Bismillah.
Lepaskanlah jiwamu dari belenggu hawa nafsu.
Kembalilah kepada Tuhan semesta alam.
Yang Penuh dengan rahmat dan kasih sayang.
Yang sentiasa terbuka menerima taubat.
Renungilah ayat-ayat Allah yang begitu halus menyeru “wahai hamba-hambaku”,
Walaupun hamba-hambaNya telah melampaui batas.
Surah Al-Zumar: Ayat 53-55
قُلۡ يَٰعِبَادِيَ ٱلَّذِينَ أَسۡرَفُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ لَا تَقۡنَطُواْ مِن رَّحۡمَةِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًاۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ وَأَنِيبُوٓاْ إِلَىٰ رَبِّكُمۡ وَأَسۡلِمُواْ لَهُۥ مِن قَبۡلِ أَن يَأۡتِيَكُمُ ٱلۡعَذَابُ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ وَٱتَّبِعُوٓاْ أَحۡسَنَ مَآ أُنزِلَ إِلَيۡكُم مِّن رَّبِّكُم مِّن قَبۡلِ أَن يَأۡتِيَكُمُ ٱلۡعَذَابُ بَغۡتَةٗ وَأَنتُمۡ لَا تَشۡعُرُونَ
53. Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
54. "Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.
55. "Dan turutlah - Al-Quran - sebaik-baik. yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya.
Ma sha Allah, Allah yang memberi kita kekuatan melalui ayat-ayatNya, iaitu “janganlah berputus asa dari Rahmat Allah” sebagaimana Ayat 53, Surah Al-Zumar di atas.
Maka, wahai jiwa jangan berputus asa dari Rahmat Allah.
Atas setiap kesilapan, namun kembali kepada Allah dengan kembali kepada petunjuk Allah iaitu Al-Qur’an.
Lepaskanlah
Pergantungan terhadap sesama manusia.
Supaya kamu tidak kecewa, terluka dan menderita di kemudian hari.
Kerana manusia itu juga makhluk Tuhan yang penuh dengan kekurangan.
Yang kadang-kadang tersilap bicara, tersalah percaturan dalam tindakan.
Namun, bergantunglah kepada yang Maha Kuasa yang tidak meninggalkan kita
Yang sentiasa ada di setiap saat.
Surah Al Hadid: Ayat 4
هُوَ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٖ ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰ عَلَى ٱلۡعَرۡشِۖ يَعۡلَمُ مَا يَلِجُ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَمَا يَخۡرُجُ مِنۡهَا وَمَا يَنزِلُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ وَمَا يَعۡرُجُ فِيهَاۖ وَهُوَ مَعَكُمۡ أَيۡنَ مَا كُنتُمۡۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ
Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa: Kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arsy. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik di dalamnya. Dan Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
Ingat, “dan Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada.”
Maka, wahai diri jangan khuatir.
Allah sentiasa ada di sisi.
Lepaskanlah dari mengharapkan penghargaan dari manusia.
Kerana manusia itu juga seperti dirimu.
Sifatnya, yang kadang-kadang terlupa untuk menghargai.
Namun, jelaskan tujuan berbuat sesuatu kerana Tuhanmu.
Maka, inshaAllah kamu akan terus bermotivasi untuk terus berbuat.
Kerana hidupku, matiku hanya kerana Tuhanku.
Maka, kamu akan jadi diri yang bebas.
Bebas dari segala pengharapan dan penghargaan manusia.
Ketika kamu bebas, nilai mu begitu tinggi disisi Tuhanmu.
Maka, teruslah memilih untuk menjadi hamba yang bebas dari manusia lain.
Kerana Tuhan itu begitu mulia untuk diduakan.
Surah Al Hajj: Ayat 12
يَدۡعُواْ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَضُرُّهُۥ وَمَا لَا يَنفَعُهُۥۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلضَّلَٰلُ ٱلۡبَعِيدُ
12. Ia menyeru dan menyembah makhluk-makhluk yang lain dari Allah, yang tidak dapat membahayakannya dan tidak dapat mendatangkan kebaikan kepadanya; itulah kesesatan yang jauh terpesong.
Lepaskanlah kecintaan atas sesuatu yang tidak kekal.
Kerana ia pasti berakhir.
Setiap perkara di dunia ini ada tarikh luputnya.
Maka, mari kita sama-sama belajar untuk melepaskan.
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٰتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلۡبَنِينَ وَٱلۡقَنَٰطِيرِ ٱلۡمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلۡفِضَّةِ وَٱلۡخَيۡلِ ٱلۡمُسَوَّمَةِ وَٱلۡأَنۡعَٰمِ وَٱلۡحَرۡثِۗ ذَٰلِكَ مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسۡنُ ٱلۡمََٔابِ
14. Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).
Ma sha Allah, Allah begitu menyayangi hamba-hambaNya.
Dengan memberi kita petunjuk Al-Qur’an untuk kita hidup dibawah naungan cahaya
dan bukannya kegelapan.
Al-Qur’an mengajar kita untuk melepaskan pergantungan terhadap sesuatu yang rapuh namun bergantung kepada yang kekal.
Surah Al-Ankabut: Ayat 41
مَثَلُ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُواْ مِن دُونِ ٱللَّهِ أَوۡلِيَآءَ كَمَثَلِ ٱلۡعَنكَبُوتِ ٱتَّخَذَتۡ بَيۡتٗاۖ وَإِنَّ أَوۡهَنَ ٱلۡبُيُوتِ لَبَيۡتُ ٱلۡعَنكَبُوتِۚ لَوۡ كَانُواْ يَعۡلَمُونَ
41. Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal sesungguhnya sarang-sarang yang paling reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan.
Mari kita melakukan perenungan terhadap ayat di atas, begitu rapuhnya pelindung-pelindung selain Allah seperti sarang labah-labah.
Yang tiada kekuatan untuk melindungi.
Maka, mari kita sama-sama belajar untuk melepaskan pergantungan kepada sesuatu yang tidak kekal kepada yang kekal.
Saling mengingatkan bahawa kekuatan itu ada pada kebergantungan kepada Pencipta dengan mengikuti petunjukNya.
Maka, setiap peristiwa dan pengalaman yang berlalu itu satu muhasabah yang bagus untuk kita terus memperbaiki diri dan berusaha untuk belajar melepaskan.
Ikhlas,
Sahabat perjuanganmu yang sentiasa belajar untuk lepaskan.