dan kasihnya kepada hamba-Nya, sehinggakan dia menerima taubat-taubat hamba-Nya yang berdosa. Bahkan dengan rahmat itu juga kita memperoleh rezeki di dunia ini yang datang dalam pelbagai keadaan seperti makan dan minum, kehidupan yang baik, dipermudahkan segala urusan, harta yang banyak, ditutup segala keaiban, dan lain-lain. Zuriat yang soleh dan solehah juga merupakan rezeki yang diberikan kepada sebuah keluarga kerana rahmat daripada-Nya. Sebahagian keluarga tidak dikurniakan zuriat walaupun mereka mempunyai keinginan yang kuat untuk dikurniakan zuriat mereka sendiri. Maha Suci Allah yang menentukan segalanya dan berkuasa atas segala sesuatu. Firman Allah SWT:
صِرَٰطِ ٱللَّهِ ٱلَّذِى لَهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۗ أَلَآ إِلَى ٱللَّهِ تَصِيرُ ٱلْأُمُورُ
“Iaitu jalan Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ingatlah! Kepada Allah jualah kembali segala urusan.”
(Surah Asy-Syuura: 53)
Bahkan hidayah Allah SWT juga adalah rahmat buat hamba-Nya. Oleh itu, kita seharusnya berdoa dengan rendah diri agar dikurniakan rahmat dan juga hidayah daripada Allah SWT. Oleh itu, mintalah kepada Allah SWT, secara khusus agar dikurniakan rahmat daripada-Nya untuk kekal pada jalan agama ini, sehingga akhir hayat kita. Kekal di dalam keimanan ini, dan mempunyai keimanan yang kukuh seperti para sahabat. Berdoalah…berdoalah…berdoalah, pujilah Allah SWT dalam doa kita, kerana Allah SWT, firman-Nya dalam Surah Surah A-li ‘Imraan ayat 8 ini,
إِنَّكَ أَنتَ ٱلْوَهَّابُ…
…sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.
Justeru, hidayah mempunyai hubungan dengan hati, dan hati ini adalah yang mudah dibolak-balikkan. Rahmat pula datang menjemput hidayah. Oleh itu, hati yang dirahmati oleh Allah SWT akan dikurniakan hidayah dan memberikan taufik kepada perilakunya. Berdoalah, mintalah dengan rendah hati dan memuji kebesaran Allah SWT, agar dikurniakan hati yang dirahmati dan sentiasa kekal dalam hidayah Allah SWT. Akhir zaman yang penuh dengan fitnah dan pelbagai ujian ini, sangat menakutkan dan menguji keimanan kita, maka berdolah agar hidayah yang diberikan ini kekal sehingga hujung nyawa dan limpahi dengan rahmat-Nya. Semoga kita adalah hamba-hamba-Nya yang dikurniakan hidayah, kekal di dalamnya dan dirahmati oleh-Nya di dunia dan di akhirat. Wallahu a’lam.